Pages

Tuesday, July 27, 2010

117. Ilmu Telapak Pasir Merah

Saya kira setelah selesai membaca surah Al-Kahfi, tetamu ganjil yang tidak diundang itu akan pergi. Ternyata perkiraan saya tidak tepat. Tetamu ganjil masih berada di depan pintu, cuma dia tidak ketawa mengilai atau menangis.

Kali ini dia duduk dengan membongkokkan badannya. Menyembunyikan wajahnya di celah kangkang agar tidak dapat kami lihat. Bunyi nafasnya cukup kuat.

"Biarkan dia di situ," bisik Haji Taslim Singasari pada saya dan datuk, "Masa arwah hidup, dia selalu datang tidak tentu masa," penjelasan Haji Taslim Singasari yang membuat saya dan datuk terkejut besar.

"Begitu," kata datuk.

"Biar saya uruskan semuanya," itu jaminan Haji Taslim Singasari.

Saya makin lemas dengan keadaan yang saya hadapi. Menyesal rasanya, saya ikut datuk. Kalau saya tahu begini jadinya, lebih baik saya tidur di rumah Mat Prai.

"Kita makan," Haji Taslim Singasari letakkan hidangan malam di depan saya dan datuk. Hebat juga masakkannya, ikan keli masak rempah, ada ikan gelama kering yang digoreng bersama cabai kering dan bawang besar. Ada sambal kelapa dengan ulam pegaga.

Melihat hidangan itu, saya jadi kagum. Masa bila Haji Taslim Singasari menyediakan semuanya ini? Sungguh cekap dia bekerja. Fikir saya dalam hati.

"Ya," angguk Haji Taslim Singasari sambil menaruh nasi ke dalam pinggan saya dan datuk, "Masa menanti awak datang, saya siapkan semuanya ini. Masak sendiri dah jadi perkara biasa bagi saya," Haji Taslim Singasari menyelesaikan persoalan yang berlegar-legar dalam tempurung kepala saya.

Ketika kami menjamu selera, tetamu ganjil tidak mengganggu. Tidak bergerak dari tempat duduknya. Bunyi hembusan nafasnya beransur lemah. Meskipun dia tidak mengacau tetapi, rasa cemas tetap berada di hati saya.

"Sin..."

Secepat kilat saya menoleh ke arah tetamu ganjil. Saya yakin, suara yang menyeramkan itu datangnya dari tetamu ganjil. Bunyinya macam bunyi belalang pelesit. Kerana datuk dan Haji Taslim Singasari ada disisi saya, rasa takut terus hilang.

Selesai makan, kami terus berehat di ruang tengah rumah. Saya sandarkan badan ke dinding. Ternyata datuk tidak senang, kalau masa yang terluang dibiarkan berlalu begitu saja. Setiap saat yang hadir harus diisi dengan mengingati Allah.

"Macam mana kalau kita membaca Quran, datuk meluahkan usul. Rupanya, usul itu disambut oleh Haji Taslim Singasari dengan aman.

"Memang elok tu, saya juga berfikir macam tu. Tapi, mesti sekejap lagi kita mulakan, biar nasi dalam perut hancur," Haji Taslim Singasari renung ke arah jam tua yang tersangkut di dinding.

"Baru pukul sebelas," tambah Haji Taslim Singasari sambil melunjurkan sepasang kakinya. Senyum datuk berlari di kelopak bibir.

Suasana jam sebelas malam di pinggir kampung memang terasa amat sepi. Desiran angin yang menolak cucor atap rumah jelas kedengaran. Suara pungguk merayu bulan terus mendayu-dayu begitu juga dengan bunyi cengkerik dan katak.

Mungkin kerana saya makan terlalu kenyang menyebabkan saya terasa amat mengantuk sekali. Dua tiga kali saya tersengguk-sengguk. Pada saat itu, saya sudah terlupa dengan makhluk ganjil.

"Makan tak jemput orang pun."

Saya segera jegilkan mata. Saya pasti, itu suara dari tetamu ganjil. Saya segera merenung ke wajah datuk. Dari kedutan keningnya, saya dapat membayangkan yang datuk berada dalam keresahan.

"Usah bimbang," Haji Taslim Singasari bersuara. Matanya tertampar ke wajah saya dan datuk.

"Dia tu kembar si mati, inilah kali kedua dia datang. Kali pertama waktu arwah sakit. Dia datang merawatnya. Ini semuanya iblis," sambung Haji Taslim Singasari sambil melunjurkan sepasang kakinya.

"Hal begini, tak boleh dibiarkan," cetus datuk seraya menjeling tajam ke arah tetamu ganjil. Gegendang telinga saya terdengar bunyi suara orang mengeluh dengan sayu sekali.

"Sahabat apa namanya, kalau tak boleh menolong sahabat sendiri," datang lagi kata-kata dari tetamu ganjil. Saya jadi resah tidak menentu.

Tiba-tiba pelita yang menyala terpadam seperti dihembus sesuatu. Bagaikan kilat saya terus meluru ke arah datuk. Terus duduk di hujung lututnya. Haji Taslim Singasari terus meraba-raba mencari mancis api.

"Rumah ni bergegar, macam di goncang orang," kata datuk sambil memegang pergelangan tangan kanan saya erat-erat. Dia berbuat demikian agar saya tidak terpisah dengannya. Apa yang datuk kata memang benar. Saya sendiri mengalaminya, terasa punggung saya seperti bergerak sendiri atas papan lantai.

"Jangan disentuh barang yang jatuh, walaupun ada di hujung tangan kamu," Haji Taslim Singasari mengingatkan. Dia menyalakan mancis lalu membakar sumbu pelita.

"Alhamdulillah," datuk bersuara setelah cahaya pelita menerangi ruang. Haji Taslim Singasari membuka baju Melayu potongan teluk belanga lalu disangkut ke dinding.

Baju singlet yang masih lekat di tubuhnya kelihatan berwarna agak kekuningan. Beberapa bahagian ada yang koyak sebesar telapak tangan orang dewasa. Tanpa berkata apa-apa Haji Taslim Singasari terus menuju ke dapur.


KEMBALI


Dia kembali mendekati saya dan datuk, muka dan kedua belah tangannya terdapat kesan air. Dia membiarkan air di hujung jarinya menitik atas lantai.

"Ambil air sembahyang?" datuk bertanya.

Haji Taslim Singasari anggukkan kepala. Dengan hati-hati dia mengangkat barang-barang yang berserakkan di lantai lalu diletakkan ke tempatnya.

"Jangan, biar saya uruskan sendiri," tegah Haji Taslim Singasari. Saya tidak jadi membantunya mengangkat kitab tua bertulis jawi ke atas rak.

Datuk masih lagi bersandar di dinding. Matanya merenung sayu ke arah Haji Taslim Singasari. Semua gerak-geri Haji Taslim Singasari ada dalam bola mata datuk. Datuk bagaikan mentafsir segala gerak langkah Haji Taslim Singasari yang mempunyai makna dan maksud tertentu. Semua barang-barang yang bertaburan dikembalikan ke tempat asalnya. Haji Taslim Singasari kembali duduk disisi datuk.

Tiba-tiba daun tingkap yang dikunci terbuka dengan sendiri. Angin malam menerbus masuk, mengusap wajah dan tubuh kami bertiga. Saya melihat ke arah tingkap yang terdedah. Cuaca di luar amat gelap.

"Kamu pergi rapatkan tingkap."

Perintah datuk segera saya patuhi dengan rasa hati yang amat berat sekali. Ketakutan menguasai diri saya.

Bila saya hadapkan muka keluar, apa yang dilihat ialah kegelapan malam yang memanjang. Saya terasa seram dan bulu roma saya terus berdiri.

Bila daun tingkap saya tarik untuk rapatkan, secara tidak sengaja mata saya terpandang kain putih melayang-layang di udara diterbangkan oleh angin ke atas ke bawah. Saya tidak dapat berkata apa-apa. Saya terus terpaku di situ.

Kain putih yang dimainkan angin bergerak ke arah saya. Hati kecil berdetik mengatakan kain putih yang saya nampak itu adalah kain kafan Suhaimi Keraba, saya tercium bau kapur barus, sintuk dan bau-bauan lain yang sering digunakan untuk memandikan mayat.

"Tamar, kenapa lama sangat kamu di situ?"

Suara Haji Taslim Singasari cukup lantang. Saya mempersetankan teguran itu. Haji Taslim Singasari berbuat demikian kerana melihat saya berdiri di situ agak lama. Daun tingkap tidak juga dirapatkan, masih terdedah.

"Tamar, apa yang kamu tengok dalam gelap tu?" suara datuk menyusul. Saya terus membisu dengan sepasang mata tertumpu ke arah kain putih yang melayang-layang di udara.

Angin kian bertiup, dedahan yang berlaga sama sendiri mengeluarkan bunyi yang berbagai-bagai. Sesekali terdengar macam bunyi orang mengeluh, orang menangis dan bernyanyi yang tidak berapa jelas senikatanya.

Gegendang telinga terus disumbat dengan suara lolongan anjing yang sayup-sayup dari arah kaki bukit. Suara burung hantu terus tingkah meningkah dengan suara burung jampuk.

Makin gamat suara lolongan anjing dan suara burung hantu, kian rancak kain putih melayang-layang di udara macam orang menari. Kalau pada awalnya saya dapat mengagak panjang kain putih itu kira-kira enam kaki tapi kali ini panjangnya kian bertambah hampir mencecah awan.

"Tamar."

Bahu kanan saya di tepuk dengan kuat. Saya menoleh ke kiri. Saya lihat datuk berdiri di sisi saya dengan wajah yang cemas. Saya toleh ke kanan, saya lihat Haji Taslim Singasari berdiri si situ. Saya cuba mahu menutur sesuatu tetapi, suara saya tidak keluar.

"Budak ni kena pukau iblis," tutur Haji Taslim Singasari.

Dia menentang wajah saya sambil mulutnya berkumat-kumit. Saya tidak tahu apa yang dibacanya. Seluruh kulit muka saya terasa panas seperti terkena api.

Haji Taslim Singasari meletakkan telapak tangan kanannya atas dahi saya. Dari dahi, telapak tangan itu bergerak perlahan-lahan menyapu wajah saya hingga ke hujung dagu. Haji Taslim Singasari mengulangi perbuatan itu sebanyak tiga kali berturut-turut.

"Aiicccuuuummmmmmmmmmmmmmmmmmmm..."

Saya bersin hingga terasa hingus keluar dari hidung. Seluruh badan terasa seram sejuk. Saya rebah di lantai.

Ketika itulah saya terpandangkan tetamu ganjil seolah-olah berdiri di depan saya. Kali ini wajahnya amat menakutkan. Dia menjelirkan lidah hingga ke perut. Telinganya yang sebesar telinga gajah jatuh atas bahunya. Kelopak matanya merah seperti bara dan dari lubang telinganya keluar asap yang nipis. Dia bagaikan ketawa melihat saya terkapar di lantai. Haji Taslim Singasari terus merawat saya.

Bila Haji Taslim Singasari berada di bahagian kepala saya, tetamu ganjil itu segera berubah ke hujung kaki. Kehadiran tetamu ganjil itu memang tidak dapat dilihat oleh Haji Taslim Singasari. Dia bergerak bagaikan bayang-bayang. Saya menelan air liur dan cuba menuturkan beberapa patah perkataan. Ternyata saya sudah boleh bersuara.

"Di hujung kaki saya," tutur saya meninggi.

"Apa dia Tamar?" soal Haji Taslim Singasari kehairanan. Dia renung ke kiri dan ke kanan. Dia gelengkan kepala sambil berkata: "Tak ada apa-apa pun yang aku nampak."

Mendengar ungkapan dari Haji Taslim Singasari itu, tetamu ganjil menyeringaikan giginya tanda suka.

"Saya nampak apa yang cucu saya katakan," datuk bersuara dengan sepasang matanya tertumpu ke arah hujung kaki saya. Gerak-geri si tetamu ganjil dalam biji mata datuk.

"Saya," sahut tetamu ganjil lalu mempamerkan tubuhnya ke alam nyata. Datuk dan Haji Taslim Singasari berpandangan.

"Kita mesti bertindak," kata datuk.

"Caranya?" soal Haji Taslim Singasari.

"Begini, kau ambil surah Yasin dan baca di situ," datuk segera menuding jari telunjuknya ke arah sudut ruang.

"Kalau itu, memang ada rancangan dalam kepala saya," sahut Haji Taslim Singasari mematuhi cakap datuk.

Datuk terus berdepan dengan tetamu ganjil itu. Kedua-dua kelopak bibir datuk bergerak. Pasti datuk membaca ayat-ayat suci penghalau iblis. Datuk seperti menghadapi kesulitan kerana bibir tetamu ganjil itu ikut bergerak mengikut gerakan bibir datuk, dia dapat menyebutnya dengan fasih, malah membetulkan pembacaan datuk yang tersilap.


SUARA


Datuk buat tidak kisah dengan telatah tetamu ganjil itu. Dia teru membaca ayat-ayat suci penghalau iblis dengan tenang. Haji Taslim Singasari yang mendengar suara tetamu ganjil mengajuk cakap datuk, terus membaca surah Yasin dengan lantang.

"Sampai di sini saja kita berkawan Haji, kamu memang selama-lamanya bermusuh dengan sahabat kami," tiba-tiba saja tetamu ganjil meloncat ke arah Haji Taslim Singasari. Dia jadi marah kerana Haji Taslim Singasari tidak menjawab kata-katanya. Dia menjerit dengan sekuatnya.

Dan bersama gema jeritan yang memekakkan anak telinga itu, seluruh tubuh tetamu ganjil bercahaya macam manik-manik kaca disinari matahari. Pada mulanya membesar, kemudian mengecil dan hilang macam debu-debu dibawa angin. Tidak ada apa yang dapat kami lihat.

Suasana terasa amat sepi tetapi, bau kemenyan dan kapur barus bagaikan memenuhi ruang rumah. Saya rasa seluruh badan berpeluh dan bertenaga. Saya segera bangun duduk.

"Saya fikir semuanya dah selesai," kata datuk.

"Saya harap pun begitulah, tapi iblis ni pandai menipu kita," sahut Haji Taslim Singasari agak ragu-ragu. Dia renung kiri kanan. Dia bangun dan dan memeriksa seluruh ruang. Akhirnya daun tingkap yang terdedah dirapatkannya. Lolongan anjing masih sayup-sayup terdengar. Haji Taslimi Singasari dan datuk tidak memberi sebarang komen tentang lolongan anjing itu.

"Bagaimana? awak yakin dia tak dapat datang lagi?" tanya datuk sambil menatap wajah Haji Taslim Singasari. Saya lihat Haji Taslim Singasari seperti tergamam. Dia segera mengedutkan dahi dan keningnya.

"Saya rasa semuanya dah selesai."

"Awak yakin, dia tak datang lagi?" datuk minta kepastian.

Haji Taslim Singasari anggukkan kepala.

"Jadi sekarang, apa yang patut kita buat, Haji."

Pertanyaan datuk tidak mendapat jawapan. Haji Taslim Singasari menelan air liur.

"Apa yang patut kita buat, Haji?" ulang datuk lagi. Haji Taslim Singasari senyum sinis. Dia terus meluru ke ruang dapur.

Buat beberapa saat, saya dan datuk saling berpandangan. Malam yang kian tua membuat suasana terasa hening. Kedinginan terasa menggigit seluruh tubuh. Sesekali terdengar kokok ayam dari hujung kampung. Datuk ambil senaskah Quran dari atas rak. Badannya disandarkan ke dinding. Dengan wajah yang tenang, datuk membuka Quran dan bersedia untuk memulakan pembacaan.

"Nanti dulu, ini yang patut kita buat," biji mata saya dan datuk tertumbuk ke arah Haji Taslim Singasari yang berdiri di ambang pintu. Dia menatang talam bulat yang berisikan teko dan cawan kosong, "Tadi awak tanya saya apa yang patut kita buat. Jawapannya inilah dia," sambung Haji Taslim Singasari lalu duduk. Talam yang berisikan teko dan cawan diletakkannya atas lantai.

"Apa benda ni," tanya datuk sambil menutup Quran. Datuk bangun dan terus meletakkan Quran atas rak.

"Kita minum dulu, lepas tu baru kita buat yang lain," Haji Taslim Singasari pun menuangkan air kopi ke dalam cawan.

Saya terus memerhatikan asap nipis yang bangkit di permukaan cawan. Haji Taslim Sinagsari menjeling ke arah saya tetapi, tangannya terus meletakkan cawan yang berisi kopi di depan saya dan datuk.

"Minum, biar panas badan, bila kena kopi O keras macam ni, barulah seronok. Sampai ke siang kita boleh berjaga," tutur Haji Taslim Singasari. Dia ketawa kecil, mempamerkan giginya yang kelihatan putih dan tersusun rapi. Tidak ada satupun giginya yang patah atau rosak.

Nanti, bila ada masa lapang, saya nak himpit orang tua ni. Saya nak minta petua dan amalan yang dipakainya untuk gigi tahan lama, bisik batin saya.

Wajahnya saya tatap dan Haji Taslim Singasari bagaikan tahu apa yang tersirat dalam dada saya. Dia senyum sambil anggukkan kepala lalu meneguk air kopi O panas. Dia bangun dan terus menuju ke ruang dapur untuk kali kedua.

Saya dan datuk merasa agak ganjil dengan sikap yang ditunjukkan oleh Haji Taslim Singasari. Jangan-jangan dia lebih hebat dari Suhaimi Keraba dalam bersubahat dengan iblis, timbul semacam perasaan dalam diri saya.

Datuk terus memeluk tubuh erat-erat. Kamudian dia meluruskan tangan dan jari-jemarinya. Kedua belah cuping telinganya diraba tiga kali berturut-turut. Datuk bersedia menghadapi sebarang kemungkinan. Datuk tarik nafas dalam-dalam. Dilepaskannya perlahan-lahan. Tangan yang diluruskan segera dijatuhkannya. Jari-jemarinya digenggam kemas-kemas. Wajah datuk nampak aman sekali.

"Tak ada apa-apa Tamar, dia jujur," tutur datuk.

"Saya tahu, tetamu saya ni meragui kejujuran saya," kata Haji Taslim Singasari, kami segera menoleh ke kanan. Memang saya dan datuk tidak sedar bila Haji Taslim Sinigasari berada di situ. Datuk merasa malu kerana rahsianya dapat dikesan oleh orang lain. Haji Taslim Singasari terus duduk di sisi saya.

"Bukankah beringat-ingat dan berhati-hati tu, memang disuruh oleh agama kita," itu dalih datuk.

"Ya, perkara semacam tu memang harus ada pada setiap manusia, kita tidak disuruh menyerah pada takdir. Bukankah agama kita mengajar kita supaya berfikir," begitu bersahaja Haji Taslim Singasari bersuara. Dia terus meneguk air kopi O panas.

"Kalau kita ikhlas dan jujur sesama manusia, apa yang menjadi kesangsian pada orang lain mudah dikesan, buktinya, awak dapat mengesan kejujuran saya. Antara kita berdua saling ingat mengingati," datuk melanjutkan kata-kata.


MELAWAN


Haji Taslim Singasari bangun lagi terus menuju ke ruang dapur untuk kali ketiga. Beberapa detik berikutnya, Haji Taslim Singasari datang kembali menatang pinggan. Dia duduk meletakkan pinggan atas lantai.

"Saya ke dapur tadi memasakkan ini," jelasnya.

"Kalau tak silap saya, ini pulut kuning," mata datuk merenung ke arah pulut kuning yang ada dalam pinggan.

"Ya, memang betul cakap awak tu."

"Bila Haji memasaknya?"

"Tadi, biasanya bila saya berjaya melawan hantu syaitan, saya mesti makan pulut kuning. Memang sejak kematian sahabat saya, saya yakin kembarnya mesti datang, jadi saya bersedia terlebih dahulu.

"Ini ajaran guru awakkah Haji?" datuk menyoal lagi. Haji Taslim Singasari tidak menjawab. Dia terus mengepalkan pulut kuning dan diberikan kepada kami.

"Ini bukan ajaran atau amalan, ini petua guru saya. Tidak ada kena mengena dengan agama, sudah penat berlawan kita mesti berehat dan makan barang yang boleh beri kita tenaga, itu saja maksudnya," dengan wajah yang tenang Haji Taslim Singasari menjelaskan. Dia menghirup kopi O panas dan mengunyah pulut kuning.

"Makan, lepas ni kita membaca Quran atau melakukan sembahyang tahjud, kalau kamu tidak mahu kamu boleh tidur," Haji Taslim Singasari renung wajah saya. Datuk ketawa.

"Budak ni, kalau disuruh tidur memang jadi, dia ni kaki tidur," kata datuk. Hati saya jadi panas dengan usikkan datuk itu. Kalaulah datuk itu kawan sepermainan, sudah tentu saya maki. Menjatuhkan nama baik saya di depan orang.

"Tak apa, kalau kamu nak tidur, tidurlah, tapi orang yang pandai selalu memilih berjaga dari tidur. Berjaga banyak mendatangkan manfaat, kalau digunakan untuk menambah ilmu," Haji Taslim Singasari terus menepuk belakang saya dengan mesra sekali.

"Kalau waktu berjaga digunakan berborak kosong, membaca buku yang tidak berfaedah, berangan-angan, tentulah merugikan diri sendiri," sambung Haji Taslim Singasari, bagaikan berfalsafah di depan saya.

"Cakap awak tu, Haji memang betul," sampuk datuk dengan senyum yang memanjang.

Entah macam mana di malam yang dingin itu, datuk berjaya memujuk Haji Taslim Singasari supaya menceritakan pengalaman petualangnya di Tanah jawa mengisi ilmu akhirat dan dunia di dalam dadanya.

"Saya tak banyak mengambil ilmu dunia. Awak tahu, ilmu dunia kadang-kadang bercanggah dengan agama Islam. Tetapi..." Haji Taslim Singasari tidak meneruskan kata-katanya. Dia renung kiri, renung kanan. Macam ada sesuatu yang dibimbangkannya.

"Tetapi saya ada juga belajar untuk tahu saja," sambung Haji Taslim Singasari yang secara tidak langsung membuka rahsia ddirinya.

"Saya pernah ikut arwah ke tempat perguruan di hutan. Saya melihat arwah sahabat saya bersemadi di bawah batu besar. Makan sebiji beras sehari dan minum dua hari sekali. Air minuman dari embun di hujung daun," Haji Taslim Singasari memperkemaskan silanya.

"Itu untuk ilmu apa, Haji?" soal datuk.

"Untuk melihat muka orang halus, bertutur dan berkampung sama-sama mereka," jelas Haji Taslim Singasari. Haji Taslim Singasari juga menyatakan arwah (Suhaimi Keraba) diiktiraf murid yang terbaik oleh gurunya. Arwah dikurniakan kain ikat kepala warna merah.

Arwah Suhaimi Keraba (ASK) juga menuntut ilmu 'Telapak Pasir Merah'. Khasiat dari ilmu ini, bila ASK menghentam atau menumbuk seseorang pasti orang yang kena hentam itu akan muntah darah segar.

Ketika mangsanya mengeletek kesakitan ASK menghilangkan diri dan berada di tempat lain. ASK juga menuntut ilmu 'Cakra Dewa', khasiatnya boleh membunuh orang dari jauh, juga boleh digunakan sebagai ilmu guna-guna.

Selain dari ilmu-ilmu yang disebutkan itu, ASK juga menuntut ilmu 'Cakar Dewa'. Orang yang mengamalkan ilmu ini, bila dia mengerakkan jemarinya ke wajah seseorang, maka rosaklah wajah orang yang tersebut ketika itu juga.

"Ini ilmu dunia yang tidak pernah saya amalkan. Tetapi saya tahu kehebatannya. Saya juga merasa pelik macam mana arwah boleh kalah dengan awak?" sepasang biji mata Haji Taslim Singasari meraut wajah datuk yang sudah mula berkedut itu.

"Entahlah, setiap kali saya berdepan dengannya, saya mohon pada Allah supaya usaha-usaha saya diberkati. Tujuan saya ialah mahu mengajak sahabat awak ke jalan yang benar." Datuk memberikan pengakuan.


JAKARTA


Dalam bulan Februari 1980, saya berkunjung ke Jakarta kerana urusan peribadi. Sebaik saja sampai di sana, semua akhbar dan majalah memuatkan berita tentang seorang penjenayah yang handal bernama Kunsi Kandut. Kunsi Kandut dihukum mati kerana kesalahan merompak, membunuh dan sebagainya.

Kunsi Kandut terkenal sakti dan berilmu, sehingga ramai yang mengatakan tubuhnya tidak boleh ditembusi peluru. Kematiannya disangsikan. Maka dalam penjara dia diberikan beberapa keistimewaan, disediakan peti tv dan sebagainya. Tetapi Kunsi Kandut berjaya menghilangkan diri dari tembok batu. Setiap kali dia bolos, pihak berkuasa berjaya memberkasnya.

Hasil dari penyelidikan sendiri, ternyata ilmu yang dimanfaatkan oleh Kunsi Kandut, sama dengan ilmu yang diamalkan oleh ASK. Saya terfikir, mungkinkah dua insan ini seperguruan, sayangnya mereka sudah tiada lagi. Kalau salah seorang daripada mereka masih ada mungkin saya boleh bertanya.

"Saya tahu, arwah pernah menyatakan pada saya yang dia mahu mengajar ilmunya pada orang-orang yang berminat, caranya dia mahu mendirikan gelanggang silat dulu," Haji Taslim Singasari terus bangun. Berjalan dari sudut ke sudut di ruang tengah.

"Ada anak muridnya?" tanya datuk.

Haji Taslim Singasari telan air liur. Dia tidak dapat memberikan jawapan dengan segera. Haji Taslim Singasari duduk kembali.

"Ada." Jawab Haji Taslim Singasari selamba.

"Dimana, Haji?"

"Saya tidak tahu dengan tepat, boleh jadi ada di Perak, Kedah, Selangor. Maklumlah dia tu boleh pergi ke mana-mana dengan sekelip mata.

"Hum..." datuk mengeluh kehampaan.

Buat beberapa saat, suasana dalam rumah dicengkam kesepian. Tiga kepala cuba berusaha memecahkan persoalan yang ditinggalkan oleh Suhaimi Keraba.

Saya segera terfikir, banyak kejadian ganjil di dunia yang dapat diterima oleh akal. Ada pula yang tidak logik! Ah semuanya ini menjadi misteri yang membingungkan orang. Apa yang jelas kematian Suhaimi Keraba mendatangkan masalah pada datuk dan Haji Taslim Singasari.


"Kalaulah benar, dia ada anak muridnya, kita harus berusaha mencegahnya supaya ajaran ini tidak merebak ke mana-mana," datuk memberikan cadangan.

"Ya, kita mesti menyedarkan mereka yang perbuatan itu memang bertentangan dengan agama," sahut Haji Taslim Singasari.

"Kita berjanji," kata datuk.

"Ya, saya berjanji," sahut Haji Taslim Singasari ambil berjabat tangan dengan datuk. Mereka bergoncang tangan, memperkuatkan tekad.

"Awak mesti ikut saya ke kampung laman saya minggu depan, saya memerlukan bantuan awak, sebelum ke tempat saya kita ke tempat lain dulu," tiba-tiba Haji Taslim Singasari bersuara sambil menarik telapak tangannya yang bercantum dengan telapak tangan datuk.

0 comments:

Related Posts with Thumbnails

Followers