Apa yang dikatakan oleh imam berjubah hijau itu dilaksanakan oleh janda Omari dengan sempurna. Datuk tidak banyak campur tangan dalam urusan tersebut, kecuali menemani janda Omari pergi kekubur selama lapan pagi berturut-turut. Masuk hari yang ke empat belas, suara tangisan dari kubur sudah tidak kedengaran lagi. Dan janda Omari pun menyatakan hasratnya pada datuk untuk pulang ke Pontian.
"Tangguhkan lah dulu”, kata Omari pada jandanya.
"Kenapa?"
"Lepas mengadakan kenduri kesyukuran malam jumaat ini, kau pulanglah. Aku minta pada kau demi kasih sayang kita pada anak", Omari menyatakan hasratnya.
Janda Omari termenung. Dalam hati dia membilang hari. Dia menggigit bibir. Kalau dia memenuhi permintaan Omari bererti dia terpaksa bermalam lagi di Kampung Jorak Ilahi.
"Hari ini suami saya datang mengambil saya, tak dapat menunaikan hajat baik tu”, jawab janda Omari.
Datuk merenung muka Omari yang dijamah sinar matahari pagi.
"Bila suami awak datang?", datuk menyoal perempuan yang berwajah lembut.
Kedua-dua belah kelopak matanya agak hitam kerana kurang tidur dan terlalu banyak menangis mengenangkan perbuatan bekas suaminya.
"Tengahari ini”, jawabnya pendek.
"Hari ini hari Khamis. Dia tidak marah kalau kau tidur semalam lagi di sini”, celah datuk.
Perempuan yang berwajah lembut menyimpan seribu penderitaan itu merenung wajah datuk. Dalam sinaran mata yang redup itu tersembunyi seribu ketegasan diri yang tidak boleh diubah oleh sesiapa pun. Begitulah firasat datuk bila melihat bola mata perempuan itu.
"Saya boleh menunaikan permintaan itu kalau mendapat izin dari suami saya. Tugas isteri membuat apa yang disukai oleh suami dan menjauhkan sebarang perbuatan yang tidak disukainya. Inilah ibarat saya untuk suami saya”, ujar perempuan itu dengan tenang.
Datuk tesenyum dalam hal ini ternyata datuk kalah. Datuk boleh berhadapan dengan syaitan dengan gagah dan berani. Tetapi,datuk terpaksa tunduk dengan perempuan yang kuat iman dan mengikut perintah Allah.
"Itulah yang baiknya, memang yang baik itu untuk Allah dan yang jahat untuk syaitan dan nafsu”, suara datuk lemah.
Kemudian datuk dan Omari turun ke tanah. Perempuan berwajah lembut duduk dimuka pintu menanti kedatangan suaminya. Lepas kurang pukul sebelas pagi, suaminya datang dengan sebuah teksi. Datuk segera menemui suami perempuan itu. Bercakap sesuatu dengannya.
"Tak jadi halangan kalau untuk kebaikan”, balas suami perempuan itu.
Dengan tenang suami perempuan itu membayar tambang teksi dan meminta teksi itu datang menjemputnya selepas sembahyang Jumaat pada hari esoknya. Malam itu, kenduri kesyukuran pun diadakan. Sebelum majlis dijalankan, datuk bercakap dengan Omari sebentar. Tanpa memberitahu saya datuk pun menghilangkan diri. Bila tetamu sudah penuh di anjung, datuk secara mendadak saja tersembul dalam barisan orang kampung bersama seorang lelaki berjubah hijau. Lelaki itu saya lihat tidak banyak cakap. Dia hanya bersalam saja dengan orang yang datang. Kemudian duduk tunduk membilang tasbih.
Atas permintaan datuk, orang yang berjubah hijau membacakan doa. Bila orang ramai menjamah hidangan, orang berjubah hijau tidak menjamahnya. Dia terus membilang tasbih. Bila semua orang selesai makan dan minta diri untuk pulang, orang berjubah hijau terus bangun dan dan berjabat salam. Tidak ada orang yang berani bertanya tentang dirinya sama ada pada datuk atau pada Omari. Mulut orang ramai bagaikan terkunci. Akhirnya, tinggallah saya, datuk, Omari dan jandanya bersama suami dalam rumah itu merenung ke arah lelaki berjubah hijau.
"Bertaqwalah kamu semua pada Allah, dan Allah akan memberikan kamu semua pengetahuan dan petunjuk yang baik”, ujar orang yang berjubah hijau itu.
Kemudian dia bagaikan kilat hilang dari dari pengelihatan kami. Kerana semuanya sudah selesai, datuk dan saya meninggalkan Kampung Jorak Ilahi. Datuk menolak pemberian Omari seperti kelapa, pisang dan wang sebanyak lima puluh ringgit.
"Saya tidak hidup atas ini. Saya buat kerana Allah semata-mata. Bersyukurlah pada Allah atas limpahan kurnia nya yang kita terima”, kata datuk.
"Tapi ini pesan anak saudara saya. Lagipun di sini perkara bagi duit pada orang yang berjaya macam awak ni sudah jadi perkara biasa"
"Saya bukan orangnya. Sedekahlah pada anak-anak yatim"
"Maafkan saya”, ujar Omari.
Dalam perjalanan pulang itu, datuk tiba-tiba teringatkan anak saudaranya itu. Anehnya, bila saya mencadangkan padanya supaya pergi ke sekolah tempat anak saudaranya mengajar datuk menolak.
"Jangan kacau dia bekerja mencari rezeki”, kata datuk.
"Habis bagaimana kita mahu mencarinya tok?"
“Ikhtiar dengan bertanya pada orang"
Tidak kuasa saya melawan cakap datuk. Setelah puas bertanya ke sana ke mari, akhirnya datuk dapat juga tahu lokasi rumah anak saudaranya itu. Tidak lama saya dan datuk menginap di rumah anak saudaranya itu, tetapi membekalkan saya satu pengalaman yang aneh. Sepupu saya itu Yusuf namanya. Menyewa sebuah rumah yang berhampiran dengan tanah kubur. Menurut Yusuf tempat dia tinggal itu dipanggil Kampung Bagam (beberapa tahun yang lalu waktu saya pergi ke Singapura, kawasan di situ sudah banyak berubah. Sudah ada kedai perabut kepunyaan orang Melayu bertingkat- tingkat tingginya.
Sudah ada tempat menjual minyak petrol. Lebih kurang pukul dua belas malam, saya terdengar pintu rumah Yusuf di ketuk orang bertalu-talu. Bila dia mahu membukanya Yusuf menahan.
"Kenapa?", tanya saya.
"Syaitan”, jawab Yusuf.
Mendengar cakap Yusuf itu, datuk bangun. Dia termenung sejenak melihat wajah Yusuf kelihatan pucat. Anak dan isterinya tidak dikejutkannya.
"Syaitan macam mana?" datuk minta kepastian.
"Saya belum melihatnya, tapi orang yang pernah membuka pintu rumah melihat perempuan berambut panjang tidak bermata”, Yusuf memberikan penjelasan.
Sebaik saja Yusuf habis bercakap datuk terus meinbuka pintu. Apa yang dikatakan Yusuf memang benar. Di muka pintu berdiri seorang perempuan berambut panjang dengan wajah yang pucat. Dengan sekilas datuk sudah tahu, perempuan yang dilihatnya itu bukan hantu.
"Apa hal?" tanya datuk.
"Saya lapar"
"Masuk”, perempuan itu pun masuk.
Perbuatan datuk itu memeningkan kepala Yusuf. Datuk memberi perempuan itu makan. Bagi menguji sama ada perempuan itu sudah dirasuk syaitan atau tidak, datuk mencampakkan kain hitam berbucu tiga ke arah perempuan itu. Tidak ada tindakbalas dari perempuan tersebut. Setelah datuk mengadakan temubual dengan perempuan itu, macam pegawai polis menyiasat orang salah, ternyata perempuan itu gila dan di singkirkan oleh keluarganya.
Terpaksa tinggal di pinggir hutan dan keluar bila malam. Kemudian orang-orang yang tidak bertanggungjawab menyebarkan fitnah perempuan itu bukan manusia tetapi hantu perempuan berambut panjang. Malam itu juga datuk cuba memberi rawatan segera pada perempuan itu. Datuk juga menyuruh perempuan itu bermalam di rumah Yusuf. Akibat dari perbuatan datuk itu, tersebarlah berita kononnya Yusuf menyimpan hantu berambut panjang.
"Aku terpaksa merawatnya selama tiga pagi hingga dia baik”, kata datuk saya dan Yusuf.
Dan Yusuf tidak dapat berkata apa-apa. Sama ada dia rela atau dia tidak dia harus patuh dengan permintaan datuk yang suci itu. Dengan pertolongan Allah yang Maha Besar, datuk berjaya mengubati perempuan itu dengan memandikan seluruh tubuhnya dengan tujuh biji air kelapa muda selama tiga pagi. Pada sebelah petangnya, selama tiga petang datuk menanam separuh badan perempuan ke dalam di tanah di bawah sinaran matahari selama tiga jam. Kepala itu dilumurkan dengan asam jawa. Setelah itu, datuk memaksa perempuan berambut panjang mandi di sungai hingga menggigil kesejukan. Hari terakhir, datuk pun memanggil semua jiran-jiran Yusuf berkumpul di halaman rumah kira-kira pukul empat petang. Datuk menyuruh perempuan itu duduk di atas bangku khas. Dibawah bangku itu pula datuk letakkan sabut kepala.
Supaya perempuan itu tidak lari, bahagian pinggang dan badan di ikatkan pada bangku. Ketika itu datuk sudah pun memakai baju dan seluar hitam, kepalanya diikat dengan kain merah. Dia pun memerintahkan saya mencurah minyak api lalu membakar sabut. Datuk berpeluk tubuh mulutnya kumat-kamit membaca sesuatu. Perempuan yang berambut panjang terus menjerit sekuat hati. Tiba-tiba datuk menepukkan kedua belah tangannya. Api yang marak segera padam diganti oleh asap tebal.
Perempuan itu terbatuk-batuk kelemasan. Serentak dengan itu, orang ramai melihat tulang-tulang ikan dan serpihan kaca keluar dari rambut wanita tersebut. Datuk menyuruh saya menyiram air atas sabut yang dibakar. Perempuan yang berambut panjang terkulai atas bangku. Datuk lalu mengumpulkan serpihan kaca dan tulang lalu dimasukkan ke dalam uncang kecil. Datuk menepuk bumi, perempuan itu tersedar, wajahnya berseri-seri. Boleh bercakap dengan baik dan teratur.
"Dia sebenamya anak yatim. Ada orang yang melamarnya tetapi lamarannya ditolak kaum keluarganya kerana mereka tidak mahu harta peninggalan ayah perempuan ini lepas ketengah orang lain. Orang yang meminangnya dulu berdendam lalu mengenakan ilmu sihir padanya”, kata datuk.
Bila datuk mahu meninggalkan kawasan halaman untuk masuk kedalam rumah, seorang lelaki segera menerkam kepalanya dan mengaku pada datuk bahawa dia adalah ayah saudara pada perempuan itu.
Dia juga menyuruh anak buahnya menyebarkan fitnah pada perempuan yang malang itu. Datuk menasihatkan lelaki itu supaya membela anak saudaranya dengan sebaik mungkin, dengan rasa rendah diri lelaki itu menyesal atas perbuatannya. Dia berjanji akan memelihara anak saudaranya seperti anaknya sendiri.
"Awak salah”, kata datuk.
"Apa salah saya?"
"Sebagai seorang Islam awak disuruh. Tetapi awak tidak melakukannya terhadap anak saudara awak. Awak hanya berserah pada keadaan, satu perbuatan yang tidak terpuji mengikut ajaran Islam”, jelas datuk lalu membawa anak saudaranya pulang.
Pagi esoknya, saya dan datuk pun meninggalkan rumah Yusuf menuju ke utara dengan sebuah teksi. Kami sampai ke Ipoh lebih kurang pukul tujuh petang. Kami bermalam di rumah kenalan datuk di Kampung Pengkalan Peguh yang letaknya beberapa batu saja dari kota Ipoh. Pagi esoknya kenalan datuk sendiri menghantar kami ke kampung. Dua bulan kemudian, datuk menerima surat dari Yusuf yang mengatakan perempuan yang berambut panjang telah menemui jodoh dengan seorang pemuda dari Masjid Tanah, Melaka.
Pemuda itu ada hubungan kekeluargaan dengan gadis itu dari sebelah ibunya. Pemuda itu berkhidmat dengan pihak tentera Inggeris di Singapura di bahagian R.A.S.C. (Royal Army Service Cop) bertempat di Kem Seletar. Seminggu selepas kahwin dia membawa isterinya ke tempat bertugas, demikianlah Yusuf menulis dalam suratnya. (Sepupu saya itu Yusuf kini menetap di Taman Pelangi Johor Bharu, setelah meletakkan jawatan sebagai guru untuk bergiat dalam lapangan pemiagaan.
Cukup gembira datuk menerima surat dari anak saudaranya itu. Dia juga berdoa supaya jodoh perempuan berambut panjang dengan pemuda itu akan berkekalan hingga ke anak cucu. Sejak datuk pulang dari Batu Pahat, kesihatannya tidak begitu baik. Dia selalu diserang batuk mulai pukul dua belas malam hingga menjelang waktu subuh.
Bila saya menasihatkannya supaya pergi menemui doktor, datuk tidak mahu. Dia mengatakan pada saya sakitnya tidak parah dan boleh baik sendiri. Kadang-kadang saya terfikir alangkah baiknya kalau saya dapat jadi seperti datuk. Boleh menolong orang yang sakit. Tetapi, bila saya fikirkan dengan sedalam-dalamnya, memang saya tidak dapat mengikuti jejak langkah datuk.
Datuk cukup lokek mahu menurunkan kebolehan dan kepandaiannya dengan diri saya. Datuk bimbang kalau ilmu yang saya tuntut darinya akan disalah-gunakan. Dia hanya menurunkan ilmu-ilmu yang mudah pada saya seperti mengurut tangan orang yang tersilap urat serta beberapa petua dan doa untuk diri saya sendiri yang tidak boleh digunakan untuk orang lain, walaupun untuk anak isteri.
Dari sinilah mulanya timbul dalam hati saya untuk menyambungkan pelajaran yang terkandas. Atas galakan datuk juga, saya memasuki sekolah malam di kampung saya. Datuk tidak tahu, bahawa saya akan menyambung alam baktinya dengan cara yang tersendiri. Saya berazam untuk menjadi seorang doktor. Dengan itu saya akan boleh menolong orang.
"Datuk kau bukan tak mahu menurunkan ilmu pada kamu Tamar. Tapi pantang larangnya terlalu ketat, cabarannya juga terlalu kuat. Macam nenek ni, kalau tak sabar-sabar dah lama tinggalkan dia”, kata nenek pada saya, setelah saya nyatakan rasa kesal saya atas sikap datuk pada suatu petang. Tanpa diduga perbualan saya dengan nenek didengar oleh datuk. Dia segera mendekati kami. Matanya merenung wajah saya. Dia membaca apa yang tersirat dalam dada saya.
"Aku boleh memberikan kesenangan, kebahagian pada orang lain, tetapi hal itu tidak dapat aku berikan pada nenekmu. Kalau dia menuduh aku sebagai lelaki tidak bertanggungjawab aku tidak marah. Apa yang dikatakannya itu memang benar”, kata datuk dari kepala tangga.
Nenek merenung muka saya.
"Memang begitu janji aku dengan guru ku dulu. Tidak mengutamakan kepentingan diri sendiri dan kaum keluarga, kalau tidak ilmuku tidak menjadi. Tuhan telah memberi aku seorang isteri yang setia dan sabar. Inilah nikmat dari Allah yang aku terima”, sambung datuk lagi.
Matanya merenung redup pada wajah nenek. Dan nenek pun tersenyum cukup manis. Belum pernah saya menikmati senyum nenek semanis itu. Agaknya, dia megah kerana pengorbanannya selama ini di sanjung oleh datuk. Barang kali sikap bertolak ansur, timbang rasa dan saling memahami tugas masing-masing membuat rumahtangga datuk dan nenek kukuh hingga ke anak cucu, fikir saya dalam hati.
Meskipun rumah tangga mereka tidak didirikan atas landasan cinta dulu baru kahwin, mereka mengambil langkah nikah dulu kemudian cinta. Ternyata kebahagiannya lebih panjang, kemesraannya terlalu padat. Susah mahu diresapi pertingkahan, fikiran saya terus berjalar ke dalam kepala.
"Nenekmu seorang wanita yang baik”, tambah datuk lagi.
Datuk terus beredar dari kepala tangga. Saya pun melangkah meninggalkan nenek dengan kerjanya mengupas buah kelapa. Bagi mengisi masa lapang petang itu, saya berhasrat untuk pergi bercampur dengan kawan-kawan yang sebaya bermain gasing. Buah gasing dan tali yang tersimpan di bawah rumah saya ambil. Cita-cita saya mahu memangkah dua tiga biji buah gasing kawan-kawan hingga terbelah. Secara mendadak saja saya teringatkan batang pancing yang tersadar di pangkal pokok mempelam. Gasing dan tali saya tinggalkan. Batang pancing saya ambil.
"Nak ke mana dah petang begini”, tanya nenek
"Nak memancing ikan di sawah"
"Usahlah, dah petang”, tahan nenek.
"Kejap aja nek”, jawab saya dan terus meninggalkan kawasan rumah menuju kesawah yang terbentang luas.
Matahari sudah condong benar letaknya. Dalam perkiraan saya, waktu itu sudah pukul lima lebih. Memang tidak wajar saya turun ke sawah memancing. Saya terus meniti atas batas bendang menuju ke sebuah kolam kecil yang terletak di bawah sebatang pokok tualang besar dan tinggi. Kiri kanan pokok itu ditumbuhi oleh pokok-pokok buluh. Akar-akar jejawi berjuntai di dahan tualang, sebahagian darinya mencecah bumi. Beberapa akar itu saya potong separas dada.
Sebelum saya memancing, saya bergayut pada akar itu, macam tarzan bermain angin. Memang menyeronokkan. Kemudian saya memancing dengan umpan cacing yang saya korek di tanah pangkal pokok tualang. Nasib saya memang baik petang itu, pancing saya selalu saja mengena. Tidak sampai satu jam saya sudah dapat berkati-kati ikan keli, haruan dan puyu. Ikan-ikan itu saya letakkan dalam raga. Azam saya mahu menangkap separuh dari ikan-ikan yang terdapat dalam kolam tersebut. Hati saya berdebar dengan tiba-tiba. Daun telinga kanan saya bergerak-gerak dan terasa angin lembut menyentuhnya.
Saya mula rasa ragu-ragu kerana ketika itu memang tidak ada angin yang bertiup. Saya segera menoleh ke arah raga yang penuh dengan ikan-ikan hasil dari pancing saya. Saya dapati ikan-ikan di situ semuanya hilang, kecuali seekor ikan haruan kecil sebesar ibu jari terlompat-Iompat dalam raga. Saya renung ke langit, matahari sudah pun runduk di kaki langit. Keadaan sekeliling sawah sudah tidak secerah tadi. Hati saya bagaikan dipengaruhi oleh sesuatu kuasa untuk terus memancing, ikan-ikan saya lihat bagaikan melompat-Iompat dipermukaan kolam.
Saya membuat keputusan yang saya kira cukup baik iaitu meneruskan kerja memancing ikan di kolam. Sedang saya asyik memancing, hari pun beransur gelap. Senja kala sudah datang. Saya bagaikan terdengar suara datuk memanggil-manggil nama saya. Saya bersedia untuk pulang dan rapat kepangkal pokok tualang untuk mengambil raga yang berisi ikan. Lagi sekali saya terkejut, tidak ada seekor ikan pun di situ, kecuali anak haruan kecil sebesar ibu jari terlompat-Iompat dalam raga. Saya menarik nafas panjang.
Saya jadi bodoh dengan keadaan yang saya hadapi. Ada sedikit amalan yang datuk berikan pada saya bila menghadapi keadaan yang begitu. Barangkali, saya perlu mencubanya sama ada jadi atau tidak, fikir saya. Dengan tenang saya menjamah bumi dengan hujung kuku jari manis, saya pun membaca sepotong ayat dari surrah al-Falak iaitu Qul a'uzubirabbilfalaq hingga akhir. Saya terasa diri saya bagaikan mendapat sesuatu kekuatan ghaib.
Saya jadi berani. Rasa cemas dan bimbang hilang dalam diri saya. Jari manis saya tekan ke bumi. Dengan ekor mata saya menjeling sekitar kawasan. Lagi sekali semangat saya tergugat. Disebelah kanan saya terlihat sepasang kaki macam kaki itek yang cukup besar, berbulu roma tebal hingga ke buah betis. Saya dongakkan kepala. Saya berhadapan dengan satu lembaga putih yang cukup tinggi. Lebih tinggi dari pokok tualang.
Hari sudah beransur gelap. Saya bagaikan terdengar debu angin yang cukup hebat, bagaikan ribut besar sedang berlaku di sekeliling saya. Saya terdengar pokok tualang digoncang bertalu-talu. Saya nampak dengan jelas dengan dedaun tualang jatuh ke bumi. Bila bunyi angin ribut berakhir, lembaga itu pun hilang. Suasana terasa terlalu sepi. Saya campakkan batang pancing dan raga ke dalam kolam.
Saya bersedia mahu melangkah pulang. Baru lima tapak, saya berhadapan dengan satu lembaga yang cukup aneh. Tingginya agak sederhana, lebih kurang sama tinggi dengan bentuk tubuh datuk. Kepala lembaga itu tidak berapa jelas. Tetapi, dari bahagian leher hingga ke paras pinggang ditumbuhi bulu. Kedua belah tangannya berbentuk macam sayap burung. Dari pinggang hingga ke kaki serupa dengan bentuk tubuh manusia biasa. Dalam saat-saat cemas begitu, saya terdengar nama saya dipanggil sayup-sayup dari arah kampung.
Saya kenal benar suara itu ialah suara datuk. Saya cuba menjawab panggilan itu, tetapi tidak berdaya. Suara saya tidak keluar. Bagaikan ada sesuatu yang menahan pangkal kerongkong saya. Saya renung ke arah lembaga itu kembali. Kini saya sudah pasti benar bahawa, lembaga itu memang aneh, kepalanya juga berbentuk burung ada paruh dan muncung. Kedudukan matanya macam kedudukan mata manusia.
Sinar matanya tajam tidak berkelip-kelip memandang ke arah saya. Suara datuk, makin lama makin dekat kedengaran. Dalam saat-saat begitu saya tidak dapat berbuat apa-apa. Saya hanya berserah pada Allah yang Maha Besar. Saya cuba membaca beberapa potong ayat al-Quran, tapi banyak yang silap dan lintang-pukang. Perkara yang patut di dahulukan dibaca kemudian begitulah sebaliknya. Saya jadi tidak tentu arah.
Suara datuk kian dekat. Saya menoleh ke arah datangnya suara datuk. Memang saya lihat datuk ke arah saya dengan membawa sepotong kayu. Saya cuba melambaikan tangan ke arah datuk. Lambaian saya itu seolah-olah tidak dapat dilihat oleh datuk dalam suasana yang agak samar-samar itu. Lembaga ganjil itu terus melihat gerak-geri saya.
Dalam warna senja itu, saya melihat datuk kian hampir dengan saya. Jarak saya dengan datuk lebih kurang antara sepuluh hingga lima belas kaki. Tetapi, datuk tidak dapat melihat saya. Suara datuk cukup jelas saya dengar. Sayangnya, saya tidak dapat menjawab suaranya itu.
"Tak mahu dengar cakap orang inilah padahnya, aku yang susah”, keluh datuk.
Saya lihat dia berdiri betul-betul di sebelah lembaga ganjil itu. Datuk terus memacakkan kayu yang dibawanya ke tanah. Serentak dengan itu, saya lihat lembaga ganjil membuka kedua belah sayapnya lalu terbang kearah dahan tualang. Secara mendadak saja saya boleh bersuara dengan selantang-Iantangnya. Datuk terkejut bila dia mendapati dirinya berhadapan dengan saya. Tanpa banyak cakap datuk terus menyapu wajah saya dengan tangan kirinya sebanyak tiga kali.
"Kau masuk salah tempat”, kata datuk dan terus membawa saya pulang.
Sampai dijalan rumah, saya dimarahi datuk. Hampir-hampir saja dia mahu menampar muka saya. Mujurlah nenek dapat menyabarkan darah datuk yang sedang naik itu. Apa yang saya lihat tadi, bagaikan mimpi dan tidak masuk akal. Kalau diceritakan pada sesiapa, saya pasti dituduh gila atau berkhayal, paling tidak dianggap suka mengada-adakan cerita yang tidak munasabah.
Tetapi, lain pula dengan datuk. Dia terus menyuruh saya bercerita. Dia yakin apa yang terjadi pada saya ada hubungannya dengan alam. Ada hubungan dengan makhluk Allah yang tidak dapat dilihat dengan mata kasar.
0 comments:
Post a Comment