Kedai kopi dan barang-barang runcit yang diusahakan oleh Saadun Juling mendapat sambutan amat menggalakkan dari para penduduk setempat. Di samping berniaga, Saadun Juling terus mendalami ilmu agama. Setiap malam, dia mengundang seorang guru agama yang terkemuka di daerahnya Tuan Haji Nawawi Al-Petani ke rumahnya. Dia belajar selok-belok agama Islam dari pukul sepuluh hingga menjelang dua belas malam. Selama dua tahun Saadun Juling berniaga, dia telah mendermakan wang ringgitnya untuk membesarkan beberapa buah masjid di daerahnya, juga mendirikan beberapa buah surau serta mendirikan sekolah agama rakyat untuk kanak-kanak yang berusia tujuh tahun ke atas belajar agama Islam.
Atas nasihat Tuan Haji Nawawi Al-Petani, Saadun Juling dan isterinya berhijrah ke Kelantan. Dua tahun menetap di Kelantan, kemudian pindah ke Petani di Selatan Siam, mendalami ilmu agama Islam dengan beberapa guru agama yang terkenal di sana. Setelah menetap selama tiga tahun di Petani, Saadun Julling dan isterinya pergi ke tanah suci dengan berjalan kaki dan akhirnya menetap di Jeddah. Menurut beberapa orang penduduk Tanjung Ara yang pernah pergi ke Mekah dan sempat berjumpa dengan Saadun Juling di Jeddah, menyatakan yang Saadun Juling telah membuka perniagaan di sana. Khabarnya, Saadun Juling boleh bertutur bahasa Arab dengan fasih, boleh menulis dan hafaz Quran. Namanya juga sudah berubah dari Saadun Juling menjadi Saadun AlHafiz. Datuk cukup gembira mendengar berita yang disampaikan oleh penduduk Tanjung Ara padanya.
“Rajin dan usaha itu tangga kejayaan dan Allah tidak pemah menghampakan harapan dan cita-cita manusia yang bekerja keras untuk mengubah nasib hidupnya. Contohnya, kau sendiri sudah melihat dan mendengar tentang hal diri Saadun Juling yang sesat dalam perjalanan hidup dan kembali ke pangkal jalan untuk membina hidup baru yang lebih bererti sebagai manusia yang beragama Islam”, ujar datuk pada saya.
Wajah datuk saya renung, kelihatan peluh-peluh halus mula meruap didahi luas yang disinari oleh matahari petang dalam kawasan kebun pisang emasnya yang seluas satu ekar lebih. Saya tahu, sejak dua tiga tahun kebelakangan ini, saya dan datuk banyak menghabiskan masa di kebun pisang. Saya menolong datuk membuang daun-daun pisang kering, menebang dan mengambil pisang yang sudah tua. Buah-buah pisang tua itu dilonggokkan pada satu tempat, sementara menanti lori pemborong buah pisang mengambilnya. Dan urusan menimbang, menjual dan mengutip wang datuk serahkan bulat-bulat pada saya.
"Lama sungguh kita tidak ke mana-mana tok”, kata saya, sebaik saya selesai menebang pokok pisang di hujung sempadan. Datuk yang asyik mengumpul daun-daun pisang tua, dekat pangkal pokok pulai, berhenti mengumpulkan dedaun pisang itu. Dia terus renung muka saya dan akhirnya duduk atas batang getah yang tumbang.
"Kenapa? Kau jemu duduk di rumah?”
"Tidak, saja tanya”
"Sejak balik dari Tanjung Ara, kalau tak sikap aku, sudah dua kali meninggalkan tumah, kali pertama aku pergi ke Sungai Petai, dekat Alor Gajah Melaka. Kali kedua aku pergi ke Bukit Tengah di Seberang Perai”
"Tapi, saya tok tak ajak”
"Oh, aku terlupa nak ajak”, kata datuk sambil ketawa.
Dia menyapu peluh di dahinya dengan telapak tangan kanan. Matahari petang kian condong. Bayang saya yang berdiri dekat pokok pisang emas kelihatan memanjang di bumi. Bunyi suara burung tekukur dan merbuk, sudah jarang-jarang kedengaran. Angin juga mula bertiup lemah.
"Berkemaslah Tamar, kita balik. Esok kalau panjang umur kita datang lagi”, tekanan suara datuk cukup rendah.
Dia pun melangkah ke pondok yang terletak di bucu tanah sebelah kanan. Saya mengekornya dari belakang. Pondok itu sengaja didirikan oleh datuk sebagai tempat berehat dan sembahyang. Tidak jauh dari pondok itu terdapat sebatang anak sungai yang airnya cukup jernih. Air sungai itu tidak pernah kering walaupun musim kemarau. Jika musim tengkujuh airnya tidak pernah melimpah ke paras tebing. Sampai di pondok, datuk terus berehat di pelantar dekat tangga. Saya menggeliat dua tiga kali di depannya untuk menghilangkan rasa lenguh di pangkal belikat dan lengan.
"Aku nak mandi ke sungai, kau nak ikut?”, datuk mempelawa saya sambil meletakkan kain basahan di bahu sebelah kiri.
"Tak mahu tok”
"Sebab?"
"Bila mandi di sini, sampai di rumah kena mandi lagi. Kita balik terpaksa berjalan, badan kita tentu berpeluh, lebih baik mandi sekali di rumah”
"Terpulanglah pada kau Tamar”
Datuk pun mengatur langkah menuju ke sungai. Sementara menanti datuk selesai mandi, saya terus membersihkan sekitar kawasan pondok. Semua sampah sarap yang sudah di kumpulkan itu saya bakar. Bila saya mahu melangkah ke arah pangkal pokok tembusu untuk mengutip daun-daun yang jatuh di pangkalnya, saya dapati datuk sudah tercegat di situ. Dada saya berdebar. Batang tubuh datuk saya perhatikan, dari atas ke bawah, dari bawah ke atas. Saya terasa ada sesuatu yang ganjil terjadi pada diri datuk.
"Kenapa? Kamu terkejut kerana aku berada di sini?”, datuk menjegilkan biji matanya ke arah saya.
Pertanyaan itu tidak saya balas. Saya masih mencari jawapan, bagaimana datuk boleh berada di situ? Biasanya, bila pulang dari sungai, datuk akan menggunakan jalan yang selalu digunakan. Aneh, macam mana saya tidak dapat mendengar bunyi tapak kakinya. Semua persoalan itu muncul dalam tempurung kepala saya.
“Tok ada masalah?" Saya memberanikan diri, mengajukan pertanyaan. Saya lihat datuk gelengkan kepala sambil tersenyum. Dengan tenang datuk menarik tangan saya menuju ke pelantar. Kami duduk di situ. Datuk menepuk bahu kiri saya, penuh dengan rasa kasih mesra. Dan datuk bagaikan tahu tentang keraguan yang timbul dalam hati saya.
"Sebenarnya, aku berjalan tadi mengikut gerak angin dan tapak kaki aku bila tersentuh bumi atau daun tidak akan mengeluarkan sebarang bunyi, batang tubuh aku tidak dapat dilihat oleh mata kasar manusia, aku berada di sisi kamu ketika kamu membakar sampah, malah aku menolong menghidupkan api, kau tak nampak”, datuk membuka rahsia dirinya.
Saya menarik nafas panjang, perlahan-Iahan saya melagakan gigi atas dengan gigi bawah beberapa kali. Keterangan dari datuk itu amat menakjubkan.
"Agaknya datuk dikejar binatang buas membuat datuk terpaksa bertindak begini”
"Tidak”
"Kalau tidak untuk apa datuk berjalan mengikut arah angin dan menghilangkan diri, mesti ada sesuatu muslihat”
"Tak ada Tamar, apa yang aku lakukan sekadar mengamalkan. Sebabnya, ilmu yang ada jika tidak diamalkan dalam masa tertentu boleh jadi kita lupa”
"Saya faham”
Datuk terus mengajak saya pulang. Kira-kira dua puluh langkah meninggalkan pondok, saya teringatkan buah-buah pisang yang terlonggok di bahagian tengah kebun. Saya bimbang kalau buah-buah pisang yang dianggarkan beratnya lebih dari lima belas pikul itu akan hilang. Barangkali datuk lupa tentang buah-buah pisang tersebut. Saya perlu mengingatkannya. Saya tidak rela sama sekali buah-buah pisang itu akan jadi habuan pencuri. Mana boleh jadi, kita yang bekerja setengah mati orang lain mendapat feadahnya dengan mudah. Hujung baju datuk segera saya tarik dari belakang. Langkahnya terus mati.
"Kenapa?"
"Pisang kita tok?”
"Kenapa pula dengannya? Kau nak bermalam dengan buah-buah pisang itu?”
"Takut dicuri orang tok”
"Haaaa”
Datuk segera menyandarkan badannya pada salah satu pokok getah yang berbaris dikiri kanan jalan yang kami lalui. Dia mengedutkan dahinya sambil menepuk tangan tiga kali berturut-turut. Kemudian datuk tegakkan badannya sambil menghalakan wajahnya ke arah angin yang datang. Datuk lurut lengan kanan dengan tapak tangan kiri, tiga kali berturut-turut. Dengan tenang datuk memetik ibu jarinya sebanyak dua kali, bunyi yang lahir dari petikan ibu jarinya berbunyi cukup kuat.
"Datang ke mari sekejap, ada kerja yang nak aku serahkan pada kamu”, ujar datuk dengan tenang. Saya segera menghampirinya. Berdiri di sebelah kiri datuk.
Tiba-tiba datuk menolak badan saya hingga tersungkur atas tanah. Saya segera bangun, muka datuk saya renung, ternyata datuk tidak ambil kisah dengan apa yang terjadi. Mulutnya kelihatan bergerak-gerak. Bila mulutnya berhenti dari bergerak, saya terus mengajukan pertanyaan padanya.
"Kenapa saya di tolak tok?"
"Aku tak panggil kau”
"Habis datuk panggil siapa?"
"Itu, aku panggil itu”, jari telunjuk datuk menuding ke arah rimbunan pokok senduduk yang kelihatan bergoyang-goyang. Saya tergamam, seekor harimau belang menuju ke arah datuk. Berhenti dan merebahkan badannya atas tanah di depan datuk, sambil mengoyang-goyangkan ekornya, tidak ubah seperti kucing yang manja. Datuk tepuk kepala harimau itu dua tiga kali. Harimau itu membuka mulutnya luas-Iuas. Lidahnya menjilat pergelangan tangan datuk. Saya memberanikan diri lalu mengurut-urut badan harimau tersebut. Dengan penuh rasa manja harimau itu mengerak-gerakkan ekornya ke bahu dan muka saya hingga terasa geli.
"Malam ni, kau jaga pisang kami, esok aku nak jual. Ingat kalau ada orang yang mahu mencurinya kau halaukan saja, jangan cederakan manusia”, kata datuk pada harimau itu, saya lihat harimau itu merenung ke muka datuk, kemudian memejamkan kedua belah matanya sambil mengaum kecil.
"Pulanglah,” kata datuk, harimau itu segera bangun dan menggesel-geselkan badannya ke badan datuk. Kemudian harimau itu bergerak menuju ke rumpun senduduk lalu hilang. Datuk menepuk bahu saya dua tiga kali.
"Kausudah tahu siapa yang aku panggil Tamar?"
"Tahu tok”
"Dialah yang menjaga pisang kita malam ini”
"Saya tahu tok”
"Kalau sudah tahu, jangan banyak bertanya, mari kita blaik”
Kami pun melangkah. Langkah datuk terlalu cepat membuat saya terpaksa berlari-Iari anak. Jarak rumah datuk dengan kebun pisang lebih kurang dua batu. Memang perangai datuk, tidak suka naik basikal pergi ke kebun pisangnya, dia lebih suka berjalan kaki. Satu keistimewaan yang terdapat pada diri datuk, dia tidak pernah merasa letih berjalan kaki, walaupun sampai berpuluh-puluh batu. Badan saya mula berpeluh tetapi, angin petang yang bertiup perlahan-Iahan itu dapat mengurangkan rasa kepanasan di badan.
Hati saya jadi terhibur, melihat telatah dan ragam monyet-monyet liar yang berlompatan dengan bebas di dahan-dahan pokok getah yang berdiri di kiri-kanan jalan enam kaki. Sedang asyik melangkah, saya dikejutkan oleh suara jeritan dari datuk secara mendadak. Saya lihat datuk membuka langkah silat sambil melompat ke kanan. Dalam saat yang sama saya lihat sebatang dahan getah mati jatuh menuju ke arah datuk. Dengan tangkas datuk menyambar dahan itu lalu dicampakkan ke sebelah kanan jalan.
Dahan getah yang jatuh itu sama besarnya dengan betis pemuda yang berusia 20 tahun. Andainya dahan getah itu tepat mengenai batang tubuh datuk, pasti membawa maut. Datuk segera menoleh ke arah saya sambil tersenyum bangga. Datuk pun memberi isyarat supaya meneruskan perjalanan.
"Berjalan dalam hutan atau dimana-mana, kita harus berwaspada. Mesti tahu menguasai diri, pandai mengira langkah dan gerak makhluk serta alam”, sambil berjalan datuk memberikan ceramah kecil. Saya anggukkan kepala. Memang saya tidak ada minat untuk mendengarnya. Semua yang diluahkan oleh datuk tidak masuk dalam otak saya.
"Semuanya itu mustahak untuk diri kita, kalau tidak mahu menuntut ilmunya, tidak salah kalau sekadar kita mahu ambil tahu saja”, sambung datuk lagi . Saya gigit bibir. Kedua belah pangkal peha saya mula terasa sakit .
"Bagaimana kita mahu tahu tentang semuanya itu tok?", secara tidak disedari saya mengeluarkan pertanyaan.
"Setiap manusia ada pancaindera yang lima. Kita hanya memerlukan satu daya usaha untuk mempertajamkan pancaindera yang lima itu supaya jadi lebih berkesan lagi. Caranya harus belajar dari petua orang tua-tua dan kita harus amalkan. Perkara yang utama dan penting ialah keyakinan, tabah dan sabar”, cukup ghairah datuk menerangkannya pada saya.
Kerana saya tidak mengemukakan sebarang pertanyaan, datuk tidak melanjutkan keterangannya. Kami terus berjalan, sambil berjalan saya terus merenung ke arah dahan-dahan pokok getah tempat monyet liar bergayutan. Saya juga mengawasi kalau ada dahan getah mati yang mahu jatuh. Saya kira kalau ada dahan yang jatuh sebesar lengan budak, saya mahu menyambutnya seperti apa yang telah datuk lakukan.
"Jangan mencuba, kalau tidak tahu. Nanti padah menimpa diri”, saya jadi terkejut dengan kata-kata datuk tu. Rupa-rupanya datuk dapat membaca apa yang tersirat dalam dada saya.
"Saya cuma berangan-angan saja tok”
"Angan-angan kalau dilakukan dengan baik, cukup pertimbangan yang sempurna akan jadi cita-cita”
"Saya faham tok. Tetapi, untuk menjayakan cita-cita tu bukanlah satu perkara yang mudah”
"Kau berusaha. Kalau kau mahu belajar ilmu gerak manusia dan alam, cari sendiri jangan harap ada orang lain datang menyerah untuk memberikan ilmu itu"
“Begitu”
Datuk segera menolak ke arah saya. Dia merasakan jawapan yang terakhir dari saya itu, macam menyindir dan membayangkan rasa tidak ada kesungguhan dari saya. Akhirnya, kami pun sampai ke rumah.
Saya terus memetik buah belimbing buluh yang tua. Buah belimbing itu saya bawa ke sungai bersama dua tiga helai daun pandan wangi. Buah belimbing yang sudah diramas itu, saya gosokkan ke badan untuk menghilangkan getah pisang yang terletak di badan serta menghilangkan rasa gatal dan daki. Kemudian daun pandan yang sudah di campurkan dengan air satu baldi, saya juruskan ke tubuh untuk mewangikan bau peluh dan badan. Saya dan datuk terus ke surau untuk sembahyang Maghrib dan Isyak.
Lebih kurang pukul sepuluh malam, baru kami pulang. Datuk seperti biasa akan menghabiskan masa sebelah malamnya dengan membaca Quran hingga menjelang waktu subuh.
Pagi itu, saya di suruh oleh datuk supaya menemui Lim Kim Bok yang menjadi peraih buah pisang. Setelah berunding dengan Lim Kim Bok beberapa minit, dia terus menelefon adiknya, Lim Tong King yang tinggal di Sitiawan.
"Adik saya beli semua pisang datuk awak, dia nak jual pisang tu ke Kuala Lumpur, Melaka dan Johor Bharu”,katanya.
"Bila dia sampai Kim Bok?"
"Sekarang pukul tujuh. Lebih kurang pukul lapan setengah dia sampai”
"Saya mahu nanti di mana? Nanti dia tak tahu tempatnya”
"Tunggu di kebun, adik saya tahu tempatnya. Sudah banyak kali dia ambil pisang di kebun datuk awak”
"Dia tahu di mana tempatnya, Paya Besar”
"Apa awak cakap ni. Saya kata dia tahu, apa lagi mahu banyak cakap”
"Jangan marah”, ujar saya sambil ketawa kecil.
Saya terus pulang ke rumah. Dari rumah, saya bersama datuk dan nenek berjalan kaki menuju ke kebun pisang di Paya Besar. Sampai di kebun pisang saya terlihat kesan tapak kaki harimau.
"Ada orang menunggu pisang awak malam tadi?", nenek bersuara.
"Ada”, jawab datuk, sambil menaburkan tujuh biji bertih kedalam rumpun pokok senduduk. Saya lihat rumpun senduduk itu bergoyang dan saya terpandang kelibat seekor harimau.
"Pulanglah, kau sudah menolong aku”, kata datuk lagi. Seekor harimau melintas di depan kami sambil berjalan tunduk macam kucing peliharaan melintas di hadapan tuannya. Sementara menanti lori yang dijanjikan tiba, kami terus membersihkan kawasan kebun pisang. Satu jam kemudian lori yang ditunggu-tunggu pun tiba. Semua pisang yang ada di situ ditimbang dan dimasukkan ke dalam lori. Di situ juga Lim Tong King membuat pembayaran. Wang dari hasil penjualan pisang yang berjumlah lebih kurang tiga ratus ringgit datuk serahkan pada nenek.
"Simpan wang tu baik-baik, seratus ringgit awak serahkan pada Imam Musa untuk tabung masjid dan lima puluh ringgit awak bagi pada Long Munah yang baru mati suami dua hari lalu. Bakinya terpulanglah pada awak”, nenek anggukkan kepala mendengar cakap datuk itu.
Lim Tong Kim menghampiri datuk, dia menarik tangan datuk menuju ke arah pokok getah tua dekat sempadan tanah sebelah kanan. Mereka bercakap-cakap sebentar, kemudian datuk datang menemui nenek kembali.
"Kita balik naik lori”, kata datuk pada nenek sambiI merenung muka saya. Cepat-cepat saya menggigit bibir dan rasa aneh mula bersarang dalam dada saya.
Selalunya datuk tidak pernah mahu pulang awal, mesti ada muslihat tertentu yang membuat datuk bertindak begitu demikian hati kecil saya membuat ramalan.
"Kenapa tok nak balik cepat?", tanya saya.
"Si Lim Tong King ni, ajak aku jadi kawannya ke Johor Bharu, dia takut kerana banyak bawa duit”
"Ah, awak ni mengarut, kerana orang sanggup bersusah payah”, nenek melahirkan rasa kurang senangnya. Datuk saya lihat tersenyum.
"Mari naik”, kata Lim Tong King.
Nenek pun naik lori duduk di depan dekat pemandu. Saya dan Lim Tong King duduk di bahagian belakang lori yang tidak berbumbung itu. Lim Tong King yang jadi towkey pisang itu bertindak sebagai kalindan, sekali pandang memang tidak ada potongan seorang saudagar pada diri Lim Tong King. Enjin lori pun dihidupkan. Datuk masih lagi tercegat di situ. Tidak ada tanda-tanda yang dirinya akan naik lori.
"Naiklah tok”, kata saya.
"Tak payah, aku jalan kaki saja”, jawabnya sambil memulakan langkah.
Lori yang berkepala merah, berbadan hijau pun bergerak, melalui jalan enam kaki. Bila layar lori itu terlanggar lubang, badan saya turut terhuyung-hayang, macam orang mabuk todi. Lori yang kami naiki sampai dihalaman rumah.
Pemandu lori dan Lim Tong Kim terkejut melihat datuk duduk di kaki tangga sambiI melurut-Iurut sebatang kayu. Nenek turun dari lori, begitu juga dengan saya. Cepat-cepat saya masuk ke rumah mengemaskan pakaian yang saya fikirkan perlu untuk di bawa
.
"Awak jalan kaki ke atau terbang”, kata Lim Tong King.
"Jalan kaki”
"Awak mesti pakai ilmu”
"Tidak”, jawap datuk sambil ketawa kecil.
Saya keluar dari rumah dan berdiri dekat datuk. Kemudian, datuk pun bangun berjalan tiga langkah ke depan lalu memacak kayu yang dilurutnya tadi di atas tanah. Datuk renung ke langit, melihat awan dan matahari yang kian marak bersinar. Datuk cabut kayu itu sambil menggigit lidah. Bahagian kayu yang tertanam di tanah datuk raba berkali-kali.
Kesan tanah yang terletak di situ datuk ambil. Tanah itu datuk ramas berkali-kali. Telapak tangannya dibuka dan tanah yang diramasnya kelihatan berbuku-buku. Dengan mulutnya, datuk hembus tanah di telapak tangannya hingga berterbangan entah ke mana.
"Langkah kita baik, tapi ada halangan sedikit, dengan izin Allah rintangan itu berjaya kita atasi”, begitulah datuk memberitahu saya.
Lim Tong Kim kelihatan tercengang-cengang. Datuk terus tepuk bahu kanan Lim Tong King. Datuk terus rapat ke lori berkepala merah. Saya ikut dari belakang.
“Saya ikut awak, belum tentu sampai ke Johor Bharu. Sebabnya, bila saya ingat nak balik, saya balik awak tak boleh halang saya”, datuk mengeluarkan syarat pada Lim Tong King.
Ternyata, syarat tidak mendapat bantahan. Kami meninggalkan rumah kira-kira jam sepuluh pagi Rabu. Datuk dan saya duduk di bahagian depan lori, Lim Tong King duduk di belakang. Satu hal yang tidak menyenangkan diri saya, lori yang membawa pisang itu terlalu kerap sangat berhenti, kerana mengambil dan menjual pisang di bandar-bandar yang dilaluinya.
Lebih kurang pukul dua petang, kami sampai ke Kuala Dipang, datuk menunaikan sembahyang Zohor di situ. Sembahyang Asar datuk lakukan di Masjid Bidor. Dari Bidor, LimTong King tidak lagi jadi kelindan. Dia mengambil tugas kawannya. Dia jadi pemandu dan kawannya jadi kelindan. Kali ini, saya mula terasa seronok naik lori tersebut kerana tidak berhenti-henti lagi.
"Berhenti di Kelumpang Tong King, saya nak sembahyang Maghrib”, datuk mengingatkan Lim Tong King, sebaik sahaja kami melintasi pekan Tanjung Malim.
Bila sampai di Kelumpang datuk terus ke masjid dan Lim Tong King mengurus penjualan pisang dengan Cina di pekan tersebut. Bila datuk keluar dari masjid, Lim Tong King masih lagi belum selesai berurus dengan kawannya. Datuk memberitahu Lim Tong King yang dia mahu balik ke masjid semula.
"Begini, awak tunggu di masjid. Bila kerja saya selesai, saya panggil awak, lagipun saya rasa tak larat nak bawa lori sampai ke Kuala Lumpur. Saya ingat mahu tidur di rumah abang ipar saya yang berniaga kedai runcit di Kuala Kubu Bharu”, Lim Tong King memberitahu datuk.
"Kalau begitu kata awak, saya ikut saja”, balas datuk.
"Saya bimbang, saya bawa duit dekat lima ribu ringgit”
"Tak apa”, datuk menenangkan perasaan Lim Tong King.
Saya dan datuk kembali ke masjid. Bila selesai sembahyang Isyak baru Lim Tong King memanggil kami melalui seorang budak Melayu yang bekerja di kedai yang membeli pisangnya. Kami tinggalkan pekan Kelumpang lebih kurang hampir pukul sepuluh malam. Entah apa malangnya, ketika lori yang saya dan datuk tumpangi melalui satu selekoh berhampiran dengan tanah perkuburan orang-orang Cina, lori itu mengalami kerosakan. Enjinnya mati dengan tiba-tiba.
Puas dibaiki tidak juga mahu hidup. Lim Tong King menyuruh kawannya pergi ke Kelumpang mencari foremen. Nasib baik sebuah kereta yang ditahan mahu berhenti dan bersedia membawa kawan Lim Tong King ke Kelumpang. Sejam kemudian, kawannya kembali tanpa foremen. Akhirnya, datuk membuat keputusan supaya kami duduk di dalam lori sementara menanti hari siang. Pada mulanya, kerap juga kereta lalu disitu. Bila menjelang pukul satu malam, kereta mula berkurangan. Suasana di situ terasa cukup sunyi. Bila saya toleh ke kanan, rasa takut mula menghantui hati saya.
Apa yang saya lihat ialah batu-batu nisan di tanah perkuburan Cina. Keadaan itu membuat saya tidak dapat memejamkan mata. Bila saya ingat, datuk juga tidur dalam lori, rasa takut segera hilang. Lebih kurang pukul empat pagi, saya terdengar lolongan anjing sayup-sayup, bersama dengan bunyi desiran angin yang melanggar dedaun getah di kiri kanan jalan raya tersebut. Saya renung ke tanah perkuburan Cina, saya lihat kabus mula menguasai seluruh kawasan itu. Batu-batu nisan yang tertegak kaku di situ saya rasa bergerak-gerak. Dalam keadaan yang cemas itu, sebuah kereta Fiat 600 berwarna putih berhenti di belakang lori.
Dari perut kereta itu keluar empat orang lelaki Cina yang berusia antara dua puluh tahun hingga tiga puluh tahun. Mereka segera menuju ke bahagian depan lori. Lim Tong King yang tidur di bawah lori terkejut, salah seorang dari lelaki itu mengeluarkan parang pemotong daging lalu mengacukan ke muka Lim Tong King. Saya jadi tergamam melihat peristiwa yang terjadi di depan mata. Datuk yang duduk bersandar dekat sebatang pokok tidak jauh dari lori itu, buat tidak kisah dengan apa yang berlaku. Lim Tong King masih lagi bertekak dengan empat lelaki tersebut.
Entah apa yang dikatakan oleh Lim Tong King, membuat lelaki yang memegang pisau pemotong daging itu naik darah. Dia pun melepaskan penumbuk sulung ke muka Lim Tong King. Kawan Lim Tong King tidak dapat berbuat apa-apa.
Empat lelaki itu terus mengkopakkan kusyen tempat duduk pemandu. Mereka berjaya mengambil wang dalam satu beg plastik yang diletakkan di situ. Lim Tong King menjerit.
"Letakkan, jangan ambil orang punya barang”, kata datuk. Saya tidak sedar waktu bila datuk menghampiri mereka. Empat lelaki itu segera merenung muka datuk.
"Hei Melayu, lu jangan kacau kita. Kita tak ada kacau sama awak”, salah seorang dari lelaki itu menyergah datuk sambil melepaskan tendangan terbang ala kung fu. Datuk tidak sempat mengelak, tendangan itu tepat mengenai dada datuk. Saya lihat datuk tersungkur. Empat lelaki itu menyerbu datuk. Batang tubuh datuk tidak dapat saya lihat, hilang di kerumuni oleh empat lelaki itu.
Datuk menjerit dan empat lelaki itu terhumban berhampiran lori. Tiga darinya sudah tidak berdaya bangun. Tetapi seorang daripada mereka masih kelihatan gagah. Datuk berhadapan dengannya, lelaki itu membuka silat kung fu dan datuk membuka buah langkah silat harimau jantan yang lebih banyak bersikap bertahan dari melakukan serangan.
Kerana datuk lebih banyak bertahan dari menyerang, membuat dia mempunyai lebih tenaga, berbanding dengan serangan kung fu dari lelaki tersebut. Datuk saya lihat banyak menggunakan tipu helah dan akal dalam pertarungan itu. Lelaki yang berbadan tegap tidak putus asa, kali ini dia melompat cukup tinggi menuju pada datuk.
Saya lihat datuk tersenyum dan menyerahkan tubuh badannya untuk digasak oleh lelaki itu. Tetapi, bila lelaki itu merendahkan badannya dan menghulurkan kaki kirinya untuk menendang pangkal leher datuk, cepat-cepat datuk melompat sambil menyambar tangan kanan lelaki yang terkedang itu. Datuk memusingkan ke belakang dan lelaki itu jatuh ke tanah, macam nangka busuk. Bila lelaki itu cuba mahu bangun, datuk segera menepuk bumi. Kedua belah kaki lelaki itu bagaikan terpasung. Dia tidak boleh bergerak. Datuk tepuk bumi lagi sekali, barulah lelaki itu boleh mengangkat kedua belah kakinya dan memerintahkan kawan-kawannya menuju ke kereta untuk lari.
Bila mereka berada dalam kereta, cepat-cepat mereka menghidupkan enjin kereta. Ketika itu juga terdengar ledakan pistol dari kereta tersebut, rupanya lelaki yang bertarung dengan datuk tadi mengambil pistol dan menembak datuk bertalu-talu. Anehnya, peluru pistol yang ditujukan pada datuk tidak mencederakan tubuh badannya, cuma baju datuk sahaja yang berlubang-lubang. Melihat keadaan itu, empat lelaki itu jadi cemas, mereka naikkan cermin kereta dan bersedia mahu meninggalkan tempat tersebut.
Datuk segera menghulurkan tangan kanannya sambil mengembangkan kelima-lima jarinya. Sungguh menakjubkan, enjin kereta segera mati dan badan kereta nampak terangkat kira-kira lima kaki dari bumi, melayang-layang sebentar atas permukaan tanah perkuburan orang Cina di situ. Keempat-empat lelaki itu menjerit dan datuk merapatkan tangannya ke dada, kereta itu segera berhenti di hadapannya.
"Buka pintu”, kata datuk.
Pintu kereta pun terbuka.
"Keluar”
Ke empat-empat lelaki itu keluar.
"Pulangkan duit”
Ke empat-empat lelaki itu segera menuju kepada Lim Tong King. Mereka sujud di kaki Lim Tong King. Salah seorang daripada mereka menyerahkan kembali wang yang di curi.
"Tolong baiki lori ini”, kata datuk, salah seorang dari lelaki menuju ke lori dan terus membuka bonet. Dia melakukan sesuatu di situ. Kemudian bonet lori dirapatkan.
"Sudah baik”, katanya.
Lim Tong King masuk ke perut lori, menghidupkan enjin, ternyata enjin lori boleh dihidupkan. Saya tersenyum senang.
"Pulang, lain kali jangan kacau orang”, kata datuk.
Ke empat-empat lelaki itu masuk ke dalam kereta lalu meninggalkan kami. Lima belas minit kemudian, kami pula meninggalkan kawasan tersebut. Kali ini kami singgah di Kerling. Datuk menunaikan sembahyang subuh di situ. Selepas membaca Al-Quran dan wirid di masjid tersebut, saya dan datuk menuju ke kedai kopi. Seperti yang dijanjikan Lim Tong King dan kawannya sudah menanti di situ. Saya dan datuk sampai ke kedai itu lebih kurang pukul enam setengah pagi.
"Awak minum dulu, saya nak cari foremen nak minta tolong periksa lori ni, supaya boleh berjalan dengan baik”, kata Lim Tong King.
Datuk bersetuju dengan apa yang dicakapkan oleh Lim Tong King. Saya dan datuk terus masuk ke kedai kopi tersebut. Dalam kedai kopi terdapat lebih kurang sepuluh orang lelaki yang terdiri daripada para pekerja Jabatan Kerjaraya dan buruh ladang getah, minum kopi di situ. Di sudut sebelah kiri kelihatan seorang lelaki Melayu memakai ketayap putih, berusia sekitar lima puluh tahun. Datuk bersalam dengan lelaki itu yang datuk kenali semasa sembahyang di masjid sebentar tadi.
"Kedai ini memang di buka sejak pukul enam pagi. Saya yang punya kedai tetapi, anak-anak saya yang menjalankan perniagaan”, lelaki berketayap putih memberitahu datuk.
Tidak saya duga, pertemuan di situ melahirkan rasa persaudaraan sesama Islam yang mendalam antara datuk dengan lelaki itu. Datuk menceritakan apa yang terjadi pada dirinya dalam perjalanan tadi.
"Saya ni orang Islam, berdosa hukumnya mempercayai perkara yang karut-marut, tetapi, kejadian yang awak alami itu sudah kerap benar berlaku. Konon ceritanya, manusia yang awak lawan tu bukannya manusia”, cukup tenang lelaki itu bercakap.
"Kalau bukan manusia, siapa mereka?"
"Syaitan. Pernah terjadi pada diri saya diserang perompak di situ bila saya menyerah dan hari sudah siang saya jumpa wang yang saya rompak itu atas nisan kubur Cina. Tidak jauh dari tempat kejadian itu saya terjumpa bangkai kereta yang menurut pihak polis terlibat dalam kemalangan jalan raya. Empat pemuda Cina yang menaikinya mati dan dikuburkan di situ”
Dada saya berdebar mendengar cakapnya. Memang, saya sedar dan lihat ketika meninggalkan kawasan itu, menjelang waktu subuh tadi, saya terlihat bangkai kereta yang sudah berkarat dalam hutan lalang tidak jauh dari tempat lori kami berhenti. Hal ini sungguh memeningkan kepala saya. Apakah yang datuk lawan malam tadi syaitan atau hantu dari tanah perkuburan orang Cina? Saya sendiri tidak dapat memberikan jawapannya.
Satu hal yang pasti, kawasan perkuburan Cina yang terletak diantara Tanjung Malim dan Kerling itu, memang menarik perhatian para pemandu, kerana di kawasan jalan yang berliku dan menaiki bukit itu kerap berlaku kemalangan yang dahsyat hingga kini.
Perbualan datuk dengan lelaki berketayap putih itu terhenti. Suasana dalam kedai kopi pagi jadi kelam-kabut. Salah seorang dari orang yang minum disitu muntah darah dan mengelepar atas lantai, macam ayam kena sembelih. Datuk segera menghampirinya. Datuk tekan dada orang itu dengan ibu jari, darah keluar memancut-mancut dari mulutnya. Datuk segera mengambil segelas air sejuk, gelas yang berisi air itu datuk rapatkan ke bibirnya. Datuk membaca sesuatu. Kemudian datuk berikan pada orang yang sakit itu. Bila air sejuk diminum habis satu gelas, orang itu terus muntah. Saya lihat muntahnya bercampur dengan kaca halus dan pasir, serta beberapa jenis serbuk.
Datuk tepuk belakang orang itu, muntahnya berhenti. Datuk segera membancuh garam dengan air satu gelas, air garam itu juga disuruhnya orang yang sakit itu minum. Bila air garam itu selesai di minum, orang itu segera sihat.
Dia mengucapkan ribuan terima kasih pada datuk dan memperkenalkan dirinya sebagai Abdul Halim, berasal dari Kelantan dan bekerja sebagai pemandu lori balak. Pada Abdul Halim, datuk membekalkan seketul ibu garam dan datuk menasihatkan padanya, sebelum minum kopi, baik di mana-mana pun serbuk garam itu mesti dibubuhkan terlebih dahulu sebagai penawar racun.
"Ini satu santau. Ada orang yang berniat tidak baik pada awak”, bisik datuk pada lelaki yang berketayap puith itu. Muka orang itu kelihatan berubah wajah datuk direnungnya.
"Boleh awak menolong saya?"
"Saya cuma boleh berusaha. Yang menentukan kejayaannya adalah Allah. Tetapi ingat, kalau saya menolong awak, jangan sekali-kali awak mahu membalas dendam, saya cuma mahu berusaha menyekat perbuatan orang itu supaya jangan merebak dan merosakkan orang lain”, kata datuk.
"Ya, tapi saya mahu tahu orangnya”
"Tak boleh. Belum tentu hal itu sengaja di lakukannya. Boleh jadi dia tersilap. Kita perlu mencari puncanya”, terang datuk lagi.
Lelaki berketayap putih itu terdiam.
0 comments:
Post a Comment