Pages

Monday, July 26, 2010

61. Tulang Jari Di Daun Keladi

Sejak pulang dari Hospital Lumut, sudah tiga minggu saya berkurung dalam rumah. Setiap malam, nenek akan membalut kaki saya dengan Naga Buana. Perut pula, dibalut dengan pucuk pisang emas.

“Kenapa nek buat begini, pada kaki dan perut saya?”

“Untuk mengelakkan kaki kau dari kisit urat dalam perut mesti dikecutkan, kalau tak dibalut dengan daun pisang, perut kau boroi bila berkalih umur.”

“Huh, saya dah jemu kena balut nek.”

“Jangan begitu, perut mesti dijaga. Kau tahu sakit angin, sakit urat saraf dan sakit-sakit badan semuanya berpunca dari perut. Kalau perut sihat, badan juga sihat.”

Saya terdiam mendengar cakap nenek itu. Saya hubungkan cakap nenek itu, dengan kata-kata yang telah diucapkan oleh seorang Imam dalam khutbah Jumaatnya. Imam itu memetik sabda nabi Muhammad SAW yang menyuruh umatnya supaya makan tidak berlebih-lebihan. Ia mahu umatnya makan sederhana saja.

“Kalau engkau melihat orang lelaki perut boroi dan badannya gemuk, tandanya orang itu tidak sihat. Aku tak mahu kau jadi macam itu, bila sudah berumur empat puluh lebih, jagalah perut kerana perut kunci kesihatan,” tambah nenek. Saya terus anggukkan kepala.

Demi kebaikan, saya relakan nenek membalut perut saya dengan pucuk pisang emas, bercampur minyak kelapa. Tetapi, rasa bosan duduk di rumah memang tidak dapat saya hindarkan. Datuk amat mematuhi cakap nenek dan tidak mahu mengajak saya ke mana-mana. Datuk suruh saya duduk di rumah membaca kitab agama dan quran. Katanya, kalau nenek mengizinkan atau pantang larangnya sudah tamat. Ia pasti membawa saya ke mana sahaja. Satu janji yang amat menyenangkan.

Sebagai orang tua yang banyak pengalaman, datuk tahu saya akan merasa jemu dan bosan membaca quran dan kitab. Bila ia turun ke pekan ia belikan akhbar tulisan jawi – Utusan Melayu. Kalau datuk pergi ke Balai Penghulu, pasti ia pulang dengan membawa risalah-risalah dari Jabatan Penerangan dan Jabatan Pertanian. Semuanya dalam tulisan jawi. Kalau anginnya baik, ia akan membeli akhbar dan majalah kanak-kanak, seperti Utusan Kanak-kanak, Tunas dan lain-lain lagi.

Jangan harap datuk mahu membeli akhbar dan majalah hiburan seperti Utusan Filem dan Sports, Fesyen, Gelanggang Filem dan Arena Filem. Pantang tujuh keturunan bagi datuk, kalau saya menatap majalah-majalah tersebut. Saya hanya mendapat tahu tentang perkembangan filem-filem Melayu dan bintang-bintang filemnya seperti P. Ramlee, Kasma Booty, Nordin Ahmad dan Roomai Noor, menerusi mulut-mulut kawan-kawan. Begitu juga dengan kisah penyanyi masa itu seperti R. Azmi, Jasni serta Momok dan Nona Asiah.

“Buat apa tahu tentang orang wayang dan penyanyi, jangan baca kisah mereka, semuanya tak berfaedah. Semuanya itu kisah dunia yang tak boleh dibuat bekal ke akhirat. Lebih baik kau baca kitab,” kata datuk bila saya menyatakan ingin membaca dan memiliki majalah-majalah tersebut.

Kata datuk, kata muktamad. Tidak ada ulang-rayu. Kalau dilawan biji matanya akan tersembul, macam telur burung merpati. Suaranya jadi keras dan parau macam guruh. Mahu tak mahu terpaksa baca kisah menanam pokok getah, menanam padi dan menanam kelapa.

Sesekali hati kecil saya memberontak juga. Mana boleh tahan cuma berlegar-legar dalam kawasan rumah sahaja. Paling jauh saya dibenarkan oleh nenek pergi ke rumah Haji Salim, kira-kira dua rantai jaraknya dengan rumah datuk. Bukan ada apa-apa di rumah Haji Salim menitik dan membakar besi untuk membuat keris dan parang.

Saya kagum melihat Haji Salim memegang besi panas dan membentuknya hingga menjadi sebilah keris yang berlok tujuh atau sembilan. Bila saya tanya pada Haji Salim, apa ilmu yang dipakai hingga tapak tangannya tidak terbakar. Haji Salim tidak mahu memberitahu, ia cuma berkata:

“Keyakinan pada diri sendiri dan Allah mengizinkan semuanya itu.”

Jawapan yang membosankan. Sambil memerhatikan ia bekerja, ia menyuruh saya membaca al-Quran. Kalau pembacaan tajwid saya tidak betul ia segera menegurnya. Bila saya tidak mahu membaca quran, ia akan bercerita pada saya tentang kisah-kisah 25 orang nabi pilihan atau memberi penerangan tentang fardhu Ain, fardhu Kifayah dan fikah.

INDAH

Pagi selasa yang indah. Di dada langit, matahari memancar cemerlang. Dedaun di ranting bergerak lembut mengikut irama angin. Saya masih lagi membalut badan dengan gebar. Perbuatan yang jarang-jarang saya lakukan. Jam sudah pukul sembilan. Jalur sinar matahari masuk ikut tingkap yang dibuka separuh itu, terdampar atas lantai. Sebenarnya, saya memprotes sikap nenek. Ia tidak membenarkan saya mengikut datuk pergi ke hutan untuk melihat jerat napuh dan pelanduk. Meskipun datuk sudah meminta izin darinya.

Nenek lebih senang, kalau saya menghabiskan masa berjam-jam dengan Haji Salim. Sepanjang ingatan saya selama tiga minggu berkurung di rumah. Sudah dua kali datuk berjalan jauh. Kali pertama datuk ikut kenalannya pergi ke Dungun, Terengganu. Kali kedua, datuk pergi ke Kroh di Ulu Perak mencari gading gajah.

“Nenek sudah melampau, mahu ke hutan tengok jerat pun tidak boleh,” rungut saya.

Gebar saya campakkan ke tepi. Saya segera bangun. Saya terus bersilat dengan tujuan untuk menyegarkan tubuh badan. Boleh juga diistilahkan bersilat untuk bersenam.

“Tamar kau buat apa di dalam, macam nak patah lantai rumah,” pekik nenek bertalu-talu sambil mengetuk-ngetuk pintu bilik.

Tanpa melabuhkan kain yang berada di paras lutut, saya terus membuka pintu. Saya ketawa melihat nenek yang terkejut.

“Kenapa muka nenek pucat? Apa nenek merasa hairan melihat gulung kain berat ke kanan dan kain pula atas lutut? Saya bersilat untuk menegangkat urat,” ucap saya. Nenek tidak menjawab. Wajahnya mula pucat.

“Nenek marah?”

“Tidak Tamar.”

“Nenek sakit?”

“Tidak Tamar.”

“Habis, apa yang nenek fikirkan?”

“Kaki kau Tamar.”

“Kaki saya? Kenapa dengan kaki saya nek.”

Tidak ada jawapan dari nenek. Sepasang mata hitamnya tertumbuk pada sepasang kaki saya. Nenek menarik tangan saya ke ruang tengah. Saya disuruh duduk di lantai sambil menjulurkan kaki. Wajah nenek terus didakap rasa cemas yang sukar untuk dibaca.

“Itulah kau langgar petua aku Tamar. Kaki kau tak boleh kena air embun dan angin masa berubat, sekarang apa dah jadi kau lihat sendiri,” suara nenek tersekat-sekat.

Wajah cemasnya segera bertukar dibayangi rasa kecewa. Saya terus merenung kaki. Memang benar kata nenek! Kaki saya terus mengecil, kisit. Tidak berbuah betis lagi. Tetapi aneh sekali kesannya hampir tidak terasa. Hati saya mula terasa hiba dan mahu menangis. Saya rasa hidup ini sudah tidak bermakna lagi. Apalah ertinya hidup bagi saya, kalau anggota tubuh sudah cacat. Apalah nilainya sepasang kaki, kalau tidak boleh digunakan.

Sesungguhnya, saya tidak sanggup menghadapi penderitaan seperti ini. Saya terus menangis. Nenek terus membelek-belek urat-urat di kaki. Kerana datuk sudah pergi ke hutan, nenek segera menemui Haji Salim. Saya cemas bila Haji Salim datang dengan membawa sebilah keris tanpa ulu dan sarung. Saya lihat keris itu masih berasap kerana baru dikeluarkan dari api. Haji Salim terus menjamah buku lali kaki. Ia kelihatan tenang. Senyum tidak putus-putus menari di bibirnya.

“Usah bimbang, berusahalah dengan sabar. Carilah daun serunai laut, daun gelanggang dan pucuk paku hutan. Sapukan pada kaki setiap pagi. Kisitnya masih baru, ada harapan baik,” wajah Haji Salim kelihatan tenang. Senyum terus bermain di wajahnya.

Haji Salim segera meminta diri. Bila sampai di anak tangga penghabisan ia berhenti. Renung muka nenek dengan muka saya silih berganti.

“Tamar sikit lagi datang ke tempat aku, biar aku ajar kau membuat keris,” Haji Salim meraba pangkal leher kiri.

“Kaki saya Aji.”

“Tak apa, sakitnya masih baru.”

“Saya bimbang Aji.”

“Tak usah bimbang.”

Haji Salim terus melangkah menuju ke rumahnya. Nenek kerutkan dahi. Sesekali menggaru tempurung rambut yang tidak gatal. Dua tiga helai ubat melekat di jari. Nenek berada dalam keadaan yang serba salah. Saya terus duduk berjuntai kaki di muka pintu. Nenek ke dapur. Saya tidak tahu apa yang nenek buat di dapur. Saya bayangkan dalam hati, kalau kedua belah kaki saya dipotong. Tentu susah jadinya. Saya terpaksa berjalan memakai tongkat.

Lamunan yang tidak bertepi itu, mati dengan mendadak. Diganggu oleh lintasan bayangan yang kurang jelas. Dan bayangan itu terjadi hanya dalam beberapa detik sahaja. Kesannya amat mendebarkan hati. Bulu roma saya tegak dalam sinaran matahari pagi yang kian garang. Kepala saya terasa pening. Pandangan saya mula berpinar-pinar. Pokok-pokok yang saya lihat nampak bergoyang. Perut terasa pedih dan tekak juga mula loya. Rasa muntah-muntah mula terasa.

“Nenek…,” jerit saya.

Nenek segera datang. Bahu saya dipegangnya. Kemudian nenek meletakkan telapak tangan kanannya ke dada saya. Ia menarik nafas dengan tenang.

“Dada kau berdebar?”

“Ye nek.”

“Apa puncanya?”

“Saya macam terpandang lintasan bayangan hitam melintas di depan saya nek.”

“Itu cuma perasaan kau saja Tamar.”

“Betul nek.”

“Sudahlah Tamar, pergi mandi. Lepas itu pergi makan. Kopi dan rebus keledek aku sediakan untuk kamu.”

Nenek meninggalkan saya. Arahannya saya patuhi. Ada sesuatu yang saya rasa tidak kena pada kedua belah kaki. Waktu melangkah dari pintu depan menuju ke ruang dapur tadi, terasa sengal-sengal di pelipat. Saya juga terasa amat sukar untuk mengimbangi badan. Semuanya tidak saya nyatakan pada nenek. Semangat saya untuk pergi ke rumah Haji Salim meluap-luap. Saya mahu menghilangkan sakit di pelipat dan rasa sengal itu dengan berjalan.

Setelah mengenakan seluar panjang kuning, baju kemeja lengan pendek saya ke rumah Haji Salim. Nenek hanya memerhatikan sahaja gelagat saya di muka pintu. Sampai di rumah Haji Salim saya terus duduk di bangsal kerjanya. Pada mulanya, saya duduk dekat tempat membakar besi. Saya tidak tahan dengan bahang bara api yang garang.

“Kau tak tahan dengan bahang api Tamar?”

“Ya Pak Aji, kulit muka macam mahu terbakar rasanya.”

“Inilah orang muda sekarang. Bahang api pun tak tahan, tak pernah mahu merasakan susah.”

“Sebenarnya saya tak berapa biasa dengan keadaan macam ini.”

“Kau harus biasakan, sebagai orang Melayu, kau tidak akan melepaskan diri dari berhadapan dengan tanah, air, api dan angin.”

“Ya, saya faham.”

Haji Salim tersenyum. Ia sudah arif dengan perangai saya. Bila saya menyebut perkataan terakhir itu. Ia sudah dapat membaca hati saya yang tidak berminat untuk mendengar dengan perkara yang dikatakannya itu. Saya menoleh ke kanan. Atas pelantar bangsalnya tersusun beberapa bilah parang, ada yang panjang, beberapa bilah tajak dan pisau penyabit. Semuanya barang-barang itu tidak mempunyai ulu. Haji Salim mengangkat besi merah dari dalam bara dengan menggunakan penyepit besi. Besi yang merah menyala itu diletakkan atas pelantar.

“Sebelum besi ini dibakar, sudah aku campurkan dengan tujuh jenis besi,” kata Haji Salim sambil mengambil besi yang masih merah itu. Besi itu terus di tempa hingga menjadi sebilah keris dengan tangan.

“Pak Aji nak jual keris ni?” tanya saya.

“Tidak, nak pakai sendiri.”

“Boleh buatkan saya sebilah.”

“Belum masanya.”

Haji Salim menghampiri saya. Ia rasa kaki saya. Dengan hati-hati Haji Salim menuangkan air dari dalam labu tanah ke dalam gelas. Air dalam gelas itu dirapatkan ke bibirnya yang sedang bergerak-gerak membaca sesuatu.

“Nah sapukan ke kaki kamu, dengan izin Allah sakit sengal yang kamu rasa itu, akan hilang,” Haji Salim sambil menyerahkan air dalam gelas pada saya. Air itu saya sapukan ke kaki. Sepuluh minit kemudian rasa sengal-sengal di kaki terus hilang.

“Kau usah bimbang, kaki kau yang kisit, tak berdaging tu, akan sembuh nenek kau boleh mengusahakannya.”

“Dengan apa nenek nak menyembuhkannya Pak Aji.”

“Dengan senaman, kalau nenek kau tak tahu datuk kau tahu, datuk kau tu apa kurangnya.”

REBAH

Saya terus diam. Badan saya rebahkan atas pelantar. Dua hari dulu, waktu saya baring di pelantar, cucunya datang membawakan dua cawan kopi. Kali ini saya berharap kisah yang berlaku itu akan berulang lagi. Saya mahu melihat cucu perempuannya yang berwajah manis, berkulit cerah. Ada lesung pipit di pipi. Tidak mudah mengeluarkan kata-kata. Tetapi senyumnya amat murah sekali. Sesungguhnya, saya terpikat dengan sinar matanya yang lembut. Dengan rambutnya yang ikal mayang. Dengan senyumnya yang menawan.

“Hari ni nampaknya, tak ada kopi Tamar.”

“Tak apa Pak Aji.”

“Bukan tak apa Tamar, aku terpaksa masak sendiri.”

“Mak Aji ke mana?”

“Dia menghantar Saadiah, ke rumah emak bapanya di Beranang, dah sebulan dia berada di sini, emak bapanya suruh balik. Dengar cerita ada orang nak masuk meminangnya.”

“Hum, begitu,” kata saya dengan tenang.

Satu kehampaan berkocak dalam dda saya. Tujuan utama saya menemui Haji Salim, bukanlah mahu menunaikan pesannya. Ada tujuan lain. Saya mahu melihat wajah Saadiah cucunya. Saya mahu kenyit mata padanya. Apakan daya, harapan yang dicari tidak terlaksana.

“Tamar.”

“Ya Pak Aji.”

“Kau mahu tahu tanda-tanda orang yang celaka dalam dunia.”

“Mahu.”

Haji Salim berhenti menempa mata keris dengan tangan sebentar. Ia renung muka saya. Aneh, renungan itu, saya rasakan bukan renungan Haji Salim tetapi renungan Saadiah cucunya. Saya tersenyum.

“Kenapa kau senyum?”

“Tak ada apa-apa Pak Aji.”

“Tanda-tanda orang-orang celaka tu ada empat. Pertama, lupakan dosa-dosa yang lepas dan tidak mahu bertaubat. Kedua, ia mengingati amal ibadah yang dibuatnya, menghitung berapa banyak sedekah jariahnya, berapa banyak sembahyang yang dibuat,” Haji Salim berhenti bercakap.

Ia merenung bentuk keris yang ada di atas pelantar. Keris itu sudah siap separuh. Cuma bahagian pangkalnya sahaja yang belum menjadi.

“Tanda yang ketiga, kau nak tahu apa dia Tamar?”

“Saya tak tahu Pak Aji.”

“Tanda yang ketiga, orang yang berkenaan sentiasa memandang orang yang berdarjat, tidak pandang orang yang miskin dengan sebelah mata pun.”

“Tanda yang keempat pula Pak Aji? Apa dia.”

“Yang keempat pula, dalam hal akhirat orang itu merasakan dirinya saja yang sudah sempurna, memandang hinga orang yang tidak sembahyang, tidak puasa serta mengamalkan hukum Islam, seolah-olah dirinya seorang saja orang Islam yang tulin, itulah tanda-tanda orang yang celaka di dunia.”

Haji Salim berhenti berkata-kata. Ia meneruskan kerjanya kembali. Menempa sebilah keris dengan tangannya sendiri. Setiap kali ia menekan besi, besi itu kelihatan lembut dan mengikut bentuk yang dihajatinya.

Saya segera menoleh ke kiri, ke arah jalan yang menghubungkan rumah datuk dengan rumah Haji Salim. Saya berbuat demikian kerana terdengar nama saya dipanggil berkali-kali. Kerana panggilan itu kurang jelas, saya tidak dapat meneka, suara siapa yang saya dengar. Nenek suaranya nyaring dan halus tetapi, suara yang saya dengar kasar. Kalau mahu dikatakan suara datuk memang mustahil, datuk masih belum pulang dan suara datuk tidak macam itu.

Suara datuk agak serak-serak basah dan parau. Paling menakjubkan tidak nampak bayang datuk atau nenek di muka jalan. Jadi suara siapa pula yang saya dengar? Keresahan yang melanda diri saya, dapat dibaca oleh Haji Salim.

“Kau terdengar suara orang memanggil nama kamu Tamar?”

“Ya Pak Aji, agaknya suara hantu Pak Aji.”

“Bukan, mana ada hantu waktu siang begini, aku agak suara makhluk Allah yang berkenankan kamu.”

“Macam mana Pak Aji tahu, saya terdengar suara orang.”

“Dari gerak-geri kamu Tamar.”

Saya mula resah. Hati mula berdebar. Badan terasa lain macam. Bulu roma saya mula tegak tanpa sebab. Saya mula dibayangi dengan bermacam-macam perasaan. Ada lintasan bayangan seperti yang terjadi di muka pintu tadi, melintas di depan saya. Bentuknya sukar mahu digambarkan dengan tepat.

Sepintas lalu, bentuknya macam papan keranda yang melayang-layang. Ada sehelai kain hitam melekat di papan itu. Dari kain hitam itu berjuntai jari-jari tangan tanpa daging. Tulang-tulang jari yang keras dan putih itu bagaikan mahu mencakar wajah saya. Inilah yang menimbulkan rasa takut dalam hati.

“Biarlah, saya balik dulu Pak Aji.”

“Silakan Tamar.”

Saya pun meninggalkan Haji Salim di bangsal. Dalam debar dada yang cemas saya terus melangkah tanpa menoleh ke arah Haji Salim. Dahi saya mula berpeluh. Sebaik sahaja saya sampai dekat pokok mempelam pauh yang besar dan tinggi, dahan mempelam itu patah lalu jatuh. Kalau tidak cepat saya mengelak, pasti saya ditimpa dahan tersebut. Dalam masa yang sama, lintasan bayangan yang tidak menyenangkan itu terjadi lagi di hadapan saya.

Langkah saya terus kaku sebentar. Bila saya mahu melangkah kembali terdengar suara menyebut nama saya. Cepat-cepat saya merenung ke arah pangkal pokok mempelam. Rasa cemas segera hilang. Seorang tua yang tidak saya kenali muncul di situ dan menuju pada saya.

“Berikan ini pada datuk kamu,” kata orang tua itu. Ia menyerahkan satu bungkusan kecil yang berbalut dengan dauh keladi, bila bungkusan itu mahu saya buka, orang tua segera memegang tangan saya.

“Belajarlah jadi manusia yang amanah,” katanya.

“Maafkan saya.”

“Aku maafkan, jangan menoleh arah mana kamu datang, kerana aku mahu ke sana.”

“Ya, saya faham.”

Orang tua itu segera bergerak ke arah belakang saya. Bunyi tapak kakinya cukup jelas menuju ke arah rumah Haji Salim. Saya terpegun sejenak, bau yang amat wangi segera menyumbat lubang hidung. Saya pasti bau wangi itu datang dari tubuh badan orang tua tersebut.

Ada dua persoalan timbul dalam hati saya. Pertama, kenapa orang tua itu tidak memberi salam. Kedua, orang tua itu memang bukan orang kampung. Ia orang asing. Dua persoalan yang menggugat hati, membuat saya melanggar larangannya.

Saya segera menoleh ke belakang. Orang tua itu tidak kelihatan lagi. Tetapi, bau wangi masih dapat dicium. Dedaun senduduk dan lalang di sebelah kanan jalan, kelihatan bergerak-gerak, macam baru sahaja dirempuh oleh manusia. Saya tahu, kawasan sebelah kanan jalan yang dikuasai oleh pokok senduduk dan lalang itu, luasnya hampir suku batu. Hujung kawasannya bertemu dengan sebuah anak sungai. Seberang sungai itu terdapat kawasan perkuburan yang tidak digunakan lagi.

Nenek pernah memberitahu saya, kawasan perkuburan itu tidak luas. Cuma menempatkan tujuh buah kubur. Batu nisannya diambil dari batu gunung. Tidak seorang pun yang tahu, mayat siapa yang ditanam di situ. Kata datuk ada waktu yang terluang, ia seringkali mengajak saya ke situ untuk membersihkannya. Bagi datuk membersihkan kubur merupakan satu amalan yang baik.

Bila saya mengingatkan orang yang baru saya temui itu menuju ke kubur lama, saya jadi takut. Saya terus lari menuju ke rumah. Waktu itu saya tidak ingat langsung yang kaki saya tidak begitu baik.

JATUH

Waktu saya sampai di kaki tangga. Saya sudah kehabisan tenaga. Tidak mampu memijak mata tangga yang setia menanti sesiapa sahaja untuk memijaknya. Saya terjatuh. Bungkusan barang dalam daun keladi terbuka dan tercampak dekat saya.

“Tolong,” jerit saya, bila melihat tulang jari terdampar atas tanah, (tidak jauh dari daun keladi yang jadi pembungkusnya) nenek segera menerpa pada saya. Nenek segera memapah saya. Ia suruh saya duduk atas tangga.

Tanpa diduga, datuk pulang awal dari hutan. Tidak ada pelanduk atau napuh yang dibawanya. Datuk terkejut dengan apa yang terjadi pada saya.

“Kenapa Tamar?” Tanya datuk.

“Ada orang beri barang pada tuk.”

“Mana dia barangnya?”

“Itu dia tuk.”

Mata datuk melihat ke arah yang ditunjuk oleh jari telunjuk saya. Dia menggigit ibu jari kanannya. Macam memikirkan sesuatu. Datuk suruh nenek beredar dari situ. Nenek segera masuk ke rumah.

“Pelik, masa dalam hutan tadi ada orang yang tak aku kenal, kirim salam pada kau. Bila aku tanya siapa dia, orang itu terus meninggalkan aku, tetapi ia meninggalkan bungkusan daun keladi dekat pokok meranti,” datuk memulakan cerita.

“Apa isinya tuk.”

“Sama dengan apa yang aku lihat sekarang, tulang jari manusia.”

“Orang yang tok jumpa tu, lelaki ke perempuan.”

“Perempuan tua.”

“Serupa juga dengan saya, saya juga jumpa perempuan tua, mukanya ditutup.”

Datuk tidak berkata apa-apa lagi. Ia suruh saya masuk ke rumah. Daun keladi dan tulang jari manusia itu diambilnya dan terus ditanam kira-kira serantai dari halaman rumah.

JUMPA

Pukul empat setengah petang. Datuk duduk di anjung rumah sambil membaca kitab. Datuk tidak memakai baju. Kepalanya dilekati oleh ketayap putih. Datuk seolah-olah, tidak menganggap sesuatu yang luarbiasa dengan peristiwa yang terjadi. Mungkin peristiwa itu tidak menarik minatnya. Kalau datuk tertarik, pasti ia bercerita. Bila melihat sikap datuk begitu, saya sendiri tidak ambil kisah dengan apa yang terjadi.

Nenek terus berusaha memulihkan kaki saya yang kian mengecil itu. Ia menyentuh dan mengurut urat-urat tertentu di kaki. Di samping itu, nenek juga sudah menyediakan berbagai-bagai jenis dauh untuk dibalut ke kaki saya.

“Kaki Tamar tu, kalau diizinkan Allah, akan sembuh juga,” cara mendadak datuk bersuara.

“Kalau tak diusahakan, tentu tak menjadi,” balas nenek. Suaranya agak meninggi. Datuk tutup kitab yang dibacanya. Ia renung muka nenek.

“Kalau kakinya mengecil atau kisit tak ada isi disebabkan kena air embun dan angin, kenapa kita tak cuba ubat dengan embun dan angin juga,” kata datuk. Ia bangun lalu rapat ke arah nenek yang mengurut kaki saya.

“Caranya bagaimana?”

“Kita lumurkan kakinya dengan embun, dua puluh pagi Jumaat, kita juga kenakan angin malam Jumaat, di samping membaca doa tertentu,” kata datuk tenang.

“Awak buatkan.”

“Ya, saya buatkan mulai malam dan pagi Jumaat depan.”

Nenek tersenyum mendengar pengakuan datuk. Ia merasakan datuk tidak melepaskan tanggungjawab itu pada dirinya seorang sahaja.

Tiba-tiba saya terhidu bau wangi yang amat kuat. Saya segera bergerak menuju ke muka pintu. Tanpa saya sedari datuk mengekor dari belakang. Saya terkejut, di halaman rumah, ada perempuan tua yang saya tengok pada sebelah pagi berdiri di situ. Kali ini, mukanya ditutup dengan kain selendang.

“Ada apa hajat,” tanya datuk.

“Tak ada apa-apa hajat buat apa datang ke mari.”

“Nak berziarah pun tak boleh.”

Datuk terdiam. Mulutnya bagaikan terkunci untuk menjawab kata-kata dari perempuan tua itu. Datuk segera merenung ke arah saya. Melihat perempuan tua itu masih tercegat di halaman, saya terus bersuara:

“Beradatlah sikit, berilah salam.”

“Sudahlah, saya nak cari rumah orang yang pandai membuat keris, keris suami saya hilang,” suara perempuan tua itu tenang.

“Awak pergi arah ke darat sana, cari orang nama Haji Salim, dia pandai buat keris, kalau pedang laki awak hilang pun dia boleh buat.”

“Awak menyindir.”

“Sudahlah perempuan….” Datuk segera menutup mulut saya dengan tangan.

Biji mata datuk bagaikan mahu tersembul merenung muka saya. Bila sudah begitu keadaannya, tentulah datuk sudah marah. Saya tunduk.

“Maafkan cucu saya,” kata datuk. Perempuan tua itu pusingkan badannya. Ia terus menuju ke rumah Haji Salim.

“Jangan biadap sangat, kita belum kenal siapa dia,” kata datuk. Dengan tenang datuk menarik tangan saya untuk masuk ke ruang tengah. Dari gerak-gerinya, saya tahu perasaan datuk tidak tenteram.

Rasa tidak tenteram dalam diri datuk itu berlanjutan hingga masuk waktu asar. Lepas sembahyang asar, ia masih lagi memikirkan tentang perempuan tua yang ditemuinya dalam hutan, tentang perempuan tua yang memberikan barang saya, tentang perempuan tua yang baru meninggalkan halaman rumah sebentar tadi.

“Boleh jadi apa yang kita lalui ini, ada hubungannya dengan Sariyah yang aku tolong dan aku jadikan anak angkat,” keluh datuk.

“Apa yang mesti kita buat tuk?”

“Kita hadapi semuanya, kita sudah terlalu jauh dicabarnya, kaki kau hampir lumpuh tetapi, mereka masih belum puas, percayalah kalai kita berusaha dan berserah pada Allah kita akan menang.”

“Masanya terlalu panjang tuk.”

“Sabarlah, kemenangan tidak akan terjadi dengan sekelip mata.”

Saya menggigit bibir mendengar cakap datuk. Wajah perempuan tua masih terbayang di kepala saya. Wajahnya yang ditutup dengan kain selendang, saya bayangkan amat hodoh sekali. Matanya terperosok ke dalam. Tidak ada hidung. Dahinya bersopak dan kulit pipi mengerutu.

“Jangan fikirkan yang bukan-bukan tentang dirinya,” saya terkejut mendengar cakap datuk itu. Rupa-rupanya datuk dapat membaca dengan apa yang tersirat dalam hati saya.

“Membayangkan wajah orang dalam keadaan buruk, memang tidak baik. Itu perbuatan syaitan,” sambung datuk. Saya tersengih. Saya terus menuju ke muka pintu.

Saya lihat matahari petang sudah condong benar. Burung gagak itu hinggap di pelepah pisang mencari ulat dalam daun pisang yang bergulung. Angin petang tidak bertiup langsung, membuat badan saya terasa panas dan berpeluh.

Tiba-tiba saya terpandang tulang jejari manusia bertaburan atas tanah di halaman. Tulang-tulang itu bagaikan muncul dari perut bumi dan bumi kelihatan macam merekah. Dari rekahan bumi itu saya bagaikan terlihat tengkorak manusia bergerak-gerak, bagaikan mahu tersembul. Saya jadi cemas. Saya renung ke arah halaman rumah lama-lama. Ternyata apa yang saya lihat tadi, memang tidak ada. Tetapi, saya merasa hairan kenapa hal yang tidak ada itu boleh wujud di hadapan mata saya.

Barangkali, semuanya ini perasaan semata-mata, saya terlalu banyak memikirkan tentang wajah perempuan tua itu, membuatkan saya terpandang-pandangkan perkara yang menakutkan, kata hati saya. Saya renung bayang pokok kelapa yang memanjang di bumi. Matahari petang kian condong. Sesekali terdengar kokok ayam jantan, menunjukkan lagak di depan ayam betina sambil mengembangkan kepak di badan. Burung gagak terbang bersimpang siur, mencari ulat daun pisang.

Dalam keramahan dan keganjilan suasana petang itu, saya dikejutkan oleh suara yang tidak asing lagi buat saya. Cepat-cepat saya merenung ke arah suara itu datang. Haji Salim tercegat di sempadan halaman rumah.

“Ada apa Pak Aji?”

“Datuk kau, ada di rumah Tamar.”

“Ada.”

Haji Salim rapat ke kaki tangga datuk pula segera mempamerkan diri di muka pintu. Saya ditolak ke belakang.

“Apa hajat sahabat?” tanya datuk.

“Nak mengajak pergi berziarah ke kubur lama.”

“Kenapa dah sayup benar, matahari dah nak jatuh, susah jadinya kalau kita tidak berhati-hati.”

“Tak apa, tadi ada orang perempuan tua jumpa saya, minta tolong tengokkan anak perempuannya yang sesat di kubur lama.”

“Sahabat kenal orang perempuan tua itu.”

“Tak kenal pula.”

Datuk melangkah turun. Matahari kian bertambah condong. Burung gagak terus berbunyi. Haji Salim menghampiri datuk. Masing-masing mengedutkan dahi luas, macam memikirkan sesuatu masalah yang besar.

“Kalau tak kenal macam mana kita tolong,” datuk meluahkan suara hatinya. Haji Salim termenung sejenak. Mungkin ia sependapat dengan pendapat yang datuk bentangkan.

“Tak apalah, kita tolong,” jawab Haji Salim.

“Sahabat yakinkah yang perempuan tua tu manusia?”

“Tentulah manusia, bukan syaitan.”

“Kalau begitu, biar saya tukar pakaian dulu.”

Datuk segera naik ke rumah. Pakai seluar dan baju Melayu. Selitkan parang panjang di pinggang. Tujuannya bukan apa-apa. Parang itu akan digunakan untuk menebas semak-samun di tanah perkuburan. Bila semuanya sudah selesai mereka pun berangkat. Saya pun ikut sama.

Meredah hutan senduduk dan lalang, bukanlah sesuatu yang mudah. Mujurlah datuk membawa parang panjang. Haji Salim bawa golok. Dapatlah dahan-dahan dan ranting senduduk dirintis. Dengan berbuat demikian, banyak masa terbuang.

Sebenarnya, memang ada jalan pintas yang boleh cepat sampai ke kawasan tanah perkuburan lama itu. Pelik juga, kenapa datuk dan Haji Salim tidak mahu ikut jalan tersebut. Agaknya, dengan cara meredah hutan senduduk dan lalang, mereka berharap akan dapat bertemu dengan anak pada perempuan tua yang hilang.

Ramalan saya itu mungkin tepat dan mungkin tidak tepat. Perkara yang pasti, saya tidak menghadapi sebarang kesukaran. Setelah hutan senduduk dirintis, barulah saya dibenarkan berjalan. Seronok berjalan dengan orang tua yang tahu menghargai kekurangan diri orang seperti saya.

Setelah badan dibasahi peluh. Kami sampai ke tebing sungai. Menyeberang sungai yang cetek airnya, tidak banyak menghadapi masalah. Air sungai yang sejuk itu memberikan rasa kesegaran pada tubuh.

Saya merenung ke kaki langit, matahari yang kian condong mula dihampiri awan putih yang tebal. Kerana kawasan kubur lama itu dikelilingi oleh pokok-pokok jati dan jejawi yang besar, digayuti oleh akar-akar hutan yang berselirat, menjadikan suasana di situ agak samar-samar dan sunyi.

Bunyi dengung nyamuk cukup jelas. Begitu juga dengan suara burung merbah dan burung puyuh. Tidak jauh dari kawasan kubur itu terdapat sebuah busut jantan yang tingginya sama paras dengan orang dewasa. Anai-anai kelihatan merayap di puncak busut itu. Tanah busut nampak berlubang-lubang dan seakan-akan merekah.

0 comments:

Related Posts with Thumbnails

Followers