Pages

Tuesday, July 27, 2010

98. Tubuh Terapung Di Udara

"Hei Tamar, mahu ke mana?”, jerit Udin Tarzan. Belum pun sempat menjawab, dia sudah berada di belakang kami.

"Mahu ke mana?”, ulang Udin Tarzan lagi.

"Kami nak duduk jauh dari gelanggang", jawab Najib.

"Kenapa?"

"Kalau ada sesuatu yang buruk terjadi, kami sempat melarikan diri", jelas saya dengan jujur.

"Hum, jangan pergi ke mana-mana. Aku ada, aku tak akan biarkan kamu mati katak", wajah Udin Tarzan kelihatan cukup bengis. Saya dan Najib berpandangan.

"Mari", perintah Udin Tarzan.

"Ha...”, mulut Najib separuh terbuka.

"Ikut saja cakapnya", bisik saya ke telinga Najib.

Udin Tarzan tarik tangan kanan saya. Tidak ada bantahan. Saya hanya mengikut sahaja. Langkah Udin Tarzan cukup cepat. Sesekali saya terlihat ada sesuatu dalam saku seluarnya. Bentuk benda itu bulat dan berat. Saya terus menumpukan perhatian pada benda yang berada dalam saku seluar Udin Tarzan.

Bila Udin Tarzan melangkah, benda dalam saku seluarnya dapat dilihat dengan jelas. Darah saya tersirap. Udin Tarzan memiliki pistol. Jenis apa? Saya sendiri tidak tahu. Dan saya tidak kuasa untuk menyoalnya. Itu bukan urusan saya. Kalau ditanya, mungkin menimbulkan kemarahan pada dirinya.

"Kamu berdua duduk di sini", itu arahan Udin Tarzan. Saya dan Najib segera mematuhinya. Duduk tepi gelanggang dekat Agam yang kelihatan menggigit hujung jari kelingking. Lelaki dari Kelantan itu terus menepuk-nepuk kepala ayam sabungnya dengan penuh manja. Dia terus keliling gelanggang, mempamerkan rasa bangganya kerana memiliki ayam sabung yang handal.
Bila sampai depan Agam, lelaki dari Kelantan itu terus menghentak-hentakkan kaki kanannya. Orang yang berada keliling gelanggang terus ketawa. Lucu melihat telatah lelaki dari Kelantan itu. Agam terus mengeliat dan turut ketawa.

"Diam", jerit Udin Tarzan.

Ketawa terus berhenti dengan serta-merta. Udin Tarzan keluarkan pistol. Muncung pistol dihalakannya ke dahi Agam.

"Kamu mahu menggagalkan semua yang diatur", lanjut Udin Tarzan. Muncung pistol terus bertemu dengan kulit dahi Agam. Semua yang menyaksikan peristiwa itu jadi cemas. Tidak ada seorang pun yang berani bersuara. Lelaki dari Kelantan bersama ayam sabungnya terus menyembunyikan diri di perdu bertam. Ternyata pada lelaki itu, lebih mengutamakan eselamatan ayam sabungnya dari dirinya sendiri. Ayam sabungnya dimasukkan ke dalam bajunya.

"Mahu lawan sabung atau tidak?", Udin Tarzan beri kata dua. Agam masih kelihatan tenang. Masih sempat senyum dan menjamah hujung pistol yang bertemu dengan dahinya.

"Sabar, marah mainan syaitan. Orang yang waras tidak pernah marah", ucap Agam.

"Jangan nak mengajar saya.”

"Tidak, saya bercakap perkara yang benar", tambah Agam. Perlahan-lahan pistol dari tangan Udin Tarzan diambilnya. Saya lihat Udin Tarzan tidak melawan. Kelihatan seperti kena pukau.

"Kita mesti bertindak dengan tenang", tambah Agam. Pistol Udin Tarzan yang berada di tangannya dicampakkan ke tanah. Saya dan Najib gelengkan kepala, bila melihat telapak kaki kanan Agam memijak pistol milik Udin Tarzan.

Pistol itu terbenam dalam bumi. Bila telapak kaki kanannya diangkat, badan pistol kelihatan berasap. Semua orang yang ada di situ gelengkan kepala. Pistol itu bertukar menjadi besi yang amat buruk serta berkarat.

"Minta maaf, saya tak mahu bersabung ayam", ujar Agam lembut. Udin Tarzan terus gosok batang leher. Sinar matanya memancarkan kemarahan tetapi, dia tidak dapat bertindak atau melakukan sesuatu.

"Kenapa? Tadi awak yang mencabar", suara Udin Tarzan amat perlahan sekali. Tunduk tidak berani menentang wajah Agam. Kehebatan, kesombongan dan kegagahan Udin Tarzan hilang dengan serta-merta. Semua orang yang berada di sekeliling gelanggang merasa hairan dan amat terkejut sekali.

"Kenapa?”, susul Udin Tarzan lagi.

"Saya memang tak minat.”

"Kalau tak minat kenapa kamu mencabar?”

"Saya cuma nak tengok muka orang yang ada menyimpan ayam sabung.”

"Hum, awak permainkan kami", Udin Tarzan mengeluh.

"Berjudi bukan mainan hidup saya", suara Agam bergetar.

Dia menoleh ke kanan sambil menggosok pangkal hidungnya dua tidak kali. Agam terus tepuk pangkal lengan kanan dengan telapak tangan kiri, tiga kali berturut-turut.

TEPUK

Selesai sahaja Agam tepuk pangkal lengan kanannya. Udin Tarzan bagaikan tersedar dari lamunan. Dia terus bertempik sambil mengambil sepotong kayu yang berada di sudut kanan gelanggang. Udin Tarzan bersedia untuk memukul kepala Agam. Cita-citanya tidak diteruskan. Dihalang oleh suara yang menyebut-nyebut namanya dari arah perdu pohon petai. Udin Tarzan segera menoleh ke arah tersebut. Kayu di tangan terus dicampakkannya keluar gelanggang.

"Kau datang juga", sergah Udin Tarzan.

"Kalau dah berjanji mesti datang. Belum pernah menolak kalau nak bersabung, ayam siapa lawan si jaguh aku?", kata lelaki yang muncul dari arah pokok petai. Dia memakai seluar panjang warna kuning, baju merah lengan pendek yang sudah pudar warnanya.

"Banyak, dekat tujuh ratus ringgit, Ali", jawab Udin Tarzan penuh yakin.

"Siapa lawan ayam saya?”, tanya orang yang bernama Ali.

"Jaguh seluruh Kelantan.”

"Mana dia mukanya?", Ali ketawa kecil.

"lni dia orangnya", lelaki dari Kelantan muncul. Menerpa ke tepi gelanggang. Lelaki dari Kelantan itu terus melepaskan ayam dalam gelanggang. Sorak dan tepukan kian bertambah hebat. Ali renung tiap wajah yang berada di situ dengan senyum. Tiba-tiba, senyum Ali terus berhenti, bila matanya tertumpu ke wajah Agam. Tetapi,semuanya kembali berbunga, bila Agam memalingkan wajahnya ke arah hutan tebal.

"Duit sewa gelanggang, serahkan di sini", pekik Udin Tarzan. Lelaki dari Kelantan dan Ali pun serahkan duit sewa gelanggang. Kemudian Udin Tarzan pun menyerahkan wang sewa gelanggang pada ketuanya. Dari jauh, Udin Tarzan angkat tangan kanannya tinggi-tinggi memberitahu pada orang yang hadir bahawa gelanggang boleh digunakan. Sorak dan tepuk tangan orang ramai bergemuruh menguasai kawasan terpencil itu.

"Aku nak lepaskan ayam, Udin", jerit Ali.

"Silakan", balas Udin Tarzan. Tepukan dan sorak bertambah gamat.

"Kau lawan dia jaguh, kau bunuh dia dengan taji kamu", itu yang dibisikkan oleh Ali pada ayam sabungnya. Orang ramai yang bertaruh mula membuat kumpulan sendiri. Wajah mereka didakap kegembiraan yang amat sangat. Masing-masing mengharapkan tuah dan keuntungan yang berlipat ganda.

Di tengah gelanggang, dua ekor ayam mula bertentangan. Mengembangkan kepak dan bulu leher kelihatan membesar, bersedia untuk menewaskan antara satu sama lain. Dua ekor ayam itu tidak tahu, bahawa nyawa mereka dipertaruhkan demi kepuasaan hati manusia yang selama ini dianggap bijak dan bertamadun mempunyai nilai budi dan perasaan yang tinggi. Bila berdepan dengan suasana demikian, saya segera terfikir bahawa ada waktu dan ketikanya, manusia ini lebih kejam, lebih bodoh dari dua ekor ayam sabung yang berada ditengah gelanggang.

Setiap kali ayam milik Ali membenamkan tajinya ke leher ayam jaguh milik lelaki dari Kelantan, suara sorakan dari tepi gelanggang terus melangit. Ada yang terkinja-kinja menari macam beruk dapat belacan. Secara mendadak tepukan dan sorakan terus terhenti. Semua biji mata tertumpu ke arah Agam yang berdiri di tengah gelanggang. Bagaikan kilat Agam menangkap ayam milik lelaki dari Kelantan yang kelihatan terhoyong-hayang. Beberapa helai bulu kepaknya mula berjatuhan. Balungnya berdarah begitu juga dengan bahagian lehernya. Agam segera mendekati lelaki dari Kelantan.

"Ambil ayam kamu", kata Agam pada lelaki dari Kelantan.

"Kami berlaga ayam, apa hak kamu mengganggu kami?”

"Islam melarang pengikutnya berbuat kejam dengan binatang.”

"Saya mencari rezeki.”

"Bukan ini caranya mencari rezeki."

"Tapi...”

"Tak ada tapinya, ambil ayam kamu dan pergi dari sini, kalau kamu tak dengar cakap aku, buruk padahnya nanti."

Agam mula tunjuk taring. Lelaki dari Kelantan mula membantah tetapi, bila dilihatnya muka Agam, dia tidak jadi membantah. Tanpa banyak cakap dia terus ambil ayam sabungnya. Lelaki dari Kelantan itu mengatur langkah menuju ke arah pondok tempat ketua Udin Tarzan berehat. Agam renung ke kiri, didapatinya ayam sabung Ali tidak berada di gelanggang lagi. Sebahagian orang ramai yang berada di tepi gelanggang mula beredar. Masing-masing bersedia untuk menyelamatkan diri andainya tercetus sebarang perkelahian.

"Eh, kamu ke mari dekat aku", ujar Agam pada Ali yang bersila di tepi gelanggang. Ali tidak memperhiraukan arahan dari Agam. Dia terus membiarkan ayam sabungnya mematuk padi atas telapak tangannya. Sesekali, Ali meraba ulu golok yang terselit di pinggangnya. Dia terus bersiul-siul kecil.

"Hei, ayam sesat jangan cuba nak tunjuk handal di tempat orang", Ali mula menyindir.
Badan ayamnya diurut perlahan-lahan.

"Pulanglah dan buat kerja lain", tingkah Agam.

"Jangan nak ajar saya!", jawab Ali.

"Bukan mengajar tapi nasihat.”

"Diam bangsat!", pekik Ali sambil mencabut golok di pinggang lalu di baling ke arah Agam.
Cepat-cepat Agam mengelak. Golok melekat pada pohon pulai. Agam terus menerpa ke arah Ali. Cepat-cepat Ali melompat dan lari ke arah pondok tempat ketua Udin Tarzan berehat. Ayam Ali terlepas lari ke dalam semak. Agam masih berdiri di tengah gelanggang yang sudah ditinggalkan oleh para peminat sabung ayam. Saya dan Najib yang sejak tadi menjauhkan diri dari gelanggang mula gelisah. Tetapi kami yakin Agam tidak akan bertindak sesuatu terhadap kami. Demi keselamatan diri, kami segera berlindung di balik pohon besar.

"Kita balik saja, Najib. Aku tak suka tengok orang bergaduh", kata saya lemah.

"Kita tunggu dulu, Tamar, Kita tengok siapa handal. Lagipun kita duduk sembunyi di sini, tak ada siapa yang tahu.”

"Aku takut dan...”

"Sudahlah Tamar, kau tengok tu.”

Saya segera tegakkan kepala. Sepasang mata saya tertumpu ke arah Agam yang sedang berdepan dengan ketua Udin Tarzan. Dalam jarak beberapa kaki dari ketuanya, kelihatan Udin Tarzan, lelaki dari Kelantan dan Ali. Mereka memegang kayu bulat yang panjangnya lebih dari enam kaki.

MERANGKAK

Saya dan Najib merangkak di celah-celah pohon kecil, mendekati mereka. Kami mahu mendengar apa yang akan diucapkan oleh ketua Udin Tarzan pada Agam. Tanpa diduga, Udin Tarzan, lelaki dari Kelantan dan Ali melakukan serangan yang serentak ke arah Agam. Saya lihat Agam begitu tangkas mengelakkan serangan yang datang bertubi-tubi. Agam lebih banyak bertahan dari melakukan serangan.

Agam berusaha dengan sedaya upaya, agar orang yang menyerangnya tidak cedera. Dia lebih suka melihat mereka tewas akibat kepenatan. Ternyata taktik yang digunakan oleh Agam amat berkesan sekali. Ketiga-tiga penyerangnya tercungap-cungap dan terus jatuh ke bumi.

"Aku tak mahu bergaduh, aku sekadar mahu membetulkan kamu dari membuat kerja maksiat, baliklah ke rumah kamu," tutur Agam dengan tenang. Udin Tarzan, lelaki dari Kelantan dan Ali segera bangun. Mereka seperti dipukau mencari lorong untuk pulang ke rumah masing-masing. Tanpa diduga, Udin Tarzan pusing ke kanan lalu mengeluarkan rantai basikal yang diikat pada kayu kecil dari saku seluarnya. Udin Tarzan menerpa ke arah Agam. Dia terus melibaskan rantai basikal ke badan Agam.

Aneh, walaupun mata rantai basikal itu membelit ke tubuhnya tetapi, Agam tetap tenang dan tubuhnya tidak mengalami sebarang kecacatan. Tubuh Udin Tarzan menggeletar, dia jadi panik bila melihat mata rantai basikal relai, jatuh ke bumi dalam bentuk ketulan hitam yang kecil macam tahi kambing. Udin Tarzan terus buka langkah seribu. Langgar tunggul dan akar hingga jatuh tunggang langgang. Dia tetap bangun dan terus lari.

Bahu Agam dipaut dengan kuatnya dari belakang. Sukar untuknya menoleh ke kiri dan ke kanan. Pautan itu seperti mencengkam dan terbenam dalam kulit tubuhnya. Agam yakin cengkaman itu bukannya dari jari jemari manusia.

"Kamu belum tahu siapa aku. Kamu mencari penyakit datang ke tempat aku", suara parau dan keras menendang gegendang telnnga Agam. Serentak dengan itu cengkaman yang singgah di bahunya berakhir. Dia segera memusingkan tubuh dan wajahnya menatap orang yang bersuara.

"Kamu tahu belum ada orang yang berani kacau aku. Ketua kampung penghulu dan ketua balai polis di sini tak berani kacau aku. Kenapa kamu pula yang sibuk?"

Sebagai orang Islam aku berhak memberitahu atau membetulkan kesilapan yang kamu buat."

"Apa kesilapan yang aku lakukan?"

"Kamu bapak maksiat!", ucap Agam lantang.

"Biadap!", sergah lelaki ketua Udin Tarzan. Agam tidak menjawab kutukan itu. Dia termenung sejenak. Macam ada sesuatu yang difikirkannya. Agam mengambil keputusan tidak mahu berkeras dengan lelaki berbadan tegap. Tingginya hampir enam kaki.

"Nama aku Amjal Kamal", lelaki itu memperkenalkan dirinya. Dia membuka baju yang membalut tubuhnya. Baju yang dicampakkan ke bumi lalu dipijaknya. Kedua belah lengannya penuh dengan tangkal dan azimat. Lelaki itu mengeluarkan sebilah keris pendekar. Dia terus menikam perutnya dengan keris bertubi-tubi. Mata keris terus bengkok. Kulit perutnya tidak tercalar ataupun luka. Lelaki itu mencampakkan kerisnnya yang sudah patah itu ke dalam semak.

"Kau nampak sekarang?", kata AmJal Kamal sambil ketawa. Dia keluarkan pistol dari paha kanannya (pistol itu diikat ke pangkal paha kanan dengan tali guni). Muncung pistol dituamkan ke dahinya. Kemudian dia menarik pemetik pistol. Satu letupan bergema. Amjal terus ketawa. Peluru pistol tidak mendatangkan sebarang kesan. Amjal Kamal terus memecahkan sebiji botol. Kaca dari botol tersebut terus ditelannya.

"Apa kamu sanggup menentang aku? Kalau tak sanggup, eloklah kau pulang. Jangan kacau kerja aku", Amjal Kamal renung muka Agam.

"Kamu memang hebat, tubuh kamu tak makan peluru."

"Kalau sudah tahu, kenapa kamu cari penyakit?”

"Aku bukan mahu mencari penyakit. Aku mahu menyembuhkan penyakit kau.”

"Apa penyakit aku? Cakap!", tanya Amjal Kamal sambil menggosok-gosok pistolnya.

"Kau tamak, tak pernah puas. Tak mahu ingatkan Allah. Kamu harus tahu, bila tamak dah menguasai diri kamu, kamu lupa diri sendiri lalu mahu menyesatkan orang lain.”

"Kurang ajar!”

"Ya, aku nak ajar kamu. Tangkai dan azimat tidak dapat menentang kuasa Allah. Mulai hari ini, kamu jangan buka gelanggang di sini. Sebaik-baiknya kau berambus dari sini", Agam memberi amaran.

SABAR

Sampai di sini, Amjal Kamal sudah tidak menahan sabar. Dia segera menatang muncung pistol ke arah Agam. Beberapa saat kemudian terdengar letupan yang berturut-turut. Anehnya, pepohon di kiri kanan Agam jadi sasaran peluru pistol Amjal Kamal. Agam tidak mengalami sebarang kecederaan. Amjal Kamal renung kiri kanan. Dia mencampakkan pistol ke arah kami. Jatuh betul-betul di depan Najib dan terus meletup. Najib menjerit dan terus jatuh pengsan. Saya yang tidak tahu untuk berbuat sesuatu segera keluar dari tempat persembunyian. Agam mendekati saya tanpa membuang masa. Saya segera memberitahu padanya apa yang telah terjadi.

"Kau jangan ke mana-mana, sebentar lagi kawan kamu akan sedar dari pengsan", katanya pada saya. Sebaik sahaja saya anggukkan kepala, Agam kembali merenung kearah Amjal Kamal yang sedang membawa sebatang besi. Saya tidak tahu dari mana Amjal Kamal memperolehi besi itu. Amjal Kamal terus mendekati Agam. Saya lihat, Agam bersedia untuk menghadapi sebarang kemungkinan. Dia biar Amjal Kamal mendekatinya. Bila Amjal Kamal angkat besi untuk memukul kepalanya, Agam menampar bumi. Besi di tangan Amjal Kamal terlepas.

"Kamu memang handal tapi...", Amjal Kamal tidak dapat meneruskan kata-katanya. Dia terus melepaskan satu tendangan yang kencang ke arah Agam. Amjal Kamal membuka silat Siam. Agam tetap bertenang dan menepis setiap serangan yang datang. Usaha Amjal Kamal untuk menewaskan Agam dengan kekasaran tidak berhasil. Kali ini, Amjal Kamal menggunakan ilmu kebatinannya untuk menundukkan Agam. Mereka berdiri bertentangan. Masing-masing memeluk tubuh. Agam memberi isyarat tangan pada saya supaya kembali ke tempat persembunyian. Bila saya sampai ke tempat tersebut, saya dapati Najib sudah pun sedar dari pengsan.

Dalam keadaan yang kelam-kabut itu saya terdengar bunyi petir dan diikuti dengan gumpalan asap hitam berkumpul di tengah gelanggang sabung ayam. Dari gumpalan asap itu keluar percikan bunga api yang menuju ke arah tubuh Agam. Pelik, bila percikan bunga api mahu mengenai tubuh Agam, percikan itu segera berpatah balik ke dalam gumpalan asap dan terus hilang.

Muka Agam kelihatan berpeluh. Agam terus menajamkan kedua belah bibirnya sambil menghembuskan udara yang berkumpul dalam mulutnya ke arah gumpalan asap. Dengan sekelip mata asap tebal itu terus hilang. Apa yang saya dan Najib lihat ialah, lengan kanan Amjal Kamal ditumbuhi bulu macam bulu orang utan. Kukunya panjang macam kuku harimau tetapi, tangan kirinya tetap macam biasa. Muka sebelah kiri Amjal Kamal berubah bentuk iaitu kelihatan sama, tidak ada hidung, tidak ada mata, pipi dan bibir. Kelihatan rata macam papan yang sudah diketam. Amjal Kamal berdiri kaku macam patung batu. Dari bahagian belakangnya kelihatan kepulan asap yang menipis. Dada saya terus berdebar dan saya segera menoleh ke arah Najib. Dia kelihatan tergamam.

"Tamar, apa yang kita lihat benar-benar terjadi?”. tanya Najib.

"Ya, aku yakin Amjal Kamal banyak ilmu dunianya, kebal dengan sihir. Dia melindungi syaitan", bisik saya ke telinga Najib. Sebaik sahaja saya selesai mengucapkan kata-kata tersebut, bulu tengkuk saya segera menegak. Badan terus menggeletar. Saya pun segera membaca beberapa ayat suci untuk menghalau syaitan.

"Lihat, Tamar", Najib cuit bahu kanan saya. Tanpa membuang masa, saya renung ke arah Agam yang sedang menumpukan seluruh biji matanya ke arah tubuh Amjal Kamal. Setiap kali Agam menggerakkan kelopak matanya, tangkal di leher Amjal Kamal putus sendiri. Jatuh ke bumi lalu terbakar. Bila Agam gerakkan lehernya ke kanan. Azimat atau tangkal yang membelit di lengan Amjal Kamal segera relai menjadi habuk yang akhirnya berterbangan entah ke mana dibawa angin.

"Heiiiii...”, Amjal Kamal bertempik. Tangannya yang bertali diangkatnya tinggi-tinggi. Dalam sekelip mata sahaja, dia menjatuhkan dirinya ke bumi. Amjal Kamal menyondolkan mukanya ke tanah. Tidak ubah macam babi menyondol batas ubi keledek. Agam tetap tenang melihat keadaan yang amat ganjil itu. Semua gerak-geri Amjal Kamal diikuti dengan penuh teliti. Agam meramas-ramas jari-jemari tangan kanannya. Dia menarik nafas panjang, kelima-lima jari-jemari tangan kanannya menutup mata sebelah kirinya.

"Heiiiii...”, lagi sekali suara jeritan Amjal Kamal bergema menguasai kawasan hutan tersebut. Serentak dengan itu dia terus melompat dan berdiri lurus. Saya lihat wajahnya ke arah Agam. Dan tanpa disangka-sangka, Agam jatuh terlentang. Kedua belah kaki Agam terangkat dan badannya berpusing-pusing di bumi, macam ada tenaga ghaib yang memusingkannya. Saya dan Najib terpaku melihat keadaan yang tidak pernah kami fikirkan selama ini. Biasanya, keadaan seperti ini wujud dalam filem yang bertemakan kisah zaman purba.

Tamar", Najib seperti berbisik.

"Kenapa, Jib?", tanya saya perlahan-lahan.

"Aku dengar macam ada šuara orang sedang azan", jawab Najib. Matanya tetap liar. Renung kiri renung kanan.

"Aku juga dengar Jib.”

"Di sini tak ada masjid, siapa pula yang azan tu. Waktu Asar pun belum masuk", Najib bersuara penuh keraguan.

"Sudahlah, jangan fikirkan. Itu kerja makhluk Allah, asalkan jangan ganggu kita sudah cukup.”

"Aku tak puas hati kalau tak tahu Tamar.”

"Kau jangan merepek", suara saya keras lalu menutup mulut Najib dengan telapak tangan kiri.

KASAR

Saya bersyukur pada Allah, tindakan saya yang agak kasar itu, tidak menyinggung perasaan Najib. Dia menerima semuanya itu sebagai satu perintah yang wajib dipatuhi. Kami segera mengarahkan biji mata kami ke arah Agam dan Amjal Kamal kembali. Saya lihat Agam sudah pun berdiri. Saya tidak tahu bagaimana dia bangun. Suara azan yang mengusik gegendang telinga saya dan Najib terus ghaib entah ke mana. Agam dan Amjal Kamal bertentang wajah.
Kedua-duanya memeluk tubuh. Antara Amjal Kamal dan Agam, ternyata Amjal Kamal lebih hebat. Ulas-ulas lengannya kelihatan berketul-ketul. Dadanya nampak bidang dengan rambut panjang hitam terkandar atas sayap bahunya. Saya lihat dada bidang Amjal Kamal kelihatan berombak-ombak ketika dia menarik dan melepaskan nafas. Dari gerak-gerinya itu ternyata Amjal Kamal menggunakan semua ilmu batin yang diketahuinya untuk menentang Agam.

"Aku tak mahu apa-apa dari kamu. Aku tidak mahu berlawan. Aku minta kau tinggalkan tempat ini", suara Agam lembut penuh sopan.

"Kau tak berhak menahan apa juga keinginanku", cukup angkuh suara Amjal Kamal. Tangan kanannya merayap atas bahu kiri. Dia terus memulas hujung rambut. Setiap kali hujung rambutnya dipulas, Agam menjerit kesakitan. Macam ada benda tajam yang menusuk tiap sendi Agam.

"Aku merayu, tinggalkan tempat ini," ujar Agam dalam kesakitan.

"Tidak ", suara Amjal Kamal keras. Dia terus memintal-mintal hujung rambutnya. Agam terus mengerang kesakitan. Saya lihat kedua belah kaki Agam tidak mampu menahan tubuhnya. Dia jatuh perlahan-lahan dan terduduk atas bumi. Dari lubang hidung dan mulutnya keluar air macam air liur.

"Allahu akbar", suara Agam meninggi. Serentak dengan itu saya lihat dia bertenaga kembali. Agam bagaikan mendapat satu tenaga ghaib. Air yang keluar dari mulut dan hidung berhenti terus. Agam menggosok-gosok kedua belah telapak tangannya. Saya lihat bibir Agam bergerak-gerak macam membaca sesuatu. Tangan kirinya menepuk bumi dua kali. Amjal Kamal terus ketawa, dia seolah-olah mempersendakan apa yang dilakukan oleh Agam.

"Aku merayu kepada kamu, tinggalkan tempat ini", Agam mohon belas ikhsan dari Amjal Kamal. Ternyata Amjal Kamal tidak berganjak dari keputusannya. Agam terus duduk bersila di bumi. Saya dongakkan kepala melihat beberapa ekor burung belatuk mematuk batang meranti yang sudah mati. Saya terasa aneh, belum pernah saya melihat burung belatuk begitu banyak. Beberapa helai daun tua mula gugur ke bumi dirempuh angin. Saya lihat langit begitu cerah dengan gumpalan awan putih bersih berarak lembut ke arah selatan.

"Ini hutan, tak ada manusia yang diam di sini, sudahlah kau jangan merepek", Amjal Kamal terus mempersendakan Agam. Dia yakin, Agam akan tunduk padanya. Amjal Kamal mengambil seketul kayu lalu dibalingkan ke arah Agam. Saya dan Najib terpampan, bila melihat kayu yang dibalingkan ke arah Agam tidak menuju ke sasarannya. Kayu itu berpusing-pusing di udara untuk seketika kemudian hancur menjadi serbuk.

"Kau nak tunjuk kehebatan kamu?", Amjal Kamal jadi marah.

"Tidak, semuanya atas kehendak Allah. Aku berdoa pada Allah supaya diberikan perlindungan."

"Hiss kamu", Amjal Kamal melompat dan menerkam ke arah Agam. Cepat-cepat Agam mengangkat tangan kanannya. Amjal Kamal terpekik. Dia tidak dapat bergerak ke mana-mana, terapung-apung di udara. Agam menurunkan tangannya perlahan-lahan. Tubuh Amjal Kamal yang terapung-apung di udara turut sama bergerak perlahan-lahan ke permukaan bumi. Bila telapak tangan Agam bertemu dengan bumi, tubuh Amjal Kamal terletak atas tanah.

"Aku minta kamu berhenti dari membuat kerja maksiat", kata Agam masih berlembut.

"Itu urusan aku."

"Ya, aku tahu itu urusan kamu tapi...", Agam berhenti bercakap.

"Tapi apa, manusia laknat?"

"Orang-orang yang berjudi di sini sudah mengotorkan masjid dan surau tempat kami beribadat. Mereka kencing dan berak ikut suka hati."

"Kamu bohong!", bantah Amjal Kamal.

"Baik, aku buktikan", Agam merenung ke arah sebelah kiri. Tidak ada apa-apa yang dapat dilihat kecuali hutan kecil dengan pohon yang menghijau.

"Aku bukannya budak-budak", Amjal Kamal menepuk dada dan meludah ke arah Agam. Tiba-tiba saya dan Najib terdengar bunyi suara orang membaca ayat-ayat suci. Saya amati pembacaan itu dengan teliti. Saya kagum, pembacaan itu memang betul, samada dari segi tajuwid, tekanan suara dan dengung. Pembacaan yang sempurna itu membuat saya terpesona.

0 comments:

Related Posts with Thumbnails

Followers