Pages

Friday, July 23, 2010

19. Diresapi Semangat Monyet

Langit di Batu Enam Belas Jalan Tapah-Cameron Highlands malam itu cukup cerah. Bah Lanjut dan datuk terus berjaga di pangkal pokok Jelutung patah dahan. Saya terus mencampakkan dahan dan ranting kayu ke dalam unggun api di belakang pondok. Bahang dari unggun itu menghilangkan rasa dingin yang menyelimut tubuh saya. Sesekali terdengar bunyi dahan kayu berlaga sesama sendiri, dirempuh angin malam, lalu melahirkan satu nada irama yang memanjang. Embun jantan mula menitik atas kepala saya.

"Sudah dinihari," keluh datuk. Bah Lanjut angguk kepala. Matanya mere­nung tajam ke arah hutan tebal di sebelah kanan pondok. Saya terus mencam­pakkan puntung-puntung kayu ke dalam unggun, bila puntung kayu berada di dalam anggun api, ia kelihatan marak dan bunga api berterbangan ke udara. Saya kira sudah pukul dua lebih. Suara binatang buas terdengar sayup-sayup di kaki bukit. Saya lihat datuk tertidur di pangkal pokok Jelutung. Bah Lanjut terus bergerak ke hulu ke hilir sambil memaut golok di pinggang. Saya tidak memperdulikan mereka.

Tiba-tiba saya terasa kelopak mata cukup berat. Lepas itu, saya tidak tahu apa yang berlaku, bila saya membuka mata kembali, saya lihat Bah lanjut pula tertidur di pangkal pokok Jelutung dan datuk pula bertindak sebagai pengawal. Datuk, saya dan Bah Lanjut merasa cukup kecewa. Lembaga hitam yang dinantikan sepanjang malam, tidak juga menjelma.

"Dia bagaikan tahu kita menantinya," kata datuk pada Bah Lanjut sesudah melihat fajar subuh bangun di kaki langit.

"Dia takut agaknya," sahut Bah Lanjut.

"Boleh jadi juga," balas datuk dan Bah Lanjut kecewa. Bah Lanjut meminta diri pulang kerumahnya. Saya dan datuk beredar menuju ke arah sebuah anak sungai. Kami mengambil air sembahyang. Hari mula beransur cerah.

Waktu datuk mahu mendaki anak bukit ke pondok, di terserempak dengan tapak kaki binatang, sebesar tapak kaki gajah, anehnya tapak kaki menyerupai tapak kaki manusia, tetapi mempunyai empat jari. Jari sebelah kanan berbentuk bulat macam anak lesung batu. Datuk membuat kesimpulan, itulah ibu jari kaki lembaga hitam. Datuk menandakan kesan tapak kaki binatang itu dengan sebatang pokok kecil yang dipatahkan dua. Sebelum beredar datuk baca sesuatu di situ.

"Supaya jangan hilang bila dicari," datuk memberitahu saya. Dan saya cuma tersenyum sambil angguk kepala dua tiga kali.

Selepas menunaikan sembahyang subuh dan bersarapan pagi, saya dan datuk di halaman pondok. Beberapa minit kemudian Bah Lanjut datang. Wajahnya nampak riang.

"Kita kena bertolak pergi ke sana," katanya. "Jalan kaki," sahut Bah Lanjut.

"Susah tu," celah saya.

"Tak susah sebelum matahari condong sampailah kita ke sana." Bah Lanjut memberikan satu keyakinan dalam diri saya. Datuk termenung panjang. Datuk berjalan dua tiga tapak keliling halaman pondok. Berhenti betul-betul di depan kaki tangga pondok.

"Begini tok batin, tok batin pergi dulu, kami ikut kemudian." "Nanti sesat, susah."

"Tak apa, syarat utamanya bila tok batin sampai ke sana, tandakan kawasan
itu dengan kain merah," datuk mengemukakan cadangan.

"Cara?"

"Ikat kain merah pada buluh, dan buluh itu dicacakkan atas tanah lapang."

"Baiklah." Bah Lanjut pun melangkah ke arah utara. Sebelum hilang ditelan oleh pokok-pokok hutan yang tebal itu, Bah Lanjut sempat melambaikan tangan ke arah saya dan datuk. Saya lihat cukup tangkas Bah Lanjut bergerak, saya tidak dapat melihat bayang atau tubuhnya kecuali melihat pokok-pokok yang bergerak saja. Tidak sampai lima minit, saya tidak dapat mendengar suara Bah Lanjut menjawab laungan dari datuk. Matahari bertambah tinggi, tetapi rasa sejuk masih kuat mencengkam diri. Bibir saya terketar-ketar. Datuk mengambil dua tiga helai daun kayu muda. Digosoknya ke tapak tangan beberapa kali.

"Bila kita bertolak ke Kampung Raja tok?" tanya saya sesudah melihat datuk tidak membuat sebarang persiapan untuk pergi ke tempat tersebut. Datuk tidak menjawab pertanyaan saya. Dia terus menakuk-nakuk pangkal pokok jelutung dengan golok peraknya. Datuk menyuruh saya mencari ranting dan dahan kering. Saya patuh dengannya. Saya sudahpun berjaya mengumpul satu bekas dahan dan ranting kering. Saya tempatkan di bawah pokok.

"Bila kita nak pergi," tanya saya lagi sekali. Datuk merenung tajam ke arah saya. Dia kerutkan mukanya.

"Itu urusan aku. Bila aku ajak, kau ikut. Kalau tidak kau tunggu di sana," nada suara datuk membayangkan kemarahan. Datuk terus duduk atas tunggul buruk. Saya terdiam memukul tanah dengan tangan kiri sebanyak tiga kali. Matahari terus memancar. Bunyi burung terus bersahut-sahutan. Saya duduk termenung di bawah pondok. Tidak berani saya melihat muka datuk yang macam muka harimau itu. Datuk berubah tempat duduk bersila di bawah pokok jelutung. Kedua belah lengannya diletakkan atas kepala lutut.

Mata datuk merenung ke arah hutan. Tiba-tiba saya lihat beberapa ekor mo­nyet melompat atas dahan sambil menjerit, monyet-monyet itu terus melompat dari dahan ke dahan dengan cepat seperti dikejar sesuatu. Dada saya berdebar, dari sebelah utara pondok, keluar dua ekor harimau belang berbadan besar. Salah seekor daripada harimau belang badannya besar. Salah seekor dari pada harimau itu ternyata mempunyai kaki yang untut sebelah kiri.

Harimau itu menuju ke arah datuk yang duduk mencangkung Lebih kurang lima minit lamanya, salah seekor daripada harimau itu memusingkan ekornya mengusap dan menyapu wajah datuk dengan ekornya. Datuk membiarkan ha­rimau itu melakukan apa saja terhadap dirinya. Bila sudah penat, harimau itu beredar dan duduk kembali di depan datuk. Harimau yang seekor lagi pula, menerpa ke arah datuk dan menjilat wajah datuk dengan lidahnya yang merah. Saya lihat misai harimau yang keras itu berlaga dengan misai datuk yang lembut. Datuk menepuk-nepuk pangkal leher harimau itu dengan lemah lembut. Harimau itu mengaum kecil. Datuk memeluk leher harimau itu dengan penuh rasa kasih sayang.

"Kau rindukan aku," terdengar suara datuk. Harimau menggerak-gerakkan ekomya. Manakala harimau yang lagi seekor berguling-guling di atas tanah sambil keempat-empat kakinya menghala ke langit.

"Aku dan cucuku selamat di sini, pulanglah. Berkalih hari kau datang ke sini," selesai saja datuk bercakap, dia bangun. Harimau segera berdiri di sisinya. Ha­rimau kaki untut sebelah kanan, yang tidak untut di sebelah kiri.

"Pulanglah," tambah datuk lagi sambil menepuk-nepuk belakang harimau.

Kedua ekor harimau itu mengaum serentak. Dan berjalan tenang masuk ke dalam hutan tebal. Datuk merapati saya lalu menyuruh saya memasak nasi. Datuk juga memberitahu saya, bahawa dia akan turun ke sungai untuk menangkap ikan.

Datuk terus meninggalkan saya di pondok. Dan saya terus menghidupkan api. Membasuh beras dan memasak nasi. Sebaik saja air nasi di dalam periuk kering, datuk kembali dari sungai membawa ikan. Datuk mencari kayu kecil dan ikan itu lalu dipanggang dan diangkatkan pada api. Semuanya berjalan dengan baik. Bila matahari sudah berada betul-betul di tengah kepala, saya dan datuk terus makan, datuk berdiri di halaman melihat bayangannya di atas bumi.

"Sudah masuk sekarang," pendek saja suara datuk. Dan fahamlah saya, ba­hawa datuk menyuruh saya pergi ke sungai mengambil air sembahyang. Saya terus pergi ke sungai. Setelah selesai sembahyang, datuk terus duduk di pangkal jelutung. Entah apa yang dibuat oleh datuk di situ saya sendiri pun tidak tahu.

"Bah Lanjut sudah sampai ke tempat yang dituju," datuk memberitahu sa­ya. Datuk terus naik ke pondok. Ambil pakaian dan barang-barang keperluan. Saya juga berbuat begitu. Datuk menutup kedua belah mata saya dengan kain hitam. Dia menyuruh saya berdiri di kaki tangga. Saya akur dengan perintah itu, datuk menyuruh saya meluruskan kedua belah tangan saya ke hadapan.

Darah saya tersirap. Saya menyentuh badan harimau. Saya terasa lidah harimau menjilat-jilat kedua belah lengan saya. Datuk memimpin saya ke depan, lalu mendudukkan saya atas badan harimau.

"Kau tunggang dia sendirian," kata Datuk.

"Aku naik belakang siuntut, tetapi jangan buka kain penutup mata, kalau kauingkar, kau tak akan melihat dunia lagi," sambung datuk ada nada mengugut perasaan hati saya.

"Saya faham tok."

"Faham saja tak mahu, tapi mesti taat," tengking datuk.

"Saya taat datuk"

"Hum ... bagus."

Saya terasa harimau yang saya tunggang itu bergerak perlahan-lahan, kemudian laju dan terus laju saya terasa kedua belah cuping telinga saya cukup sejuk kerana di sentuh angin. Saya tidak pasti sama ada harimau yang saya naik itu terbang atau berjalan di atas bumi. Dalam saya berfikir-fikir itu, harimau yang saya naik berhenti berjalan. Datuk pun membuka kain yang membalut ke dua belah mata saya.

"Bagus, kau dah berani sekarang," serentak dengan ucapan itu datuk terus memukul belakang saya dua tiga kali. Saya raba bibir saya yang terasa kebas. Saya gigit bibir hingga terasa sakit.

"Kaudah berani sekarang," ulang datuk sambil mengeluarkan bertih dari uncangnya. Bertih itu ditaburkannya atas tanah lapang untuk makanan harimau peliharaannya. Sesudah memakan bertih, harimau itu mengaum kecil sambil menggoyang-goyang ekornya. Datuk tepuk kepala harimau dan iapun terus masuk ke dalam hutan tebal lalu hilang.

“Di mana kita sekarang ni tok?"

"Kita ikut tepi hutan ni menuju ke arah matahari naik." Datuk dan saya pun melangkah serentak meredah hutan, melanggar akar dan duri. Sayup-sayup terdengar bunyi kokok ayam hutan, tingkah meningkah dengan salakan anjing.

Saya yakin, bahawa kami memang tidak jauh dari perkampungan orang asli. Matahari bertambah condong, kabus tebal mula bangkit di sekitar kawasan hutan. Badan saya bertambah sejuk. Datuk dan saya terus meredah hutan, dari jauh sudah nampak asap berkepul dari puncak sebuah bukit kecil.

"Berhenti," datuk memaut bahu kanan saya. Kami terdengar bunyi benda bergerak di sebelah kiri, saya lihat pokok-pokok di situ bergerak sendiri. Dada bertambah cemas. Seorang lelaki muncul di situ.

"Bagaimana cepat awak sampai," kata Bah Lanjut kehairanan.

"Kita belum lagi memacak kain," tambahnya sambil meraba dahi. Datuk tidak menjawab pertanyaan itu. Datuk meminta Bah Lanjut membawanya segera ke perkampungan orang asli di Kampung Raja.

"Mari," ajak Bah Lanjut, Kami lagi sekali menyelusup di bawah akar dan pokok hutan. Akhimya kami sampai ke sebuah kawasan perkampungan orang asli. Bah Lanjut membawa kami ke sebuah rumah di tepi pokok meranti. Bah Lanjut memperkenalkan datuk pada penghuni rumah itu.
Bah Lanjut juga meminta tuan rumah itu menyediakan sebuah tempat khas untuk datuk dan saya, tempat itu mestilah bersih, tidak boleh anjing masuk ke situ. Tuanpunya rumah itu sanggup menyediakan apa yang diminta oleh Bah Lanjut. Saya dan datuk ditempatkan di sebuah rumah kosong berhampiran dengan sebuah anak sungai.

Datuk gembira, kerana dia mudah mengambil air sembahyang dan mandi. Sesudah meletakkan barang-barang yang di bawa ke rumah itu, saya dan datuk kembali semula ke rumah yang mula-mula di temui.Bah Lanjut sudah menanti di situ. Bah Lanjut bercakap dalam bahasa ibundanya dengan tuan rumah itu.

Kemudian, Bah Lanjut membawa saya dan datuk ke satu ruang di tengah rumah. Seorang gadis orang asli terbaring di situ. Cantik juga raut wajahnya. Di hujung kaki itu terletak beberapa naskah majalah filem. Di hujung kepalanya pula terletak beberapa batang keladi dan pucuk ubi kayu.
Bah Lanjut memberitahu datuk nama gadis itu ialah Kuntum. Menurut Bah Lanjut, dulu Kuntum tinggal di Jalan Parang, bersekolah di situ. Gagah untuk menyambungkan pelajaran ke sekolah menengah di Tapah. Dia terpaksa pulang ke kawasan Kampung Raja membantu orang tuanya bercucuk-tanam. Hinggalah pada suatu hari, Kuntum telah di tangkap oleh satu lembaga hitam, ketika dia menanam padi di lereng bukit.

Tiga hari, tiga malam Kuntum hilang, akhimya orang bertamu Kuntum duduk menangis di pangkal pokok bertam yang berduri lebat. Bila bawa pulang ke rumah, Kuntum meraung-raung tidak tentu arah. Kuntum terpaksa diikat, dengan kepandaian Bah Lanjut, sakit Kuntum beransur baik, anehnya pula, Kuntum tidak dapat bergerak ke mana-mana waktu siang. Dia terkapar di ruang khas.

Bila malam, Kuntum akan sihat seperti orang yang Iidak terkena apa-apa. Dia boleh memasak, membaca dan menyanyi. Kadang-kadang turun ke tengah ha­laman menari dengan iringan bunyi suara buluh yang dihentakkan ke bumi. Menjelang dinihari, satu lembaga hitam akan datang lalu memangku Kuntum untuk di bawa ke dalam hutan.

Bila fajar subuh bangkit ke kaki langit lembaga hitam akan memulangkan Kuntum.

Kerana hari sudah beransur gelap, datuk minta diri untuk pulang ke rumah yang disediakan untuk kami. Datuk berjanji akan pulang ke rumah Kuntum sesudah waktu Isyak. Datuk tidak dapat memberikan kata putus samada dia boleh mengubati atau tidak penyakit yang dideritai oleh gadis orang asli itu. Datuk sekedar menyatakannya.

Saya lihat datuk sudah mengenakan baju dan seluar hitam ke badan. Kepalanya dililitkan dengan kain merah selebar dua jari. Datuk mengikat uncang hitam di pinggang. Dia menyuruh saya memakai baju Melayu putih dan seluar putih. Belitkan kain kuning ke kepala saya. Hati saya berdebar, belum pernah datuk menyuruh.

"Bermacam usaha telah dilakukan, pernah orang-orang di sini menyerang lembaga hitam itu, tetapi semua tidak berjaya, lembaga hitam itu lebih kuat dari kami," beritahu Bah Lanjut pada datuk. Datuk kelihatan resah. Dia gigit hibir.

"Jadi sekarang bagaimana?" tanya datuk.

"Kedua orang tua Kuntum tidak dapat berbuat apa-apa, melainkan menyerahkan Kuntum pada lembaga hitam itu, saya pun harap awak akan dapat menolong kami dalam hal ini," secara jujur Bah Lanjut menyuarakan hasrat hatinya.

Dia memberitahu kepada kedua orang tua Kuntum bahawa dia akan menyiasat dan mengkaji punca penyakit itu terlebih dahulu, sebelum memberikan ubat. Selepas sembahyang Isyak, datuk terus baring. Pusing kiri, pusing kanan. Akhimya dia terlelap. Bila melihat datuk terlelap, saya pun merebahkan badan dengan harapan datuk akan melupakan janjinya dengan Bah Lanjut. Saya tahu dan faham benar, kalau datuk pergi ke situ. Sejam dua jam kerjanya tidak akan selesai.

"Bangun," sergah datuk pada saya. Kelam-kabut saya dibuatnya. Saya memakai pakaian. Mahu bertanya, saya takut datuk naik angin. Jalan paling baik saya ikuti ialah, patuh saja dengan apa yang di perintahnya.

"Bawa damar," ujar datuk.

Saya pun ambil damar dari beg yang terletak dekat dinding rumah. Kemudian, saya ikut datuk turun. Sebaik saja kaki saya memijak bumi, saya terasa badan saya seram sejuk. Saya melihat cahaya api yang berkelip-kelip dari arah rumah orang tua Kuntum. Datuk terus melangkah sambil menarik tangan saya.

"Datuk," jerit saya sekuat hati bila melihat satu lembaga hitam berdiri di kiri saya. Datuk pun menoleh ke arah lembaga itu. Cepat-cepat datuk meraba mancis api di dalam saku seluarnya. Datuk membakar kertas yang baru diambil dari dalam uncang hitam. Cahaya dari kertas yang dibakar, menerangi kawasan dari sekitar. Saya dapat melihat lembaga hitam itu dengan jelas. Tingginya, lebih kurang tinggi saya, seluruh badannya berbulu.

Wajahnya macam wajah beruk. Datuk menerkam ke arah lembaga hitam itu sambil membuka silat harimau meniti batang. Lembaga hitam itu menepis setiap buah silat yang datuk lepaskan, saya lihat lembaga hitam itu juga boleh bersilat, mengikut rentak silat datuk. Api yang membakar kertas padam. Datuk terus bersilat.

Suara lembaga hitam itu mengaum sambil mematahkan pokok-pokok kecil di sekelilingnya. Kerana datuk tidak dapat menahan serangan lembaga hitam itu, datuk berundur hingga sampai ke kaki tangga, saya terus naik ke rumah, lalu membawa pelita minyak tanah kemuka pintu. Cahaya dari pelita minyak tanah itu, dapat menolong saya melihat gerak lembaga hitam itu bertarung dengan datuk.

Satu tendangan yang kencang membuat lembaga hitam itu terguling.

Lembaga hitam menjerit dengan sekuat hati. Serentak dengan itu beberapa lembaga hitam lain muncul semuanya mahu menyerbu ke arah datuk. Kali ini saya tidak wajar membiarkan datuk berjuang sendirian. Saya harus bertindak.

Saya ambil golok yang terletak di ruang rumah kemudian melompat ke tanah, lalu membuka silat halilintar. Saya melompat ke kiri dan ke kanan sambiI menikam bertubi. Salah satu lembaga hitam itu yang terkena tikaman saya menjerit lalu masuk ke dalam hutan, dengan di ikuti oleh lembaga hitam yang lain. Datuk terduduk atas tanah. Dadanya berombak -ombak menahan penat. Dengan mendadak saja saya lihat Bah Lanjut muncul di hadapan saya dan datuk.

Hati saya segera bertanya sendirian, apakah lembaga hitam itu ada hubungannya dengan Bah Lanjut. Apakah lembaga hitam itu jelmaan dari Bah Lanjut. Semuanya bersarang dalam kepala saya. Dengan cara berbisik, saya ajukan pertanyaan itu pada datuk.

Tanpa diduga, datuk terus menampar muka saya. Sakitnya bukan kepalang. Bah Lanjut terkejut melihat aksi datuk itu. Tetapi dia tidak berani bertanya ke­napa datuk melakukan hal itu pada saya. Dengan cara penuh diplomasi datuk menyuruh Bah Lanjut menunggu kedatangannya di rumah orang tua Kuntum. Bah Lanjut akur dengan permintaan datuk itu.

Bila Bah Lanjut sudah agak jauh dari kami, barulah datuk dan saya me­mulakan perjalanan ke rumah orang tua Kuntum. Datuk memilih jalan belakang. Ada dua sebab kenapa datuk memilih jalan belakang, pertama dia mahu kedatangannya tidak di ketahui oleh Kuntum dan kedua orang tuanya. Kedua, datuk mahu mengesan dari arah mana lembaga hitam itu masuk ke rumah
Kuntum.

"Kenapa ikut belakang, pintu depan terbuka," suara Bah Lanjut nyaring dalam gelap. Dia muncul tiba-tiba di hadapan saya dan datuk. Lagi sekali hati saya berdebar. Dan macam-macam sangka yang buruk terhadap Bah Lanjut timbul di hati. Datuk tidak menjawab dan saya mengikut langkah Bah Lanjut. Kemudian naik ke rumah.

Ayah Kuntum tersenyum menyambut kedatangan kami. Sementara ibunya duduk meneangkung dekat dinding. Datuk terus bercakap dengan kedua orang tua Kuntum. Datuk membuka uncang kain hitam dan mengeluarkan kain merah, lalu dibakarnya bucu kain merah. Bila api itu mula mahu marak, datuk memadamkannya. Secara mendadak saja Kuntum bangun lalu menyepak tangan datuk. Dia bercakap sesuatu yang saya lihat datuk mengerti. Datuk terus memukul tulang kering Kuntum dengan belakang tangan.

Kuntum menjerit lalu rebah. Ayah Kuntum bangun sambil mengeluarkan parang mahu menetak datuk. Perbuatannya itu segera di tahan oleh Bah Lanjut. Segera Bah Lanjut menerangkan padanya kenapa datuk berbuat demi­kian. Ayah Kuntum mengerti dan minta maaf pada datuk.

Kuntum segera diangkat ke tempatnya dan dibaringkan di situ. Malam bertambah larut. Di luar rumah terdengar orang berjalan dan bunyi ranting kering patah kena pijak.

Beberapa ekor kelawar liar beterbangan. Tiba-tiba hidung saya tercium bau wangi yang amat sangat. Mata saya terasa berat sekali. Kepala terasa sakit dengan mendadak. Saya lihat ayah dan ibu Kuntum tersungkur ke lantai, begitu juga dengan Bah Lanjut. Tidak sampai lima minit mereka berdengkur.

"Berikan aku damar," datuk minta damar dari saya. Saya serahkan damar pada datuk. Datuk segera memecahkan damar itu dengan hati-hati. Separuh diberikan pada saya dan separuh lagi diambilnya.

Datuk suruh saya menekapkan damar itu ke hidung. Bila saya tercium damar,mata saya kembali segar. Kemudian datuk menyuruh saya pura-pura tidur dan terdengkur. Datuk juga berbuat begitu. Saya terasa rumah bergegar. Saya membuka mata sedikit tetapi saya terus pura-pura berdengkur.

Kuntum berlari ke tengah rumah. Dia menghulurkan tangannya pada lembaga hitam yang macam beruk di muka pintu. Lembaga hitam yang berwajah hodoh itu memeluk Kuntum. Hidungnya yang dempak dan keras itu di tekan ke pipi Kuntum yang lembut sambil bersuara "Heh ... heh heh ... heh ... hum".

Kuntum menjerit manja kerana terasa geli bila bulu lembaga hitam itu menikam kulit badannya. Lembaga hitam itu terus mendukung Kuntum ketempat tidur. Saya dan datuk menggolek-golekkan badan sambiI berdengkur hingga sampai ke pintu ruang tempat Kuntum tidur.Lembaga hitam meletakan Kuntum ke atas lantai. Dia terus mencium Kuntum bertubi-tubi. Kuntum mengerang kepuasan.

Datuk menarik kaki saya lalu meratakan bibirnya ke telinga saya.

"Kau pergi kesana, jangan lihat," ujur datuk. Saya menginsutkan badan ke arah lain. Tempat saya segera di ganti oleh datuk. Walaupun begitu telinga saya masih dapat menangkap suara Kuntum yang sesekali mengerang bersama bunyi suara lembaga hitam itu. Saya terkejut bila lembaga hitam itu menjerit. Saya sudah tidak dapat berpura-pura tidur lagi. Saya buka mata.

Saya lihat datuk berdiri di hadapan lembaga hitam. Kuntum terkapar di lantai. Telanjang bulat, matanya tegak merenung atap rumah. Datuk menyuruh saya melekapkan damar ke lubang hidung Bah Lanjut dan kedua orang tua Kun­tum. Bila damar dicium, semuanya bangun. Masing-masing terkejut melihat datuk berhadapan dengan lembaga hitam. Bah Lanjut lalu memasang lampu minyak tanah. Ruang menjadi terang benderang.

Saya nampak cukup jelas, lembaga hitam itu sebenamya ialah sejenis monyet besar dan mempunyai sepasang mata yang cukup tajam. Datuk terus mem­pertahankan diri dari serangan lembaga hitam. Bah Lanjut dan kedua orang tua Kuntum mula rapat ke arah Iembaga hitam.

Melihat keadaan yang cemas itu, lem­baga hitam itu terus melompat dua tiga kali. Kemudian menghempaskan badannya di dinding rumah yang di perbuat dari kulit kayu. Dinding rumah pecah. Lembaga hitam itu jatuh ke tanah dan menjerit lalu melarikan diri dalam gelap yang pekat.

Tanpa membuang masa lagi datuk terus rapat kepala kepada Kuntum. Tubuh Kuntum dibalut dengan kain batik. Datuk minta Bah Lanjut mencarikan daun dedap. Bah Lanjut segera mencarinya.

Datuk merimbas daun itu ke tubuh Kunntum sebanyak tujuh kali. Kuntum terkejut dan dia bagaikan tersedar dari mimpi lalu bertanya pada ibunya apa yang sudah terjadi. Ibunya menceritakan peristiwa yang berlaku. Kuntum menangis.

Datuk mengambil damar itu diramasnya kuat-kuat. Saya lihat dari celah­-celah jari datuk keluar asap. Damar yang sudah hancur itu digaulkan dengan daun dedap dalam satu bekas. Datuk melumurkan semuanya ke tubuh Kuntum.

Datuk membiarkan Kuntum berguling atas lantai. Kuntum kelihatan macam ikan kekeringan air. Kuntum terus lemah dan tidak berdaya. Tubuh Kuntum dilitupi asap dan asap itu membentuk satu lembaga yang menyerupai monyet besar berdiri hingga sampai ke bumbung. Datuk membaca sesuatu lalu menghembuskan ke arah asap yang berbentuk lembaga itu.

Asap berpecah sekejap, bercantum kembali, berbentuk macam bantal guling, melayang-layang di dalam rumah. Datuk pun menggigit bibir.

Dengan tangkas datuk membuka tapak tangan dan menghalakan ke arah asap berbentuk lembaga. Datuk menghembus kearah tapak tangannya. Asap berbentuk lembaga itu menuju ke arah pintu lalu keluar.

"Binatang sial itu, sudah meresapkan semangatnya ke dalam Kuntum," kata datuk.

Bah Lanjut terkejut. Datuk menyuruh Bah Lanjut menjaga Kuntum hingga ke siang. Dan datuk serta saya kembali ke rumah khas. Pagi esoknya, saya dan datuk menemui kesan dan tapak kaki seperti yang kami temui di Kampung Batu Enam Belas.

Datuk segera memanggil Bah Lanjut. Mereka membuat keputusan untuk mengesan tapak kaki itu ke arah mana lembaga hitam itu lari. Sebelum pergi, saya dan datuk melihat Kuntum dulu. Saya lihat Kuntum bertambah segar, tetapi mukanya kelihatan pucat.

Setelah berbincang dengan Bah Lanjut lebih kurang sepuluh minit, kami pun mula mengesan tapak kaki lembaga hitam itu. Kerana malam tadi tidak hujan, kesan tapak kaki itu dapat dilihat dengan jelas.

Kami terus berjalan sambil memotong anak-anak pokok hutan sebagai tanda tempat itu sudah kami lalui. Dua kali saya saya berhenti kerana perjalanan itu terasa cukup jauh. Matahari yang tadi terang sudah beransur condong. Tempat yang kami tuju masih juga belum sampai. Bila hari sudah beransur gelap, kesan kaki itu sudah dapat kami kesan. Ia hilang betul-betul di hadapan sebuah gua.

0 comments:

Related Posts with Thumbnails

Followers