Pages

Monday, July 26, 2010

62. Puja Kubur

Datuk dan Haji Salim terus merenung ke tanah perkuburan yang dipenuhi dengan pokok-pokok kecil. Batu nisan yang dibuat dari batu gunung tidak berapa jelas kelihatan, kecuali sebuah kubur yang terletak di kawasan tanah yang agak tinggi. Batu nisannya kelihatan menonjol. Bentuknya juga tidak sama dengan batu nisan yang lain.

Ukuran tingginya separas pinggang. Batunya bulat macam batu sempadan letaknya agak condong ke arah barat daya. Penuh dengan lumut yang menghijau.

“Mustahil, ada orang sesat di sini. Tak ada sebab kenapa orang perempuan tua tu membawa anaknya ke sini dan sesat. Dia cari apa di sini,” kata datuk pada Haji Salim yang macam rusa masuk kampung. Renung sana, renung sini di kawasan perkuburan lama.

“Kita dipermainkan orang sahabat,” tambah datuk lagi.

“Tak apa, mari kita cari sambil membersihkan kubur lama, mana tahu anak perempuannya ada di sini, mungkin tertidur kerana keletihan.”

“Kalau dah begitu kata sahabat, kita menurut saja,” jawab datuk penuh rasa keyakinan.

Datuk dan Haji Salim mula menebang pokok-pokok yang sebesar ibu jari kaki orang dewasa di tanah kubur. Hari mula beransur gelap. Dalam jangkaan saya, sudah pukul enam setengah lebih. Saya sudah tidak sanggup lagi menampar nyamuk di pipi dan paha. Jejari terasa lenguh menggaru bekas gigitan nyamuk.

“Tuk.”

Datuk dan Haji Salim berhenti menebas dan menebang. Mereka merenung ke arah saya.

“Kenapa Tamar?” tanya Haji Salim.

“Saya nampak macam ada orang dekat kubur yang hujung sana.”

“Mana kau tahu?” soal datuk.

“Saya terdengar bunyi suara orang batuk, pokok-pokok kecil di situ bergerak-gerak.” Jelas saya.

Datuk dan Haji Salim berpandangan. Beberapa ekor tupai jantan berlompatan di dahan jejawi. Burung gagak berlegar-legar di atas kepala sambil berbunyi.

Suara cengkerik dan katak mula menyanyi kerana hari kian bertambah gelap. Angin yang bertiup lemah membuat badan terasa seram sejuk.

“Kita ke situ sahabat,” ajak datuk.

“Jum, barangkali orang betul,” Haji Salim setuju dengan cadangan datuk. Kami pun bergerak ke arah kubur yang terpisah dengan kubur yang lain itu.

Lebih kurang lima belas kaki mahu sampai ke kubur tersebut, datuk dan Haji Salim berhenti melangkah.

Memang ada manusia di situ, memakai kain tudung putih tunduk menghadapi tanah kubur. Jejari tangannya mencabut rerumput dan mematahkan anak-anak pokok kecil di situ.

“Assalamualaikum,” kata datuk. Tidak ada jawapan yang diterima.

“Buat apa tu,” kata Haji Salim.

“Bersihkan kubur,” terdengar jawapan yang parau.

Angin bertiup menggugurkan dedaun dan ranting mati. Suasana terasa seram, lebih-lebih lagi bila terdengar monyet sayup-sayup bersama suara gagak dan burung kuang.

“Mengapa cuci kubur dah dekat nak malam?” soal datuk lagi.

“Waktu lain tak ada masa,” datuk menerima jawapan.

Masa datuk dan Haji Salim bersoal-jawab dengan orang yang tidak dikenali itu, hati saya terus berdebar-debar.

“Nak makan marilah,” tiba-tiba orang yang tidak dikenali itu mempelawa.

Datuk dan Haji Salim berpandangan. Ada keraguan yang menguasai hati datuk dan Haji Salim. Mana ada orang Islam yang makan di kubur waktu senja begini, fikir saya.

Datuk dan Haji Salim terus mendekati orang yang tidak dikenali itu. Saya memang tidak mahu terpisah jauh dari mereka. Kalau mereka melangkah ke kiri, saya ke kiri. Kalau ke kanan, saya ke kanan.

Dalam suasana yang berunsur gelap di kawasan perkuburan lama itu. Kami melihat perempuan yang bertudung lingkup, berkain batik jawa dan memakai baju kebaya, membongkok badan, mulutnya bertemu dengan tanah kubur. Keadaannya tidak ubah macam kucing sedang makan sesuatu.

“Kenapa duduk macam itu,” tegur datuk.

Perempuan itu segera bangun berdiri. Potongan badannya memang menarik. Macam badan Latifah Omar. (masa itu bintang filem Latifah Omar memang terkenal). Mukanya masih ditutup dengan kain selendang. Cuma bahagian matanya sahaja jelas kelihatan.

Alisnya hitam berkilat dan tebal. Sinar matanya amat tajam memanah pada kami. Dalam saat-saat begitu saya teringat Saadiah cucu Haji Salim yang saya gilai secara diam-diam.

“Awak ni siapa sebenarnya?” tanya Haji Salim.

“Tak kenal, saya yang jumpa awak tadi, saya jumpa budak ni,” perempuan itu tersenyum pada saya. Darah saya mula berderau. Saya renung muka datuk berkali-kali.

“Yang jumpa saya tu perempuan tua, awak muda,” sanggah saya.

“Memanglah tadi saya tua, bila dah makan di kubur saya jadi muda,” balasnya.

Datuk singgung pangkal belikat Haji Salim dengan siku. Haji Salim faham dengan alamat yang datuk lakukan itu. Perempuan muda itu menjatuhkan kain yang menutup sebahagian dari mukanya.

Bila kain itu jatuh atas dada. Muka datuk dan Haji Salim berkerut, muka saya jadi pucat lesi. Wajah perempuan itu amat menakutkan. Tidak ada daging pipi, tidak ada biji mata. Cuma yang ada tulang-tulang dagu, pipi dan tempurung kepala.

Bila ia mengangkat kain tudung untuk menutup wajah hodohnya kembali, saya lihat jejari tangannya tidak berdaging. Tulang jejarinya keras, bergerak macam kaki ketam.

Aneh, bila wajahnya ditutup, kening lebatnya kelihatan semacam ada. Perempuan itu meluruskan kedua belah tangannya ke atas. Serentak dengan itu kami terdengar orang ketawa yang datangnya dari arah pokok-pokok besar di situ.

Monyet-monyet liar dan tupai berlompatan di dahan melarikan dirinya, seperti berada dalam suasana ketakutan yang amat sangat. Gema ketawa itu memanjang dan berlanjutan, akhirnya kedengaran sayup-sayup dan terus menghilang.

“Kita balik saja, sahabat,” ulang datuk lagi. Haji Salim segera meraba jari-jari di tangan. Ia renung kiri kanan, seolah-olah tidak percaya dengan apa yang dihadapinya.

“Kita lihat kubur tempat perempuan tu duduk,” datuk memenuhi permintaan Haji Salim.

Tidak ada sesuatu yang aneh di situ. Tanah kubur itu bersih, terdapat beberapa keping daun keladi besar yang terlentang.

“Syaitan,” keluh datuk.

Haji Salim anggukkan kepala. Kami pun memulakan langkah untuk pulang. Bila berada di luar kawasan kubur lama itu, keadaan hari tidaklah berada gelap sangat seperti yang dialami ketika berada di kawasan kubur.

Bila kami mula meredah hutan senduduk dan lalang, kami terdengar suara budak menangis. Datuk dan Haji Salim buat tidak kisah dengan semuanya itu. Tetap meneruskan perjalanan dengan tenang.

Sebenarnya selain dari terdengar bunyi suara budak menangis, kami juga seringkali diganggu oleh lintasan bayangan hitam yang membuat langkah kami mati.

“Jangan bimbang sahabat, jalan terus,” datuk mengingatkan Haji Salim, setiap kali bayangan hitam itu menjelma.

Haji Salim yang jujur dan bersedia menolong orang, meluahkan rasa kesalnya kerana mendengar kata-kata perempuan tua yang aneh itu.

Senja mula tiba. Kami masih lagi berada dalam kawasan pokok senduduk dan lalang. Beberapa ular liar yang melintas, melarikan diri bila terdengar bunyi tapak kaki kami. Akhirnya, kami sampai di bibir jalan yang jadi penghubung antara rumah datuk dengan Haji Salim.

Kami berhenti sebentar di situ. Haji Salim mengeliat beberapa kali untuk menghilangkan rasa lenguh yang menyerang pinggangnya. Datuk pula membelek-belek kaki seluarnya yang koyak akibat tersangkut tunggul.

“Pelik sungguh, apa yang kita alami,” kata Haji Salim.

“Ya, saya merasakan begitu juga,” balas datuk yang usianya tidak jauh bezanya dengan Haji Salim. Mereka terus termenung. Tanpa diduga datuk menepuk bahu Haji Salim.

“Awak ingat tak, kira-kira sepuluh tahun yang lalu, keadaan yang sama seperti ini pernah terjadi,” kata-kata datuk itu membuat Haji Salim terus duduk di tanah. Kedua belah tangannya memicit kepala. Ia tersenyum.

“Ingat, kita mendengar bunyi suara orang menjerit dan menyanyi serta bergendang dari kubur lama waktu malam, tak ada pula orang perempuan macam hari ini,” Haji Salim mula mengingati apa yang telah berlaku.

“Sahabat ingat puncanya?” Soal datuk.

“Ingat. Ada persatuan sejarah dari luar mengatakan kubur lama tu, kubur pahlawan Melayu. Mereka terus melakukan tahlil di situ.”

“Kita dan sahabat melarang mereka melakukan perkara itu, kerana kita belum tahu sama ada orang yang mati itu beragama Islam, tapi mereka teruskan juga.”

“Akibatnya, penduduk kampung ini tak aman tidur, setiap malam mendengar orang menjerit dan menyanyi. Sejak kampung ini dibuka kubur tu memang dah ada,” Haji Salim berhenti bercakap. Ia senyum ke arah datuk.

Datuk mengeliat. Haji Salim segera bangun, merenung ke arah rumahnya dalam samar-samar senja yang mula menguasai seluruh kawasan kampung.

Kerana Haji Salim minta datuk singgah di rumahnya sebentar, untuk melihat keris yang baru selesai dibuatnya. Datuk dan saya terpaksa pergi ke rumahnya dulu. Haji Salim segera memegang bahu kanan datuk.

“Saya fikir, kubur lama tu dikacau orang. Ada tanda-tanda kubur itu didatangi orang dalam waktu yang tertentu. Hati saya kuat mengatakan begitu,” beritahu Haji Salim pada datuk.

Saya lihat datuk termenung sejenak. Dalam keadaan yang tenang itu, tanpa diduga beberapa helai daun keladi besar terdampar atas bangsal. Tidak tahu siapa yang meletakkannya. Hal itu tidak disedari oleh Haji Salim. Tetapi, mata datuk tajam itu dapat melihatnya. Tanpa memberitahu Haji Salim, datuk terus mengambil daun keladi itu. Dilipat dua lalu dimasukkan ke dalam saku seluarnya.

“Daun keladi, di mana awak dapat?” soal Haji Salim.

“Atas pelantar sahabat, saya minta sahabat jangan tanya lagi hal itu,” balas datuk. Haji Salim anggukkan kepala.

Memang pada mulanya tergambar rasa cemas pada diri Haji Salim. Tetapi bila datuk mengatakan daun keladi yang datang cara tiba-tiba itu, tidak mendatangkan sebarang kesan, Haji Salim mula rasa lega.

“Kubur lama itu didatangi orang, tandanya daun keladi. Biasanya daun keladi digunakan untuk menuntut ilmu yang salah atau menjalankan ajaran yang tak betul,” Haji Salim terus menguatkan pendapatnya itu.

“Saya tahu, petua itu sama dengan petua saya. Kita harus mencegah perbuatan ini,” balas datuk.

Di luar dugaan saya sama sekali. Bila datuk dan Haji Salim membuat keputusan yang amat mengejut dan menyeramkan. Mereka mahu pergi ke kawasan tanah perkuburan lama itu, waktu tengah malam Jumaat minggu yang akan datang.

“Masanya sahabat,” datuk minta kepastian.

“Pukul satu malam, setuju.”

“Setuju, sebelum itu kita harus berdoa dulu pada Allah.”

“Sama-sama kita buat,” balas datuk.

Saya dan datuk terus meninggalkan bangsal Haji Salim menuju ke rumah. Sampai di kaki tangga, hari sudah gelap betul. Dan suara azan mula terdengar. Datuk terus mandi dan mengambil air sembahyang. Saya juga melakukan seperti apa yang datuk lakukan.

Lepas sembahyang Maghrib, datuk memanggil saya ke sisinya. Ia memeriksa kaki saya. Kata datuk, kaki saya akan sembuh. Sebabnya masa berjalan siang tadi, saya tidak menghadapi sebarang kesulitan. Ini bererti uratnya masih elok.

Isi yang mengecil (kisit) itu akan berisi kembali. Apa yang perlu dilakukan, mematuhi petua yang telah disebut oleh datuk pada nenek.

“Tamar.”

“Ya tuk.”

“Aku ada tugas besar yang mencabar.”

“Apa dia tuk?”

“Pertama, menentang musuh yang marahkan aku kerana menolong Sariyah. Kedua, berhadapan dengan masalah yang aku hadapi bersama Haji Salim siang tadi.”

“Tuk perlukan pertolongan saya?”

“Kau tak boleh menolong. Apa yang aku mahu kau dampingi Haji Salim sepanjang minggu ini jangan kacau aku. Aku mahu membuat persediaan.”

Saya menarik nafas panjang. Perintah yang baru dikeluarkan oleh datuk mesti dipatuhi. Saya mula renung muka datuk. Perlahan-lahan datuk menepuk bahu saya.

“Tamar, ikut Haji Salim, galilah ilmu darinya. Kemudian kau ikut aku bersamanya ke tanah kubur. Haji Salim tu baik orangnya, tinggi pengetahuan agamanya, kau harus belajar darinya.”

“Baik tuk.”

Datuk senang hati dengan pengakuan yang saya berikan padanya. Kemudian, datuk menyuruh nenek masak nasi serta menyediakan hidangan yang sedap untuk saya dan dirinya. Saya senyum melihat telatah datuk. Dalam ia serius itu, ada lucunya. Itulah datuk saya yang aneh buat orang lain. Tetapi amat istimewa buat diri saya.

LEMBAP

Suasana pagi itu terasa lembap sekali. Matahari terasa segan untuk menebarkan sinarnya ke bumi. Semua lopak dan parit dipenuhi air, tanah bertukar menjadi becak. Hujung daun terus menetaskan baki air hujan yang masih tinggal.

“Lebat hujan malam tadi, dari Maghrib hingga Subuh,” cetus datuk sambil melihat air menitik satu-satu dari hujung atap. Saya anggukkan kepala. Datuk terus menyandang senapang kampung berlaras dua ke bahu.

“Aku mahu ke hutan menembak ayam,” datuk melangkah ke ambang pintu.

Saya turut dari belakang. Sampai di anak tangga terakhir, datuk mengenakan sepasang sepatu getah warna kuning ke kakinya.

“Kau pergilah ke rumah Haji Salim, tengok dia buat keris. Carilah pengetahuan darinya,” datuk terus melangkah dalam suasana pagi yang lembap.

Saya masih duduk di mata anak tangga terakhir. Ada sesuatu yang saya fikirkan.

Sudah lama benar datuk ke hutan tanpa membawa senapang kampung berlaras dua. Ia merasa lebih aman membawa golok atau parang panjang untuk melihat jerat yang dipasang. Cara mendadak sahaja, kebiasaan yang diamalkannya ditinggalkan pada hari ini.

Saya tidak kuasa mahu memikirkan tentang datuk. Ia lebih dewasa dan banyak pengalaman dari saya. Ia tahu apa yang patut dibuatnya. Saya merenung ke hujung jalan. Bayang datuk sudah tidak kelihatan lagi. Ia sudah membeluk ke kanan. Mengayuh basikal tuanya di permukaan jalan raya.

Sebelum sampai kawasan hutan yang mahu dimasuki, datuk terpaksa tunggang basikal sejauh dua batu. Saya kira tubuhnya yang sihat itu akan dipecahi peluh-peluh halus. Datuk tidak akan meredah hutan dengan basikal, ia akan meninggalkan basikalnya di bawah pokok pauh di bibir jalan raya.

Cuaca pagi yang lembap itu, membuat saya malas bergerak ke mana-mana. Rasanya dalam suasana begitu, cukup seronok baring di katil sambil membaca.

Saya sedar, apa yang saya impikan itu tidak akan terlaksana. Pantang bagi nenek, kalau melihat cucunya membuang masa di atas katil. Kata nenek, orang lelaki yang selalu baring di katil waktu pagi hingga tengah hari akan jadi malas. Pintu rezeki ditutup oleh tuhan dan ia akan mati kelaparan.

Kata-kata nenek itu cukup berkesan dalam diri saya. Sesungguhnya saya tidak mahu menjadi lelaki pemalas. Apatah lagi mati kelaparan. Saya bangun dan terus masuk ke rumah. Kenakan baju kemeja biru berlengan pendek ke tubuh. Sarungkan seluar panjang putih, berkaki besar ke badan. Sikat rambut dengan rapi, kenakan minyak attar ke badan.

“Mahu ke mana Tamar,” nenek merenung tubuh saya dari atas ke bawah, dari bawah ke atas. Bijinya matanya bagaikan berputar-putar.

“Ke rumah Haji Salim nek.”

“Bergaya benar nampaknya kau hari ni, Tamar.”

“Sekali-sekala nek.”

“Hum…,” keluh nenek bersama senyum tawar pagi yang lembap.

Sejak akhir-akhir ini, nenek mengikuti dengan teliti perubahan yang terjadi pada diri saya. Nenek bagaikan tahu, bahawa cucu lelakinya sudah masuk alam remaja, tidak suka pakai seluar pendek dengan rambut yang kusut-masai.

Nenek juga sedar, bila saya bersikat di cermin, pasti memakan masa berjam-jam. Bukan apa-apa, saya cuma meniru jambul P.Ramlee. Kadang-kadang mencontengkan arang di bibir, meniru misai P.Ramlee, ada kalanya, memakai baju yang berkotak-kotak macam P.Ramlee, dalam filem Sedarah.

Semuanya saya lakukan waktu datuk tidak ada di rumah. Kalau datuk ada, ia selalu melarang perbuatan saya itu. Datuk tidak suka saya meniru. Apa yang datuk mahu ialah, membuat sesuatu mengikut kemahuan sendiri tanpa terpengaruh dengan orang lain.

“Tamar, Tamar,” terdengar suara di halaman rumah.

“Suara siapa tu nek.”

“Kalau tak silap aku, suara Haji Salim,” saya dan nenek menerpa ke muka pintu. Haji Salim tercegat di kaki tangga.

“Ada apa haji?”

“Aku nak ajak Tamar pergi ke Kampung Haji Ariff di Temoh.”

“Apa halnya?”

“Aku nak mengambil biji benih durian dari sepupu aku.”

“Pergi dengan bas atau teksi?”

“Dengan motosikal.”

“Boleh, apa salahnya. Tak minta pun tak apa, asalkan Tamar keluar dengan haji. Dengan orang lain terasa juga bimbang di hati.”

Saya gembira mendengar kata-kata dari nenek. Saya terus masuk ke bilik. Sikat rambut dan membentuk jambul P.Ramlee di kepala.

Ternyata, jambul ala P.Ramlee yang saya usahakan itu habis runduk ditampar angin motor. Tidak saya duga sama sekali, bahawa Haji Salim memang kaki pecut, bagaikan mahu pecah bunyi enjin honda 50cc yang dipandunya dengan laju. Ekor serbannya melayang-layang macam ekor wau yang berbentuk ikan bawal.

Dari kampung hingga ke bandar Ipoh, cuaca sepanjang perjalanan redup sahaja. Bila masuk ke kawasan pekan Kampar, matahari bersinar dengan teriknya. Pangkal ketiak dan paha saya terasa bergetah.

TEMOH

Saya dan Haji Salim sampai di pekan Temoh. Kami singgah di warung menjual kopi. Dua cawan kopi diminta dari tuan punya warung. Satu untuk saya dan lagi satu untuk Haji Salim.

“Kita jalan-jalan dulu tamar, lepas tu baru pergi ke Kampung Haji Ariff.”

“Saya mengikut aje.”

“Bagus,” Haji Salim menepuk bahu kanan saya berkali-kali.

Sinar matahari pukul sebelas pagi, terasa amat perit menggigit kulit tengkuk dan muka saya.

Kami terus melangkah di bibir jalan menuju ke arah pekan Tapah. Telinga saya terdengar-dengar sayup-sayup bunyi gendang orang jual ubat.

“Orang Cina jual ubat,” kata saya.

“Singsih jual ubat,” tingkah Haji Salim.

“Kita tengok Pak Aji.”

“Boleh, mari.”

Saya dan Haji Salim mempercepatkan langkah, menuju ke arah manusia yang sedang berlonggok mengerumuni penjual ubat tersebut. Saya tidak faham dengan apa yang dikatakan oleh penjual ubat, kerana ia bercakap dalam bahasa Cina. Setiap kali cakapnya berakhir, gendang akan dipalu. Bunyinya cukup membingitkan gegendang telinga.

Setiap orang yang lalu di situ, tidak kira orang Melayu, Cina atau India akan berhenti dan terus menghurung penjual ubat tersebut. Meskipun mereka tidak tahu berbahasa Cina, cara dan gerak-geri yang dilakukan oleh penjual ubat itu membuat mereka faham tentang khasiat-khasiat ubat yang dijual.

Kerana orang terlalu ramai mengerumuni penjual ubat, membuat saya tidak dapat melihat wajah penjual ubat itu. Setelah mencelah sana, mencelah sini. Saya berjaya sampai ke garisan sempadan penjual ubat itu.

Saya terus duduk mencangkung di situ. Penjual ubat itu berbadan besar dan tegap, macam seorang ahli gusti. Daging di tubuhnya kelihatan berketul-ketul. Ia memakai seluar hitam dengan tali pinggang besar berwarna merah. Kaki seluarnya yang kecil dimasukkan ke dalam kasut hitam yang tinggi separas lutut. Dua orang kawannya juga berbadan tegap. Kawannya yang memukul gendang berwajah bengis, perutnya boroi dengan pusat yang berbuku.

Manakala yag memegang tombak, membalut tubuhnya dengan baju dan seluar hitam yang dibuat dari kain sutera. Di samping tombak yang bermata seperti beliung itu, ia juga memegang parang bermata lebar. Semuanya berkilat tajam.

Di depan penjual ubat itu berlonggok-longgok akar ubat dan batang-batang kayu kecil. Tidak jauh dari longgokan batang kayu dan akar, tersusun botol-botol yang berisi pil, terdapat juga kepala ular dan kulit ular yang sudah dikeringkan.

“Ini singsih bukan sini punya, dia Taiwan mari,” seorang lelaki Cina memeberitahu kawannya yang berbangsa Melayu. Orang Melayu itu anggukkan kepala sambil tersenyum.

“Dia banyak kuat punya orang,” tambah lelaki Cina itu lagi.

“Rugilah, dia tak tahu cakap Malaysia.”

“Lu betul.”

Dua orang kawan baik itu ketawa.

Penjual ubat merasakan dirinya diketawakan. Dengan mata yang garang ia merenung lelaki Melayu dan Cina itu. Wajah kedua-duanya kelihatan pucat. Lepas itu mereka tidak berani bercakap.

Penjual ubat itu terus berdiri di tengah gelanggang sambil menumbuk ke kiri dan ke kanan. Bila ia berhenti daripada melakukan pergerakan itu, gendang pun dipalu dengan sekuat hati. Bagaikan mahu pecah gegendang telinga dibuatnya.

Kawannya yang memegang tombak pula bercakap. Selesai ia bercakap gendang pun dipalu. Penjual ubat membuka langkah Kuntau melompat ke atas ke kiri dan ke kanan, daging badannya nampak berulas-ulas, macam ulas durian tembaga yang bagu dikopek.

Penjual ubat berhenti dari langkah kuntau. Ia meletakkan tangan kanannya di atas tunggul kayu yang memang disediakan di situ. Kawannya yang memegang tombak, melepaskan tombak di tangannya, lalu mengambil parang bermata lebar.

0 comments:

Related Posts with Thumbnails

Followers