Saya tergamam. Memang tidak saya duga datuk akan mengemukakan pertanyaan-pertanyaan sedemikian. Rasa cemas masih menguasai rongga dada saya.
"Kamu jumpa benda-benda pelik?"
Datuk terus sergah, bila melihat saya dalam keadaan tidak tentu arah. Saya segera menoleh ke kiri dan ke kanan.
"Cakap Tamar!" Gertak datuk.
"Ya tuk, ya saya lihat," bertalu-talu saya anggukkan kepala macam burung belatuk tebuk lubang.
"Tak mengapa," nada suara datuk merendah. Hati saya terasa damai, "perkara semacam tu memang tidak boleh dielakkan," sambung datuk. Saya merenung ke arah Pak Imam yang sudah pun menutup Al-Quran.
Pak Imam segera alihkan pandangan ke arah datuk. Bunyi buah durian luruh terus mengasak lubang telinga saya. Angin yang bertiup terasa cukup dingin sekali bila menyentuh kulit muka.
"Sudah, lupakan semua tu," datuk tatap wajah saya.
"Ya, lupakan," sahut Pak Imam sambil menghulurkan Al-Quran kepada saya.
"Kau ambil dan kau baca," datuk keluarkan arahan setelah melihat saya agak ragu-ragu mahu mengambil Quran yang dihulurkan oleh Pak Imam. Saya tidak boleh mengelak lagi. Sila pun saya kemaskan. Naskah Al-Quran sudah pun berada di tangan. Dan papan rehal segera datuk letakkan di hujung lutut saya.
"Kau bacalah Tamar, saya nak tidur sekejap," ujar Pak Imam. Segera saya renung ke arah datuk. Dia anggukkan kepala.
“Orang yang membaca Al-Quran dijauhi syaitan,” tutur datuk lembut bersama senyuman. Bila datuk berkata demikian, ertinya dia menyuruh saya mematuhi permintaan Pak Imam.
“Mulakan, tunggu apa lagi,” terdengar suara Mat Prai dari halaman. Entah berapa kali dia berlegar-legar di halaman pondok macam kucing jantan ketagih kucing betina. Serentak datuk dan Pak Imam merenung ke arah Mat Prai.
“Cuba kau duduk diam,” datuk luahkan kata-kata untuk Mat Prai.
“Kalau duduk diam, badan terasa sejuk. Bila berjalan macam ni terasa panas,” dalih Mat Prai. Pak Imam menarik nafas panjang dan datuk senyum sinis.
Bila saya memulakan bacaan Al-Quran (sebenarnya menyambung pembacaan Pak Imam), saya lihat Pak Imam segera rebahkan badan ke lantai. Datuk terus berdiri untuk memulakan sembahyang sunat malam.
Selesai saja datuk menyempurnakan sembahyang sunat malam, dia terus sandarkan belakang ke tiang pondok. Saya sudah faham, bila datuk berbuat demikian menandakan yang dirinya amat mengantuk. Beberapa saat kemudian, datuk terus berdengkur. Saya terus membaca Quran dengan tenang. Buah durian yang cukup masak terus jatuh ke bumi.
Mat Prai tidak mahu naik ke pondok. Masih berlegar-legar di halaman pondok. Setiap kali dia terdengar bunyi buah durian gugur, keadaannya menjadi tidak tenang dan tenteram.
“Hummmmm…”
Saya terkejut hingga Quran di depan tertepis ke kiri. Mat Prai melompat empat anak tangga dan terus duduk bersila di depan satya. Dengan rasa cemas dan hairan saya ambil Quran yang tertangkup di atas lantai.
“Kenapa?” Tanya saya.
Mat Prai tidak menjawab, malah bergerak menuju ke arah datuk. Bahu kanan datuk digoyangkan beberapa kali. Datuk membuka kelopak mata.
“Kamu minta kebenaran dari aku supaya Tamar menemani kamu mengutip buah durian,” itu yang datuk luahkan dari mulutnya. Pak Imam yang tidurnya terganggu terus menggosok-gosok mata. Renung kiri, renung kanan. Akhirnya menatap muka Mat Prai.
“Ya, memang itulah niat hati saya Ayah Alang”.
“Tak boleh kutip durian yang gugur,” tiba-tiba Pak Imam bersuara. Saya terkejut. Apa hak Pak Imam melarang Mat Prai mengutip buah durian kepunyaannya. Barangkali Pak Imam juga tidak jujur. Mungkin dia ada maksud tertentu.
“Kenapa tak boleh Pak Imam?” Soal saya.
“Yang jatuh tu bukan buah durian tapi …” Pak Imam tidak meneruskan kata-katanya. Dia merenung ke arah datuk. Saya lihat datuk anggukkan kepala. Bagaikan faham dengan renungan Pak Imam.
Mat Prai terdiam. Saya pula menanti komentar yang bakal diluahkan oleh datuk. Bila sudah demikian, suasana dalam pondok terasa sepi tetapi deru angin malam tetap kedengaran menyentuh dedaun dari pepokok yang tumbuh subur sekeliling pondok. Bunyi buah durian yang gugur kian galak, bertalu-talu bagaikan pohonnya digoncang orang.
“Betul kata Pak Imam tu,” datuk bersuara, “ dia ada pengalaman dalam hal ini,” datuk menguatkan hujahnya sambil merenung ke arah Mat Prai yang di dakap kehampaan. Pak Imam alihkan pandangan ke luar, melihat kegelapan malam yang pekat. Dia segera menarik nafas panjang.
“Pak Imam ni, dari kecil hingga tua berkubang dalam dusun durian. Dia dah masak dengan pokok durian. Begitu juga dengan buah dan kulitnya, dari bau durian dia dah dapat meneka sama ada buah durian itu baik atau sebaliknya,” sambung datuk lagi.
“Jangan begitu memuji kita kawan,” Pak Imam menangkis dan datuk terus ketawa kecil.
“Tapi, makin dekat waktu subuh, makin kerap buah durian yang gugur, bukan begitu Pak Imam,” setelah ketawa berakhir, datuk segera menghujani Pak Imam dengan pertanyaan. Pak Imam tidak menjawab, seiring senyum dia anggukkan kepala.
RESAH
Saya lihat Mat Prai terus resah. Mungkin dalam kepalanya dia menghitung betapa ruginya kalau buah-buah durian yang gugur itu tidak dikumpulkan. Mungkin juga dia bimbang buah duriannya dicuri orang.
“Hisss…,” Mat Prai terus bangun. Semua biji mata tertumpu ke arahnya.
“Kalau kita dengar tu bukan durian, agaknya buah hantu yang hatuh,” tokok Mat Prai meluahkan gelodak hatinya. Datuk senyum dan Pak Imam urut pangkal dagunya dua tiga kali. Mat Prai duduk kembali.
Bunyi buah durian gugur tetap berterusan. Muka Mat Prai terus berkerut.
“Dalam hidup ini, kalau tamak selalu rugi dan mudah dipermainkan oleh nafsu sendiri. Jadi kamu tak usahlah tamak, Pak Imam tatap wajah Mat Prai setelah meluahkan sebuah sindiran.
“Saya Cuma nak tahu buah apa yang jatuh tu, Pak Imam,” Mat Prai berdalih menutup kelemahan diri sendiri. Pak Imam tunduk merenung lantai pondok.
Deru angin malam terus mengasak lubang teinga. Kedinginan bagai tidak puas-puas mengigit kulit tubuh. Penuh debar saya menantikan kata-kata yang bakal diucapkan oleh Pak Imam untuk Mat Prai. Saat yang saya nantikan itu pun tiba.
“Kalau kamu nak tahu, buah durian tidak jatuh berturut-turut,” Pak Imam terus tatap batang hidung Mat Prai. “Ada jarak atau perbezaan masanya terutama buah yang sederhana. Nak tahu masa jaraknya tu, kau kena belajar dari orang yang berpenglaman dalam hal ini,” sambung Pak Imam lagi.
“Betul ke begitu Pak Imam?” Tanya datuk lagi.
“Ya,” Pak Imam mengangguk.
“Dari mana Pak Imam belajar?” Soal datuk lagi.
Saya lihat Pak Imam termenung sejenak. Matanya merenung ke luar. Macam ada sesuatu yang dicarinya di kedinginan malam yang mengejar siang.
“Belajar dari pengalaman sendiri. Kita dengar bunyi buah durian gugur lebih dari seratus biji. Padahal buah durian yang betul-betul jatuh tak sebanyak itu. Kalau tak percaya pergi tengok sendiri,” tutur Pak Imam bagaikan mencabar Mat Prai.
“Betul ke ni, Pak Imam?” Datuk memohon kepastian.
“Dari pengalaman lalu saya, begitulah,” penuh keyakinan Pak Imam memberikan kata putus.
Mat Prai yang sejak tadi membisu, segera meluruskan kaki kanannya. Saya telan air liur sambil menarik nafas dalam-dalam.
“Kalau macam tu..” Mat Prai tidak meneruskan kata-katanya. Matanya menjadi liar, renung ke kiri dan ke kanan. Macam orang ketakutan. Dia benar-benar berada dalam rasa cemas.
“Yang kita dengar tu, tak ada apa-apa. Semuanya mainan makhluk halus untuk memperdaya kita, bukan begitu Pak Imam?” Secara mendadak datuk bersuara. Ternyata kata-kata itu dipersetujui oleh Pak Imam. Buktinya, Imam tua itu terus anggukkan kepala.
“Ahhh..seram”.
Suara Mat Prai meninggi, dan semua yang berada di dalam pondok terkejut besar. Mat Prai meluru ke arah datuk macam dikejar sesuatu.
“Saya mahu duduk dekat Ayah Alang,” Mat Prai mendekatkan tubunya dengan tubuh datuk.
“Kanapa kamu ni, Mat?”
“Saya terasa seram sejuk, bulu roma saya tegak macam ada sesuatu yang duduk dekat saya”.
“Hissss itu perasaan kamu aje, Mat”.
“Ya, saya tak bohong Ayah Alang.”
“Duduk diam-dian di sini, jangan fikirkan buah durian,” kata datuk lalu disambut dengan senyum memanjang oleh Pak Imam. Saya tidak memberikan sebarang komentar. Sesungguhnya, saya amat simpati dengan Mat Prai.
AYAM
Malam kian ke hujung, kokokan ayam mula mengendur. Dan pintu sudah pun terkuak. Di dada langit sebelah timur ada biasan cahaya cerah kemerahan. Sayup-sayup terdengar azan subuh dilaungkan, tepegun mengikuti irama dan alunan azan yang penuh syahdu.
Saya terasa diri ini amat kecil dan kagum dengan kebesaran Allah yang menciptakan langit dan bumi, menjadikan siang dan malam serta mencipta penghuni alam ini. Saya tersedu dalam kebesaran Allah itu.
“Kau menangis Tamar?”
Pak Imam terus menepuk bahu kanan saya. Dada terasa sebak mahu menjawab pertanyaannya itu. Saya berusaha dengan sedaya upaya mengawal emosi hingga perasaan saya jadi tenang.
“Saya terasa diri ini terlalu kecil, terlalu banyak nikmat yang Allah berikan pada saya tetapi, adakalanya saya terlupa dengan nikmat itu,” tutur saya dengan nada suara tertahan-tahan.
“Syukurlah kamu sudah menyedarinya, sesungguhnya apa yang ada pada kita ini Tamar adalah hak Allah. Bila sampai masanya nanti hak itu akan diambil-NYa. Jika hak yang diberikan tidak digunakan untuk kebaikan bagi mencari bekal untuk hari akhirat, alangkah ruginya hidup ini, Tamar,” saya telan kata-kata yang dituturkan oleh Pak Imam dengan penuh kesedaran.
“Bangun, bangun, tadi takut semacam, bila dah tidur semuanya hilang. Kamu ni mengarut betul Mat,” saya segera toleh ke arah datuk yang menggoncang-goncang tubuh Mat Prai.
“Kita nak ke mana, Ayah Alang?” Mat Prai segera gosok kelopak mata dan menguap.
“Tak ke mana-mana. Pergi ambil air sembahyang, kita nak sembahyang jemaah di sini,” lanjut datuk dengan tenang. Mat Prai renung ke arah saya.
“Kau tak ambil air sembahyang Tamar?” Itu yang diucapkan oleh Mat Prai bila biji matanya bertemu dengan biji mata saya.
“Air sembahyang aku tak batal lagi,” balas saya.
“Saya takut nak pergi ke telaga seorang diri.”
“Ikut saya,” Pak Imam tawarkan diri.
“Saya juga nak ke telaga,” celah datuk lalu bangun.
“Jadi, saya tinggal seorang di pondok ni,” saya luahkan rasa bimbang, bagaikan ada kuasa tertentu memaksa saya berdiri.
“Tak usah banyak cerita, kau tunggu aja di sini. Tak ada apa yang nak ganggu kamu,” datuk memberikan isyarat tangan menyuruh saya duduk. Tanpa banyak cakap, saya terus duduk.
Mat Prai, Pak Imam dan datuk melangkah selari menuju ke perigi. Saya hanya memandang saja. Tidak berani membuat bantahan atau rayuan. Oleh kerana Mat Prai menjadi kepala jalan, lampu minyak tanah berada padanya. Cahaya lampu minyak tanah itu dapat saya lihat. Sekejap cahayanya terang, sekejap malap. Quran sudah lama saya letakkan di dalam beg datuk. Sementara menantikan kepulangan mereka dari perigi, saya terus membaca beberapa ayat-ayat pilihan Quran.
“Kamu seorang sahaja?”
Suhaimi Keraba muncul dari sebelah kanan saya. Dia membawa buku tebal. Kali ini pakaian yang menutup tubuhnya amat berbeza sekali. Dia memakai baju labuh macam pakaian orang Arab. Ada serban terletak atas kepala dan ada kain selendang membalut sebahagian dari dadanya. Saya kira dia berbuat demikian untuk menghindari rasa sejuk di dadanya.
“Kamu seorang aje?”
Suhaimi Keraba ulangi pertanyaan yang tidak saya jawab. Kelopak mata kirinya nampak bergerak sekali dua. Saya kira dia tahu yang saya terkejut atas kedatangannya di subuh yang dingin. Dia merasa hujung serbannya jatuh atas bahu.
“Ya, saya seorang saja,” balas saya tenang.
“Dah sambahyang Subuh?”
“Belum lagi.”
“Katakan beriman dan taat pada agama, kenapa dah masuk waktu sembahyang tak sembahyang lagi,” dalam wajah yang manis, Suhaimi Keraba menyindir saya.
KOKOK
Sesekali terdengar kokok ayam. Kabus subuh mula bangkit dan menguasai ruang udara dusun durian. Saya terus menggeletar bila sepasang mata Suhaimi Keraba bertemu dengan mata saya. Pondok terasa bergegar dan saya seperti terdengar dentuman yang kuat, membawa seluruh fikiran dan ingatan saya berada di dunia lain. Dalam samar-samar itu saya terpandangkan Suhaimi Keraba menghulurkan kitab yang dibawanya kepada saya. Saya tidak mahu menjamah kitab yang dihulurkannya. Saya bagaikan terlihat api dipermukaan kulit kitab tersebut.
“Ambillah, kitab ini akan mebawa kamu kepada kesejahteraan dan kesempurnaan hidup,” tuturnya.
“Tidak, tidak.”
“Jangan begitu, ambillah,” Suhaimi Keraba mendesak.
Dia sengaja mendekatkan kulit kirab itu ke telapak tangan saya. Dengan sedaya upaya, saya terus berusaha agar tidak tersentuh. Dalam saat-saat cemas itu, saya terus membaca beberapa potong ayat Al-Quran. Di samping itu saya berusaha membuka bunga silat dengan harapan salah satu dari buah silat yang saya lepaskan akan terkena pergelangan tangan Suhaimi Keraba.
“Aduh,” jerit Suhaimi Keraba.
Usaha saya tidak menjadi sia-sia. Buah kelima dari silat harimau tepat pada sasarannya. Kitab di tangan Suhaimi Keraba terdampar atas lantai. Anehnya Suhaimi Keraba tidak memperlihatkan kemarahan. Dia masih mahu menghulurkan persahabatan. Suhaima Keraba merenung ke arah perigi.
“Mereka dah datang, biarlah aku balik dulu,” dalam senyum Suhaimi Keraba meluahkan kata-kata. Hati remaja saya terus digelodak kemarahan. Suhaimi Keraba mempermainkan saya.
“Kamu tahu, aku tak sendirian di sini?”
“Ya.”
“Kalau begitu, kenapa kau bertanya?”
“Bukankah kepuraan itu memang amalan hidup aku,” lanjut Suhaimi Keraba. Dia anggukkan kepala lalu melangkah meninggalkan saya sendirian.
Atas permintaan Pak Imam, datuk diminta menjadi imam solat Subuh. Tidak menjadi keberatan untuk datuk melaksanakannya. Setelah selesai bersolat dan berwirid, datuk terus mandi embun serta melakukan silat untuk menegangkan urat sendi. Pak Imam hanya melakukan senaman tradisional. Mat Prai terus memikul raga besar untuk mengutip buah durian.
“Ke mari kejap kawan.”
Pak Imam bersuara lantang dari atas pondok. Datuk tidak meneruskan silatnya. Dan saya berhenti dari melihat buah-buahan di hujung dahan.
“Ikut aku Tamar.”
“Baik, tuk.”
Tidak sampai beberapa detik, saya dan datuk sudah pun berada di dalam pondok. Berdiri dekat Pak Imam. Mata kami tertumpu ke arah buku tebal atas lantai. Saya tahu itulah buku atau kitab yang Suhaimi Keraba mahu berikan kepada saya. Anehnya buku atau kitab itu tidak kelihatan tadi. Kenapa baru sekarang kitab itu menjelma?
“Siapa punya? Agaknya kawan yang punya,” Pak Imam renung ke arah datuk. Cepat-cepat datuk gelengkan kepala.
“Agaknya cucu kawan saya punya.”
“Saya tahu, cucu saya tak baca buku macam tu. Tulisannya bercampur-campur, sekali pandang macam tulisan Siam dan Urdhu. Jika tengok lama-lama tak ubah macam tulisan sastera Hindu kuno, bahasa Sanskrit,” jelas datuk. Biji matanya tidak berkedip merenung kulit buku tersebut.
Saya menarik nafas dalam-dalam. Saya berperang dengan perasaan saya sendiri. Wajarkah saya ceritakan apa yang terjadi kepada datuk dan Pak Imam? Apa baik dan buruknya kalau perkara itu saya rahsiakan daripada mereka. Dalam saat saya tidak tahu membuat keputusan itu, bagaikan pancaran kilat sekujur tubuh Suhaimi Keraba dalam ruang mata saya.
“Kau anak yang baik, kalau kau dengar cakap aku, kau bahagia dan senang di dunia,” tutur Suhaimi Keraba.
“Aku tidak percaya dengan kamu,” suara batin saya menolak tetapi Suhaimi Keraba memberikan jawapan.
“Dengarlah sayang, kitab itu untuk kamu. Jika kamu ceritakan pada orang lain, apa yang kamu alami padahnya kamu tanggung sendiri,” dalam senyum Suhaimi Keraba memujuk di samping menyelitkan sebuah ugutan.
“Tidak,” terkeluar suara dari rongga dada saya. Pak Imam dan datuk berpandangan. Mereka hairan, bagaimana saya termenung boleh berkata begitu. Pak Imam terus tepuk belakang saya. Saya tersentak, bagaikan terkejut dari itdur.
Dari telinga sebelah kanan, saya terdengar datuk membaca surah Al-Fatihah sebanyak dua puluh kali, kemudian datuk selawat nabi sebanyak tiga kali beturur-turut. Datuk hembuskan muka saya dengan nafasnya melalui lubang hidung. Buat beberapa saat, saya terasa fikiran saya melayang-layang tidak menentu. Dalam keadaan yang samar-samar itu saya lihat kitab di atas lantai. Kulitnya mula terbakar dan menjadi bara.
“Buku tu terbakar,” kata saya.
“Bertenang, cuba baca Qulya sampai habis, Tamar.” Bisik datuk. Nada suaranya cukup lembut sekali. Kepala saya digosoknya penuh mesra. Saya pun membaca Qulya sampai lima kali berturut-turut.
“Cuba kau renung buku tu, Tamar.”
Saya segera dengar cakap datuk. Saya tumpukan perhatian pada buku atas lantai.
“Cuba kau lihat betul-betul, Tamar, buku tu terbakar lagi?”
“Tak terbakar tapi berasap.”
“Cuba tengok dengan teliti, masa tengok tu ingatkan Allah, sebut nama-Nya sebanyak mana yang kau mampu,” bagailan seorang guru, datuk memberikan penerangan untuk saya. Lagi sekali, seluruh perhatian ditumpukan pada buku ganjil di atas lantai. Terdengar suara Pak Imam membaca sesuatu. Suara keluhan dari datuk terus menyumbat telinga saya.
“Masih berasap lagi, Tamar?”
“Tidak,” tutur saya gugup.
“Dah pulih nampaknya. Kuat sungguh iblis di sini,” Pak Imam merungut. Datuk memperkemaskan silanya. Sinar matahari pagi mula melemparkan c ahayanya ke dalam pondok. Kicau burung kedengaran di mana-mana. Mat Prai masih belum pulang dari memungut buah durian.
Datuk mempertemukan kedua belah telapak tangannya. Digodokkan berkali-kali sambil menahan nafas. Muka datuk nampak merah semacam. Bila nafasnya dilepaskan, kedua belah telapak tangannya menampar lantai pondok. Datuk menerpa ke arah buku ganjil itu untuk disentuh.
“Jangan, kawan.”
Pak Imam menepis tangan kanan datuk. Tentu saja perbuatan itu tidak disenangi oleh datuk. Sebelum bersarang sebarang keraguan dalam kepala datuk, Pak Imam segera menjelaskan.
“Maafkan kawan kerana bersikap kasar. Kitab tua tu tak boleh disentuh begitu saja, ada syarat tertentu.”
“Datuk terus sandarkan badan ke dinding. Dia hulurkan tangan pada Pak Imam. Mereka bersalaman sambil berpelukan. Tindak-tanduk mereka itu menggambarkan yang mereka saling memerlukan antara satu sama lain. Menghormati ilmu yang ada dalam dada masing-masing.
“Kita tu, kitab Jawa kuno yang menyelitkan ilmu kebatinan dan keduniaan. Sepatutnya kitab tu mesti ada dua. Satu mengajarkan kebaikan dan menghancurkan kejahatan. Tapi yang di depan kita ni kitab yang mengajar kejahatan,” Pak Imam sedikit demi sediki membuka rahsia dirinya yang kaya dengan keilmuan, mungkin dia lebih pandai dari datuk. Apa yang pasti, orang tua yang kelihatan bersahaja itu bukan sebarang orang.
“Kitab siapa ni?” Datuk ajukan pada Pak Imam.
Perlahan-lahan Pak Imam angkat kepala merenung ke arah saya dengan senyum yang amat menyenangkan.
“Tanyalah si Tamar tu.”
Datuk segera renung ke arah saya. Belum pun sempat datuk membuka “Suhaimi Keraba.”
“Memang tak salah dugaan saya. selama ini dia mengamalkan ilmu dari kitab salah ini, saat celakanya dah tiba,” Pak Imam gelengkan kepalanya.
UCAP
tanpa mengucapkan sesuatu, Pak Imam menerpa ke halaman pondok. Dia jemur muka dan tubuh untuk beberapa saat. Dia bergerak di halaman pondok macam orang menari Kuda Kepang. Tanpa tangguh-tangguh lagi, dia tepuk bumi dengan tangan kiri dan terus bertinggung macam gerakan monyet dalam taridra Sang Hanuman dan Sita Dewi. Lebih dari lima minit Pak Imam membuat gerakan demikian, hingga badannya berpeluh. Pak Imam terus naik ke pondok. Datuk duduk di depan buku. Pak Imam bercakap dalam bahasa yang tidak saya mengerti.
“Tadi saya membaca mantera dalam bahasa Jawa kuno, menolak perkara yang tidak baik supaya tidak terkena badi syaitan,” terang Pak Imam. Saya dan datuk anggukkan kepala. Pak Imam terus jamah buku. Lembaran buku lama dibukanya sehelai demi sehelai. Sampai pada lembaran yang bertanda dakwat merah, Pak Imam terpegun. Dia terus membacanya dalam bahasa Sanskrit.
“Antara amalan yang telah dibuatnya ialah memperkosa anak sendiri, bertapa dalam gua dan memelihara Si Tunjing,” Pak Imam memberi penerangan.
“Si Tunjing, tu apa?” Tanya saya.
“Makhluk halus yang jadi suruhanya, apa yang kita dengar malam tadi, itu adalah perbuatan Si Tujing,” Pak Imam berikan penjelasan.
“Saya tahu membaca tulisan ini kerana saya belajar dari arwah nenek saya yang berasal dari Bali,” lanjut Pak Imam lagi.
Mat Prai muncul di halaman pondok. Dia kelihatan hampa sekali. Tidak sebanyak mana buah durian yang dapat dikutipnya. “Sebahagian dari buah durian saya hancur, jadi macam kapur,” rungut Mat Prai. Dia sepeti mahu menangis.
“Sabarlah, Mat,” pujuk datuk.
“Mungkin esok perkara macam ni tak akan terjadi lagi. Engkau lain kali, kalau dapat rezeki lebih buatlah kenduri, sedekah fakir miskin dan berzakat. Kalau tanah ni kepunyaan bersama, jangan bolot sendiri,” Pak Imam memberitahu Mat Prai. Saya lihat Mat Prai anggukkan kepala.
Dalam sinaran matahari pagi yang beransur terik itu, Pak Imam sentuh kitab lama. Dicampakkan ke halaman pondok. Dalam beberapa saat saja kitab lama itu terbakar menjadi debu. Pak Imam tenung ke arah datuk.
“Bila dia sudah tinggalkan kitab ini, ertinya dia tidak selamat lagi. Kalau mengikut petua, dia sudah berada di saat kematian. Mari ikut saya ke kampung Terang, ke rumah sahabat karibnya,” beritahu Pak Imam pada datuk. “Buat apa ke sana? Nak tolong selamatkan dia?” soal datuk lagi.
“Untuk memastikan benarkah dia dimakan sumpah ilmu salahnya,” jawab Pak Imam. Akhirnya, datuk dan saya bersetuju mematuhi cakap Pak imam kecuali Mat Prai yang mahu pulang ke rumahnya.
0 comments:
Post a Comment