Datuk bangun dan duduk mencangkung. Dia memeluk kedua belah lututnya. Datuk melihat bajunya yang berlubang-lubang. Datuk gelengkan kepala beberapa kali. Dia terus bangun melakukan senaman dalam panas. Bila seluruh tenaganya sudah pulih, dia merapati saya.
Datuk meraba tempat yang kena tendang di tubuh saya. Dia mengurut dan menyentuh tiap sendi urat. Sekejap sahaja badan saya sudah berpeluh dan bertenaga kembali. Saya bangun dan boleh bergerak seperti sediakala.
Datuk merawat Saadun pula sehingga pulih. Saadun segera mendekati saya. Muka saya direnungnya dengan seribu tanda tanya. Semuanya terjadi bagaikan mimpi dan tidak diduga sama sekali.
“Ke mana mereka lari?”, datuk menujukan pertanyaan pada saya dan Saadun. Serentak kami gelengkan kepala. Datuk termenung panjang. Dia mencari arah angin datang. Bila sudah diketahui arah angin datang, datuk menghalakan telinganya ke arah itu.
“Mereka menuju ke sungai,” bisik datuk.
“Kita buru tuk.”
“Tak payah. Aku tahu dan yakin mereka tidak meninggalkan tempat ini sebelum matahari terbenam. Mereka menyorokkan diri," kata datuk sambil menggeliat. Dia terus berjalan berpusing-pusing di seluruh pondok. Sampai di sudut pondok sebelah kanan, datuk terhenti. Berdiri di situ membilang jari kaki.
“Selagi belum berkalih hari, kita tak akan jumpa mereka. Lepas Asar kalau kita mencarinya, dengan izin Allah kita berjumpa,” beritahu datuk pada saya dan Saadun.
Datuk melhat gerakan awan di langit, dan juga melihat dedaun pisang yang melintuk-liuk diterkam angin. Dia menggeliat lagi.
Dua tiga tahun yang lalu bila datuk berhadapan dengan perkara yang terpaksa mengeluarkan tenaga datuk tidak mudah letih atau penat tetapi, keadaan itu berbeza sejak akhir-akhir akhir ini.
Mungkin disebabkan usianya sudah bertambah tua atau boleh jadi juga datuk menghidap penyakit yang memang dirahsiakan dari pengetahuan saya dan keluarganya yang lain. Walau apapun sejak kematian Haji Salim, datuk lebih banyak termenung macam memikirkan sesuatu.
Perkara begini kadang-kadang menimbulkan kebimbangan dalam diri saya. Mahu rasanya saya bertanya tetapi bimbang takut dimarahinya, perkara itu saya pendamkan walaupun hati saya parah menahan perasaan. Kalau boleh saya tidak mahu datuk mati cepat, biarlah dia mati bila saya sudah berusia lebih dari empat puluh tahun.
Saya harus menerima banyak pengalaman darinya untuk jadi bahan renungan atau jadi bahan cerita pada anak-anak cucu saya atau pada kawan-kawan yang sebaya dengan saya pada suatu masa kelak. Terlalu banyak yang saya fikirkan tentang diri datuk.
Datuk duduk atas tanah dengan kedua belah lututnya ditegakkan. Dia menarik nafas dengan tenang. Datuk mengambil ranting kayu dan terus menikam-nikam rumput dengan hujung ranting kayu. Rambut hitamnya yang sudah lebih separuh dikuasai warna putih bergerak-geräk ditolak angin. Dua tiga kali datuk terbatuk.
“Saadun mari ke sini.”
Saadun terus menghampirinya. Berdiri di depan datuk sambil melipat baju kemeja lengan panjang. Usia Saadun sekitar tiga puluh lima tahun. Sudah mendirikan rumahtangga tapi bercerai setelah mendapat seorang anak lelaki. Anak itu dipelihara oleh isterinya yang tinggal di Teluk Kepayang, dekat Bota.
Saya menganggap Saadun sebagai manusia yang istimewa, sejak saya mengenalinya kerana dia tidak pernah memakai kasut. Dia mengunjungi kota-kota besar seperti Kuala Lumpur, Seremban, Ipoh, Pulau Pinang dengan kaki ayam. Aneh juga melihatnya memakai kemeja lengan panjang, seluar panjang yang menarik dengan belahan rambut yang rapi tetapi tidak memakai kasut.
Kerana keistimewaan itulah, di mana Saadun berada, dia tetap jadi perhatian orang ramai. Saadun tidak ambil peduli, dia seolah-olah mensifatkan orang yang melihatnya sebagai orang yang tidak tahu menghargai kebebasan orang lain.
“Apa yang diajar oleh orang itu pada kamu Saadun?”, soal datuk.
“Dia beritahu saya, agama Islam yang kita amalkan ni semuanya salah. Dia mahu membetulkan kesilapan yang telah kita lakukan.”
“Laknat betul orang tu.”
“Ayah Uda jangan kata begitu, katanya, kita semua tidak perlu ke Mekah, tak perlu puasa dan sembahyang.”
“Lagi apa katanya pada kamu?”
“Segala Mufti, Kadi, Tuk Imam dan Pak Haji serta Pak Lebai yang sembahyang dan taat dengan perintah Allah tu sebenarnya berpura-pura.”
“Sudahlah Saadun, aku kenal siapa dia.”
Datuk segera bangun. Dia renung ke arah barat daya sambil menghela nafas dalam-dalam. Tanpa mengucapkan sesuatu, datuk terus melangkah. Saya dan Saadun terus mengikutinya. Sampai separuh jalan Saadun berpatah balik menuju rumahnya. Datuk tidak melarang Saadun bertindak demikian.
“Biarkan dia Tamar” kata datuk. Saya tidak menjawab dan meneruskan pejalanan. Kami sampai di rumah Mehran. Datuk terus mandi limau di perigi. Bajunya yang berlubang-lubang itu terus dibakar. Datuk juga mengumpul tujuh jenis bunga, tujuh jenis daun serta tujuh ruas buluh lemang.
Semua bahan-bahan itu datuk satukan dalam guni. Dijemur dalam sinar matahari yang terik kira-kira satu jam lebih. Setelah itu bahan-bahan tersebut datuk bakar hingga menjadi abu.
Angin yang bertiup kencang menerbangkan abu itu ke arah selatan. Datuk memperhatikan gerakan debu itu pergi hingga hilang dari penglihatannya.
Sambil memandang abu yang digerakkan oleh angin, bibir datuk terus bergerak, macam membaca sesuatu. Apa yang dibacanya saya sendiripun tidak tahu.
Datuk mandi lagi. Sudah dua kali datuk mandi. Kali ini dia lebih lama berada di telaga. Tiap inci kulit tubuhnya disamak dengan lumpur. Bila semuanya sudab selesai, dia terus masuk ke bilik meneruskan kebiasaannya membaca Quran hingga sampai waktu Zuhur.
Selesai sahaja menunaikan fardhu Zuhur, kami terus duduk di ruang anjung rumah. Mehran datang menemui kami. Mehran mengeluarkan sesuatu dari kotak kecil yang dibawanya.
“Bahagian kamu Mat Diah,” Mehran menghulurkan sampul surat tebal yang berisi wang. Saya agak jumlah wang itu cukup besar, tidak kurang daripada lima ratus ringgit.
“Apa ni Mehran?”
“Musim durian dan langsat tahun ni baik, lebih dari lima ribu diperolehi, mengikut pesan arwah moyang dulu, pendapatan itu harus dibahagikan sama rata dengan anak cucunya. Inilah bahagian kamu lapan ratus ringgit,” tokok Mehran.
Datuk merenung sampul surat itu sebentar. Dia renung muka saya. Berdebar hati saya menanti perintah darinya untuk mengambil wang tersebut. Perintah yang dinanti tidak juga keluar dari mulut datuk.
“Aku datang bukan nak menagih bahagian, aku nak jumpa kaum kerabat. Sedekahkan bahagian aku ni untuk membaiki masjid kampung ni,” kata datuk lalu menolak sampul surat pada Mehran kembali. Saya menarik nafas kecewa yang berpanjangan.
Saya tahu moyang pada datuk dulu meninggalkan harta yang banyak. Semua harta itu sudahpun dibahagi-bahagikan pada anak-anak, kecuali sekeping tanah yang seluas tujuh ekar dekat Sungai Sadang.
Tanah itu ditanam dengan pokok durian dari jenis yang baik serta langsat. Tanah itu diwakafkan pada anak cucunya. Orang yang diamanatkan untuk mengendalikan dan membahagikan pendapatan dari tanah itu ialah Mehran.
Wasiat itu dibuat atas kertas di depan penghulu, kerana itu anak-anaknya tidak berani menuntut tanah seluas lima ekar.
“Tujuan moyang kamu membuat wasiat dulu, bukan apa-apa Mat Diah, dia mahu kalau anak cucunya ada yang susah bolehlah duduk di situ,” kata Mehran lagi.
“Aku tahu, kebanyakan anak cucunya hidup senang, apalah salahnya kalau kita bermuafakat segala pendapatan dan tanah tersebut kita sedekahkan pada fakir miskin, membina surau dan masjid,” balas datuk.
“Aku faham maksud kamu Mat Diah.”
“Mulai hari ni, bahagian saya serahkan pada masjid, dengan izin Allah saya sekarang pun tak susah, rezeki saya ada.”
“Aku tahu, kau memang tak susah tanah kamu banyak untuk makan pakai kain dengan bini dan si Tamar ni, sampai seratus tahun lagi boleh cukup.”
“Sudahlah itu, mulai hari ni, bila saya datang jangan fikirkan saya nak menuntut bahagian saya.”
“Kami tak pernah memikirkan macam tu, mari kita makan.”
Kami terus makan. Saya tahu, setiap kali datuk menginap di rumab Mehran dia selalu membeli beras, gula, kopi dan ikan bergantung selama mana dia tinggal di rumah tersebut.
Bila Mehran menolak pemberian datuk itu, membuat datuk hanya mampu bertahan sehari dua sahaja di rumab Mehran. Kata datuk datang ke rumah kaum keluarga sampai berminggu-minggu, tidak baik menyusahkan mereka. Paling lama tiga hari. Dan kata-kata datuk itu saya jadikan panduan hidup saya untuk masa akan datang.
Lepas sembahyang Asar, datuk mengajak saya ke Sungai Perak. Saya tahu tujuan datuk itu, ia mahu mengesan tempat persembunyian Daud dan Kamal. Kami sampai di tepi tebing Sungai Perak. Berteduh di bawah pokok kekabu yang sedang berbuah. Datuk merenung ke pulau kecil di perut Sungai Perak.
Pulau itu ditumbuhi dengan pokok-pokok kecil. Di bahagian hujung pulau itu terdapat pasir yang memutih. Beberapa ekor burung kedidi berjalan di pinggir pasir sambil mengembangkan kepak. Saya tidak tertarik dengan pulau kecil itu.
Saya lebih senang melihat bangunan tua di pekan Parit yang tertegun tidak jauh dan tebing Sungai Perak di seberang. Air Sungai Perak nampak bermanik-manik diserlah oleh sinar matahari.
Dari bawah tebing kami terdengar suara orang bercakap-cakap. Datuk menggaru kepala dan menarik tangan saya menuruni tebing yang agak curam. Dua tiga kali saya terjatuh kerana terlanggar akar yang berselirat, beberapa bahagian tebing yang berpasir itu berlubang-lubang.
Datuk beritahu saya lubang itu dibuat oleh beberapa penduduk tertentu di situ. Mereka mencari pasir yang halus dan bersih. Pasir itu digunakan untuk menggosok gigi, hasilnya gigi mereka kelihatan putih dan bersih. Cara itu pernah saya lakukan hasilnya memang balk. Gigi saya putih berkilat dan tidak pernah diserang sakit gigi.
Bila saya kenal dengan ubat gigi moden, cara itu saya tinggalkan. Saya rasa itu sudah ketinggalan zaman. Jika digunakan pasti diketawakan oleh kawan-kawan.
Bila kami sampai di gigi air, saya lihat Saadun sedang menggalah sampan. Di depannya ada dua orang lelaki menutup kepalanya.
“Saadun di mana nak kamu bawa manusia laknat tu?”, pekik datuk. Saadun tidak menjawab. Dia makin kuat menggalah sampan membelah arus. Kedua orang yang duduk di depannya menggunakan tangan untuk menggalah sampan.
“Saadun, jangan tolong mereka,” jerit datuk. Saadun terus galah sampan. Saya lihat sampan itu terus meluncur dengan lajunya. Datuk merenung ke arah sampan yang kosong dekatnya. Rantai sampan itu dipasang kunci.
“Itu sampan laki Hajjah Fatimah,” kata datuk, Ia turun membongkok lalu memegang rantai sampan. Rantai sampan itu terputus. Datuk cabut galah sampan.
“Naik” kata datuk. Saya pun melompat atas perut sampan. Haluan sampan datuk betulkan. Dia terus galah sampan memburu sampan Saadun yang jaraknya kira-kira 30 kaki. Bila melihat datuk galah sampan, Saadun melipatkan tenaganya. Sesekali dia menoleh ke arab datuk dengan rasa cemas yang amat sangat.
“Saadun jangan tolong orang jahat,” suara datuk cukup keras. Saadun tidak merenung ke arab datuk. Dia menganggap larangan datuk itu tidak memberikan sebarang kesan.
“Budak sial tu,” rungut datuk. Dia terus menikam galah sampai ke air. Kali ini saya rasa sampan itu meluncur cukup laju.
Dalam beberapa minit sahaja, sampan kami sudah menghampiri sampan Saadun. Datuk cuba memintas, usaha datuk itu tidak berjaya. Kali ini datuk cuba menghimpit sampan Saadun supaya menuju ke pulau. Usaha datuk kali ini berjaya. Saadun tidak ada cara lain untuk mengelak, sampannya melanggar tebing pulau.
Salah seorang lelaki yang duduk di depan Saadun terus berdiri. Saadun undurkan sampannya, kali ini menuju ke arah pasir yang timbul di hujung pulau.
“Jangan Daud, jangan,” Kamal menjerit. Jeritan itu tidak dihiraukan oleb Daud. Ia terus melompat atas pasir. Satu jeritan yang amat kuat menguasai perut sungai. Saya lihat Daud terkapai-kapai, separuh dan badannya sudah pun ditelan oleh pasir hujung pulau.
“Tolong aku mahaguru tolong,” rayu Daud tangannya terkapai-kapai, pasir sudah pun menguasai kedua belah bahunya. Kamal tidak melakukan sesuatu untuk menyelamatkan Daud. Pasir sudah sampai ke paras hidung Daud.
“Aku tak boleh menolong kamu, kamu melanggar sumpah,” suara Kamal cukup keras. Dia membuka tudung kepalanya. Daud terus ghaib ditelan pasir. Di tempat Daud tenggelam itu, saya lihat pasir membuak-buak bersama kepulan asap yang tebal.
Saya lihat datuk terdiam. Masa tu juga Saadun berjaya mengalihkan haluan perahunya. Berjaya meninggalkan pulau kecil, datuk mengalihkan sampannya ke tempat Daud tenggelam. Pasir putih terus bertukar jadi hitam macam arang.
“Mana dia Saadun?”
“Itu.”
"Tak apa kita buru dia,”
“Tapi, dia dah jauh tuk.”
“Tak apa,” datuk menjawab pendek. Dia terus menepuk air sungai. Sampannya bergerak sendiri terus melintasi pulau kecil, memburu sampan Saadun. Tiba-tiba saya lihat Kamal menarik sesuatu dari pinggangnya.
Datuk terjun ke dalam sungai. Hilang tidak dapat diduga ke mana datuk pergi. Saya terkejut, bila melihat datuk berdiri di tebing menanti kedatangan Saadun dan Kamal. Saya terpaksa mengalah sampan sendiri.
Kamal jadi tak tentu arah, bila melihat datuk menantikan kedatangannya di tebing. Dia menahan Saadun dari mengalah sampan. Muka Saadun direnungnya.
“Kerana kamu ada hubungan keluarga dengan seteru aku, kamu tak boleh diharap,” seru Kamal jelas dapat didengar. Dia meletakkan tangan kanannya atas bahu kiri Saadun.
Saadun melolong minta tolong. Saadun rebah atas sampan. Darah membuak-buak keluar mulutnya. Kamal menendang Saadun ke dalam sungai. Saadun terus tenggelam. Kamal membuka bajunya dan terus melompat dari atas sampan. Dia bagaikan terbang menuju ke tebing sungai. Kamal memang bijak dan sudah merancangkan dengan teliti apa yang mahu dilakukan.
Sepasang kakinya mencecah tebing sungai di belakang bangunan enjin pembekal air (bangunan itu kini sudah tidak digunakan lagi). Datuk tidak dapat berbuat apa-apa. Dalam jangkaan datuk dia pasti mendapat mendarat di tempat yang ditunggu oleh datuk.
Datuk berlari ke arah bangunan tersebut, mencari Kamal. Usaha datuk itu sia-sia belaka. Dia cuma bertemu dengan seekor kucing hitam. Bila datuk mahu menangkapnya, kucing hitam terus mencakar tangan datuk dan terus lari tidak dapat dikesan. Datuk menanggung kecewa yang amat sangat.
Setelah badan berpeluh dan urat-urat di pinggang bagaikan terasa mahu putus menggalah sampan, saya berjaya juga sampai ke tebing. Saya lihat sampan milik Saadun terus dihanyutkan oleh arus ke hilir. Saya terasa hiba dan hampir mahu menitiskan air mata. Saya kehilangan seorang keluarga yang sukar dicari ganti.
Saya tambatkan perahu ke akar pokok sena. Datuk terus mengajak saya ke Balai Polis Parit membuat aduan apa yang terjadi pada sarjan polis berbangsa Pakistan yang memakai nombor 1000.
“Mayat cucu saudara awak mesti dicari,” kata Sarjan 1000 pada datuk. Saya garu telinga, bukan senang mencari mayat dalam sungai. Mesti mencari penyelam yang cukup handal. “Kita terpaksa cari pawang selam,” sambung Sarjan 1000.
“Saya tahu.”
“Awak boleh buat kerja tu?”
“Saya cuba kalau diizinkan Allah saya berjaya,” suara datuk lemah. Sarjan 1000 memanggil dua anggota polis untuk mengikut datuk. Anggota polis yang berkulit cerah namanya Mohd Hatta orang Kelantan, yang berkulit agak gelap bernama Tajuddin orang Rembau, Negeri Sembilan.
“Ikut saya ada kes bunuh,” kata Sarjan 1000 pada kedua anggota polis itu. Kami pun meninggalkan Balai Polis Parit menuju ke tebing tempat saya mengikat sampan tadi.
Sebelum ke situ datuk minta jasa baik Sarjan 1000 memberitahu perkara itu pada saudara maranya di Belanja Kiri. Seorang anggota polis telah diarahkan ke kampung tersebut.
Tidak sampai dua jam berita itu tersebar dengan cepat ke Daerah Parit. Tebing sungai mula dikerumuni orang. Hal itu menyusahkan hati datuk.
“Saya tidak boleh buat kerja sekarang", bisik datuk pada Sarjan 1000. Dua orang anggota polis yang ada di situ terkejut dengan kata-kata datuk itu.
“Apa fasal?”
“Saya tak mahu orang tahu apa yang ada pada saya, bila orang tidak ada, baru saya boleh buat kerja itu.”
“Itu senang, kita larang dan adakan sekatan supaya orang jangan datang ke sini.”
“Begini saja sarjan. Sejam lagi saya buat, sebelum itu kita suruh orang yang ada di sini balik, kecuali saudara mara saya.”
“Ya, saya ikut cakap awak.”
“Terima kasih.”
Kawasan tebing itu terus dikawal oleh anggota polis. Tidak ada seorang pun yang dibenarkan datang.
Datuk merasa tenang. Sajan 1000 banyak bertolak ansur dan mahu menerima pendapat dan pandangannya. Datuk menghampiri Sarjan 1000. Mereka berbisik sesuatu.
“Ikut aku, Tamar,” kata datuk pada saya. Kami bertiga (saya, datuk dan Sarjan 1000) meninggalkan tempat tersebut menuju ke Balai Polis.
Saya merasa tidak begitu selesa duduk di Balai Polis. Saya minta izin dari datuk untuk pergi ke padang sekolah Cina yang terletak di sebelah Balai Polis.
Permintaan saya itu diizinkan oleh datuk. Saya terus pergi ke tempat tersebut. Dari situ saya merayap lagi mendaki sebuah bukit kecil yang letaknya tidak jauh dari sekolah Cina.
Di puncak bukit kecil itu terdapat sebuah rumah yang agak besar bercat putih. Saya tidak tahu rumah itu kepunyaan siapa.
Setelah puas menikmati pandangan dari puncak bukit, saya segera kembali ke Balai Polis, Datuk terus merungut kerana saya terlalu lama merayap di luar. Saya diam membatu hingga rungutnya berakhir.
Di bawah sinar matahari petang yang kian condong. Datuk terus bertinggung di tepi merenung gelombang kecil di permukaan sungai. Saya masih berdiri tidak jauh dari datuk.
Dua orang anggota polis yang bertugas di situ menasihatkan orang ramai, jangan menghampiri kawasan tebing. Kali ini, Sarjan 1000 tidak datang kerana ada urusan di balai. Walaupun sinar matahari tidak terik tetapi, dahi dan badan saya tetap berpeluh.
“Tamar, ke mari.”
Saya segera berlari menghampiri datuk. Perlahan-lahan datuk bangun lalu memegang bahu kiri saya. Renungannya begitu tajam menyorot wajah saya.
“Aku nak mulakan sekarang, kau tunggu aku di sini. Mesti bertinggung macam aku dan apa yang kamu nampak di air jangan ditegur,” datuk mengeluarkan arahan. Tentu sahaja arahan itu saya patuhi.
Datuk terus menuruni tebing sungai yang agak curam itu. Dengan tenang datuk meredah air sungai. Semua gerak-geri datuk saya perhatikan dengan teliti. Air sungai terus menelan tubuh datuk separuh dada.
Tiba-tiba datuk terus menyelam. Ketika itu juga orang ramai tidak lagi mahu mematuhi arahan dari dua orang anggota polis tersebut. Dalam beberapa saat saja tebing sungai dipenuhi dengan orang ramai. Masing-masing tumpukan perhatian pada air Sungai Perak yang mengalir lembut.
“Dah dekat 45 minit menyelam belum juga timbul-timbul hebat betul orang tua itu,” seorang anak muda yang berdiri dekat saya bersuara. Saya terus membatu sambil berdoa supaya Allah menyelamatkan datuk dari sebarang bencana.
Hati saya mendadak jadi marah dan mengutuk orang ramai yang berdiri di tebing sungai. Mulut mereka terlalu celupar, bercakap ikut sedap mulut. Dua orang anggota polis terus mengawasi gerak-geri orang ramai supaya jangan ada di antara mereka turun ke gigi air.
Orang ramai bersorak sambil bertepuk tangan bila mereka lihat datuk timbul di permukaan sungai. Datuk terus rapat ke gigi air dan memanjat tebing. Datuk berdiri dekat saya dan orang ramai terus mengerumuninya.
Beberapa orang dari mereka cuba memeluk datuk dengan tujuan supaya air yang lekat di tubuh datuk meresap ke pakaian mereka. Perbuatan itu segera ditegah oleb kedua orang anggota polis.
Larangan itu tidak diperendahkan. Mereka terus berusaha untuk memeluk tubuh datuk. Saya lihat datuk cuba mengelak sambil meminta orang-orang yang cuba mahu memeluknya supaya jangan mendekatinya.
“Kenapa saya dibuat macam ini?” Tanya datuk sambil merenung muka orang yang terlibat. Aneh, datuk tidak memperlihatkan kemarahannya, tetap ramah dan tenang. Senyum terus bermain di bibirnya.
“Kami mahu mendapat rahmat dari awak,” jawab seorang.
“Rahmat? Rahmat apa?” Datuk terkejut.
“Kata orang, kalau kita memeluk tubuh orang yang menyelam lama hingga air di tubuhnya meresap ke kulit tubuh, kita tidak akan mati lemas dan ditangkap buaya.”
“Kamu tahu? Ajal dan rezeki manusia ditentukan Allah,” suara datuk meninggi. Orang yang ditanya terdiam dan anggukkan kepala.
“Kalau kamu sudah tahu, kenapa kamu nak buat kerja mengarut ni? Pergi balik,” ujar datuk.
“Tapi...”
“Tapi apa? Apa kamu mahu?”
“Awak bomoh besar dan pawang besar.”
“Saya bukan pawang, saya bukan bomoh. Eh, kenapa singkat benar kamu berfikir? Apa kamu fikir pawang dan bomoh tu ada kuasa, boleh menentukan hidup seseorang? Sedangkan dirinya pun dijadikan oleh Allah.”
“Saya...”
“Sudah,” pekik datuk. Orang itu terus meninggalkan datuk. Dan orang ramai berbisik sama sendiri. Ada di antara mereka yang menjuihkan bibir. Mereka mengejek diri datuk.
Orang ramai mula beransur-ansur meninggalkan kawasan tebing sungai. Datuk terus mendekati kedua orang anggota polis.
“Saya nak cari lepas waktu Isyak,” beritahu datuk pada anggota polis. Mereka berpandangan sama sendiri. Saya terus meraba-raba pangkal dagu. Datuk sudah pun menukarkan pakaiannya yang basah dengan pakaian yang kering.
“Tak apalah, kalau itu yang awak mahu tapi, kami terpaksa melaporkan pada sarjan dengan apa yang awak buat tadi. Kami agak, Sarjan 1000 sudah menghubungi ketua polis di Ipoh, minta bantuan dari penyelam Tentera Laut,” kata Mohd Hatta (anggota polis) pada datuk. Saya lihat datuk anggukkan kepala.
Tanpa membuang masa kami pun meninggalkan kawasan tebing sungai menuju ke Balai Polis. Sarjan 1000 menyambut datuk dengan wajah yang tenang. Datuk terus menceritakan pada sarjan tentang rancangan yang telah diatur, Sarjan 1000 anggukkan kepala.
Datuk diajak oleh Tajuddin (anggota polis) ke rumahnya. Ajakan itu datuk penuhi. Saya dan datuk dijamu dengan goreng pisang dan kopi panas. Banyak juga perkara dan petua yang ditanyakan oleh Tajuddin pada datuk. Saya lihat datuk tidak keberatan memberitahu pada Tajuddin.
Saya kira Tajuddin merupakan keluarga yang bahagia. Isterinya peramah dan terlalu hormat pada tetamu. Mereka mempunyai tiga orang anak. Dua perempuan dan seorang lelaki. Kedua-dua orang anak perempuannya tinggal bersama ibunya di Rembau. Cuma anak lelakinya sahaja yang duduk dengan mereka. Anak lelakinya itu belajar di darjah enam Sekolah Melayu Parit(sekarang disebut Sekolah Kebangsaan).
Malam itu, setelah selesai sembahyang Maghrib dan Isyak di masjid, saya dan datuk kembali ke rumah Tajuddin. Sampai sahaja di rumahnya hidangan makan malam sudah tersedia.
Tajuddin dan isterinya merasa terkilan kerana datuk makan terlalu sedikit tetapi, mereka memuji diri saya kerana makan penuh nafsu. Malu juga rasanya, bila nama saya disebut-sebut sebagai orang yang suka makan banyak.
Walau apa pun rasa malu itu segera hilang bila saya memikirkan makan banyak dapat memberi kegembiraan pada tuan rumah yang secara tidak langsung memberikan penghormatan kepada mereka.
“Budak ni, semuanya dia telan kecuali batu dan kayu,” kata datuk berjenaka dan disambut dengan ketawa oleh Tajuddin dan isterinya. Saya terus tersengih tetapi, hati tetap marah dengan datuk.
“Bukan tak sudi, memang jadi kebiasaan pada saya. Bila ada kerja, lebih-lebih lagi kerja menyelam mencari mayat saya makan tak banyak,” datuk menerangkan pada Tajuddin dan isterinya. Penjelasan itu dapat diterima oleh pasangan suami isteri tersebut.
“Malam ni tidurlah di sini,” pelawa isteri Tajuddin.
“Minta maaf, selesai saja kerja saya terpaksa balik ke rumah saudara saya,” jawab datuk lembut.
“Kalau begitu, biar saja cucunya tidur di sini,” tingkah Tajuddin.
“Minta maaf, saya kena ikut datuk saya,” cepat-cepat saya menjawab.
“Biarlah kami pergi dulu,” datuk segera bangun dan meangkah ke muka pintu. Saya segera menuruti datuk dengan perasaan sedikit gementar. Saya berdoa supaya tugas yang akan dilakukan oleh datuk dapat berjalan dengan lancar.
“Saya nak ikut sama,” kata Tajuddin sebaik sahaja kami sampai di kaki tangga. Tajuddin meluru ke bawah. Kalau tadi Tajuddin memakai pakaian seragam sekarang, pakaian itu tidak digunakan, kerana ia sudah selesai bertugas.
0 comments:
Post a Comment