Pages

Monday, July 26, 2010

49. Rahsia Sebuah Kolam

Secebis kain hitam berbucu tiga dikeluarkannya. Datuk tahan nafas sambil bibirnya bergerak-gerak. Perlahan-lahan datuk membuka tapak tangan kanannya dan kain hitam itu digosoknya berkali-kali di tapak tangan. Setiap kali datuk gosok tapak tangan dengan kain hitam, kaca-kaca halus, dan serbuk dari miang buluh bergerak dan berkumpul di ruang tengah bilik.

"Kau warisi ibu santau ini dari ayah kamu? Setiap kali ada orang yang kau santau ibu santau ini akan bcrtambah, bila tidak ada orang yang kau korbankan dia akan susut?", datuk ajukan pertanyaan pada Dumba. Saya lihat Dumba anggukkan kepala.

"Kau mahu melupa dan membuangkan ilmu yang kau tuntut ini Dumba?"

"Ya."

"Secara rela atas keinsafan bahawa ilmu syaitan ini tidak diberkati oleh Allah atau secara terpaksa?"

"Secara ikhlas, saya mahu kembali ke jalan Allah, saya mahu amal ibadah saya diterima oleh Allah. Sekarang saya sembahyang dan puasa, ikut semua perintah Allah tetapi, saya membuat perkara yang ditegahnya."

Mendengar kata-kata Dumba itu, datuk terus renung wajah saya. Beberapa saat datuk melagakan gigi atasnya dengan gigi bawah beberapa kali, sambil mengecilkan mata kanannya. Bola matanya yang terlindung oleh kelopak mata merenung jauh ke arah tertentu yang sukar saya gambarkan. Saya yakin, apa yang datuk lakukan itu adalah satu sorotan secara kebatinan ke dalam hati kecil Dumba.

"Kau ikhlas Dumba?"

"Ya, saya mahu bertaubat', ujar Dumba sambil menangis.

Bila tangisan Dumba berakhir, terdengar satu ledakan petir yang amat kuat. Lantai tempat kami duduk bergegar. Muka meja yang dibuat dari anyaman buluh berkecai atas lantai. Saya menerpa ke pintu. Daun pintu saya tolak, saya lihat suasana di luar tetap tenang. Matahari bersinar dengan baik, tidak ada hujan dan pekerja-pekerja di kedai itu tidak kelihatan cemas, mereka tidak mendengar bunyi ledakan petir.

Daun pintu saya rapatkan kembali. Berdiri di situ sambil merenung ke arah Dumba dan datuk yang duduk berhadapan. Kedua belah tapak tangan kiri mereka bercantum. Mereka bersalam dalam keadaan yang luar biasa sekali. Setahu saya, bersalam dengan tangan kiri hanya dilakukan oleh anggota-anggota pengakap saja. Mereka bangun perlahan-Iahan, macam orang membuka bunga silat di gelanggang. Tangan yang berjabat tidak juga terbuka. Sekarang mereka sudah berdiri dengan betul. Berpandang wajah dan bertentang mata.

Datuk menekan telapak tangan kirinya pada telapak tangan kiri Dumba. Dan Dumba terus mempertahankan dengan penuh tenaga supaya dia tidak jatuh. Tiba-tiba Dumba mengeluh dan badannya kian merendah. Dia tidak berjaya memisahkan telapak tangan kirinya yang bagaikan bercantum dengan telapak tangan kiri datuk. Dumba terduduk dan datuk segera menarik telapak tangan kirinya. Bila telapak tangan kiri datuk berpisah dengan Dumba, muka datuk kelihatan berpeluh.

"Sampai saat-saat begini, kau masih mahu menguji aku Dumba?"

"Saya tidak berniat begitu tetapi, saya bagaikan dipaksa berbuat begitu."

"Sebagai manusia yang ada pengalaman dalam hal ini, kau tentu dapal merasakan dari arah mana perintah tersembunyi itu datang?"

"Dari sebelah kanan."

"Aku rasa, kekuatan itu mengikut tekanan angin yang bertiup dari sebelah kanan badan kau Dumba."

"Ya."

Datuk terus menekan pangkal belikat kirinya. Kemudian datuk terus duduk bersila panggung. Tumit kaki kanannya yang menindih kaki kiri dirapatkan ke pangkal pusat. Dengan meluruskan tangan kiri, datuk menekan hujung jari kaki kanan dengan jari kaki kiri. Cara duduknya, tidak ubah seperti pendekar yang mahu memberikan tauliah pada anak murid yang sudah tamat menuntut ilmu silat.

Perlahan-lahan daluk merenung dinding bilik, macam mencari sesuatu. Datuk senyum, apa yang dicarinya sudah ditemui. Datuk menggamit saya yang masih berdiri dekat pintu. Saya segera datang dan duduk di sisinya.

"Apa yang aku duga memang tidak lari, ada lubang rahsia unluk angin masuk ke dalam. Kenapa ini kau rahsiakan dari aku Dumba?", suara datuk meninggi. Dia tidak merenung ke wajah Dumba.

"Saya sebenarnya tidak tahu", balas Dumba.

Datuk termenung panjang. Dia anggukkan kepala beberapa kali, bagaikan setuju dengan apa yang dicakapkan oleh Dumba itu. Datuk meluruskan badannya seketika. Perlahan-lahan dia memusingkan badannya lalu berhadapan dengan dinding rumah.

"Dumba, kau rapat ke dinding mengikut arahan telunjuk aku", kata datuk sambil menuding jari telunjuk ke dinding. Dumba bangun dan mematuhi cakap datuk.

"Tutupkan lubang itu dengan kain ini", sambung datuk lagi sambil melemparkan secebis kain kuning sebesar dua jari pada Dumba. Dumba sambut kain tersebut sambil anggukkan kepala.

"Sumbat cepat", ujar datuk lagi dalam nada suara yang agak meninggi. Puas Dumba mencari lubang yang dikatakan itu tidak juga ditemuinya.

"Kau duduk di situ dan mengisut perlahan-lahan ke arah dinding, bila aku kata berhenti kau berhenti", arahan yang dikeluarkan oleh datuk dipatuhi oleh Dumba dengan hormat. Dumba pun mengisut. Lebih kurang dalam jarak satu kaki mahu sampai ke tepi dinding, datuk menyuruh Dumba berhenti mengisut.

Satu arahan lagi datuk keluarkan untuk Dumha. Datuk suruh Dumba hulurkan tangan kanannya yang memegang kain kuning ke depan. Dumba lakukan dengan teliti hingga telapak tangannya yang mengenggam kain kuning itu bertemu dengan dinding. Dumba terkejut besar, dia berhadapan dengan satu lubang kecil sebesar wang siling lima puluh sen. Aneh, sudah bertahun-tahun aku gunakan bilik ini, tetapi aku tidak tahu yang dinding ini berlubang, bisik hati kecil Dumba. Keningnya kelihatan berkerut.

"Sumbat lubang tu', pekik datuk. Dumba segera menyumbat lubang itu dengan kain kuning. Tiba-tiba saya dapati seluruh ruang bilik jadi gelap gelita buat beberapa saat. Bila keadaan kembali terang, Dumba segera mendapatkan datuk kembali.

"Saya tahu sekarang, bila saya duduk dengan membelakangai dinding tersebut, saya selalu merasai diri saya ini cukup bertenaga dan mampu melakukan apa saja", Dumba menyatakan pada datuk. Saya lihat datuk tersenyum. Tanpa menyebut sesuatu datuk terus bangun. Melangkah ke tengah ruang bilik. Berdiri di situ dengan kedua belah tangannya memeluk tubuh. Matanya merenung tajam pada serbuk kaca, rambut dan serbuk dari miang buluh yang berkumpul di situ. Lama juga datuk merenung benda-benda ganjil itu, serbuk kaca kelihatan berkilau-kilauan.

"Carikan aku besi berlubang sepanjang enam inci Dumba", datuk mohon pertolongan dari Dumba. Tanpa membuang masa Dumba terus menuju ke arah peti hitam yang terletak di sudut bilik. Bila penutup peti hitam yang dibuat dari kayu Medang Sawa itu dibuka, kelihatan kepul asap yang nipis naik ke udara. Tanpa memperdulikan kepulan asap terscbut, Dumba hulurkan tangan kedalam peti tersebut. Dia berjaya mengambil dan mengeluarkan besi bulat sepanjang enam inci. Dengan tenang dia melangkah menghampiri datuk dan serahkan besi itu pada datuk. Dengan menggunakan kain hitam sebagai lapik telapak tangan, datuk menerima besi tersebut.

"Memang bekas asalnya", suara datuk merendah sambil merenung besi tersebut dari hujung ke pangkal beberapa kali.

"Memang betul", jawab Dumba.

"Dulu kau menerimanya dengan menggunakan besi ini, dan sekarang kita matikan kekuatannya dengan besi ini", balas datuk.

"Saya mengikut saja"

"Itu yang aku harapkan dari kau Dumba"

Datuk terus membongkok sambil menyumbat sesuatu ke pangkal besi bulat tersebut. Besi bulat sepanjang enam inci itu diletakkan bcrdekatan dengan scrbuk kaca, rambut dan miang buluh. Datuk tegakkan badannya kembali. Berdiri dengan meletakkan telapak tangan kanan ke atas bahu kiri. Kaki kanannya dilangkah setapak ke depan. Datuk jatuhkan tangan kanan seperti keadaan asal. Lagi sekali datuk membongkok dan memusingkan badannya melepasi longgokan serbuk kaca, rambut dan miang buluh. Datuk meniarap atas lantai.

Perlahan-lahan dia menghembus benda-benda tersebut dan dengan perlahan-lahan pula benda-benda itu bergerak dan terus masuk ke dalam lubang bcsi sepanjang enam inci itu.
Bila semua benda-benda itu berada dalam lubang, datuk segera menyumbat bahagian pangkal lubang besi itu dengan segumpal kain hitam. Saya terkejut, dengan tiba-tiba sahaja besi sepanjang enam inci itu menjadi merah, seperti besi yang dibakar. Datuk membiarkan besi itu disitu. Bila besi itu menjadi hitam macam kayu arang, barulah datuk mengambilnya dengan menggunakan kain hitam juga.

"Ke mari Tamar", kata datuk. Saya segera menghampirinya dan Dumba yang tidak dipanggil juga ikut menghampirinya. Datuk memandang wajah kami dengan tenang.

"Cuba lihat"

Biji mata saya dan Dumba tertumpu pada tempat yang ditunjukkan oleh datuk. Saya gelengkan kepala beberaopa kali sambil menggigit lidah.

"Terbakar", kata Dumba.

"Mestilah, ini menunjukkan betapa bisanya ibu santau yang kau simpan, tempat habuk-habuk itu berkumpul jadi macam arang", balas datuk. Dumba terdiam seketika. Wajahnya mempamerkan rasa kesal.

"Serbuk santau ini, bila dah masuk ke dalam tubuh manusia semua saluran darah jadi rosak, kau tengok Dumba betapa tidak baiknya santau kepada manusia". Dumba hanya menggigit bibir mendengar cakap datuk itu. Saya anggukkan kepala beberapa kali.

Tanpa membuang masa lagi, datuk terus memasukkan besi sepanjang enam inci ke dalam buluh kuning yang panjangnya kira-kira satu kaki, ukuran lubang buluh itu kira-kira satu hingga dua inci. Datuk balut buluh kuning itu dengan kain hitam. Buluh kuning itu datuk perolehi dari dalam bilik itu juga. Datuk letakkan buluh kuning yang sudah berbalut itu atas peti hitam.

"Aku harap semuanya sudah selesai segala petua dan langkah sudah aku buat sebaik-baiknya, kalau ada ujian dari syaitan kita hadapi bersama", dengan tenang datuk menujukan kata-kata itu pada Dumba. Datuk terus melangkah ke pintu. Dia buka daun pintu lebar-lebar. Datuk berdiri disitu merenung ke langit. Daun pintu datuk rapatkan kembali. Semua gerak-geri datuk diperhatikan oleh Dumba dengan ekor matanya. Saya kira, Dumba belum begitu yakin dengan niat datuk untuk berbuat baik dengannya.

"Meniarap", pekik datuk dengan sekuat hati.

Bagaikan ada satu kuasa yang mendorongkan saya merebahkan badan dengan begitu pantas atas lantai. Dumba juga demikian. Bila saya renung arah datuk saya dapati datuk juga sudah merapatkan badannya atas lantai. Ketika itu juga saya terdengar deru angin yang cukup kuat dalam bilik tersebut, angin itu berpusing-pusing dalam empat penjuru bilik. Semua yang berada dalam bilik tersebut berterbangan. Bila bunyi deru angin itu berakhir, saya terdengar bunyi suara ledakkan yang tidak berapa kuat.

"Bangun", kata datuk.

Saya dan Dumba segera bangun. Ketika itu juga saya lihat pintu bilik terbuka dengan lebarnya, beberapa keping kertas melayang-layang keluar ikut pintu tersebut. Bila keadaan sudah kembali tenang, datuk segera menghampiri saya dan Dumba. Secara mendadak saja, hati saya menjadi cemas dan berdebar tidak menentu. Perkara yang tidak pernah saya fikirkan, berlaku di hadapan mata saya sendiri. Dumba menangis teresak-esak sambil memaut lutut datuk.

"Jangan buat begitu Dumba, cara yang kau lakukan ini seperti menyembah dan mendewa-dewakan aku, perbuatan ini salah, tidak ada yang mulia di antara kita, kerana kita semuanya hamba Allah", kata datuk.

Ternyata Dumba tidak menghiraukan kata-kata datuk itu. Dia terus memeluk lutut datuk. Dengan kasar datuk menolak Dumba hingga terlentang atas lantai. Dumba berguling-guling sambil menangis. Saya jadi kelam-kabut melihat keadaan yang serba ganjil itu. Datuk yang tadi kelihatan tenang dan lembut segera bertindak agak kasar. Tangan kanan Dumba disambarnya serta dipulaskannya ke belakang.

"Apa kena kau Dumba?"

"Masanya sudah sampai"

"Apa yang sampai?"

"Saya akan mati tuan, hari ini saya akan mati tuan"

"Mana kau tahu?"

"Saya tahu tuan, bila besi yang saya berikan pada tuan tadi dimasukkan ke dalam buluh kuning, kuasanya akan hilang. Ayah saya dulu, secara tidak sengaja telah memasukkan besi itu ke dalam buluh kuning, akhirnya dia mati dibunuh orang."

Datuk terus menggigit bibir sambil mengerutkan keningnya. Dia jadi serba salah bila berhadapan dengan orang yang teguh keyakinannya pada sesuatu perkara yang tidak berasas. Datuk sedar keyakinan yang ada dalam diri Dumba itu secara tidak langsung menafikan kekuasaan Allah. Meskipun tangan Dumba dipulas agak kuat, kesannya tidak ada pada Dumba. Dia terus meronta-ronta seolah-olah dia tidak mengalami sebarang rasa sakit.

Dalam saat-saat yang mencemaskan itu, saya lihat datuk terus membaca surah Al-Fatihah beberapa kali. Kemudian datuk merapatkan mulutnya ke telinga Dumba sambil membaca surah Al-Ikhlas. Sebaik saja ayat-ayat dari surah itu tersebut datuk tamatkan, saya lihat Dumba terdiam. Tidak menangis dan tidak meronta-ronta lagi.

"Dumba"

"Ya"

"Tahukah kau ajal maut seseorang terletak pada Allah, tidak ada manusia di dunia ini boleh menentukan tarikh kematian seseorang, walaupun orang itu pandai melangit, kaya dengan ilmu batin, kaya dengan seribu petua dan langkah."

"Tetapi, ayah saya sudah membuktikan kebenaran itu."

"Itu terjadi secara kebetulan saja, kalau ayah awak tidak memasukkan besi itu ke dalam buluh kuning, dia akan mati juga, kerana janjinya sudah sampai", datuk melepaskan tangan Dumba dan termenung sejenak. Sepasang matanya merenung wajah datuk.

"Dumba, memang menjadi tabiat orang-orang Melayu yang mengamalkan ilmu dunia, perkara yang berlaku secara kebetulan itu dianggap sebagai perkara yang benar dan mesti, mereka sudah melupakan kebesaran Allah, akal fikiran yang diberikan oleh Allah pada mereka tidak dimanfaatkan dengan sebaik-baiknya, di sinilah syaitan memesongkan iktikad kita sebagai orang Islam", datuk memberikan ceramah singkat.

Saya lihat Dumba terdiam. Dia sandarkan badannya ke dinding sambil melihat pokok-pokok buluh di dalam biliknya yang sudah lintang-pukang kedudukannya. Daun buluh juga sudah kelihatan layu. Datuk segera bangun lalu mengambil buluh kuning yang terletak atas peti hitam. Buluh kuning itu diletakkan di celah ketiak kirinya.

"Mari kita selesaikan kerja ni, Dumba."

"Ke mana lagi tuan."

"Jangan panggil aku tuan, panggil nama atau kawan kawan saja', ujar datuk sambil melangkah ke pintu. Saya segera bangun begitu juga dengan Dumba. Sampai di muka pintu, datuk berhenti sebentar. Dia merenung ke arah saya dan Dumba.

"Ke mana kita nak pergi?", soal Dumba dengan nada suara yang agak cemas.

"Ke hutan mencari kolam tinggal untuk membuang ini", balas datuk sambil menunjukkan buluh kuning yang terkapit di celah ketiaknya.

Tanpa membuang masa lagi kami keluar dari bilik khas Dumba yang terlelak di bahagian belakang kedainya. Ketika melintas di ruang kedai, saya lihat ramai juga orang yang minum kopi di situ. Dumba terus menemui salah seorang pekerja sambil bercakap sesuatu. Lepas itu Dumba kembali mengekori datuk hingga ke tepi jalanraya. Datuk merenung ke langit lagi.

"Cuaca baik", katanya.

"Ke mana kita nak pergi tuk?"

"Ke bukit sana", telunjuk datuk mengarah ke sebuah bukit yang letaknya cukup jauh, nampaknya berbalam-balam dari tepi jalan.

Saya mula membayangkan tentang kcsusahan yang akan dialami untuk sampai ke tempat tersebut. Saya terbayangkan pacat gunung yang laparkan darah, saya terbayang binatang-binatang buas dan akar-akar kayu. Mahu saja saya mencadangkan pada datuk, supaya membatalkan hasratnya itu. Tetapi, saya tidak berani menyuarakannya pada datuk.

"Mari, jangan buang masa lagi", datuk pun melangkahkan kaki kanannya. Saya dan Dumba juga melangkah tetapi saya tidak berapa pasti sama ada saya melangkah kaki kanan atau kaki kiri dulu. Bagi saya, kaki kanan atau kiri tetap sama. Pokoknya, mesti sampai ke tempat yang dituju. Itu pendapat saya, pendapat seorang cucu yang berani-berani takut dengan datuknya. Satu sikap yang tidak wajar wujud dalam diri seseorang yang mahu menjadi orang berilmu macam datuk. Kerana itu agaknya, saya tidak punya cita-cita walau sebesar biji saga untuk jadi macam datuk. Tetapi, saya terhibur mengikutinya ke mana-mana.

Lebih kurang setengah batu kami berjalan kaki di tepi jalan raya menuju ke arah Tajung Malim. Sampailah kami di satu selekoh berdekatan dengan sebuah bukit kecil, datuk menyuruh kami berhenti berjalan.

"Kita masuk ikut ini", kata datuk.

"Awak tahu jalannya?", tanya Dumba.

"Ikut saja cakap saya", balas datuk sambil tersenyum memandang ke arah saya. Saya keberatan sekali untuk melangkah kaki masuk ke dalam hutan kecil di tepi jalan yang dipenuhi dengan rimbunan pokok-pokok yang subur. Beberapa orang pemandu kenderaan yang lalu dijalanraya merenung ke arah kami yang berdiri di tepi jalan. Mereka merasa hairan melihat kami herdiri di situ sambil merenung ke bukit kecil. Badan saya mula berpeluh dipanah matahari yang cukup terik. Melihat kedudukan matahari ketika itu, saya meramalkan sudah hampir pukul dua belas tengahari.

"Mari", datuk terus menarik tangan saya ke dalam hutan kecil. Dumba mengikut dari belakang. Lebih kurang dua puluh minit bcrjalan, saya sudah tidak mendengar bunyi kenderaan di jalanraya. Kiri kanan saya di penuhi dcngan pokok-pokok besar yang tinggi. Cuaca agak lembab, sinar matahari tidak dapat menembusi kawasan yang kami lalui kerana dilindungi oleh pokok-pokok besar. Suara burung liar bersahut-sahutan, di samping suara reriang rimba yang memanjang dan menyeramkan. Perjalanan saya tidak begitu lancar, saya terpaksa melangkah dengan hati-hati supaya tidak tersepakkan akar-akar rotan, dan kayu yang menjalar di situ.

Saya lihat Dumba tidak mengalami masalah seperti yang saya hadapi. Dia melangkah dengan rancak dan bersemangat. Tetapi, wajahnya sentiasa dibayangi rasa cemas, sesekali dia mengeluh macam orang yang putus asa. Datuk terus juga melangkah tanpa memperdulikan keadaan diri saya dan Dumba. Dia tidak mahu ambil tahu sama ada kami merasa dahaga atau letih. Perjalanan menuju ke bukit tersebut kian sukar. Dua tiga kali saya terjatuh terlanggar akar kayu. Nyamuk hutan yang besar, kian ganas menyerang saya dan Dumba. Suara nyamuk itu cukup nyaring dan kuat sekali.

"Dahaga, saya dahaga tuk", jerit saya. Datuk mematikan langkahnya lalu menghampiri ke pokok besar yang berjuntaian dengan akar-akar sebesar lengan budak. Salah satu akar itu datuk potong dengan golok.

"Mari minum", katanya sambil menghulurkan akar yang mengeluarkan air yang jernih itu kepada saya. Air dari akar kayu itu terus saya sedut hingga rasa dahaga hilang. Dumba juga melepaskan rasa dahaganya seperti yang saya lakukan tetapi datuk tidak berbuat demikian. Dia cuma membasuhi muka saja.

"Jauhkah lagi tuk?", tanya saya.

"Tak jauh lagi, kira-kira selari angin saja."

"Selari angin tu apa dia tuk?"

"Jarak selari angin tu, kira dua batu lagi", terang datuk sambil ketawa. Saya dan Dumba mengeluh, dua batu berjalan dalam hutan bukanlah satu perkara yang senang.

"Jangan duduk lama sangat, mari kita pergi sekarang", sebaik saja mendengar cakap datuk itu, saya dan Dumba segera bangun dan meneruskan perjalanan dalam hutan yang tidak berapa saya senangi itu. Saya menyumpah-nyumpah dalam hati bila saya terpaksa mendaki bukit yang dilerengnya dipenuhi dengan pokok-pokok bertam dan kelubi yang berduri tajam.

Kalau kurang hati-hati melangkah, pasti tergelincir dan jatuh dalam rimbunan pokok bertam dan kelubi. Anda tentu dapat membayangkan betapa sakitnya badan, bila duri-duri yang tajam itu menyucuk daging tubuh saya yang lembut ini.

Setelah bersusah payah mendaki, akhirnya kami sampai ke puncak bukit yang tinggi menjulang itu. Dari puncak bukit itu, saya dapat melihat hutan yang cukup luas menghijau dengan dedaun kayu. Pemandangannya amat menarik dan cantik sekali. Keadaan bertambah menyenangkan, bila angin menyentuh kulit muka dan badan, terasa sejuk dan nyaman sekali. Awan kelihatan berarak dengan tenang, tidak ada suara burung hutan atau monyet, kecuali bunyi deru angin dan sesekali kelihatan burung helang terbang rendah di bawah puncak bukit.

Rasa susah dan penat saya hilang dengan sendirinya bila berhadapan dengan keadaan alam yang begitu indah. Sungguh indah ciptaan Allah keluh batin saya sendirian.

"Kalau tak silap, kita sekarang berada di sempadan antara negeri Pahang dan Selangor." ujar datuk yang tersandar di pangkal pokok besar. Sebaik saja dia bercakap, datuk segera bangun.
Dia berjalan menuju ke arah barat daya tanpa mengajak saya dan Dumba ikut serta. Dalam waktu beberapa minit datuk hilang dari pandangan kami dilindungi oleh pokok-pokok besar yang tumbuh gagah di situ.

Saya dan Dumba berpandangan, bimbang juga dengan tindak-tanduk datuk itu. Rasa bimbang itu hilang bila datuk muncul dengan tiba-tiba dari arah belakang kami.

"Aku dah jumpa kolam tinggal", beritahu datuk pada kami dengan wajah yang riang. Datuk terus mengajak kami menuju ke kolam tersebut.

Jarak kolam tinggal dari tempat mula-mula kami berhenti lebih kurang lima rantai. Kedudukan kolam itu betul-betul berada di tengah puncak bukit, bentukanya macam kawah dan tebingnya agak curam sedikit tanpa ditumbuhi sebarang jenis rumput. Kolam itu tidak berapa besar, panjangnya dianggarkan sepuluh kaki dan lebarnya antara lima hingga enam kaki. Airnya cukup jernih. Bahagian atas tebing kolam itu dikelilingi oleh pokok besar dan bertam. Kerana kolam itu berada di bahagian tengah puncak bukit, airnya dapat menerima sinaran matahari dengan cukup sempurna.

Anehnya, walaupun kolam itu dikelilingi oleh pokok-pokok besar, tidak ada sehelai pun daun dari pokok-pokok tersebut jatuh ke kolam atau tersadai di tebingnya. Saya merasakan kolam itu bagaikan dijaga oleh orang tertentu dengan begitu rapi dan baik sekali. Datuk terus berpusing di bibir kolam itu sebanyak tiga kali. Kemudian, datuk mengambil ranting kering lalu dicampakkan ke dalam kolam. Air dalam kolam berombak.

"Tempat yang sesuai", kata datuk sambil bertinggung dibibir kolam. Sepasang matanya merenung tajam pada air kolam. Dia menajamkan mulutnya sambil menghembus angin.

"Dalam kolam ini tidak ada ikan, kolam ini juga bukan tempat binatang minum", tambah datuk lagi sambil berdiri. Saya dan Dumba berpandangan sama sendiri. Tidak berani menyoal atau bertanya sesuatu pada datuk.

"Kita tidak boleh membuang jenis bisa ke dalam kolam yang jadi tempat binatang minum atau tempat ikan, perbuatan begitu, satu perbuatan yang kejam menyiksa makhluk lain untuk kesenangan diri sendiri, kerana itu aku ajak kau ke mari", datuk berleter lagi.

Dumba terdiam, dia nampak resah tidak menentu, macam ada sesuatu yang menekan perasaannya.

"Semuanya kita tamatkan di sini Dumba, dan kau rela aku melakukan semuanya ini?", datuk mengajukan pertanyaan sambil mcrenung wajah Dumba dengan tepat. Dumba anggukkan kepala sambil menyembunyikan rasa cemasnya dari pengetahuan datuk.

"Kau takut Dumba?"

"Ya, saya kira hidup saya juga akan berakhir di sini."

"Jangan jadi bodoh.", datuk marah dengan tiba-tiba. Suara datuk yang meninggi itu membuat Dumba terkejut. Rasa takut dan cemas hilang dari diri Dumba. Datuk segera mengambil buluh kuning yang tersepit di celah ketiaknya. Buluh itu dijulangnya tiga kali ke udara sambil mulutnya membaca sesuatu. Dengan pantas datuk mencabut sebatang pokok yang besarnya kira-kira sama besar dengan betis budak berusia enam tahun.

Datuk terus mengikat buluh kuning pada bahagian akar pokok tcrsebut dengan tali guni. Kemudian datuk terus membenamkan akar pokok dan bawang kayu ke dalam kolam.
Cara datuk membenamkan pokok tersebut juga agak ganjil, dia tidak perlu masuk ke dalam kolam. Apa yang dibuatnya ialah berlari sebanyak tujuh kali mengelilingi kolam dan akhirnya dia melompat menyeberangi kolam dari sebelah kiri ke kanan.

Bila dia yakin yang dirinya berada betul-betul di tengah-tengah kolam, barulah pokok yang dicabutnya itu ditekan ke dalam perut kolam. Datuk berada betul-betul di bahagian tengah kolam itu tidak lama. Dia berada di situ lebih kurang tiga minit saja. Dan keadaannya seperti orang terbang dengan kedua belah kakinya lurus ke arah tebing kolam, manakala tangannya terus menekan pokok yang masih berdaun itu ke perut kolam dengan penuh tenaga.

Bila tugasnya selesai, datuk memusingkan badannya ke udara dan bergerak ke tepi tebing sebelah kiri. Dia berdiri di situ, seolah-olah dia tidak melakukan sesuatu. Semua kejadian yang saya anggap amat menakjubkan itu berlaku bagaikan mimpi di badapan mata saya dan Dumba. Datuk segera menghampiri kami. Saya lihat pokok yang datuk cacakkan di tengah kolam itu bertukar warna. Daunnya yang hijau segar terus menjadi layu dan kering begitu juga dengan batangnya.

Air dalam kolam yang tadi jernih dan tenang segera bertukar menjadi kelabu dan berbuih, macam buih sabun. Buih-buih itu pula mengeluarkan asap di permukaan kolam. Datuk melihat kejadian itu dengan tenang. Bila asap di permukaan kolam tinggal itu hilang, datuk menyuruh saya mencari pucuk bertam dan kelubi. Dumba pula disuruhnya mencari kulit pokok samak dan kulit jelutung. Kulit pokok itu harus diambil dari arah kanan ke kiri. Semua yang datuk inginkan dapat saya dan Dumba adakan.

Semua ramuan itu datuk biarkan berada daIam kolam selama setengah jam. Bila tempohnya sudah cukup, air kolam kembaIi jernih dan pokok yang yang datuk benamkan di tengah kolam kembaIi segar.

"Dumba, ibu santau yang kau simpan ini akan kekal selama sepuluh keturunan dalam keluarga kau, bisanya macam bisa asal, kau sudah membuangnya dan ibu santau tidak akan mencari sesiapa untuk jadi tuannya", terang datuk pada Dumba.

Saya lihat Dumba menarik nafas panjang. Dia terus memeluk datuk dengan eratnya. Datuk terus menepuk-nepuk bahunya elengan penuh mesra.

"Saya terlepas dari kuasa syaitan, saya harap keturunan saya yang akan datang tidak akan jadi pembunuh akibat mewarisi ilmu santau yang tidak pernah saya minta", kata Dumba sambil mengesat air mata.

Datuk terus menasihatkan Dumba supaya bertenang. Terharu juga perasaan saya melihat peristiwa yang terjadi di antara Dumba dengan datuk di tengah hutan itu. Bila keadaan sudah tenang datuk mengambil pucuk bertam, kelubi dan kulit pokok samak serta kulit pokok jelutung. Datuk mengambil dengan tangan sambil memasukkan separuh dari kakinya ke dalam kolam.

"Dengan izin Allah yang maha besar, kerja aku berjaya", suara datuk lemah. Dia terus membaca Al-Fatihah dan doa kesyukuran.

0 comments:

Related Posts with Thumbnails

Followers