Pages

Tuesday, July 27, 2010

110. Kura-Kura Mata Hijau

Mat Prai berhenti melangkah secara mengejut. Dia menoleh ke arah datuk dan saya dengan wajah yang pucat. Dia kelihatan berada di dalam keadaan serba salah. Mat Prai seperti enggan meneruskan langkah, dia seperti mahu berpatah balik ke pondok durian. Badannya terus menggeletar seperti orang kena histeria.

"Kenapa Mat Prai," datuk segera menggoncangkan tubuhnya.

"Saya dah langgar pantang Ayah Alang."

"Nama orang itu tidak boleh disebut atau diberitahu pada orang, siapa yang langgar pantangnya boleh kena penyakit gila babi, ramai orang yang menyebut namanya pada orang lain jatuh sakit.," sebaik sahaja selesai Mat Prai bercakap dia terus rebah atas rumput. Paling mengejutkan, bila Mat Prai terus baring atas rumput.

Dalam keadaan serba salah saya dongakkan muka ke langit melihat matahari yang memancar terang sedangkan awan putih bergerak tenang di dada langit. Angin bertiup menggugurkan dedaun kering. Datuk terus berusaha memberikan keyakinan pada Mat Prai bahawa apa yang dipercayainya itu adalah karut. Tetapi, Mat Prai tidak mudah mahu menerima apa yang datuk katakan itu.

"Aku nak tanya kamu satu perkara dalam dunia ini, baik di langit mahupun di bumi siapa yang berkuasa dan siapa pula yang menghidupkan dan mematikan manusia," datuk bertanya dengan lembut pada Mat Prai setelah semua usahanya yang dikemukakan pada Mat Prai sebentar ditolak mentah.

"Tentulah Allah yang maha besar," jawab Mat Prai penuh keyakinan. Dia terus duduk matanya menentang biji mata datuk.

"Kamu sudah tahu jawapannya, kalau sudah tahu kenapa kamu mesti takut dengannya. Percayalah dia tidak ada kuasa," datuk memberikan semangat.

"Tapi, ramai percaya dengannya," Mat Prai kelihatan maish ragu-ragu. Datuk terus gelengkan kepala sambil menarik nafas dalam-dalam. Memang terlalu sukar untuknya memberikan semangat baru pada Mat Prai.

"Sekarang kamu sebut namanya berkali-kali, kamu maki dia. Aku nak tengok pantang larangnya berkesan atau tidak," datuk mendesak Mat Prai. Cepat-cepat Mat Prai gelengkan kepala, mukanya bertambah pucat. Dan datuk terpaksa bertindak lebih tegas supaya Mat Prai mematuhi arahannya. Kali ini datuk tidak mahu meentang biji mata Mat Prai.

"Kamu nak ikut cakap aku atau aku tinggalkan kamu di sini. Biar aku balik ke kampung.

"Jangan, kerja Ayah Alang belum selesai lagi."

"Kalau kamu mahu aku selesaikan, dengar cakap aku."

"Baiklah Ayah Alang," ujar Mat Prai dan terus menyebut nama Suhaimi Keraba serta memaki hamunnya dengan semahu hati.

"Berhenti Mat, berhenti."

Mat Prai pun berhenti memaki hamun Suhaimi Keraba. Saya yang sudah tidak sanggup berdiri segera mencari tempat duduk. Sasaran saya ialah batang buruk yang melintang di tepi denai.

"Sekarang kamu duduk diam," itu arahan datuk kepada Mat Prai. " Kita tunggu sampai sepuluh minit, kalau benar-benar orang yang pantang namanya disebut itu berkuasa, dan boleh mendatangkan bala kepada kamu, tentu kamu mengalami sesuatu," sambung datuk sambil mengeluarkan jam saku dari bajunya.

"Nah kau tengok masanya," datuk menyerahkan jam saku kepada saya, "sampai sepuluh minit beritahu aku." Saya segera patuh pada perintahnya itu.

CUKUP

Sepuluh minit sudah berlalu, tidak ada perkara yang tidak diingini terjadi pada diri Mat Prai. Saya pulangkan jam saku kepada datuk. Sebelum jam itu disumbatkan ke dalam poket. datuk melihatnya sejenak untuk memastikan sama ada kiraan sya tepat atau sebaliknya.

"Bagaimana Mat Prai? Kau tentu setuju kalau aku katakan yang orang itu tidak ada kuasa," bisik datuk ke telinga Mat Prai tetapi dengan lemah dia menggelengkan kepala.

"Kenapa Mat?"

"Sebabnya tak jadi kerana Ayah Alang ada pelindung diri, ada pemakai dan petua, sebab itulah sumpahnya tak menjadi."

Datuk tunduk merenung bumi. Mat Prai segera berdiri. Panas terasa kian keras. Kulit dahi dan muka saya terasa pedih.

"Kau selalu memikirkan perkara yang buruk-buruk. Engkau tahu kuasa Allah tetapi, engkau tidak yakin pada-Nya inilah yang merosakkan diri kamu sendiri, kamu kata aku ada ilmu pedinding, sebenarnya perkara yang kau sebutkan itu memang tidak ada pada aku. Apa yang aku lakukan ialah minta perlindungan dari Allah," datuk mula memberikan pendapatnya, dia tidak peduli sama ada pendapat itu dapat diterima oleh Mat Prai atau sebaliknya. Pokoknya, dia harus menyedarkan diri Mat Prai yang terlalu percayakan pada hal yang karut-marut.

"Bagi aku dia tidak ada kuasa, dia orang gila," cetus datuk.

"Baik Ayah Alang minta maaf padanya, kalau tidak susah diri Ayah Alang."

"Tak payah, dia bukan ada kuasa yang berkuasa ialah Allah, pergi jahanam dengannya.

Teruskan perjalanan, aku nak sampai ke rumah kamu cepat," tanpa rasa bimbang atau takut-takut datuk terus bersuara. Mat Prai jadi termanggu-manggu dan serba-salah.

"Jalan cepat. Tak usah fikirkan tentang manusia gila yang tidak bermoral itu," datuk tolak belakang Mat Prai. Antara mahu dengan tidak Mat Prai terpaksa meneruskan perjalanan. Kami terus melalui beberapa buah dusun durian milik orang lain. Perjalanan selanjutnya tidak ada perbualan. Antara kami bertiga, tiada seorang pun yang berminat mahu bertanyakan itu dan ini. Masing-masing melayani khayalan diri sendiri.

"Aduh!"

Datuk yang berada depan saya terus membongkokkan badan. Kedua belah tangannya menekan pangkal belikat sebelah kiri. Mat Prai segera memangku tubuh datuk agar jangan tersembam ke bumi. Saya memicit belakang datuk.

"Kenapa tuk?"

"Ada orang baling benda tajam ke arah aku," jelas datuk.

Saya segera renung kiri kanan. Anak mata saya tertumpu ke arah bambu runcing sepanjang dua kaki di hujung kaki kanan datuk. Buluh itu sudah patah dua dan bahagian yang ditajamkan sudah hancur.

"Carikan aku Daun Dukung Anak," ujar datuk pada saya. Tanpa membuang masa saya segera mencarinya. Dengan izin Allah Daun Dukung Anak yang melata di bumi itu saya temui dekat pangkal pokok durian mati pucuk.

"Sapukan di tempat yang terkena buluh tu untuk membunuh bisanya," datuk keluarkan arahan. Saya segera selak baju datuk. Memang ada garisan memanjang yang melukakan kulit tubuh datuk. Darah mula keluar dari kult yang terkoyak itu.

"Aku dapat menepisnya, kalau tidak buluh itu tembus ke rusuk kiri," terang datuk sambil menyuruh saya menghancurkan Daun Dukung Anak dengan telapak tangan. Atas arahannya juga daun yang sudah hancur itu saya tampalkan ke tempat yang tergaris sesudah membaca tujuh kali al-Fatihah serta sekali selawat.

Lebih dari sepuluh minit perjalanan kami berhenti. Bila datuk sudah pulih, kami meneruskan perjalanan pulang. tetapi baru enam langkah Suhaimi Keraba muncul di depan kami dengan beberapa batang buluh runcing di tangan kiri.

"Jangan di lawan"

Itu perintah datuk untuk saya dan Mat Prai. Peluh yang menguasai setiap sendi membuatkan saya resah. Mat Prai melihat matahari yang terpacak di atas kepala.

"Tengah rembang, kata orang tua-tua alamat tak baik," bisik Mat Prai ke telinga saya.

"Entah," jawab saya.

"Diam jangan banyak cakap, kalau perbuatannya boleh mengancam nyawa kita, cepat-cepat kita lari," datang lagi arahan dari datuk. Saya dan Mat Prai anggukkan kepala. Datuk juga menyuruh kami berdiri sebaris menentang wajah Suhaimi Keraba.

"Kamu yang jadi kepala samseng memaki hamun aku. Tak sedar diri masuk kampung orang nak berlagak ayam jaguh," kata-kata itu ditujukan oleh Suhaimi Keraba ke arah datuk.

"Kamu jadi baruanya," jari telunjuknya mengarah ke wajah Mat Prai. Suhaimi Keraba terus berlegar-legar di depan kami. Sesekali dia mencabut keris panjangnya. Dua tiga kali diacukannya ke arah saya.

"Aku yang merejamkan buluh tajam kepada kamu, aku sakit hati kerana kamu mencaci dan memperkecilkan aku, apa yang kamu katakan pada aku semuanya dapat aku dengar," Suhaimi Keraba mula memperlihatkan taringnya. Dan Mat Prai terus merenung ke arah datuk, seolah-olah engatakan yang cakapnya sebentar tadi adalah benar.

Melihat kami semuanya membisu dan tidak kisah membuatkan Suhaimi Keraba naik angin. Dia mula memaki hamun datuk dan menyifatkan datuk dari keturunan orang yang tidak bertamadun. Datuk tetap membisu. Setelah menggunakan pelbagai cara tetapi datuk tetap bersikap dingin. Tidak mahu memulakan pergaduhan. dia mula menyerang datuk dengan buluh runcing. Dia merejam sepuluh batang buluh runcing ke arah kami. Satu kebolehan yang di luar kemampuan manusia biasa. Saya kira ada tenaga lain yang membantu Suhaimi Keraba. Bagi menyelamatkan diri, saya dan Mat Prai terpaksa berlindung di balik pokok durian.

Datuk tidak berganjak dari tempat dia berdiri. Tegak di situ sambil berpeluk tubuhnya. Kedua belah matanya dirapatkan cuma kelopak bibirnya sahaja bergerak seperti menyebut sesuatu.

Lebih dari empat batang buluh runcing direjamkan oleh Suhaimi Keraba kepada datuk. Tidak satupun yang mengenai tubuh datuk. Semuanya menyimpang ke arah lain. Ada yang melekat pada pokok pisang hutan, terbenam ke bumi dan sebagainya. Suhaimi Keraba berhenti dari melakukan sesuatu pada datuk. Dia termenung sejenak. Datuk tetap berdiri dalam keadaan berpeluk tubuh. Suhaimi Keraba terus memintas arah belakang datuk sambil membalingkan buluh runcing secara curi. Tetapi, sebelum hujung buluh runcing menjamah kulit, terlebih dulu untuk menyambarnya. Buluh runcing itu segera dibenamkan oleh datuk ke bumi. serentak dengan itu Suhaimi Keraba menjerit. Kedua belah tangan tergapai-gapai seolah minta tolong. Suhaimi Keraba jatuh ke bumi.

Perlahan-lahan datuk membuka kelopak mata sambil menjatuhkan sepasang tangan yang memeluk tubuhnya. Datuk merenung ke arah Suhaimi Keraba yang tertiarap ke bumi. Berhempas pulas berusaha untuk bangun berdiri.

"Bangunlah, sahabatku," kata datuk.

Suhaimi Keraba merenung marah ke arah datuk. Dalam rasa cemas dan takut itu dia berjaya melepaskan diri.

"Kekuatan sahabat tidak sejauh mana. Tidak dapat melawan kekuasaan Allah yang mencipta diri saudara dan saya, yang memberikan nyawa pada kita," ujar datuk lagi.

"Hisss..." desis Suhaimi Keraba.

"Saudara sudah sesat, kerana sesat itulah hidup saudara dikuasai nafsu syaitan."

"Sudahlah." Balas Suhaimi Keraba.

Terima kasih, saya tidak berniat mahu bermusuh dengan saudara, saya mahu bersahabat," datuk hulurkan tangan ke arah Suhaimi Keraba.

"Kamu bukan orangnya," Suhaimi Keraba menolak.

"Saudara, kita mahu bersahabat."

"Tidak ada masa untuk bersalam dan bersahabat dengan orang yang tidak berilmu," Suhaimi Keraba mula mencemek.

Saya dan Mat Prai keluar dari tempat persembunyian.Kami segera mendekati datuk yang kelihatan begitu tenang menghadapi cemuhan yang dilemparkan oleh Suhaimi Keraba terhadap dirinya.

"Saya tahu sejauh mana ilmu yang ada dalam dada saudara," kata datuk dalam nada suara yang lembut dan mengharapkan akan terjalin tali persahabatan antaranya dengan Suhaimi Keraba. Ternyata Suhaimi Keraba tidak mempedulikan harapan dan cita-cita datuk. Dia terus melangkah kami dengan wajah seribu dendam. Kami meneruskan perjalanan pulang. Sampai di rumah Mat Prai disambut oleh isterinya dengan pelbagai pertanyaan. Kenapa kami lambat sampai. Mat Prai memberi jawapan yang kami singgah ke rumah beberapa orang kenalan. Ternyata alasan itu dapat diterima oleh isteri Mat Prai.

Makan nasi durian memang menyelerakan. Itu pengalaman yang menyeronokkan ketika makan nasi durian waktu tengah hari di rumah Mat Prai. Tetapi apa yang kurang menyeronokkan ialah sikap datuk yang sering mengingatkan agar saya agar makan
'secukup kenyang!' satu ingatan yang boleh mematikan selera makan saya.

Tetapi saya masih beruntung Mat Prai memberika kerjasama yang baik. Bila dia melihat pinggan yang kosong. Secara sembunyi-sembunyi dia menaruh nasi durian ke dalam pinggan saya dan datuk tidak dapat berbuat apa-apa. Tengah hari itu, saya makan betul-betul. Lepas makan saya tersandar di dinding dan datuk cuma terdaya menjeling marah ke arah saya.

KECIL

Pada petang itu, saya diajak oleh Mat Prai berjalan-jalan sekitar pekan kongsi yang kecil. Saya ditunjukkan kawasan pasar tempat orang menjual buah dan jeruk buah pala. Saya juga dibawa ke kawasan hutan kecil yang menurutnya tempat pelanduk berehat. Tempat tersebut, bertahun-tahun kemudiannya tekah dijadikan ladang ternakan buaya ( kini khabarnya ladang buaya itu sudah diberhentikan atas arahan pihak berkuasa demi keselamatan orang ramai)

Lebih kurang pukul empat dua puluh lima minit petang, saya dan Mat Prai kembali ke rumah. Kami dapati datuk tiada di rumah. Kata isteri Mat Prai, tidak lama setelah kami meningalkan rumah, datuk terus menuju ke arah masjid. Saya dan Mat Prai terus ke masjid. Cakap isterinya memang benar. Datuk duduk tertonggok di tengah ruang masjid membaca al Quran.

Oleh kerana waktu Asar sudah hampir tiba, kami terus mengambil air sembahyang dan melakukan sunat tahyatul masjid. Sepuluh minit kemudian waktu Asar pun sampai bilal terus memukul beduk dan seterusnya melaungkan azan. Dalam kesempatan itu juga Mat Prai memperkenalkan datuk dengan iman masjid tersebut.

Setelah menunaikan sembahyang Asar datuk terus berborak dengan imam yang usianya lima atau sepuluh tahun lebih tua dari datuk. Dari Imam tersebut datuk memperolehi cerita yang terperinci tentang dir Suhaimi Keraba serta kejadian aneh yang berlaku di dusun durian beberapa orang penduduk.

"Setahu saya kejadian itu sudah berkurangan, kalau adapun terjadi kerana pemilik dusun durian tidak mahu mematuhi nasihat kami."

"Apa nasihatnya Pak Imam?" Tanya datuk.

"Perbuatan tu, perbuatan syaitan kita lawan ikut suruhan Allah," Pak Imam bersuara lemah. "Dari dulu lagi kalau ada kejadian macam tu, kami baca yasin tujuh malam di dusun orang malang, kemudian kami ingatkan pemilik dusun supaya membayar fitrah kalau memperolehi pendapat lebih, itu saja syaratnya," sambung Pak Imam.

"Hasilnya bagaimana Pak Imam?" Tanya datuk.

"Dengan izin Allah berjaya. Melainkan orang tak mahu ikut nasihat, tidak mahu sembahyang, tidak mahu berpuasa dan mengambil hak orang sebagai milik sendiri.

"Pak Imam tahu durian di dusunnya, dikacau makhluk ganjil," datuk terus menepuk bahu Mat Prai yang berada disisinya. Pak Imam renung muka Mat Prai.

"Dia ni cuma datang dan balik ke kampung bila dekat musim durian, jadi dia tidak tahu apa yang berlaku, selain dari dusun ini, ada seorang dua yang dusun mereka kena kacau," ujar Pak Imam dengan wajah yang selamba. saya menoleh ke arah Mat Prai. Dia tersenyum tersipu-sipu, cuba menyembunyikan rasa malunya. Rahsia dirinya telah terbongkar.

"Dulu dia bawa bomoh siam nak halau hantu di dusunnya. Hasilnya tak ada apa-apa. Saya hairan kenapa Si Mat ni tak mahu mengadu pada saya, tak mahu berbincang dengan orang-orang kampung, pada hal saya kenal dirinya dari datuk neneknya lagi. Dia orang sini," Pak Imam meluahkan suara hatinya. Mat Prai tunduk tidak berkata apa-apa pun.

MESRA

Sebelum berpisah datuk bersalaman dengan Pak Imam dengan penuh mesra. Datuk sempat memujuk Pak Imam supaya turut sama pergi ke dudun durian Mat Prai. Pada mulanya Pak Imam itu menolak permintaan datuk. Setelah didesak barulah Pak Imam itu mahu ikut serta ke pondok Mat Prai. Malam itu, setelah selesai menunaikan sembahyang Isyak di masjid, saya dan datuk serta Pak Imam terus menuju ke pondok durian Mat Prai. Mat Prai pergi lebih awal dari kami. Perjalanan kami lancar tidak mengalami sebarang gangguan yang aneh. Sampai di pondok, Mat Prai menyambut kami dengan hidangan air kopi panas. Dua pemuda dari Pulau Betung yang menunggu dusun durian pada sebelah siang segera pulang. Kali ini datuk melakukan sesuatu di luar dugaan saya. Mat Prai dan saya disuruh duduk di luar kira-kira dua puluh kaki jaraknya dari pondok asal. Di situ datuk dirikan empat batang tiang dan atapnya dibuat dari daun-daun hutan yang lebar. Tidak sampai dua jam datuk berusaha mendirikan pondok yang bentuknya macam pondok mainan kanak-kanak. Kami disuruh duduk di situ. Manakal datuk dan Pak imam duduk di pondok besar. Mereka terus membaca Quran.

Saya tidak mahu berada jauh dari Mat Prai. Ke mana sahaja Mat Prai bergerak di situ saya berada. Kami mendengar bunyi buah durian jatuh tetapi, saya atau Mat Prai tidak berhasrat mahu mengutipnya.

"Ular," jerit saya.

Biji mata Mat Prai terbeliak melihat seekor ular hitam sebesar lengan budak berusia lapan tahun. Panjangnya kira-kira dua kaki. Ular itu terus menuju ke arah pelita minyak tanah. Mat Prai ambil kayu memukul ular itu, kena tepat pada bahagian belakangnya.

Ular itu panggungkan kepala lalu mematuk pelita minyak tanah. Kami berada dalam kegelapan. Saya raba sana, raba sini, cari kotak mancis. Barang yang saya cari ditemui. Sumbu pelita menguasai ruang pondok, jelas kelihatan ular hitam menyusup di bawah dedaun kering dan terus ghaib entah ke mana. Tempat ular itu hilang segera diganti oleh seekor kura-kura yang warna kulitnya kuning keemasan.

Biasanya kura-kura bila terdengar suara atau melihat orang akan menyorokkan kepalanya. tetapi kura-kura yang datang mendadak di pondok kami terus menjulurkan kepalanya sambil memakan dedaun kering. Mata kura-kura aneh itu nampak tersembul dan mengeluarkan cahaya hijau.

"Kenapa semuanya mesti terjadi masa datuk kamu tak ada bersama kita, kubunuh kura-kura laknat ni," Mat Prai mula marah dan terus mahu memukul belakang kura-kura dengan kayu yang digunakan untuk memukul ular.

"Jangan."

"Kenapa Tamar?"

"Biarlah dia pergi sendiri."

"Hum..." Mat Prai mengeluh lalu menghempaskan kayu di tangan dengan sekuat hati.

Saya hanya diam sahaja. Kura-kura yang menjulurkan kepalanya masuk ke dalam badannya.

0 comments:

Related Posts with Thumbnails

Followers