Bulan di langit mula dilitupi awan. Angin kian keras bertiup. Bunyi dedaun yang bergeseran sama sendiri amat menakutkan. Dan datuk terus melangkah dengan tenang. Api yang memakan daun kelapa, sekerap marak, sekejap suram.
“Kenapa kita ikut sini tok ?” tanya saya. Tidak ada jawapan yang diberikan oleh datuk, bunga-bunga api dari andang daun kelapa jatuh atas bumi. Saya tidak tahu kenapa datuk ikut jalan ini. Kenapa dia tidak mahu ikut jalan biasa yang mudah dan senang. Tidak perlu melintas tanah sawah yang luas terbentang.
Saya yang memakai baju Melayu cekak musang terpaksa mengulung lengan baju hingga ke siku, kasut getah dan hujung seluar hitam saya mula basah diresapi oleh aori embun. Langkah datuk terus lancar. Andang kelapa diangkatnya tinggi-tinggi.
“Kita patah balik ikut jalan lain tok,” saya mengemukakan cadangan. Datuk berhenti. Dia cacakkan andang daun kelapa tepi batas. Datuk membuang pacat yang singgah di kaki seluarnya.
“kenapa mesti patah balik, ikut sini dekat,” datuk cabut andang daun kelapa. Saya diam.
Cakapnya tidak boleh dibantah. Saya melangkah dengan hati-hati. Silap langkah nanti jatuh ke dalam sawah. Cahaya dari andang daun kelapa menerangi rumpun-rumpun padi yang baru pecah anak, sesekali terdengar bunyi haruan melompat dalam air sawah menangkap anak. Suara burung hantu dan jampuk saling tingkah meningkah. Bulan sudah tidak mengeluarkan sinarnya. Wwan telah kelindungi permukaan bulan. Suara lolongan anjing kian bertambah keras. Daun-daun dari pokok besar yang memagari batas sebelah kanan tetap bergerak hebat. Angin malam cukup keras bertiup. Badan saya rasa cukup dingin.
“Lagi cepat kita sampai, lagi baik,” suara datuk parau. Dia menoleh ke arah saya.
“Saya sejuk tok, jauh lagi ke ?”
“Ah, kejap lagi sampailah, sekarang kau jalan dulu, biar aku ikut kau dari belakang.” Itu perintah datuk. Badan saya jadi mengeletar, macam-macam perkara buruk datang dalam hati saya.
“Tok jalan dulu, saya tak tahu jalan,” saya berdalih.
“Kau tak tahu, atau pun kau takut ?” Datuk ketawa. Dia memaksa saya jalan dulu. Saya tidak ada pilihan lain. Saya menurut perintahnya. Saya dan datuk sampai di sebuah taliair. Datuk menyuruh saya ke belakang. Lama juga dia berhenti di tepi taliair itu sambil merenung pada air yang mengalir.
“Jalan ke depan lagi, di sana ada titi tak payah kita melompat,” ucap datuk dengan tenang. Kami mara ke depan. Berhenti di bawah pokok mempelam telur yang berdaun lebat. Cakap datuk memang tepat, di pangkal pokok mempelam telur terdapat titi batang pinang. Kami menyeberang dengan selamat, dari situ kami mendaki bukit kecil yang penuh dengan pokok pisang hutan, selesai mendaki bukit itu , kami berhadapan dengan sebatang jalan tanah merah ynag lebarnya kira-kira dau kaki.
“Ikut jalan ini ke utara,” ujar datuk sambil meraba ulu golok peraknya. Saya anggukkan kepala dua tiga kali. Berjalanlah saya dengan datuk, suara burung hantu terus juga menyumbat lubang telinga. Kami melintasi sebuah tanah perkuburan. Dari sinar api andang daun kelapa itu, saya melihat batu-batu nisan terpacak dengan gagahnya. Suara burung hantu kian kuat. Suara salakkan anjing kian dekat terdengar. Pokok-pokok puding dan pokok-pokok kecil lain yang berhampiran dengan tanah kubur saya lihat bergerak-gerak, bagaikan ada benda yang menggoncangnya.
Awan tebal yang melindungi bulan mula beredar, dan sinar bulan mula menerangi sebahagian dari jalan yang kami lalui, tiba-tiba awan tebal datang kembali menutup bulan dan andang kelapa yang saya bawa pun padam. Datuk berhenti, dia membakar andang kelapa yang baru, memang datuk membawa dua tiga andang daun kelapa untuk digunakan dalam satu-satu keadaan yang tertentu.
“Jalan cepat sikit, aku rasa tak berapa sedap hati di sini,” datuk menyuarakan suara hatinya. Saya diam.
“Langkah panjang sikit,”tambah datuk lagi. Saya hanya boleh anggukkan kepala sahaja. Tidak lebih dari itu. Angin malam yang bertiup menjatuhkan dedaun tua dan ranting-ranting, berderup-derup bunyinya, bagaikan orang mematah kayu kering. Saya mula terasa cemas, tapi saya tidak menyatakan hal pada datuk.
Saya dan datuk jalan dan terus berjalan, matlamat kami mahu sampai ke rumah Anjang Dollah dengan secepat mungkin. Barangkali Anjang Dollah sudah bersila di muka pintu menanti kedatangan kami, agaknya Anjang Dollah sudah menyediakan semua barang yang digunakannya untuk kami, fikir saya dalam hati.
Tanah perkuburan tua agak jauh kami tinggalkan. Dada saya terasa lapang, tapi batin saya terus menyumpah seranah suara burung hantu yang seakan-akan mengikuti langkah kami. Datuk berhenti berjalan.
“Siapa tu,” suarnya perlahan. Saya merenung ke depan. Saya terpandangkan benda putih berjalan terhincut-hincut di depan datuk dan saya, kerana bulan dilitupi awan tebal dan cahaya dari andang datuk tidak menyala dengan baiknya, saya tidak dapat melihat dengan jelas benda tersebut.
“Barangkali ada orang nak lalu,” datuk bersuara tenang. Saya juga sependapat dengan datuk. Suara burng hantu dan jampuk bertambah galak. Salakkan anjing bertalu-talu, sayup-sayup dan memanjang pula, bagaikan orang menangis di malam sepi. Benda putih terus menghampiri kami, bila datuk mahu menegurnya, benda putih tersebut itupun hilang. Entah ke mana. Saya tidak dapat mempastikan apakah dia masuk ke dalam hutan pokok pisang di kanan, atau masuk ke dalam belukar di kiri jalan. Benda putih itu menjelma di depan kami lagi.
“Bukannya manusia,” datuk membisik ke telinga saya. Serentak dengan itu dia memadam api andang daun kelapa.
“Kita ke tepi, biarkan dia lalu,” perintah datuk. Saya patuh pada arahan datuk. Kami berdiri di balik pokok getah besar. Benda putih itu melintas di depan kami. Saya tidak dapat melihat bentuk mukanya. Apa yang saya lihat pada benda putih itu berjalan tanpa kaki, tidak mempunyai kepala. Berjalan menuju ke kawasan tanah perkuburan, saya dan datuk melihat Anjang Dollah datang membawa cangkul.
“Apa ni tok,” tanya saya pada datuk.
“Kau diam, kau ikut saya apa yang aku buat,”
“Baik tok,” saya menoleh ke kiri dan ke kanan. Datuk melangkah ke jalan tanah merah. Dia menarik tangan saya mengikuti langkah Anjang Dollah menuju ke kawasan perkuburan. Saya menurut sahaja. Dua tiga kali saya tersungkur kerana tersepakkan batu-batu nisan. Datuk berhenti.Saya mendongak ke langit, awan tebal sudah berlalu dari sisi bulan. Dengan pertolongan sinar bulan enam belas, kami dapat apa yang dilakukan oleh Anjang Dollah. Dia sedang mencangkul tanah perkubur. Benda putih duduk dekat batu nisan.
Anjang Dollah dapat menyelesaikan semua tugas-tugas dalam masa kurang lebih empat puluh lima minit. Seluruh badannya dibasahi peluh, nampak berminyak-minyak ditampar sinar rambulan enam belas. Dia duduk di pangkal pokok cempedak. Kemudian dia berkata pada kawannya yang nampak putih itu. Benda putih tanpa kepala dan kakai itu, bagaikan terawang-awangan, bergerak dan berhenti di depan Anjang Dollah.
“Hai sahabatku, tunggu di sini, biarkan aku ambil kain kapan dan rambut perempuan, kemudian kau bawa barang-barang itu pulang ke rumah kita kau tunggu aku di sana, aku tak boleh balik bersama, kerana banyak kerja yang mahu aku selesaikan,” itulah yang dicakapkan oleh Anjang Dollah pada sahabatnya.
Anjang Dollah terjun ke dalam kubur. Dia mengambil kain kapan orang mati beranak dan rambut. Lama juga Anjang Dollah berada di dalam lubang kubur. Benda putih tanpa kepala dan kaki berlegar-legar di tepi kubur. Kadang-kadang dia nampak bagaikan duduk di akar pokok cempedak. Suara burung hantu kian gamat. Suara jampuk bersahut-sahutan. Lolong anjing tingkah meningkah. Suara dahan kayu berlaga sama sendiri jelas kedengaran di rempuh angin malam. Ranting tua dan daun tua gugur ke bumi.
Saya bagaikan terdengar bunyi orang berjalan di belakang. Bila ditoleh , tidak ada apa-apa. Saya bagaikan terdengar bunyi burung terbang di atas kepala. Bila diperhatikan tidak ada apa-apa. Bulu tengkok saya berdiri tegak. Macam-macam perkara aneh saya rasakan. Saya rapat pada datuk yang duduk tenang. Mulunya membaca sesuatu, saya sendiri tidak tahu apa yang dibaca olehnya.
“Kau ingat, tidak ada benda yang berkuasa di dunia ini, selain daripada Allah yang maha besar, dan tiada manusia yang boleh melawan kekuasaannya. Ingatkan Allah yang maha besar,” datuk memberitahu saya, bila dilihatnya saya mengeletar sendirian.
“Kau lihat di depan,” datuk menajamkan mulutnya ke arah kubur yang digali oleh Anjang Dollah. Saya merenung ke depan. Saya lihat benda putih tanpa kepala dan kaki itu terjun ke dalam kubur. Saya terdengar bunyi suara Anjang Dollah terpekik dalam kubur, tanah kubur berterbangan ke udara, serentak dengan itu juga saya dengar suara mengaum macam suara harimau dari dalam kubur.
Suara jeritan Anjang Dollah beransur lemah. Tanpa dapat ditahan datuk meluru ke tanah kubur. Datuk mahu menolong Anjang Dollah, dia mengambil sepotong kayu, lalu memukul benda putih yang keluar dari lubang kubur. Setiap kali datuk memukulnya, benda itu tidak melawan, malah dia mengelak, akhirnya ghaib dari kawasan perkuburan. Datuk memanggil saya, waktu saya mahu sampai dekat datuk, saya rasa pangkal seluar saya basah. Sesungguhnya, saya tidak sedar waktu bila saya terkencing dalam seluar. Datuk suruh saya membakar andang daun kelapa. Saya patuh dengan cakapnya. Bila andang daun kelapa sudah terbakar. Kawasan sekitar tanah kubur yang digali oleh Anjang Dollah terang.
“Kau lihat ,” datuk menuding jari kelingkingnya ke dalam lubang kubur. Lubang kubur saya jenguk. Anjang Dollah terbaring di dalamnya. Seluruh mukanya berdarah. Di sebelahnya terdapat mayat seorang perempuan, kepalanya sudah terpisah dengan badan. Kain kapannya sudah koyak dan berdarah.
“Perbuatan yang dikutuki oleh Allah, perbuatan sesat yang terpisah dari ajaran agama, cuma orang yang tidak beriman dan tidak percayakan Allah saja yang berani membuat kerja sial ini,” datuk merungut panjang. Saya renung muka datuk. Wajahnya penuh kesal. Memang, di luardugaan datuk, bahawa pawang Anjang Dollah boleh membuat kerja yang tidak direlakan oleh agama Islam.
“Apa yang patut kita buat datuk,” saya menyoal datuk. Lama juga datuk termenung di situ. Saya tidak tahu apa yang difikirkannya.
“Sebagai orang Islam, Anjang Dollah tidak boleh dibiarkan begini, dia harus dimandikan, dikapan dan ditanam serta dibacakan talkin,” terang datuk.
“Siapa yang mahu menguruskan semuanya ini.”
“Siapa lagi, kita yang mesti menyelesaikannya,” datuk bersuara tegas.
“Dia membuat kerja yang silap, biarkan dia di situ,” bantah saya. Datuk senyum. Suara burung hantu dan jampok terus bersahut-sahutan, tapi suara salakkan anjing sudah tidak ada lagi. Bunyi dahan jatuh masih kedengaran.
“Kau silap, kita tahu dia memang beragama Islam, soal dia membuat kerja yang tidak baik tu, soal dia dengan Tuhan,” datuk memberitahu saya. Datuk membuat keputusan yang tepat. Dia mahu memberitahu pada seluruh penduduk tentang peristiwa yang menimpa diri Anjang Dollah. Dia mahu menghebahkan hal itu ke seluruh kampung. Datuk juga mengharap pada sesiapa yang mengambil ilmu salah atau yang berguru dengan Anjang Dollah supaya bertaubat dan membuangkan semua ilmu itu untuk kembali ke jalan Allah.
Saya merenung ke dalam kubur kembali. Saya lihat mayat perempuan mati beranak itu masih berdarah, saya kira perempuan itu tentu sahaja baru ditanam. Hal itu saya tanyakan pada datuk.
“Agaknya dia mati semalam,” kata datuk.
Dia menarik tangan saya keluar dari kawasan perkuburan. Kami berpatah balik menuju ke kampung. Bila sampai di kampung nanti, datuk mahu melapurkan perkara itu kepada penghulu. Kami kembali meredah tanah sawah yang luas terbentang. Kali ini saya tidak mahu berjauhan dengan datuk. Datuk tahu perasaan hati saya. Dia menyuruh saya memegang painggang seluarnya.
Sebaik sahaja kami sampai di gigi kampung, saya dan datuk terserempak dengan Imam Hamid. Dia agak terkejut bila kami nyatakan yang kami baru sahaja kembali dari tanah kubur.
“Apa halnya,” tanya Imam Hamid.
“Panjang ceritanya dan Pak Imam ni dari mana,” soal datuk.
Imam Hamid terdiam. Kemudian dia memberitahu kami, bahawa dia juga mahu pergi ke kubur.
“Apa sebabnya,” datuk mengemukakan soalan. Imam Hamid diam sejenak.
“Anak aku Sepinah mati beranak, dah ditanam pun pagi semalam.”
“Kami tak tahu,” jawab datuk.
“Silap aku, aku mahu menanamnya cepat, tiba-tiba malam ini hati aku teringatkan dia, aku bimbang kuburnya dikorek orang, kau sendiri tahulah sekarang, kubur perempuan mati beranak suka sangat digali orang,” terang Imam Hamid.
Mendengar cakap Imam Hamid itu, wajah datuk segera berubah. Dia mula ragu dengan apa yang dituturkan oleh Imam Hamid. Jauh dalam hati datuk, timbul satu pertanyaan apakah Imam Hamid bersubahat dengan Anjang Dollah dalam perkara ini ? Datuk terus menepuk bahu Imam Hamid dalam mengajak dia pulang. Imam Hamid keberatan. Datuk terus memujuk. Ada sesuatu yang mahu disoal oleh datuk pada Imam Hamid. Kalaulah Imam Hamid membuat kerja terlarang, dia mahu memujuknya supaya kembali ke jalan Allah.
“Ke rumah saya saja malam ini, ada hal yang mahu saya tanya pada Pak Imam,” kata datuk. Mendengar cakap datuk itu muka Imam Hamid berubah menjadi pucat.
0 comments:
Post a Comment