Saya kira, tidak ada perlu datuk fikirkan. Sembahyang Subuh sudah ditunaikan. Mandi embun sudah dilakukan. Malah, kawasan rumah arwah Mahyuddin sudah kelilingi sebanyak tujuh kali. Empat penjuru kawasan rumah tersebut sudah ditanam dengan dahan pokok delima yang dipotong sepanjang enam inci.
"Tujuannya bukan apa-apa, cuma nak mengelakkan orang-orang yang tidak bertanggungjawab dari membuat perkara tak senonoh. Maklumlah semua orang tahu, arwah Mahyuddin bukan sebarang orang, mana tahu ada orang yang cuba menuju tempat tidurnya, minta itu minta ini, kerja syaitan dan maksiat begini cepat mempengaruhi fikiran orang-orang kita, lebih-lebih lagi kerja maksiat tu boleh mendatangkan wang ringgit.", datuk menjelaskan tentang perkara yang di bualnya pada saya.
Datuk terus duduk di batang kelapa buruk di sudut kanan halaman rumah. Saya terus memperhatikan beberapa ekor burung merak melompat dari dahan ke dahan di pohon mempelam.
"Datuk awak di mana?”
Saya dikejutkan oleh suara Dumba.
"Itu, datuk atas batang kelapa." Jari telunjuk saya menuding ke arah datuk.
"Tengok burung, di sini memang banyak burung”, anak angkat Mahyuddin mencelah, kemudian terus mengekori Dumba menuju ke tempat datuk.
Saya capai sepotong kayu lalu membaling ke arah burung yang hinggap di ranting. Saya ketawa melihat burung-burung itu berterbangan. Kemudian, saya berlari mendapatkan datuk. Saya lihat kelopak mata Dumba berair, begitu juga dengan kelopak mata anak angkat Mahyuddin. Datuk menggigit bibir, sesekali menggosok pangkal hidung dengan ibu jari. Di wajah datuk tergambar kesedihan.
"Muktamad, sebelum masuk waktu Zuhur kami berdua akan meninggalkan tempat ini”, ujar datuk dan sepasang matanya silih berganti merenung muka Dumba dan anak angkat Mahyuddin.
"Bagaimana kalau bertolak lepas Zuhur?”, Dumba mengajukan cadangan.
Mengikut petua dan langkah, hari ini mesti bertolak sebelum Zuhur baru terlepas dari bencana buruk, petua peninggalan nenek moyang kita tak rugi diikuti, ini merupakan warisan”, jawab datuk.
Dalam masa yang sama, saya sempat menjeling ke arah jam yang terlekat di tangan anak angkat Dumba. Jarum panjangnya menunjuk angka dua belas dan jarum pendeknya mengarah ke angka tujuh.
"Kalau sudah balik, bila pula nak datang ke sini lagi?”, anak angkat Mahyuddin mengeluarkan pertanyaan. Datuk tersenyum sambil merenung wajah Dumba.
"Kalau panjang umur dan diizinkan Allah yang Maha Kuasa, saya akan datang juga ke sini."
"Dengan kehendak Allah juga kita bertemu dan awak lerusaha mem betulkan kesilapan yang saya lakukan."
Dengan mendadak Dumba meningkah cakap datuk. Semua yang ada di situ terus ketawa. Bila ketawa berakhir, aya lihat lagi sekali datuk merenung bumi agak lama. BiIa kepalanya diluruskan, saya lihat matanya merah. Tahulah saya bahawa datuk menahan air matanya membasahi kulit pipinya.
"Memang tidak pernah terfikir dalam hidup ini yang saya akan berjumpa dengan orang-orang di sini, kemudian menetap di sini hampir dua minggu, semuanya terjadi atas kehendak Allah”, nada suara datuk tersekat-sekat.
Dumba terus menerpa pada datuk. Mereka berpeluk-pelukan sejenak. Bila Dumba melepaskan lingkaran tangannya dari tubuh, anak angkat Mahyuddin segera berjabat salam dengan datuk.
"Mari ke rumah saya untuk makan pagi?”, bisik anak angkat Mahyuddin.
"Terima kasih lain kali saja”,balas datuk sambil mengajak kami naik ke rumah arwah Mahyuddin. Semuanya tidak membantah. Bila berada dalam rumah, datuk mengarahkan anak angkat Mahyuddin mengarnbil beberapa helai kain pelikat, sehelai sejadah serta sekeping tikar mengkuang panjang dua belas. Barang-barang itu datuk suruh hantarkan kc masjid untuk digunakan oleh ramai yang berjemaah di situ. Datuk juga minta anak angkatnya menyelesaikan hutang-piutang Mahyuddin, sekiranya dia ada berhutang ketika hayatnya.
"Peti hitam dah tak ada tuk”, kata saya bila melihat tempat peti hitam itu kosong. Datuk terdiam sejenak, kemudian dia senyum.
"Kembali pada yang hak”, pendek datuk menjawab.
"Ada perca kain kuning tiga segi di tempat peti hitam tuk."
"Biarkan. Orang yang berhak memberitahu kita dia sudah mengambil haknya”
Selesai sahaja datuk berkata, perca kain itu melayang-layang macam ditiup angin, sedangkan angin tidak bertiup ketika itu. Perca kain itu bergerak menuju ke tingkap dan akhirnya hilang.
Apa yang saya lihat itu, dilihat juga oleh Dumba dan anak angkat Mahyuddin. Dan kehilangan peti hitam itu juga disedari oleh anak angkat Mahyuddin tetapi dia tidak kelihatan cemas.
"Ayah dah beritahu saya, katanya, peti hitam dan isinya akan hilang bila dia mati. Ayahnya juga berhasral unlllk memberikan isi peti hitam pada saya."
"Kau dapat isinya'?", celah datuk.
"Tak dapat. Sebenarnya, kalau tak dapat, kata ayah, saya tak cukup syarat. Tetapi ayah berjanji sebelum dia mati barang dalam peti hitam akan diberikan pada orang yang difikirkannya layak”, terang anak angkat Mahyuddin lagi.
Datuk tidak bertanya lebih lanjut lagi tentang perkara itu pada anak angkatnya Mahyuddin. Datuk mengajak kami keluar dari rumah dan duduk kembali di halaman. Saya sudah pun membimbit beg rotan empat segi. Di dalamnya termuat beberapa helai pakaian saya dan datuk. Semuanya sudah saya basuh semalam.
Mungkin dalam petua datuk, ketika matahari sudah berada di paras pucuk kelapa dara serta tiupan angin lembut dari arah selatan, adalah saat paling baik untuk memulakan perjalanan. Lagi sekali datuk berjabat salam dengan Dumba. Saya lihat Dumba tidak dapat menahan kesedihan.
"Awak banyak menolong saya dan menyedarkan saya”, kata Dumba.
"Bukan saya. Allah yang membuka hati awak. Saya cuma berusaha”, balas datuk sambil merangkum tangan.
Saya dan datuk pun mula mengatur langkah. Sampai dekat pokok macang (bacang) di liku jalan, dua orang lelaki muncul dengan pakaian yang agak kotor. Baju dan seluarnya terdapat kesan-kesan getah yang sudah keras. Mereka menahan datuk dan saya.
"Kenapa?", suara datuk lembut.
"Tolong kami."
"Tolong apa? Nak minta tolong toreh getah?”, tanya saya.
Sesungguhnya, saya kurang senang dengan kedatangan dua manusia itu. Mereka mengganggu perjalanan saya dan
datuk untuk segera pulang.
"Jangan biadap. Mana budi bahasa kamu sebagai Melayu?”, telapak tangan kanan datuk menekan pipi kanan saya. Marah sungguh dia dengan sikap saya itu. Datuk terus melayan kedua penoreh getah itu.
"Kami ni selesai menoreh kira-kira pukul tujuh pagi, sementara menanti getah berhenti menitik dalam mangkuk, kami pergi ke kubur Mahyuddin”, terang penoreh yang berbadan kurus.
Dari jauh saya nampak Dumba dan anak angkat Mahyuddin menuju ke arah saya dan datuk.
"Apa yang nak kamu cari di kuburnya?”, datuk jegilkan biji mata. Kedua lelaki itu tersengih. Mereka kelihatan serba salah.
"Apa yang kau orang nak cari di sana?", soal datuk lagi.
"Mahyuddin tu banyak ilmu dunia. Kami nak cari sesuatu darinya”, sahut lelaki yang berbadan kurus.
"Habis, dapat apa yang kamu cari?"
"Huh, kami jumpa harimau atas kuburnya."
"Apa yang kau orang dapat dari harimau tu?"
"Kami takut, lalu lari”, sahut lelaki yang bermata sipit.
Datuk menggigit bibir sambil merenung muka dua lelaki itu.
"Aku tahu, kau orang mahu meninjau. Kemudian kau orang nak menurun nombor ekor di kuburnya”, nada suara datuk meninggi. Kedua lelaki itu anggukkan kepala, mengakui apa yang datuk katakan itu. Ketika itu juga anak angkat Mahyuddin dan Dumba sampai. Datuk terus menceritakan apa yang berlaku.
"Biadab, tidak tahu menghormati perasaan orang lain”, tiba-tiba tercetus ungkapan dari mulut anak angkat Mahyuddin.
"Sabar”, pekik datuk lalu menangkap pergelangan tangan anak angkat Mahyuddin yang mahu melepaskan penumbuk ke muka salah seorang daripada lelaki itu. Badan anak angkat Mahyuddin kelihatan menggeletar menahan perasaan marah.
"Memang, dia orang dagang, tapi,aku anak angkatnya, apa kau orang berdua tidak memikirkan perasaan aku? Apa rasa hati kamu berdua kalau kubur saudara-mara kamu dipermainkan begitu,” anak angkat Mahyuddin terus meluahkan perasaannya.
Saya kira, kalau datuk tidak ada di situ, pasti berlaku pertengkaran.
“Sudahlah, lupakan semuanya itu”, datuk memujuk. Dan lelaki itu segera meminta maaf pada anak angkat Mahyuddin. Dada saya terasa lapang, bila anak angkat Mahyuddin bersedia memaafkan perbuatan kedua lelaki itu. Kemudian datuk menyuruh kedua lelaki itu pergi ke kebun getah untuk mengutip susu getah.
“Kami takut”, ujar kedua lelaki itu serentak.
“Takut apa?”, soal Dumba.
“Takut harimau”
“Pergilah, tak apa. Kalau kau orang tidak berniat serong .Tetapi kalau berhajat nak menurun nombor ekor di situ, batang tengkuk kau orang akan dipatahkan oleh harimau itu”, kata datuk.
Ternyata, kedua lelaki itu enggan beredar. Mereka tidak yakin dengan apa yang datuk katakan itu.
“Apa tunggu lagi, pergilah buat kerja”, Dumba bersuara. Kedua lelaki itu berpandangan sama sendiri, sesekali menoleh ke arah kebun getah, macam mengawasi sesuatu.
“Aku nak balik aje”, tiba-tiba yang berbadan kurus bersuara.
Biji matanya tertumpu ke wajah datuk. Kemudian, dia terus melangkah dengan diikuti oleh kawannya. Datuk segera memintas di hadapan mereka hingga langkah mereka mati.
“Ingat, jangan cuba menurun di kubur atau di pangkal pokok kerana mahu menikam nombor ekor. Itu perbuatan orang syirik. Carilah rezeki cara yang halal, nanti hidup di berkati Allah”, ujar datuk dengan nada suara yang rendah.
Kedua lelaki itu anggukkan kepala. Datuk langkah setapak ke depan sambil mendepangkan kedua belah tangannya.
“Ingat”, jerit datuk serentak dengan itu kedua belah tangannya singgah ke atas bahu lelaki itu. Saya menarik nafas panjang, bila saya lihat datuk menekan bahu kedua lelaki tersebut. Tekanan yang datuk lakukan itu, saya kira cukup kuat, kalau tidak masakan wajah kedua lelaki itu macam menahan kesakitan. Datuk jatuhkan kedua belah tangannya dari atas bahu kedua lelaki itu. Datuk terus membongkok lalu mengambil sekepal tanah.
"Kamu tahu, asal kita semua dari tanah, ambil tanah ini”, ujar datuk lalu menyerahkan kepalan tanah di tangannya kepada kedua lelaki itu. Macam kena pukau, kedua lelaki itu menahan tangan, menerima tanah yang diberikan oleh datuk.
"Bawa”, sahut kedua lelaki itu serentak.
Mereka renung muka saya sejenak, kemudian mengalihkan biji mata merenung wajah Dumba dan anak angkat Mahyuddin. Tanpa mengucapkan sesuatu, mereka melangkah menuju ke kebun getah meneruskan kerja masing-masing.
"Apa azimat yang diberi pada mereka?”, soal Dumba pada datuk.
"Azimat?"
"Azimat apa yang awak beri pada mereka”, ulang Dumba.
"Dalam hidup ni, tidak ada azimat. Aku cuma memberi sekepal tanah biasa yang tidak membawa apa-apa makna pada mereka. Tetapi, aku yakin mereka merasakan tanah itu sebagai tangkal yang boleh menghalau harimau."
"Jadi awak menipu mereka?", sanggah anak angkat Mahyuddin sambil tersenyum sinis.
Datuk menggigit bibirnya sambil mata merenung pada pohon getah yang berbaris di hadapannya.
"Aku tidak menipu, apa yang aku lakukan adalah petua orang tua-tua. Manusia yang sedang takut, kalau kita sergah dengan sekuat hati akan jadi berani. Lebih-lebih lagi selepas disergah, kita berikan sesuatu yang kita kirakan boleh memberi kepercayaan atau semangat pada mereka”, datuk membocorkan rahsianya.
Menurut datuk, ketika menyerahkan benda-benda itu mesti cepat dilakukan. Jangan beri kesempatan pada orang yang menerimanya bertanya sesuatu kepada orang yang memberi. Bila orang itu sudah bertanya, pasti menimbulkan keraguan dalam dirinya. Bila sudah ada keraguan dalam dirinya, semangatnya tidak akan padu lagi dan boleh menimbulkan rasa waswas.
Terkejut anak angkat Mahyuddin dan Dumba mendengar penjelasan itu.
"Sebab itulah, orang-orang Melayu dulu, kalau memilih panglima perang, terdiri dari orang yang suara garang. Berbadan tegap dan pintar, kerana orang-orang seperti itu boleh memberi semangat pada anak buahnya. Dari itu lah timbulnya tangkal dan azimat di kalangan orang-orang kita yang kononnya boleh membuat seseorang itu kebal”, sambung datuk lagi.
Saya tersenyum. Dumba saya lihat gelengkan kepala.
"Tetapi, semuanya itu ada sesuatu yang sengaja awak tak beritahu pada kami”, anak angkat Mahyuddin mula mencungkil rahsia diri datuk.
"Tak ada apa-apa. Mana ada azimat dalam Islam. Para sahabat nabi berjuang menentang musuh tidak pakai azimat tetapi mereka berbekalkan semangat dan keyakinan. Mereka berjuang penuh semangat untuk menegakkan Islam. Mereka yakin, mereka tidak akan mati kalau tidak diizinkan Allah yang Maha Besar”, kata-kata yang datuk ucapkan itu membuat anak angkat Mahyuddin dan Dumba tidak mengajukan sebarang pertanyaan lagi.
"Mari”, datuk menarik tangan saya.
"Ke mana tuk'?"
"Hai, baliklah, ke mana lagi?"
Saya pun melangkah menuju ke jalan raya. Dumba dan Mahyuddin terus mengiringi kami. Lebih kurang sepuluh minit berjalan, kami pun sampai ke bibir jalan raya. Berdiri di situ menunggu bas yang mahu pergi ke Tanjung Malim.
Matahari terus bersinar. Bas yang dinanti belum juga tiba. Saya sudah tidak sanggup berdiri dan terus duduk di atas seketul batu.
"Bas”, kata Dumba. Saya segera melompat untuk menaiki bas. Bas pun berhenti, dan saya melangkah ke dalam perut bas. Datuk masih lagi berdiri di tepi jalan. Perbuatannya itu kurang disenangi oleh penjual tiket bas yang berbangsa Cina. Penjual tiket terus memukul alat penekan lubang tiket ke besi bas, memberitahu datuk supaya segera naik.
"Hai orang tua cepatlah. Ini bas bukan sendiri punya”, sergah penjual tiket bas. Pemandu bas yang berbadan tegap membunyikan hon bas.
"Hei cepatlah”, pekik pemandu bas yang berbangsa India itu, sambil memaki-maki datuk. Saya mula terasa takut dan terus duduk di bangku. Tidak ada penumpang di dalam bas.
"Sekejap Encik”, kata datuk.
"Apa lu ingat ini bas lu punya ke?”, sergah pemandu bas dengan wajah yang garang. Datuk tersenyum padanya sambil mengangkat tangan tanda minta maaf. Rupanya, sikap baik yang datuk ditunjukkan itu menambahkan rasa marah pada penjual tiket bas.
"Eh, bodoh naiklah”, sergah penjual tiket.
"Encik, saya tahu saya salah, tapi cakaplah baik-baik sikit”, balas datuk.
"Apa lu ingat lu besar”, jawab penjual tiket.
"Saya tak besar, tapi Tuhan lagi besar dari semua tau”, suara datuk mula meninggi.
Dinding bas terus ditamparnya, serentak dengan itu enjin bas terus mati. Saya turun dari bas. Berdiri dekat datuk yang buat tidak tahu dengan apa yang berlaku. Muka pemandu bas dan penjual tiket mula dibasahi peluh dalam sinar panas mula terik.
"Satu perkara yang mahu aku ingatkan pada kamu berdua, jangan cemas bila melihat harimau berkeliaran di halaman rumah arwah Mahyuddin selama tiga petang berturut-turut. Lepas tiga hari harimau itu akan hilang. Tolong perhatikan kubur Mahyuddin jangan sampai dikeramatkan oleh orang-orang tertentu”, datuk meninggalkan pesan pada Dumba dan anak angkat Mahyuddin. Mereka bersalaman dan berpeluk-pelukan.
Datuk pijak tangga bas, begitu juga dengan saya. Kami duduk di bangku belakang pemandu bas.
"Apa pasal tak jalan?", tanya datuk pada pemandu bas yang sedang terbongkok-bongkok dengan stereng bas. Pemandu bas segera merenung muka datuk dengan wajah yang masam. Dia menggigit bibir.
"Saya panas, jalanlah apa tunggu lagi”, datuk merungut dan rungutan itu didengar oleh penjual tiket yang berdiri dekat datuk.
Dia pun menghempaskan papan tiket atas bangku, dan memperlihatkan rasa marahnya yang amat sangat pada datuk.
Kalau datuk menegur atau bersuara, pasti dia bersedia melakukan sesuatu. Datuk bangun dan menepuk bahu penjual tiket.
"Saya tolong awak hidupkan enjin bas”, ujar datuk. Penjual tiket dan pemandu bas menjuihkan bibir ke depan sambil merenung sinis pada datuk.
"Sudahlah, lu apa tahu”, ejek pemandu bas.
"Dengan izin Allah, saya boleh menolong awak”, balas datuk lalu memukul kepala gear bas yang tertonjol di situ. Sebaik sahaja datuk melakukannya, enjin bas segera hidup. Pemandu bas terkejut dan terus mematikan suis bas, kemudian menghidupkan kembali. Ternyata enjin bas berjalan dengan baik.
Tanpa mengucapkan sesuatu, pemandu bas duduk kembali di tempatnya lalu menekan minyak dan menolak gear satu, bas pun meluncur dengan tenang. Saya dan datuk melambaikan tangan pada anak angkat Mahyuddin dan Dumba. Saya terasa ada sesuatu yang aneh berlaku dalam bas. Penjual tiket tidak meminta wang pada datuk walaupun bas itu sudah berjalan hampir tiga batu. Sampai di satu selekoh bas berhenti kerana mengambil orang. Ketika orang itu naik, datuk segera bangun.
"Saya turun di sini, cucu saya saja yang naik bas sampai ke Tanjung Malim. Ini tambangnya”, datuk menghulurkan wang pada penjual tiket. Dalam keadaan serba salah penjual tiket mengambil wang dari tangan datuk, tetapi, wang itu diserahkan pada saya kembali tanpa pengetahuan datuk. Bas terus berjalan, datuk melambaikan tangan pada saya.
"Apa pasal tak ambil tambang?", tanya saya pada penjual tiket.
"Tak apa, lu duduk. Kalau ada inspektor tiket datang, saya boleh cakap."
"Nanti datuk saya marah sama saya."
"Dia mana tahu, dia sudah turun."
"Betul, awak cakap”, balas saya. Penjual tiket itu terus ketawa. Bas berhenti lagi mengambil penumpang. Saya perhatikan hampir separuh bangku dalam bas sudah dipenuhi dengan penumpang. Dan bas kian kerap berhenti lagi mengambil penumpang. Tekak saya mula terasa loya kerana tidak tahan dengan bau minyak diesel. Bagi menghilangkan rasa loya itu saya tekan perut dengan tangan. Akhirnya, saya terlelap. Bila saya terjaga, bas sudah berhenti di perhentian Tanjung Malim. Dua tiga kali saya gosok mata. Saya biarkan penumpang-penumpang lain turun dulu. Biarlah saya turun kemudian. Pemandu dan penjual tiket masih berdiri di tempat masing-masing. Semua penumpang sudah turun. Dada saya mula berdebar. Saya renung wajah penjual tiket.
"Turunlah apa tunggu lagi?", katanya pada saya.
"Tunggu di luarlah. Saya ingat dia tumpang lori, awak tunggu di sana”, ujar penjual tiket sambiI menuding jari telunjuk ke sebuah gerai menjual buah-buahan. Saya terdiam, fikiran saya jadi kelam-kabut. Saya salahkan diri saya sendiri, sepatutnya saya bertanya datuk, ketika dia turun dari bas tadi. Aneh, semuanya tidak terfikir oleh saya ketika itu. Lagi sekali saya menarik nafas panjang. Kali ini pandangan saya tertumpu ke wajah pemandu bas.
"Lu punya datuk bodoh punya orang. Sudah naik bas apa pasal mahu turun?”, pemandu bas menyatakan rasa kesalnya. Tiba-tiba wajah pemandu bas jadi pucat, mulutnya terlopong. Matanya tajam merenung ke bahagian belakang bas. Saya segera menoleh, saya juga terkejut besar. Dua tiga kali saya gosokkan mata bagi memastikan apakah yang saya lihat itu satu kenyataan atau khayalan saya saja.
“Tuk”, kata saya.
"Ya, ini memang datuk kau Tamar, kau tidak berkhayal kau menghadapi kenyataan”, suara datuk parau. Saya segera menerkam ke arahnya lantas menjabat tangannya. Datuk terus menghampiri pemandu dan penjual tiket.
"Eh, orang tua lu manusia ke hantu?'', tanya penjual tiket penuh rasa curiga. Datuk tersenyum lalu menepuk bahu penjual tiket.
"Saya manusia serupa macam awak”, kata datuk.
"Tadi, awak turun macam mana awak boleh duduk di belakang?"
"Betul, saya turun. Saya jalan kaki ke sini. Masa bas berhenti di sini, saya naik tapi awak tak nampak”, datuk memberi penjelasan pada pemandu bas yang menyoal. Saya gosok batang hidung dua tiga kali. Saya tidak tahu kenapa datuk melakukan semuanya itu.
"Saya buat macam ni, supaya lain kali awak jangan cakap besar dan sombong. Saya mahu awak belajar menghormati orang tua-tua, tidak kira apa bangsa pun, kerana awak juga satu hari akan menjadi tua”, datuk memulangkan paku buah keras pada pemandu dan penjual tiket. Saya lihat pemandu dan penjual tiket terdiam. Mereka tarik nafas panjang penuh rasa takjub. Saya dan datuk turun dari bas. Tiba-tiba pemandu dan penjual tiket meluru ke arah datuk. Kedua belah tangan datuk mereka sambar untuk dicium, kemudian mereka terus membongkok macam mahu menyembah datuk.
"Jangan”, kata datuk sambil menarik tangan kiri dan kanannya. Kemudian datuk menyuruh mereka menegakkan badan. Mereka patuh dengan cakap datuk.
"Dalam ajaran Islam, tidak boleh menyembah sesama manusia kerana manusia itu adalah sama di sisi Allah, baik dia hitam atau pun putih”, datuk terus menepuk-nepuk bahu kedua lelaki itu.
"Tapi, awak lain macam punya orang?"
"Lain macam mana?"
"Awak boleh mati dan hidupkan enjin kereta, kemudian awak boleh berjalan laju macam bas."
"Semuanya itu cara kebetulan saja”, kata datuk tersekat-sekat. Orang ramai mula menghurung datuk. Pemandu bas itu terus juga mengajukan berbagai-bagai pertanyaan. Semua pertanyaan itu mempunyai unsur-unsur memuja dan mengagumi diri datuk. Satu perbuatan yang tidak disenangi oleh datuk.
"Mari”, datuk terus menarik tangan saya. Kami menyusup di celah-celah orang ramai yang mengelilingi pemandu dan penjual tiket.
"Tengok, tadi orang tua tu ada di sini sekarang dia sudah hilang. Dia banyak ganjil punya orang, saya ingat dia hantu”, suara pemandu bas meninggi.
Orang ramai yang berada di perhentian bas jadi kelam-kabut lalu menuju ke tempat pemandu dan penjual tiket. Tidak lama kemudian suara pemandu bas itu kian menurun dan hilang, digantikan oleh suara ketawa dari orang ramai.
Datuk dan saya hanya melihat peristiwa yang melucukan dari jarak dekat, kira-kira lima atau sepuluh kaki saja jaraknya dari orang ramai yang mengelilingi pemandu bas. Anehnya, setiap orang yang lalu di hadapan kami bagaikan tidak nampak dengan batang tubuh saya dan datuk. Seolah-olah kami tidak wujud di situ. Mereka berulang-alik dan kami terpaksa mengelakkan diri dari dilanggar.
"Sebenarnya, aku mahu bercerita panjang pada mereka. Aku mahu menjelaskan kedudukan yang sebenar, bila mereka buat bising aku terpaksa melarikan diri”, keluh datuk penuh rasa kesal.
"Bagaimana bila orang sudah tidak ada, kita jumpa mereka tuk?"
"Tak payahlah, lain kali saja kalau ada umur aku jumpa mereka."
"Tapi, mereka jadi serba salah tuk, orang menuduh mereka gila."
Datuk memicit pangkal dagunya. Orang ramai yang menghurung pemandu dan penjual tiket mula berkurangan. Dan setiap orang yang meninggalkan kawasan itu menuduh mereka mabuk todi. Akhirnya pemandu dan penjual tiket mula sedar yang perbuatan mereka, adalah perbualan sia-sia. Mereka masuk ke dalam perut bas kembali, kerana bangku-bangku kosong dalam bas sudah dipenuhi dengan para penumpang.
"Syukurlah, keadaan sudah tenang”, kata datuk.
Tanpa banyak soal saya terus mengekori datuk menuju ke jalan besar. Ketika kami berjalan di kaki lima bangunan di situ, sebuah kereta Morris Minor berwarna hitam berhenti. Seorang lelaki keluar dari kereta tersebut dan meluru ke arah datuk.
"Kenal saya?", kala lelaki itu.
"Rasanya, saya kenal."
"Bukan rasa, memang dah kenal. Bukankah awak yang menolong anak saya dulu."
"Oh, bagaimana dengan anak awak?"
"Sudah jadi manusia. Awak nak ke mana ni?"
"Saya sebenarnya nak ke Ipoh."
"Begini”, lelaki itu tidak meneruskan perkataannya. Ada semacam keraguan bermain dalam kepalanya. Dia nampak keberatan untuk menyatakan sesuatu pada datuk.
"Terangkan pada saya”, datuk mendesak. Lelaki itu mempamerkan senyum. Dengan nada suara yang lemah dia berkala:
"Saya tak dapat nak menolong awak. Saya tak dapat nak menghantar awak hingga ke Ipoh."
"Itu yang awak susahkan, saya tak minta awak berbuat begitu."
"Saya tahu, awak sudah menolong saya. Alangkah baiknya dalam saat begini saya boleh menolong awak."
"Jangan begitu. Setiap pertolongan yang saya berikan tidak minta dibalas”, suara datuk cukup tenang. Lelaki itu tunduk merenung simen kaki lima.
"Saya mahu ke Sungkai. Bagaimana kalau awak berdua menumpang saya sampai ke Sungkai?"
"Boleh juga”, balas datuk.
Tanpa membuang masa, saya dan datuk masuk ke perut kereta. Sepanjang perjalanan itu, lelaki tersebut tidak putus-putus melahirkan rasa kesalnya kerana tidak dapat menghantar datuk hingga ke Ipoh.
"Kalau saya tak ada hal mustahak di Sungkai, saya hantar awak hingga ke Ipoh. Jasa awak menolong anak saya dulu, belum dapat saya balas”, lelaki itu terus mengeluh sambil memaut stereng kereta erat-erat.
Saya yang duduk di bahagian belakang kereta, terus melihat pokok-pokok dan bukit-bukau yang tertegun di kiri kanan jalan. Satu pemandangan yang amat mengasyikkan buat saya. Seronok benar saya melihat daun-daun pokok yang menghijau itu.
"Awak tak usah sebut-sebut lagi perkahwinan itu. Bersyukurlah pada Allah kerana anak awak sudah baik. Awak tak perlu memikirkan untuk membalas jasa saya”, cara mendadak datuk bersuara.
0 comments:
Post a Comment