Pages

Tuesday, July 27, 2010

87. Tongkat Berukir Kepala Ular

DARI ilmu yang saya perolehi ternyata guru silat mempergunakan rentak dan buah silat mendinding diri sambil mencari tempat yang baik untuk melepaskan satu pukulan, biasanya pukulan begitu hanya akan digunakan bila keadaan sudah terdesak.

“Hai...,” pekik bomoh tua. Sekujur tubuhnya hilang dari pandangan saya. Bomoh tua muncul di belakang datuk dan saya. Wajahnya mula berpeluh.

Tanpa menoleh ke arah bomoh tua, datuk terus bersuara dengan lantang:

“Sudahlah, buat apa kita bergaduh sama sendiri, tak ada untungnya, rugi bangsa sendiri.”

“Ini urusan aku.”

“Ini nasihat, terpulanglah pada awak sama ada nak percaya atau tidak,” balas datuk lalu berpaling ke arah bomoh tua. Aneh bomoh tua sudah tidak berada di situ lagi.

Dalam beberapa detik saja bomoh tua munculkan diri di sebelah kanan guru silat. Kemudian terus hilang dan tempat yang ditinggalkannya kelihatan asap nipis mengembang atas permukaan rumput kiri kanan jalan. Datuk terus mendekati guru silat.

“Mari kita ke rumah adik ipar awak,” datuk tarik tangan guru silat. Kami meneruskan perjalanan ke rumah adik ipar guru silat. Bila kami sampai di halaman rumah, seekor katak puru melompat di depan kami dua tiga kali dan terus menghilang di bawah dedaun kering. Bomoh tua muncul di anak tangga pertama dan terus memijak anak tangga dan masuk ke rumah tanpa memanggil nama tuan rumah.

Kehadiran bomob tua yang mendadak itu, tidak diperhiraukan oleh datuk. Setelah memberi salam pada tuan rumah dan menerima jawapan kami dijemput ke dalam rumah.

“Mana bomoh tadi,” tanya guru silat dan adik iparnya yang terbaring tercengang. Renung kiri, renung kanan. Isterinya yang berada di sisinya berhenti menyuapkan nasi bubur ke mulutnya.

“Tak ada sesiapa yang datang,” ujar isteri si sakit pada abangnya si guru silat. Saya memandang ke arah datuk penuh, tanda tanya. Datuk bagaikan tahu dengan apa yang bergoak dalam dada segera memberi jawapan.

“Cuma sangkaan kita saja dia datang.”

“Tapi, kita nampak dia naik ke rumah,” kata guru silat.

“Itu hanya pandangan mata kita saja, maklumlah kita berpanas, pandangan kita juga boleh jadi bermacam-macam.”

“Hum...,” keluh guru silat dan terus duduk.

“Selepas kami balik, macam mana keadaannya,” datuk ajukan pertanyaan pada isteri si sakit.

“Tak boleh tidur, badan saya terasa bisa-bisa dan mahu marah tak tentu fasal,” si sakit menjawab.

“Saya juga tak boleh tidur, setiap kali mahu tidur saya rasa macam ada orang berjalan dalam rumah,” celah isteri Si sakit. Menurutnya, ia terpaksa berjaga hingga siang, kecuali waktu menjelang pagi baru terlelap.

Keterangan yang disampaikan oleh isteri si sakit membuat datuk dan guru silat termenung panjang. Bahang panas dari luar terasa amat perit di seluruh tubuh. Isteri si sakit bangun dan terus menuju ke dapur. Datang kembali membawa tiga cawan kopi bersama sepiring kuih.

“Begini saja, lupakan semuanya, mari kita berikhtiar ikut petua dan cara tradisional,” datuk menawarkan diri.

“Apa yang perlu saya buat” Tanya isteri Si sakit. Datuk termenung sejenak. Kedutkan dahi sambil meraba pangkal dagunya berkali-kali. Guru silat juga termenung.

“Saya ingat kita cuba buat ubat mengeluarkan panas dari badannya, sediakan pucuk pisang yang belum kembang dan mempulur batang pisang, satu baldi air dari kaki bukit” datuk mengeluarkan arahan.

“Lain-lain tak ada?” Tanya guru silat.

“Tak ada, cuma itu saja petua yang saya tahu.”

“Bila nak di mulakan?” Guru silat bertanya lagi.

“Lepas waktu Asar.”

“Kalau begitu, saya sediakan barang yang dihajati,” itu janji isteri Si sakit. Datuk anggukkan kepala tanda setuju.

Setelah memberikan syarat serta pesan, datukpun mengajak kami pulang dan berjanji pada isteri si sakit akan datang selepas waktu Asar. Perjalanan kali ini terasa tenang dan aman tidak ada sebarang gangguan yang tidak diingini.

Sebaik saja sampai di rumah pesaka, saya terus duduk berehat di bahagian anjung rumah, melihat dedaun kelapa yang bergerak lembut disentuh angin. Datuk kembali membaca Quran. Guru silat pula berkeadaan agak luar biasa. Seluruh bilik yang ada dalam rumah diperiksa.

Semua barang dalam bilik yang tidak digunakan terus dikeluarkan diletakkan di ruang tengah. Antara barang yang menarik minat saya ialah sebatang tongkat yang kepalanya diukir seperti ular berkepala dua.

“Cantik,” kata saya.

“Ya,” jawab guru silat, “tapi tongkat ini jarang digunakan oleh ayah saya,” tambah guru silat sambil membelek-belek bahagian hujung tongkat yang dibuat dari kayu keras dan tahan lama.

“Kalau tak digunakan, buat apa disimpan?” Saya terus merisik rahsia. Guru silat menggigit hujung kuku ibu jari kanan sambil tersenyum ke arah saya. Pada hemat saya orang yang membuat tongkat tersebut memang seorang yang teliti dan rajin. Bukanlah satu perkara mudah untuk mencari kayu keras yang berurat cantik.

Kemudian kayu itu dibentuk menjadi batang tongkat yang menarik, berkepalakan ukuran ular kepala dua. Di bahagian hujung dilekatkan dengan timah warna kuning. Di bahagian badan tongkat diukir dengan awan larat, lalu disapu dengan sejenis cecair untuk mengilatkannya.

“Sebenarnya, tongkat ni tongkat pesaka diwarisi oleh orang tua saya dari nenek,” ada sedikit kebanggaan dalan nada suara guru silat ketika menceritakan riwayat tongkat di depannya itu.

“Kalau begitu, sudah banyak keturunan yang menyimpannya?” Tanya saya.

“Kira-kiranya begitulah, kalau tak silap saya umurnya dah lebih dari tiga ratus tahun.”

“Hebat, kalau dah begitu, kenapa tak disimpan di tempat yang baik dan boleh dijadikan bahan sejarah keturunan tuk guru,” saya meluahkan pendapat yang ikhlas. Guru silat termenung, kemudian Ia mengeluh kecil macam ada sesuatu yang terbuku dalam kalbunya.

“Satu pendapat yang baik, says juga pernah terfikir macam tu, tapi...,” guru silat tidak meneruskan kata-katanya.

“Kenapa?” Saya terus mendesak.

“Tak ada waris yang mahu menyimpannya, kata mereka, tongkat ni keras ada pembawanya, kalau tak tahan orang yang menyimpannya, boleh jatuh sakit.”

“Huh...,” saya tersentak dengan keterangan itu.

Saya termenung, memikirkan kata-kata yang diluahkan oleh guru silat itu. Apakah dia bercakap benar atau sekadar mahu memperolok-olokkan saya. Guru silat segera mengambil sehelai kain dan terus menggosok batang tongkat. Badan tongkat nampak bersinar dan urat-urat kayu yang berselirat kelihatan terserlah.

“Sekarang, saya nak campakkan tongkat ni ke dalam sungai,” guru silat raba kepala tongkat dan terus berdiri. Saya terus menggigit lidah.

“Tak ada faedahnya menyimpan tongkat ni, buat menyusahkan hati kaum keluarga saja,” tambah guru silat dan terus sandarkan tongkat ke dinding. Ia mula mengemaskan barang-barang yang berselerak. Dimasukkan ke dalam peti kayu hitam dan terus ditempatkan di sudut ruang.

“Opppp” guru silat terus melompat dan buka silat. Ia terkejut besar kerana tongkat yang disandarkan tepi dinding jatuh sendiri. Datuk tersenyum berdepan dengan peristiwa yang amat melucukan itu. Guru sila matikan langkah silat dan ia turut senyun dan akhirnya ketawa kecil.

“Terkejut” katanya pada datuk menutup kelemahan diri sendiri.

“Hum,” datuk anggukkan kepala.

“Saya nak ajak Tamar buang tongkat ke sungai,” guru silat minta kebenaran dari datuk. Saya lihat datuk kedutkan kening kemudian sepasang matanya tertumpu ke arah saya sejenak, lepas itu datuk renung tongkat atas lantai berkali-kali.

“Macam mana boleh tak?” Guru silat minta kepastian.

“Boleh,” jawab datuk.

“Huh...,” batin saya bersorak riang.

“Apa kau tak sayang dengan tongkat lama tu,” soal datuk dengan tenang pada guru silat. Perlahan-lahan guru silat gelengkan kepala sambil bersuara:

“Tidak, tak ada faedahnya disimpan menyusahkan keturunan.”

“Kalau dah begitu keputusannya, terpulanglah pada kamu aku tak masuk campur,” ungkap datuk tenang.

“Mari,” guru silat tarik tangan saya. Tanpa buang masa saya terus bangun ikut langkah guru silat.

IKAN

Setelah melalui kawasan yang ditumbuhi dengan pokok dengan pepohon senduduk, kami sampai ke tebing sungai yang airnya mengalir jernih. Anak-anak ikan bagaikan berlari-lari di celah-celah bebatu yang tertegun menahan arus air sungai yang deras dan dalam itu.

“Di situ tempat kamu, bukan di rumah,” suara guru silat agak keras dan terus mengangkat tongkat berkepala ular separas dada. Tongkat itu terus dicampakkannya ke dalam sungai. Tongkat tenggelam timbul lalu melanggar bebatu besar. Akhirnya hilang dari penglihatan saya dan guru silat.

“Biar dihanyutkan air sungai hingga ke laut Selat Melaka,” guru silat bersuara penuh kepuasan. Ia tersenyum dan mencekak pinggang di tepi tebing sambil kaki kanannya memijak seketul batu yang berada di tepi tebing.

“Ini sebagai permulaan,” bisik guru silat pada saya ketika melintasi sebatang parit kecil yang mengalirkan air ke sawah.

“Lepas tu nak buat apa pula?”

“Semua yang ada dalam peti hitam nak aku buangkan ke laut.”

“Bukankah itu barang-barang lama yang berharga.”

“Pada orang lain mungkin berharga, pada aku tak ada nilainya,” suara guru silat meninggi sambil menyapu peluh di dahi dengan jari kelingkingnya. Saya tidak kuasa membantah cakapnya. Ternyata sikap saya itu menyenangkan hatinya. Guru silat terus bersiul-siul kecil.

“Semuanya dah selesai?” sambut datuk di kaki tangga dengan segaris senyum terpamer di bibir. Saya anggukkan kepala tetapi, guru silat terus mengedutkan dahi luasnya sepasang kening lebatnya turut bergerak macam ada sesuatu yang difikirkannya. Guru silat berhenti di kepala tangga menatap wajah datuk sejenak.

“Sudah,” katanya pendek.

“Baguslah, aku harap kamu tak menyesali perbuatan yang kamu buat ni,” sanggah datuk.

“Tidak,” satu ketegasan terungkap dari mulut guru silat. Penuh ketenangan dan yakin dengan apa yang dilakukannya itu memang kena pada tempatnya. Tanpa banyak cakap guru silat terus naik ke rumah dan duduk di ruang tengah lalu menyandarkan badan ke dinding. Saya juga turut berbuat demikian.

Setelah menunaikan sembahyang Asar, kami bertiga segera bersiap untuk pergi ke rumah si sakit. Tidak ada persediaan tertentu yang datuk lakukan. Saya menarik nafas dalam-dalam, bila terlihat di tangan datuk ada besi kecil sepanjang dua inci.

“Dari mana dapat besi itu,” secara spontan guru silat mengajukan pertanyaan. Matanya tertumpu pada besi di tangan kanan datuk. Perlahan-lahan datuk menatap besi tersebut, beberapa saat kemudian datuk menjelaskan, besi tersebut ditemuinya di bawah tangga. Ia tertarik lantas mengambilnya.

“Besi itu juga nak dibawa ke sana?” Guru silat minta kepastian.

“Rasanya, memang ada niat nak membawanya,” jawab datuk.

“Menyusahkan saja.”

“Kadang-kadang besi buruk macam ni ada juga gunanya.”

“Terpulanglah pada awak,” nada suara guru silat agak kecewa.

“Mari kita pergi,” ajak datuk. Saya dan guru silat segera memenuhinya.

MATAHARI

Kerana pancaran matahari tidak begitu keras, perjalanan ke rumah si sakit terasa seronok dan tenang. Datuk dan guru silat jalan bersaingan, saya mengekor dari belakang. Tidak ada perkara penting dan menarik yang dibualkan sepanjang perjalanan. Guru silat lebih suka menceritakan tentang sawah padi, tentang zaman kanak-kanaknya waktu di kampung.

Kadang-kadang datuk dan guru silat ketawa, bila berdepan dengan kisah-kisah yang lucu. Saya cuma tumpang senyum dari belakang tetapi, mata saya tetap liar merenung ke arah pepohon ke kiri kanan jalan. Seronok rasa hati melihat beburung melompat di ranting dan dahan kayu. Angin petang yang bertiup lembut menghantarkan sebuah kesegaran di tubuh.

“Apa pendapat awak tentang bomoh tua tu?” Terdengar pertanyaan dari guru silat. Datuk tidak menjawab pentanyaan tersebut tetapi, datuk memperlahankan langkahnya, matanya renung kiri kanan, macam mencari sesuatu.

“Bagaimana pendapat awak tentang bomoh tua tu?” Ulang guru silat minta sebuah kepastian yang jitu. Datuk tetap kelihatan tenang. Langkahnya kembali bertenaga dan penuh semangat. la seolah-olah merasakan pertanyaan itu tidak wajar dijawab. Satu pentanyaan yang sengaja diada-adakan untuk mengisi masa.

“Bagaimana?” Untuk kali ketiga guru silat minta kepastian.

“Tak ada apa-apa, dia hanya manusia biasa,” jawab datuk dalam nada suara yang merendah.

“Tapi, saya rasa dia tu lain macam aje, mahu cari musuh dengan kita.”

“Itu pendapat kamu, sudahlah. Pedulikan tentang dirinya, banyak hal lain yang nak kita fikirkan,” datuk terus tepuk belakang guru silat.

Rupanya tepukan datuk itu mematikan hasrat hati guru silat untuk memperkatakan tentang diri bomoh tua. Saya kira guru silat puas hati. Saya berharap, selepas ini tidak ada pertanyaan yang ada berhubung-kait dengan bomoh tua itu akan dibangkitkan oleh guru silat. Sesungguhnya saya sudah muak dan bosan dengan pertanyaan seperti itu. Ternyata harapan saya terkabul. Mereka tidak lagi memperkatakan perkara yang tidak saya senangi itu.

“Saya ingatkan tadi tak datang,” riang benar suara isteri Si sakit menyambut kami di muka pintu. Datuk tidak menjawab cuma tersenyum sambil meraba besi kecil yang berada dalam saku bajunya.

“Kalau dah janji tu, hujan ribut pun kami datang,” secara mendadak guru silat bersuara yang diakhiri dengan ketawa kecil. Saya dan datuk berpandangan lalu tersenyum. Kami pun naik ke rumah Si sakit.

Semua barang-barang yang dipesan oleh datuk sudah berada di ruang tengah rumah. Diisi dalam talam tembaga. Datuk dan guru silat terus duduk bersimpuh depan dulang tembaga. Isteri Si sakit terus ke dapur untuk membuat kopi. Saya sandarkan badan ke dinding sambil merenung ke arah dedaun di depan rumah yang melintuk-liuk disentuh angin petang.

Hembusan angin terasa menyentuh wajah saya. Datuk dengan tenang menggosok pucuk pisang dengan belakang tangan kirinya sebanyak tiga kali. Selepas itu ia menjentik mempulur batang pisang dengan ibu jari kaki kanan tiga kali berturut-turut. Kelopak bibirnya kelihatan bergerak perlahan-lahan.

“Bawa barang-barang ni ke tempat si sakit,” ujar datuk. Saya dan guru silat segera membawa pucuk pisang dan mempulurnya dekat si sakit. Beberapa saat kemudian, isteri Si sakit datang lalu meletakkan air kopi di tempat kami mula-mula duduk tadi. Datuk menyuruh isteri si sakit membentangkan tikar mengkuang di tengah ruang rumah. Perintah datuk dipatuhi.

“Bukakan, pucuk pisang tu, letakkan atas tikar, kemudian letakkan si sakit atas pucuk pisang itu,” mata datuk tajam merenung muka guru silat. Saya lihat guru silat mengangguk.

Tidak lama kemudian, isteri si sakit dan guru silat mengangkat si sakit dan terus diletakkan atas pucuk pisang. Datuk pula meletakkan mempulur batang pisang atas dada Si sakit, diatur memanjang hingga ke pergelangan kaki si sakit.

Si sakit tidak membantah, merelakan dirinya diperlakukan apa saja, asalkan sakitnya sembuh. Sepuluh minit sudah berlalu, si sakit kelihatan resah.
Mukanya berkerut, hujung hidungnya kelihatan merah macam udang kena bakar. Dari lubang hidungnya keluar air jernih. Perut buncit nampak berombak. Kulit perutnya juga jadi merah.

“Tunggu di sini, jangan ke mana-mana,” kata datuk lalu turun ke halaman rumah. Datuk berlari ke sebelah kanan rumah masuk dalam semak samun. Datuk keluar dari semak samun dengan sedahan daun gelenggang di tangan. Datuk naik ke rumah dan letak daun gelenggang atas perut Si sakit.

“Kenapa tak cakap awal-awal, kalau cakap tadi, saya boleh cari dan sediakan,” isteri si sakit bersuara dalam nada kesal. Sepasang matanya, merenung sayu ke wajah datuk yang begitu minta dengan kata-kata yang diluahkannya.

“Kalau cakap tadi tentu tak susah,” isteri si sakit berusaha menarik perhatian datuk. Kali ini perlahan-lahan datuk angkat muka lalu menentang wajah isteri si sakit. Datuk menarik nafas panjang-panjang.

“Bukan niat nak tunjuk pandai atau nak sakitkan hati tuan rumah, memang begitu caranya,” nada suara datuk lemah, terbayang rasa kesal dalam kerdipan matanya. Isteri si sakit termenung panjang. Guru silat segera mendekati isteri si sakit dan membisikkan sesuatu ke telinga isteri si sakit segera anggukkan kepala.

Pucuk pisang yang hijau segera kelihatan beransur kecut dan bertukar menjadi hitam, begitu juga dengan mempulur batang pisang. Apa yang menakjubkan saya getah yang terdapat pada mempulur tersebut tidak meleleh atau mengenai badan Si sakit, malah getah pisang itu terus beku dan menjadi seketul. Si sakit terus menggeliat ke kiri dan ke kanan. Dia terus berdengkur dan wajahnya berkerut bagaikan menahan rasa sakit yang amat sangat. Saya pandang muka datuk dan guru silat.

Kulit perut si sakit yang bengkak kelihatan bertambah merah macam buah tomato yang cukup masak. Saya jadi takut melihatnya. Pucuk pisang kelihatan seperti terbakar. Mempulur batang pisang yang ada atas badan si sakit terus menjadi hitam macam kayu arang dan kelihatan berasap.

Saya tidak sanggup merenung perut si sakit, kulit perutnya bertambah tegang dan merah. Urat-urat perutnya juga kelihatan mengeras dan menegang. Saya berdoa, semoga perut si sakit tidak akan meletup. Saya memejamkan mata.

Tiba-tiba saya terdengar si sakit bertempik, serentak dengan itu mempulur pisang yang berada di atas tubuhnya berterbangan lalu mengenai dinding rumah. Datuk segera menerkam ke arahnya dan mengambil daun gelenggang yang jatuh di sisinya.

Tiga helai daun gelenggang datuk aturkan sebaris atas dahi si sakit. Perlahan-lahan datuk tepuk dahi si sakit lima kali berturut-turut. Si sakit terus batuk bertalu-talu. Saya lihat kulit tubuhnya yang tadi merah menyala mula beransur pulih dan akhirnya kemerahan yang terdapat di tubuhnya terus ghaib.

“Air,” minta Si sakit.

“Berikan air, campurkan dengan air limau dan halia, sebelum diberikan padanya, serahkan pada saya dulu,” itu permintaan datuk.

“Baik.” Isteri Si Sakit segera bangun.

“Bagaimana, ada harapan panasnya keluar dari badan,” tiba-tiba saja guru silat bertanya pada datuk.

Datuk gosok batang hidungnya berkali-kali sambil menarik nafas. Saya terus merenung keluar dan sesekali menjeling ke arah si sakit yang terkapar menyerahkan dirinya pada keadaan.

Isteri si sakit datang lalu menyerahkan gelas yang berisi air pada datuk. Datuk meletakkan punggung gelas itu atas telapak tangan kirinya kira-kira dua minit. Kemudian saya terdengar datuk membaca surah Al-Fatihah tiga kali berturut-turut.

“Berikan padanya,” datuk serahkan gelas itu pada isteri si sakit, kemudian isteri si sakit terus membantu suaminya meneguk air dalam gelas. Saya lihat suaminya terus minum penuh nafsu. Seluruh badannya kelihatan seperti berasap. Datuk segera mendekati si sakit lantas memicit pergelangan kaki Si sakit. Si sakit mengeluh menahan kesakitan.

“Bawa dia ke tempat asalnya,” kata datuk sambil mengangkat tubuh si sakit dengan dibantu oleh guru silat dan isteri si skit. Saya segera mengambil pucuk pisang yang hangus itu dan dibuang melalui tingkap, begitu juga dengan mempulur batang pisang. Dalam beberapa saat saja keadaan rumah itu kembali bersih.

“Cuba petua saya ni, mudah-mudahan bengkak perutnya boleh hilang.”

“Cuba ambil daun gelenggang tua dan rebus, airnya diminum tiga kali sehari, kemudian daun yang direbus itu disapukan pada perutnya yang bengkak dan buncit, dengan izin Allah bengkak perutnya akan sembuh, cubalah. Ini ikhiar kita,” datuk memberikan panduan.

Cepat kilat guru silat renung ke arah saya. Kami berbalas senyum. Ibu jari tangan segera saya tegakkan. Guru silat anggukkan kepala. Di wajahnya terbayang kepuasan yang amat sangat kerana datuk sudi berikhtiar dan berusaha untuk mengubati si sakit.

“Lagi ada apa-apa yang mesti saya buat,” tanya isteri si sakit. Datuk gelengkan kepala sambil meraba-raba pangkal dagunya berkali-kali. Mata datuk tertumpu ke arah si sakit yang kelihatan tenang.

“Apa yang awak pesan, saya patuh,” itu janji isteri Si sakit.

“Buatlah itu dulu, saya masih berusaha,” janji datuk yang amat menyenangkan buat si sakit dan isterinya.

CONDONG

Matahari petang kian condong. Kicau burung terdengar riang. Beberapa ekor burung gagak liar berbunyi sambil hinggap di dahan mempelam dan cempaka.
Hembusan angin terasa amat lemah sekali. Saya lihat jam lama yang tersangkut di dinding rumah. Sudah hampir pukul enam setengah petang. Rasa bosan mula bersarang dalam dada saya. Mahu rasanya mengajak datuk pulang.

“Minum, air kopi dah sejuk,” guru silat mewakili isteri si sakit menjemput kami. Datuk cuma menghirup dua kali saja kopi panas yang sudah beransur sejuk itu. Datuk mintak diri dan isteri si sakit mengizinkannya dengan iringan senyum.

“Malam ni datang lagi?” Tanya isteri si sakit.

“Saya tak tahu nak kata apa, kena tanya dia,” guru silat menuding jari telunjuknya ke arah datuk yang berdiri di kaki tangga.

“Kalau tak ada apa-apa, lepas Isyak kami datang,” kata datuk lalu melangkah.

Baru tiga langkah datuk melangkah, dia segera kedutkan kening sambil meraba besi kecil dalam sakunya. Langkahnya terhenti, guru silat dan saya agak terkejut dan ragu dengan tindakan mengejut dari datuk itu.

Lebih mengejutkan lagi, bila datuk berpatah balik ke kaki tangga. Berhenti di situ, datuk keluarkan besi kecil dari sakunya. Datuk keliling rumah tiga kali berturut-turut, langkah pertama dimulainya dengan kaki kanan, menuju ke arah matahari naik.

Bila semuanya sudah selesai. Datuk terus menuju ke pohon rambai yang jaraknya lebih kurang tiga puluh kaki dari sudut sebelah kiri rumah. Datuk berdiri dekat perdu rambai. Dengan tenang datuk duduk membongkok lalu menggali tanah di situ dengan besi kecil yang dibawanya.

Saya dan guru silat segera berlari menghampirinya, tanpa menghiraukan kami, datuk terus menggali tanah di pangkai perdu rambai. Mukanya kelihatan merah dengan peluh-peluh halus meruap di kiri kanan pipinya.

“Apa yang dicari?” Tercungap-cungap guru silat menyoal.

“Hum...,” keluh datuk dan terus mengorek.

“Boleh saya tolong.”

“Tak payah, tunggu saja di sini, tengok dan perhati apa yang aku buat, bila aku minta tolong kamu tolong.”

“Saya faham,” guru silat mengalah.

“Hum...,” nada suara datuk terkulum. Ia terus menggali tanah di pangkal perdu rambai sedalam yang boleh.

“Lihat,” suara datuk separuh meninggi.

Datuk segera menatang satu bungkusan sebesar penumbuk. Saya dan guru silat berpandangan. Tidak berani mahu mengajukan sebarang pertanyaan pada datuk. Dengan hati-hati datuk letakkan bungkusan itu atas tanah. Sukar untuk mempastikan warna kain pembalut bungkusan tersebut akibat dilekati tanah yang tebal.

0 comments:

Related Posts with Thumbnails

Followers