Pages

Monday, July 26, 2010

54. Penunggu Rotan Semambu

“Sebagai manusia saya juga merasakan satu kesilapan kalau saya sudah menolong seseorang kemudian minta dikenang atau dibalas, Islam tidak menyuruh kita menuntut sesuatu bila sudah menolong orang lain. Kerana tolong me­nolong antara satu sama lain itu adalah amal jariah kita sesama manusia.”

Saya lihat lelaki itu anggukkan kepala mendengar kata-kata dari datuk itu. Mungkin sudah kehabisan modal atau sengaja mahu menumpukan perhatian pada kenderaan yang dipandunya, membuat lelaki itu tidak mengemukakan sebarang pertanyaan pada datuk. Rupa-rupanya datuk senang dengan keadaan demikian. Dia merapatkan kedua belah kelopak matanya macam orang tidur. Saya tahu benar-benar, bila datuk berbuat demikian fikirannya tidak tertumpu pada keadaan kelilingnya. Dia sebenarnya memusatkan hati dan perasaannya pada sesuatu tempat dan jarak yang berpuluh-puluh atau beratus batu dari tempat dia duduk sekarang. Saya tidak tahu bagaimana datuk boleh mencantumkan seluruh perasaannya pada tempat tersebut, kadang-kadang dia bagaikan tahu tentang sesuatu kejadian di tempat yang dihayatinya.

"Tamar."

"Ya Tuk."

"Nenek kau tidak berapa sihat, sudah dua hari demam tapi masih boleh berjalan dan menumbuk padi"

"Kasihan nenek tuk, kalau kita sampai cepat saya tolong dia menumbuk padi di lesung."

"Sabarlah”, kata datuk dengan tenang.

Rupanya percakapan saya dengan datuk diikuti dengan teliti oleh orang yang memandu kereta itu. Dia mengerutkan dahi mungkin sedang memikirkan sesuatu, fikir saya. Kereta yang kami tumpangi terus merempuh beberapa selekoh tajam.

"Macam mana awak boleh tahu tentang hal isteri awak?", tanya lelaki itu sambil menjeling ke arah datuk. Saya renung muka datuk.

"Menggunakan pancaindera yang lima pemberian Allah, saya manfaatkan pemberian itu dengan sebaik mungkin. Tetapi, sebelum menggunakan kita harus mengenali Allah terlebih dahulu. Andainya kita mahu menggunakannya tanpa mengenali Allah terlebih dahulu pun boleh juga tetapi ... “, datuk berhenti bercakap, matanya merenung keluar. Dua tiga kali datuk mengangkat bahu kanannya, macam ada sesuatu yang mengusik di bawah ketiaknya.

"Cuba jelaskan biar saya faham?”, desak lelaki itu. "Kalau dibuat juga dengan tidak mengenali Allah, orang yang melakukannya akan dikuasai syaitan."

"Hum “, begitu suara lelaki itu pendek dan membayangkan dia faham dengan apa yang dikatakan oleh datuk itu.

Akhirnya kami pun sampai di pekan Sungkai. Dari situ, datuk dan saya menyewa sebuah teksi terus ke Ipoh. Lebih kurang pukul empat petang saya dan datuk sampai ke kampung. Perkara pertama yang saya lakukan sebaik sampai ke rumah ialah menuju ke bilik nenek. Saya lihat nenek terbaring dengan tubuhnya berselimut dengan kain batik Jawa.

“Tamar.”

“Ya nek.”

“Tolong picit kan kaki nenek.”


“Baik nek.”


Saya pun terus memicit kedua belah kaki nenek yang sejuk itu. Menurut nenek, sebelum dia menumbuk padi tadi, demamnya tidaklah berapa terus. Tetapi, setelah lima gantang padi selesai ditumbuk seluruh sendinya terasa sakit.

“Kenapa nek tak hantar padi ke kilang?”, tanya saya.


“Memang turun temurun kita tumbuk pagi, belum pernah kita menghantar ke kilang. Padi yang sudah di kilang rasanya tak sedap. Khasiatnya banyak yang kurang”, jelas nenek.

Saya pun tidak mengemukakan sebarang pertanyaan padanya. Dan terus memicit seluruh tubuh nenek. Kira-kira setengah ham kemudian, datuk datang membawa sebiji kelapa muda dan beberapa helai daun sirih. Datuk menyuruh nenek bangun. Datuk masukkan tiga helai daun sirih ke dalam perut kelapa muda yang sudah ditebuk. Dibiarkan daun sirih terendam dalam air kelapa kira-kira sepuluh minit. Datuk keluarkan daun sirih itu kembali. Terus dilipat menjadi tiga segi. Akhirnya datuk hancurkan daun sirih itu di telapak tangannya.

Daun sirih yang sudah dihancurkan itu mengeluarkan air. Dan air daun sirih itu datuk sapukan pada kedua belah buku lali nenek. Dari buku lali, air sirih itu disapukan ke belakang serta ke setiap sendi badan nenek. Bila semuanya sudah selesai datuk suruh nenek minum air kelapa muda.

“Minum dengan senafas. Kalau boleh habiskan sekali”, pesan datuk pada nenek. Semua pesan itu nenek patuhi. Sebaik saja air kelapa habis terminum nenek kelihatan lemah dan tidak bermaya. Badannya kelihatan lembik, kelopak matanya sudah tidak boleh dibukakannya. Datuk rebahkan nenek atas tikar dan terus menyelimutinya.

“Air kelapa mengeluarkan panas tetapi melemahkan badan. Dengan itu, dia akan dapat berehat, air sirih dapat mengembalikan pergerakan urat-urat yang lemah”, bisik datuk pada saya. Dia terus ke dapur mengambil bawang putih dan halia. Semua bahan-bahan itu ditumbuk dalam lesung batu hingga hancur. Bila sudah hancur, dikeluarkan dari lesung batu dan dimasukkan ke dalam gelas lalu di campur dengan satu sudu madu lebah serta air panas.

"Bila nenek kau bangun nanti, suruh dia minum benda ini", datuk menyerahkan gelas pada saya.

Datuk terus meninggalkan bilik nenek. Datuk menuju ke halaman rumah. Saya tidak tahu apa yang dilakukannya di situ. Saya terus memicit-micit jari-jari kaki nenek. Tiba-tiba nenek bangun dan membuang kain batik jawa yang menye­lubung tubuhnya. Muka nenek kelihatan merah dan berpeluh.

"Aku dahaga, ambilkan aku air.”

"Ini airnya."

Saya serahkan cawan yang diberikan oleh datuk itu pada nenek. Tanpa membuang masa lagi nenek terus meminumnya. Atas permintaan nenek saya meninggalkan biliknya. Menurut nenek badannya sudah tidak sejuk lagi, sendi-sendi badannya juga sudah tidak terasa sakit.

--- oooOOOooo ---

Sudah enam bulan saya dan datuk tinggal di kampung. Setiap pagi kami ke kebun dan ke sawah. Sesekali datuk mengulangi kerja lamanya dengan mengajak saya memasang jerat pelanduk dan memburu ayam hutan. Boleh dikatakan setiap kali ke hutan kami tidak pernah pulang dengan tangan kosong. Saya sudah pandai mengesan jejak pelanduk dan rusa. Hidung saya juga dapat menghidu bau binatang dari jarak setengah batu. Semun kebolehan yang saya miliki itu, berkat dari kesabaran saya belajar dari datuk.

Selain dari memburu, ada minat baru yang datang secara mendadak dalam diri datuk. Minat baru datuk ialah mencari rotan. Tujuan datuk mencari rotan bukanlah untuk mencari wang seperti yang dilakukan oleh pencari-pencari rotan yang lain. Datuk cuma mencari rotan semambu untuk dibuat tongkat yang jumlahnya bukan sedikit dan bentuknya pula bermacam­-macam. Semua tongkat rotan itu datuk aturkan di ruang tengah rumah dan berjaya menarik perhatian setiap tetamu yang datang ke rumahnya. Datuk tidak akan menjual tongkat-tongkatnya itu, walaupun ditawar dengan harga yang tinggi. Tetapi, datuk akan memberikan tongkat secara percuma pada sesiapa yang difikirkan layak diberi.

"Bersiap, pagi esok lepas sembahyang subuh kita ikut Mamat Bukit dan kawan-kawannya mencari rotan di hutan Bubu dekat Senggeng”, kata datuk pada saya pada suatu pagi.

"Itu pun kalau kau nak ikut”, tambah datuk.

"Saya nak ikut tuk”, jawab saya tegas. Datuk terus menepuk kepala saya berkali-kali.

Pagi itu, nenek terpaksa bangun pukul tiga pagi, menanak nasi dan menggoreng ikan. Nasi dan ikan goreng ditaruh dalam upih lalu dibalut dengan kertas surat khabar. Datuk sudah pun menyediakan air dalam satu tong plastik besar.

"Nasi bekal itu taruh dalam beg Tamar. Tong air itu biar aku yang bawa”, kata datuk sebaik saja dia menunaikan sembahyang Subuh. Datuk sudah pun mengenakan pakaian yang biasa digunakannya ketika masuk hutan. Sementara menanti Mamat Bukit dan kawan-kawannya tiba, datuk dan saya duduk di anjung rumah.
Beberapa minit kemudian Mamat Bukit dan kawan-­kawannya pun tiba. Saya dan datuk pun meninggalkan rumah. Nenek cuma melihat langkah kami dengan teliti hingga hilang dari pandangannya.

Berjalan di hutan dalam keadaan cuaca yang agak samar dan sejuk itu amat menyulitkan bagi diri saya. Badan saya menggeletar sendirian. Sebelum matahari terbit di kaki langit, kami sudah pun meredah empat hutan dara dan hutan tebal. Akhirnya, kami sampai di satu kawasan lapang lalu berehat di situ. Saya sandarkan badan ke pangkal pokok meranti. Mamat Bukit dan kawan-kawannya (empat orang semuanya) terus menebas anak-anak pokok di situ dengan golok perak. Datuk terus bergerak dari pokok ke pokok, memukul perdu dengan sepotong kayu.

Badan saya masih terasa dingin walaupun sinar matahari mula menjalar di bumi yang lembap. Burung-burung liar yang beraneka bentuk dan warna mula berterbangan sambil berbunyi. Matahari terus memancar, keadaan di sekeliling juga turut beransur cerah.

"Kita minum dulu”, kata datuk sambil duduk. Mamat Bukit dan kawan-kawannya berhenti menebas. Mereka terus duduk dan mengeluarkan bekalan air kopi masing-masing. Selesai minum kopi Mamat Bukit segera menggulung rokok daunnya bersama tembakau jawa. Dia kelihatan puas setelah menyedut rokok daun.

"Dah mandi embun?", Mamat Bukit menyoal datuk.

"Sudah."

"Rotan semambu banyak sebelah sana."

Mamat Bukit mengarahkan jari telunjuk ke arah barat daya yang berhutan tebal. Datuk merenung ke situ sambil menganggukkan kepalanya beberapa kali. Kawan-kawan Mamat Bukit memasukkan bekalan air kopi ke tempat asalnya, mereka terus bangun sambil mengeliatkan pinggang masing-masing beberapa kali.

"Kita berpecah. Udin Candung ikut aku. Dollah Beranggas ikut Samad Perang. Sebelum waktu Asar kita bertemu di sini dan dirikan pondok untuk bermalam. Petang esok baru kita balik”, Mamat Bukit mengeluarkan perintah pada kawan-­kawannya. Mereka pun bergerak mengikut arahan yang telah ditetapkan oleh Mamat Bukit.

"Kita macam mana tuk?”, saya renung muka datuk.

"Kita ada rancangan kita sendiri, sabarlah Tamar."

"Tapi, kita dah bercerai dengan mereka?"

"Tak apa”, nada suara datuk cukup lembut. Dia terus menyangkutkan golok perak di tali pinggang yang dibuat dari kulit yang selebar satu inci. Saya segera bangun, beberapa ekor pacat hutan kelihatan merayap di atas daun kering menuju pada saya. Datuk saya lihat masih lagi berdiri di situ, tidak ada tanda-tanda untuk melangkah.

"Bagaimana kita tuk, boleh kita mulakan sekarang?", soal saya lagi.

Datuk tetap membisu dan masih mundar mandir di hadapan saya. Inilah saat-saat yang paling saya benci, bila datuk bertindak demikian. Cara yang paling baik saya lakukan ialah turut sama membisu. Biarkan apa saja yang mahu datuk lakukan. Tindakan saya ilu memang ada untungnya. Saya tidak marah atau merungut sesuatu yang akan menimbulkan kemarahan pada datuk.

Matahari kian meninggi, saya renung ke utara dan nampak barisan Gunung Titiwangsa yang tertegun kaku, kabus nipis kelihatan mengelilinginya. Buat beberapa saat saya bagaikan terpukau pada keindahan semula jadi dalam pancaran sinar matahari pagi yang kian meninggi.

Dari arah belakang saya terdengar sesuatu yang agak ganjil, macam bunyi orang mematahkan anak-anak pokok hutan yang kecil. Bunyi itu makin lama makin jelas dan dekat. Saya renung datuk yang sedang membongkok, mencabut anak pokok besar jari kelingking. Mustahil datuk tidak dapat mendengar bunyi suara terscbut, pendengarannya lebih tajam dari saya. Tetapi, kenapa dia tidak bertindak atau membuat persediaan? Sedang saya melayan pertanyaan dalam hati, Bunyi suara ranting dan pokok hutan yang dipatahkan bertambah hebat, saya jadi cemas.

Tanpa berfikir panjang saya terus memalingkan muka ke belakang. Saya terkejut, sepasang kaki saya menjadi lemah tidak mampu menahan tubuh untuk berdiri tegak. Sekawan gajah dalam jumlah enam hingga tujuh ekor mengangkat belalai masing-masing ke arah saya sementara kaki gajah yang sebesar batang kelapa dara memijak anak-anak pokok hutan di sekeliling hingga menjadi rata dan ranap. Dalam waktu cemas begitu, saya jadi panik tidak lahu apa yang palut saya lakukan. Gajah-gajah liar itu terus mara seolah-olah batang tubuh saya tidak wujud di depan mereka. Telinga gajah yang lebar itu terus memukul badan masing-­masing dan melahirkan bunyi yang agak kurang menyenangkan buat diri saya.

Dalam keadaan yang tergamam itu, saya terasa badan saya macam disambar sesuatu, melayang-Iayang dan akhirnya tercampak di perdu pokok besar, kira-kira tiga puluh kaki jaraknya dari kumpulan gajah-gajah liar.
Buat beberapa saat pandangan saya berpinar-pinar dan pendengaran saya jadi pana (tuli). Bila keadaan sudah pulih, saya lihat datuk berdiri di hadapan kumpulan gajah liar sambil memegang sebatang pokok kecil di tangan kanan. Tangan kirinya diangkat melepasi kepalanya. Gajah-gajah liar itu bagaikan berhenti dari melangkah sambil menegakkan belalai masing-masing setinggi yang boleh. Tempikkan dilahirkan oleh gajah-gajah itu dalam keadaan yang serentak membuat suasana di dalam hutan menjadi kacau bilau dan kelam kabut.

"Pusing ke sana”, pekik datuk dengan sekuat hati. Kesemua gajah-gajah liar itu memusingkan badannya mengikut arahan tangan kiri datuk.

"Kita semua makhluk Allah dan sama-sama mencari rezeki pemberian-Nya. Kau dengan cara kau. Kami dengan cara kami. Jalankan kewajipan masing-masing dan jangan kami”, tambah datuk sambil menjatuhkan tangannya.

Aneh sekali gajah-gajah liar itu bagaikan mengerti dengan cakap datuk. Sambil menjatuhkan belalai gajah-gajah itu bergerak ke kanan menuju ke kawasan yang banyak ditumbuhi pokok enau dan bayas.

"Bangun Tamar."

"Tak boleh tuk, saya sakit."

"Di mana?"

"Tangan dan paha kanan tuk.”

"Hum..."

Datuk segera menghampiri saya. Paha kanan saya dirabanya hingga di pergelangan kaki. Dengan sepenuh tenaga datuk merentap kaki saya hingga setiap sendi sebelah kanan badan saya berbunyi.

"Bangun”, ucapnya.

Saya pun bangun dan melangkah duatiga tapak.

"Lagi di mana terasa sakit Tamar?"

"Bahu."

Datuk terus memeriksa bahu kanan saya. Dari pangkal bahu membawa ke hujung siku, kulit saya menjadi lebam.
Setiap kali datuk menekan daging badan di bahagian itu, saya terasa sakit yang bukan kepalang dan membuat saya terasa mahu buang air kecil dengan serta-merta.

"Tunggu di sini”, bisik datuk ke telinga. Saya anggukkan kepala. Datuk menuju ke perdu pokok salak, selembar daun salak yang masih hijau diambilnya. Dari situ datuk melangkah ke arah pokok jelutung dan terus terbongkok-bongkok di situ, macam mencari sesuatu. Datuk datang pada saya kembali menatang sesuatu di dalam daun salak, saya lihat benda yang datuk tatang itu lembik berwarna agak hijau muda. Tanpa berkata apa-apa datuk terus melumurkan benda itu di bahagian badan saya yang lebam dan daun salak muda terus dibekamnya sekali. Bagi mengelakkan daun salak itu jatuh, datuk terus mengikatnya dengan akar berwarna kebiru-biruan yang datuk ambil di tanah.

"Baring, luruskan kaki dan tangan. Bila aku kata bangun, kau bangun."

"Baik tuk”, badan saya rebahkan ke bumi.

Datuk terus duduk di sisi saya dengan wajah yang tenang dan sabar.

"Apa rasanya?", tanya datuk.

"Panas sampai ke tulang."

"Tak apa, sikit lagi sakit kau baik."

Lama juga saya terbaring di tanah. Muka saya berpeluh disimbah sinar matahari, tetapi rasa sakit seluruh badan terasa beransur-ansur kurang, kemudian hilang terus.

"Bangun, dan berlari.”

Saya segera bangun dan terus berlari dengan mengelilingi kawasan tanah lapang. Saya berhenti berlari atas perintah datuk.

"Apa rasanya badan kau?"

"Dah tak sakit lagi tuk."

"Mari dekat aku. Biar aku buka balut di lengan kau."

Saya terus menghampiri datuk. Tangan kanan saya hulurkan padanya. Datuk terus membelek-belek tangan saya itu seketika. Daun salak yang hijau itu saya lihat menjadi kecut, macam terkena bahang api. Sebelum membuka balut tersebut datuk terlebih dahulu merentap tangan kanan saya secara mengejut hingga berbu­nyi. Bila balutan itu dibuka, lebam yang memanjang dari bahu hingga ke hujung siku sudah tidak ada lagi. Bila datuk menekannya dengan ibu jari, sudah tidak terasa sakit lagi. Saya boleh menggerakkan lengan kanan itu seperti biasa.


Baju yang koyak datuk cantumkan kembali dengan meng­gunakan sejenis getah yang diambilnya dari sebatang pokok. Datuk tidak menyatakan pada saya, getah pokok jenis apa yang diambilnya dan saya tidak berminat untuk bertanya padanya.

"Kita melangkah sekarang, menuju ke arah yang ditunjukkan oleh Mamat Bukit. Aku harap kita dapat rotan semambu yang elok”, datuk menggeliat dua tiga kali sambil melihat arah kedudukan matahari.

Dalam perjalanan menuju ke tempat yang dikatakan oleh Mamat Bukit, langkah datuk terlalu cepat, andainya saya menoleh ke arah lain datuk akan hilang dari pandangan saya. Berjalan dalam hutan yang penuh dengan akar-akar kayu, tunggul-tunggul lama serta pokok-pokok besar bukan satu hal yang mudah bagi diri saya. Tetapi, hal semacam itu tidak menimbulkan masalah buat diri datuk.

"Ubat apa yang tuk balutkan ke lengan saya tadi?"

"Tahi gajah."

"Tahi gajah?”, ulang saya dengan rasa yang amat terkejut.

Datuk berhenti melangkah lalu merenung muka saya bersama segaris senyum. Tekak saya terasa loya dan badan terasa geli.

"Itu petua orang tua-tua dan hasilnya sudah kau lihat sendiri. Kau tak perlu risau, petang nanti kau cuci badan kau dengan tujuh jenis daun yang aku cari”, kata datuk lagi.

Dia meneruskan perjalanan. Saya juga begitu. Saya dan datuk terpaksa menyeberangi sebatang anak sungai yang airnya mengalir jernih. Anak-anak seluang berkejaran di celah-celah batu. Airnya terasa sejuk sekali. Kemudian kami mendaki bukit kecil sebelah kanan tebing sungai. Di lereng-lereng bukit itu kami menemui rotan yang banyak tetapi rotan yang ada di situ bukanlah rotan yang dicari oleh datuk.

Kami mendaki ke puncak bukit. Datuk terpegun melihat rotan semambu yang terdapat di situ. Dia bagaikan orang gila menerkam dari satu perdu rotan ke satu perdu rotan. Semua rotan semambu yang dilihatnya menarik belaka, tidak tahu yang mana satu harus diambilnya. Mungkin kerana penat bergerak, datuk terus duduk sambil melunjurkan kedua belah kakinya. Saya masih lagi melihat daun rotan yang menghijau, bergoyang-goyang ditiup angin.

"Kau pergi ke bawah ambil air di sungai”, datuk mengeluarkan perintah. Wajahnya saya renung dan datuk bagaikan tahu apa yang menjadi persoalan dalam diri saya ketika itu.

"Kau tak ada bekas nak isi air?"

"Ya tuk."

"Itu perkara mudah, biar aku buatkan", datuk pun bangun.

Dia mengambil daun hutan yang lebar lima enam lembar, daun-daun itu di cantumkannya. Bagi mengelakkan daun yang dicantumkan itu terbuka, datuk menggunakan rotan kecil yang ditajamkan dan dicucuk pada setiap sendi atau pelipat daun hutan yang sudah dijadikan dalam bentuk baldi empat segi.

"Sekarang kau pergi ambil air."

Saya pun menuruni lereng bukit dengan hati-hati. Tetapi, hati berasa kurang sedap. Saya bagaikan merasa ada mata di dalam hutan itu yang memerhatikan gerak-geri saya. Bila saya berdiri di tebing sungai, saya terdengar bunyi orang berenang di sebelah hilir. Saya terus menoleh ke arah itu, apa yang saya lihat ialah air jernih kelihatan berkilau-kilauan dipanah matahari. Saya kira, apa yang saya dengar itu cuma perasaan saja, mana mungkin ada manusia di dalam hutan selain saya dan datuk. Tidak masuk di akal air sungai yang cetek itu membolehkan manusia berenang di dalamnya. Kalau boleh pun pasti yang melakukannya manusia dungu, fikir saya.

Saya terus mengambil air sungai dan membawa pada datuk. Kami terus makan tengahari dalam hutan. Setelah makan datuk pula pergi ke sungai, mandi dan mengambil air sembahyang. Lepas itu, barulah datuk memilih rotan semambu yang dikira baik untuknya. Datuk cuma mengambil tiga batang saja.

"Tiga pun sudah cukup, lain kali aku datang lagi”, kata datuk pada saya sambil meneliti ruas rotan semambunya.
Kedua belah tangan datuk genggam, dengan genggaman itu juga datuk menyukat rotan semambu dari hujung ke pangkal. Datuk memulakan sukatan itu dengan perkataan untung dan rugi. Bila sampai ke bahagian pangkal semuanya berakhir dengan perkataan untung. Kepalang gembiranya datuk, senyuman terus bermain di bibirnya.

Senyuman di bibir datuk terus berhenti dikejutkan oleh bunyi perdu rotan semambu, dedaun rotan berguguran macam ada tangan raksasa yang menggoncangnya, akar-akar rotan tercabut sendiri.

"Syaitan”, kata datuk.

"Bukan tuk, penunggu rotan semambu."

"Mana ada penunggu, penunggu tu syaitan”, suara datuk mula meninggi dan dia terus berdiri merenung ke arah perdu rotan semambu yang sudah tercabut. Saya menarik nafas panjang. Rasa takut dan cemas terus menguasai diri. Datuk tidak berganjak dari tempat asalnya, matanya tidak berkedip merenung pada setiap perdu rotan yang tercabut.
Saya terkejut bila terdengar bunyi deru seperti bunyi jentera penolak datang, semua pokok-pokok di situ bergoyang. Datuk segera membongkok lalu mengambil tanah dan tanah itu dikepal-kepalnya macam nasi. Dengan sepenuh tenaga dia melemparkan kepalan tanah itu pada perdu yang tercabut. Suara jentera hilang dan perdu rotan semambu saya lihat tetap seperti keadaan asal, tidak tercabut.

"Syaitan, syaitan”, datuk menyebutnya berulang kali sambil mengajak saya beredar dari situ tanpa membawa rotan semambu yang diambilnya.

"Ke mana kita nak pergi tuk?"

Saya terus mengikutinya menuju ke arah timur bukit kecil, sambil berjalan itu datuk terus memperkenalkan jenis pokok hutan pada saya. Akhirnya datuk mematikan langkahnya. Dia terasa kakinya tersepak kan sesuatu yang keras. Dia terus membongkok dan memeriksa tanah yang di­pijaknya. Bila datuk tegakkan badan, di tangannya terlekap sepotong besi yang panjangnya kira-kira enam inci. Besi itu sudah berkarat dan bentuknya bulat kecil, kira-kira sebesar ibu jari tangan orang dewasa.

"Tulang mawas agaknya tuk?"

"Bukan."

"Kalau bukan besi apa pula tuk?"

"Inilah yang aku fikirkan."

Datuk terus duduk di tanah. Besi itu terus ditelitinya. Ketika itu matahari sudah agak condong kedudukannya. Dalam perkiraan saya, jika matahari itu bergerak atau tergelincir dari kedudukannya dalam jarak dua jengkal bererti waktu Asar sudah tiba. Saya mencadangkan pada datuk supaya pulang saja ke tempat asal (tempat bermalam yang dicadangkan oleh Mamat Bukit). Datuk menolak cadangan saya itu, dia masih mahu mencari rotan semambu lagi. Mahu atau tidak, saya terpaksa mengikutinya. Kami terus mara dalam hutan tebal. Tetapi perjalanan yang rancak itu berhenti juga, bila kami berhadapan dengan rangka besi yang bentuknya macam ekor ikan paus tersadai di satu kawasan.

"Rangka bas tuk."

"Bukan. Aku tengok macam ekor kapal terbang”, balas datuk. Dia terus menghampiri ekor kapal terbang sambil mengetuk-ngetuknya dengan belakang parang. Pada bahagian ekor yang terpacak ke atas terdapat nombor. Manakala pada bahagian tepinya (badan) terdapat perkataan ‘The Air Transport Command’ serta ‘The US Army Air Force'. Perkataan itu terus melekat di kepala saya hingga kini.

Seluruh kawasan itu kami periksa dengan teliti, begitu juga dengan bahagian dalamnya. Semua alat di dalamnya masih baik. Tanpa mengusik sesuatu kami meninggalkan rangka kapal terbang itu. Kami mengambil keputusan untuk pulang ke tempat asal. Bila sampai di tempat datuk mengambil rotan semambu tadi, dilihatnya tiga batang rotan semambu yang dipilihnya masih berada di situ. Tanpa berfikir panjang datuk terus mengambilnya, kemudian kami mandi di sungai.

Bila kami sampai ke tempat mula-mula tiba tadi, Mamat Bukit dan kawan-kawan sudah ada, malah mereka sudah pun membuat bangsal kecil untuk bermalam. Beberapa longgokan rotan seni terdapat di situ.

"Sebelah sana, ada alur air untuk mandi dan ambil air sembahyang. Airnya jernih yang datang dari gunung”, kata Mamat pada datuk. Alur ialah aliran air atau parit kecil yang airnya sentiasa mengalir. Datuk senang dengan penerangan Mamat Bukit. Dia terus ke situ mengambil air sembahyang.

Setelah selesai menunaikan sembahyang Asar, saya terus berborak dengan kawan-kawan Mamat Bukit. Macam-macam hal yang kami kisahkan. Tetapi datuk tetap merahsiakan kejadian ganjil yang dialaminya ketika mengambil rotan semambu tadi.

"Kami jumpa bangkai kapal terbang orang putih”, ujar Samad Perang sambil menunjukkan barang-barang yang diambilnya dari bangkai kapal terbang. Antara barang-barang itu ialah tiga biji topi yang ada lambang tentera, dua bekas air, selimut, dua pasang sepatu kulit, pisau, serta buku catatan.

0 comments:

Related Posts with Thumbnails

Followers