Datuk menggigit bibir. Sepasang matanya berpaut pada wajah Norlin yang kelihatan cemas itu. Dari wajah Norlin, mata datuk beralih ke wajah Tok Kaya Sendi Diraja dan isterinya.
"Mahu halau siapa? Tidak ada seorang pun yang masuk ke sini?", ulang datuk dengan nada suara yang cukup lembut.
"Ada. Dia selalu ganggu saya, kalau diusir diaaaa...", dan Norlin terus menghentak-hentakkan kaki ke lantai sambil meronta-ronta. Ibunya terus memeluk dengan erat dan kemas. Datuk terdiam, tidak tahu apa yang harus di buatnya. Suara bising di bilik atas membangunkan Pak Ayub Naim dan isterinya yang tidur di bilik bawah. Mereka naik ke bilik Norlin. Waktu Pak Ayub dan isterinya sampai, Norbaya sedang menyapu peluh yang tumbuh di dahi Norlin. Isteri Pak Ayub Naim terus bertanya:
"Apa yang dah jadi Norlin?"
"Saya takut makcik", suara Norlin terketar-ketar. Kemudian Norbaya memberitahu isteri Pak Ayub Naim bahawa kakaknya seperti melihat sesuatu di luar bilik mahu mengacaunya. Norbaya terus membaca ayat-ayat suci, tiba-tiba dia mendapati Norlin jatuh pengsan.
"Badannya terus jadi panas makcik", ujar Norbaya. Isteri Pak Ayub Naim resah dan berkata pada suaminya:
"Apa yang harus kita buat?" Pak Ayub Naim terdiam. Dia berjalan berpusing-pusing di hadapan Tok Kaya Sendi Diraja lalu berhenti di hadapan datuk.
"Norlin diganggu oleh sesuatu. Setahu aku, penjaga rumah tua ni tidak akan membuat kacau, apa lagi terhadap keluarga Tok Kaya", tutur Pak Ayub Naim. Mukanya merenung muka datuk dan Tok Kaya Sendi Diraja. Pak Ayub terus menyambung:
"Kalau pun dia menampakkan dirinya, itu sebagai tanda salam perkenalan.
Isteri Pak Ayub Naim secara tiba-tiba berdiri. Matanya mula merah merenung ke wajah Norlin.
"Sama ada salam perkenalan atau tidak, dia tetap syaitan. Saya tahu setiap kali Norlin cuti dia jadi korban", nada suara isteri Pak Ayub Naim cukup keras. Semua yang ada dalam bilik itu berpandangan sesama sendiri.
"Kita harus mengatasi masalah ini. Saya tak mahu anak saya jadi korban”, kata isteri Tok Kaya Sendi Diraja.
"Siapa orangnya boleh menolong kita?", sahut Pak Ayub Naim. Pertanyaan Pak Ayub Naim tidak mendapat jawapan. Datuk terus bercakap sesuatu dengan Tok Kaya Sendi Diraja. Kemudian Tok Kaya Sendi Diraja pula membisikkan sesuatu ke telinga Pak Ayub Naim.
"Baik", tiba-tiba suara Pak Ayub Naim meninggi lalu keluar dari bilik.
Sepuluh minit kemudian Pak Ayub Naim masuk ke bilik dengan membawa air dalam mangkuk putih.
"Berikan padanya", ujar Tok Kaya Sendi Diraja. Pak Ayub Naim meletakkan mangkuk putih berisi air di hadapan datuk. Datuk memasukkan separuh jari hantunya kedalam mangkuk putih.
"Ambil air ini dan sapukan ke mukanya", beritahu datuk pada isteri Tok Kaya Sendi Diraja. Perintah datuk segera dilakukan. Bila jari jemari isteri Tok Kaya Sendi Diraja menyapu air ke muka Norlin, saya lihat Norlin lemah dan terus terlena.
Norlin pun diletakkan ke atas katil dengan di temani oleh ibunya. Tok Kaya Sendi Diraja, datuk dan Pak Ayub Naim keluar dari situ dan terus menuju ke bilik saya dan datuk menginap. Mereka berbincang panjang. Datuk dengan rasa rendah hati ingin membantu mengatasi masalah yang dihadapi oleh keluarga Tok Kaya Sendi Diraja.
"Saya sekadar mencuba. Sama ada jadi atau tidak terletak pada kuasa Allah. Kalau Allah memberkati, kita akan berjaya”, ujar datuk.
"Saya faham”, sahut Tok Kaya Sendi Diraja.
"Mencuba apa salahnya”, celah Pak Ayub Naim pula. Akhirnya mereka pun berpisah.
Esoknya Norlin terus jatuh sakit. Tubuhnya sekejap panas, sekejap sejuk. Datuk tidak melakukan sesuatu pada sebelah paginya bagi mengubati sakit Norlin. Menurut datuk Norlin demam kerana lemah semangat. Pada sebelah petangnya, baru datuk memulakan tugasnya. ltupun sesudah membuat beberapa persiapan rapi di biliknya. Datuk meminta izin pada Tok Kaya Sendi Diraja untuk masuk ke bilik Norlin.
"Silakan, emaknya ada di dalam”, Kata Tok Kaya Sendi Diraja. Datuk merenung muka Tok Kaya Sendi Diraja.
”Jangan tegur apa yang saya lakukan”, dengan tenang datuk mengingatkan kepada saya dan Tok Kaya
Sendi Diraja. Dengan tenang datuk melangkah. Berdiri betul-betul di tengah pintu bilik. Dia memusingkan badannya dari kiri ke kanan.
Dia mengeluarkan kain hitam dari pinggang lalu melemparkan ke ruang tengah rumah. Lepas itu, datuk pun mempersilakan Tok Kaya Sendi Diraja dan saya menghampiri Norlin. Tiba-tiba wajah Norlin berubah menjadi takut dan cemas. Dia merasakan Datuk mahu mengganggunya. Namun begitu dengan wajah yang tenang dan penuh keyakinan, datuk memegang urat nadi di tangan kanan Norlin. Mulut datuk terus terkumat-kamit. Matanya sekejap terpejam, sekejap terbuka. Datuk memperhatikan wajah Norlin dari hujung rambut hingga ke hujung kaki.
Saya lihat datuk menarik nafas panjang. Datuk mengangguk-anggukkan kepalanya beberapa kali. Saya terdengar bunyi jam tua di tengah ruang berbunyi lima kali. Angin petang terasa masuk dengan deras kedalam bilik. Ada bunyi suara burung gagak liar di pucuk kekabu.
Meski pun diluar cuaca cukup panas dan cerah, tetapi diruang itu tetap kelihatan muram, malah ada beberapa bahagian rumah itu bagaikan tidak kena sinar matahari. Sedang saya dan Tok Kaya Sendi Diraja serta isterinya melihat datuk menjalankan tugasnya dengan tekun. Terdengar bunyi bingkai gambar terhempas di lantai. Kaca dari bingkai gambar itu bagaikan bergerak sendiri menuju ke arah tiang seri rumah. Bila Tok Kaya Sendi Diraja mahu merapatinya, datuk segera menahan.
"Jangan”
"Kenapa?"
"Barangkali dia mahu menguji kita"
"Apa yang patut kita lakukan?"
"Tidak ada apa yang yang perlu kita lakukan”, datuk memberi penjelasan pada Tok Kaya Sendi di Diraja. Dan Tok Kaya Sendi Diraja pun anggukkan kepalanya dua tiga kali. Waktu isteri Tok Kaya Sendi Diraja membetulkan duduknya kerana lenguh lama duduk bertempuh, pintu bilik berbunyi dengan kuatnya macam dihempas oleh tangan manusia.
Gegarannya menjatuhkan botol-botol kecil yang terletak di atas meja hias Norlin. Bulu roma saya mula tegak. Datuk masih lagi tenang. Mata Norlin tidak seliar tadi. Kedua dua biji matanya merenung lelangit rumah. Norlin tidak tahu apa yang berlaku di sekelilingnya. Dia seolah-olah berada di dunia lain.
Datuk memberi isyarat kepada Tok Kaya Sendi Diraja supaya mendekatinya.
"Bagaimana?", soal Tok Kaya Sendi Diraja pada Datuk.
Datukpun mendekatkan mulutnya ke telinga Tok Kaya Sendi Diraja lalu berbisik:
"Memang ada yang mengacaunya."
"Siapa? Penunggu rumah ini, dia tu rajakah,puterikah atau apa?"
Nampak benar tidak sabarnya Tok Kaya Sendi Diraja bila berhadapan dengan masalah yang rumit itu. Datuk mula resah. Memang pantang benar bagi dirinya bila dia menjalankan tugas, di ganggu dengan beberapa soalan atau pertanyaan. Perbuatan begitu boleh mengganggu tumpuan fikiran pada kerja yang dilakukan.
"Saya tak dapat mengatakan siapa orangnya. Ada baiknya Tok Kaya tengok sendiri."
"Tengok sendiri? Apa saya seorang sajakah?"
"Tidak. Bersama dengan orang yang ada di sini." Mendengar jawapan dari datuk itu, Tok Kaya Sendi Diraja merenung muka isterinya. Mereka nampak cemas dan gusar sekali. Norlin masih terkapar di atas katil. Matanya tidak lagi tertumpu pada lelangit rumah. Datuk memberi isyarat supaya saya menghampirinya.
"Ada apa tok?"
"Kau duduk dekat aku”, suaranya cukup tegas. Saya angguk kepala dengan lemah. Ekor datuk merenung wajah Tok Kaya Sendi Diraja.
"Usah bimbang. Tok Kaya dan yang lain-lain harus mandi dengan air bunga tujuh jenis”, beritahu datuk pada Tok Kaya Sendi Diraja dengan wajah yang selamba. Datuk lalu minta mangkuk putih berisi air bersama dengan bunga kemboja, bunga raya dan bunga tanjung.
Tidak sampai sepuluh minit, semua barang yang di kehendaki oleh datuk tersedia di hadapannya. Tiga kuntum buang yang berlainan jenis itu datuk taburkan ke atas air dalam mangkuk putih. Jam tua di tengah ruang rumah berbunyi lagi sebanyak enam kali. Cuaca di luar tidak secerah tadi. Keadaan dalam rumah bertambah suram.
Kami terdengar bunyi deru angin menguasai perut rumah. Bunyinya cukup kuat. Datuk menyuruh kami menghadapi keadaan itu dengan tenang. Dan datuk pun memperkemaskan silanya. Datuk memejamkan matanya sambil menarik nafas dengan tenang. Mulutnya terkumat-kamit membaca sesuatu. Nafasnya kian kencang. Wajah datuk berkerut.
Kemudian datuk meraba telinga kirinya tiga kali berturut-turut. Wajahnya kelihatan beransur tenang dan tarikan nafasnya bertambah aman. Datuk pun membuka matanya dengan perlahan-lahan dan merenung ke kiri dan ke kanan. Wajah saya dan wajah Tok Kaya Sendi Diraja direnung dengan tajam oleh datuk.
"'Begini Tok Kaya. Penunggu ini sedia menemui kita”, kata datuk.
"Bila?", soal saya tidak sabar.
"Malam ini, kira-kira pukul sembilan”, jawapan datuk itu ternyata menimbulkan kebimbangan di hati Tok Kaya Sendi Diraja, lalu dia mengemukakan pertanyaan.
"Dimana?"
"Di ruang rumah ini", jawab datuk dengan nada suara yang agak keras. Bagaikan ada sesuatu kuasa ghaib, Norlin yang terlentang di atas katil bangun dengan tiba-tiba. Dia nampak sihat dan melangkah dengan tenang di hadapan datuk.
"Penunggu rumah sudah membebaskannya. Bawalah dia ke bilik mandi”, datuk memberitahu isteri Tok Kaya Sendi Diraja. Arahan datuk itu segera dipatuhi. Kemudian, datuk mengajak saya turun dari bilik Norlin.
"Saya dan cucu mahu memetik bunga tujuh jenis, jadi Tok Kaya tak payahlah ikut”, beritahu datuk pada Tok Kaya Sendi Diraja.
"Silakan."
"Tapi jangan lupa. Lepas sembahyang Isyak datang jumpa saya ambil air bunga."
"Mesti”, datuk dan Tok Kaya Sendi Diraja pun ketawa.
Dengan pertolongan Pak Ayub Naim, saya dan datuk terus pergi ke Kampung Keramat Pulai. Pak Ayub Naim terus membawa kami ke satu kawasan di kaki gunung. Menurut PakAyub Naim semua jenis bunga yang tumbuh di kawasan itu boleh dipetik.
"Tak payah minta kebenaran dari tuannya?", tanya datuk penuh keraguan.
Pak Ayub Naim tersenyum.
"Tanah ini, tanah Tok Kaya sendiri, ambillah."
"Senang hati saya. Kita nak buat ubat mesti dapat izin, kalau dah Tok Kaya punya senanglah kita berunding”, datuk mengakhiri cakapnya dengan ketawa kecil. Kawasan di kaki gunung itu memang lapang. Di gunung paling hujung ada tempat orang memecah batu.
Banyak anak muda Keramat Pulai yang bekerja dengan syarikat pemecah batu disitu. Arah ke selatan terdapat kawasan kolam lombong tinggal dengan air yang membiru. Terdapat beberapa orang kampung dari Keramat Pulai memancing di kolam lombong tinggal itu.
Satu perkara yang menarik, semua jenis bunga terdapat di kawasan tanah lapang tersebut. Sesekali bila angin datang saya dapat menghidu baru yang cukup wangi. Datuk pun sudah dapat mengumpulkan tujuh jenis bunga. Semuanya datuk masukkan ke dalam bekas khas. Ketika itu, kaki langit sudah bertukar warna. Puncak gunung yang tadi kelihatan hijau dengan tumbuh-tumbuhan bertukar menjadi hitam sekata.
"Siapa yang tanam pokok-pokok bunga di sini?", soal datuk pada Pak Ayub Naim. Lelaki tua yang sudah beruban itu kerutkan dahi luasnya sebentar.
"Arwah ayah Tok Kaya, masa hayatnya dia selalu jalan di sini setiap malam jumaat, waktu bulan penuh."
"Buat apa dia ke sini?"
"Itu saya kurang periksa pula."
Mendengar jawapan itu, datuk tidak lagi mengajukan sebarang pertanyaan. Tetapi cakap Pak Ayub Naim itu menimbulkan beberapa persoalan dalam diri saya.
Apakah arwah ayah Tok Kaya Sendi Diraja mempunyai hubungan sulit dengan makhluk asing? Apakah pokok-pokok bunga yang di tanam di kawasan kaki gunung itu mempunyai tujuan yang tertentu? Cukup sukar untuk saya memberi jawapan pada pertanyaan yang timbul dalam diri saya itu.
Kamipun meninggalkan kawasan kaki gunung itu. Waktu saya dan datuk serta Pak Ayub Naim melintasi jambatan yang merintangi sebuah anak sungai, suara azan terdengar dari surau kecil yang terletak di tepi sungai.
Datuk pun memutuskan untuk menunaikan fardhu Maghrib di surau Keramat Pulai. Selepas menunaikan fardhu Maghrib, kami meneruskan pejalanan ke rumah Tok Kaya Sendi Diraja.
Kali ini saya tidak mahu naik basikal yang di kayuh oleh datuk. Saya memutuskan mahu naik basikal yang di bawa oleh Pak Ayub Naim.
"Kenapa?"
"Saya mahu bercakap dengan Pak Ayub Naim"
"Hum, terpulanglah. Boleh ke bawa cucu kami Ayub?"
"Boleh, apa salahnya”
Saya pun terus melompat ke atas lanting basikal. Entah macam mana, Pak Ayub Naim terus bercerita tentang keistimewaan arwah ayah Tok Kaya Sendi Diraja. Menurut Pak Ayub Naim, ayah Tok Kaya Sendi Diraja pemah mendapat harta karun di kaki gunung iaitu tempayan tembaga yang sumbing mulutnya.
Tempayan itu tidak di bawa pulang. Ditempatkan di satu kawasan dan dimandikan dengan air bunga-bungaan selepas sembahyang Jumaat. Sejak bertemu tempayan tentang itu, pemiagaannya bertambah maju. Lombong bijih terus dibuka hingga ke Jeram Mengkuang dekat Bidor. Bila ayah Tok Kaya Sendi Raya meninggal dunia, tempayan tembaga itu terus ghaib entah ke mana.
Lebih kurang pukul sembilan malam, sesudah dimandikan dengan air bunga tujuh jenis, Tok Kaya Sendi Diraja dan isterinya kelihatan tenang dan penuh semangat untuk menghadapi sebarang kemungkinan. Begitu juga dengan Norbaya, Norlin dan Pak Ayub Naim suami isteri. Semuanya duduk di atas tikar mengkuang panjang dua belas. Norlin mengadu pada datuk yang dirinya terasa pening.
Datuk pun menyuruh dia baring dekat ibunya. Sesuai dengan permintaan datuk, hanya tiga batang liIin sahaja yang di pasang menjadikan suasana agak samar-samar. Datuk pun duduk lurus-Iurus.
Mulut datuk terkumat-kumit. Suasana cukup sunyi, macam berada di tanah perkuburan di waktu petang. Hanya bunyi tekanan nafas sahaja yang kedengaran. Entah dari mana, tiba-tiba terdengar sayup-sayup suara lolongan anjing.
Cukup menghairankan, sekitar kawasan itu tidak ada orang yang memelihara anjing. Udara mendadak sahaja menjadi sejuk. Apa terdengar suara orang mengeluh dari bilik sebelah. Norlin tiba-tiba bangun lalu memandang wajah ibunya.
"Bersedialah, sebentar lagi dia akan datang”, ujar datuk perlahan-lahan tetapi cukup tegas. Apa yang dikatakan oleh datuk itu memang benar. Di hadapan, secara perlahan-lahan muncul semacam gumpalan kabus, bergulung-gulung dan kemudian menipis pula secara perlahan-Iahan.
Bila gumpalan kabus itu hilang, muka isteri Tok Kaya Sendi Diraja berubah menjadi pucat begitu juga dengan Norlin. Ada lembaga berbentuk bayi terapung-apung tanpa seurat benang pun. Matanya yang bercahaya itu memandang wajah Tok Kaya Sendi Diraja dan isteri. Dari situ beralih pula ke muka Norlin.
"Siapa namamu anak yang baik?”, tanya datuk.
"Saya belum ada nama”, jawab bayi itu. Tidak terkeluar dari mulut bayi tersebut, tetapi datangnya dari satu arah yang lain dan bergema pula. Datuk terus merenung ke arah bayi itu.
"Apakah kau yang punya rumah ini?”, tanya datuk.
Badan datuk saya lihat mula menggigil bagaikan di goncang oleh sesuatu.
"Kau tinggal menetap di sini?", soal datuk lagi.
"Tidak”, terdengar suara gema yang agak jauh.
"Kenapa kau ganggu Norlin?"
"Saya cuma nak jumpa emak saya, isteri Tok Kaya Sendi Diraja"
Isteri Tok Kaya Sendi Diraja mula mengelabah, kemudian terpekik tertahan-tahan. Datuk memberi isyarat pada semua yang ada di situ supaya bertentang. Tetapi perubahan wajah jelas kelihatan pada Tok Kaya Sendi Diraja dan isterinya.
"Apa fasal kau mahu menemui ibumu?"
"Saya minta di pertanggungjawabkan"
"Maksudmu aku faham"
"Kenapa saya dibunuh?"
"Jadi ibumu telah membunuhmu?"
"Ya. Waktu saya tujuh bulan dalam kandungan dengan pertolongan doktor, saya di keluarkan dari rahim secara paksa"
Sebaik sahaja suara itu hilang, diganti pula dengan suara tangisan. Suara itu terdengar sayup-sayup dan amat memilukan. Datuk meletakkan kedua belah tangannya atas tempurung lutut. Salah satu dari pada api lilin dihadapannya di padamkan.
"Kau mahu membalas dendam datang ke sini?"
"Bukan itu maksud saya"
"Jadi apa tujuan mu yang sebenar?"
"Saya memerlukan nama, dan pengakuan dari ibu yang sebenar dan kaum keluarga"
"Baiklah, selain dari aku dan cucuku, ada ayah, emak dan kakak atau adik kau. Mereka sudah mengakui kau sebagai keluarga mereka”,ujar datuk sambil merenung muka Tok Kaya Sendi Diraja. Tok Kaya Sendi Diraja dan isteri serta-merta anggukkan kepala. Datuk mengigit bibir lalu bertanya:
"Siapakah orang yang selalu muncul di sini, seperti yang pernah ditemui oleh cucuku dan orang lain itu?"
Bayi itu kelihatan berpusing-pusing, lalu berdiri dekat tiang seri. Dia seakan-akan ketawa menghadapi ke arah kami. Terdengar bunyi angin yang cukup kuat. Semua yang ada di ruang rumah berterbangan. Walaupun begitu api lilin yang tidak jadi padam.
"Mereka adalah waris dari keturunan datuk nenekku, merekalah yang memberi jalan kemewahan pada keturunan ayah dan ibuku. Dan merekalah yang mendesak aku supaya menemui ibuku yang sebenar." Terdengar gema suara dari arah kiri datuk.
"Baiklah, mereka sudah tahu sekarang. Mereka akui kau adalah keturunan mereka. Pulanglah jangan ganggu kakakmu Norlin”, datuk terus bersuara.
"Aku mahu bersalam dengan mereka”,minta bayi itu.
"Silakan”
Keluarga Tok Kaya Sendi Diraja menghulurkan tangan, ternyata mereka tidak bersalaman dengan bayi itu. Mereka hanya macam terasa angin yang tenang mengenai jari-jemari mereka. Seperti waktu mula muncul, bayi itu terus berubah menjadi gumpalan yang kabur, kemudian menipis, dan akhimya terus
menghilang.
Setelah beberapa detik berlalu, datuk kembali bertafakur dan membaca sesuatu. Dengan nada suara yang parau dan mengandungi maksud tertentu, datuk bersuara:
“Bangunlah wahai hati nurani yang tidak di kuasai oleh nafsu. Bangun dan temuilah kami"
Suasana bertambah sepi. Tidak ada seorang pun yang sedar tentang isteri Tok Kaya Sendi Diraja yang jatuh pengsan. Datuk meletakkan tangannya ke atas dahi isteri Tok Kaya Sendi Diraja.
”Saya tak tahu masa bila dia pengsan”, kata Tok Kaya Sendi Diraja.
"Jangan khuatir, kita mencari jalan yang baik”, balas datuk lalu menepuk tikar mengkuang panjang dua belas.
Isteri Tok Kaya Sendi Diraja bangun. Duduk bersila, wajahnya pucat. Sepasang matanya merenung mata datuk.
"Siapakah yang datang tadi? Hati nurani cik puan yang tidak di kuasai oleh nafsu?", tanya datuk pada isteri Tok Kaya Sendi Diraja. Dia mengangguk. Wajahnya resah tidak menentu.
"Kau menggugur anakmu waktu berusia tujuh bulan?"
Isteri Tok Kaya Sendi Diraja angguk kepala.
"Kenapa kau berlaku sekejam itu?"
"Sebelum saya kahwin dengan Tok Kaya Sendi Diraja, saya jadi tukang masaknya. Kemudian terjadi perkara yang tidak baik, saya terus diam dibahagian atas rumah ini. Apabila genap tujuh bulan, saya dengan persetujuan Tok Kaya Sendi Diraja menggugurkan bayi ini dengan seorang doktor swasta di Kuala Kangsar"
Satu pengakuan yang jujur dari isteri Tok Kaya Sendi Diraja. Dan Tok Kaya mengakui apa yang dikatakan oleh isterinya itu memang benar. Datuk pun merenung wajah Tok Kaya Sendi Diraja.
"Awak berdua sudah melakukan dosa”, ujar datuk pada Tok Kaya Sendi Diraja. Isteri dan suami berpandangan sama sendiri. Sekarang semua peristiwa buruk itu sudah tidak menjadi rahsia lagi buat keluarga diri Tok Kaya Sendi Diraja. Tok Kaya Sendi Diraja menundukkan mukanya dan dia baru sedar, bahawa kekayaan yang ada tidak dapat menutup perbuatan terkutuknya.
"Lupakan semuanya itu. Yang berdosa tetap berdosa. Hanya Allah yang Maha Besar lagi Penyayang sahaja yang boleh menjatuhkan hukuman yang setimpal dengan perbuatan kamu berdua”, tambah datuk.
Tok Kaya terus menarik tangan datuk pergi ke ruang bawah. Saya mengikutinya dari belakang. Saya tidak tahu apa yang mereka bicarakan. Selepas bercakap datuk pun mengajak saya ke biliknya. Sebaik sahaja pintu bilik di buka, wajah lelaki yang garang berbadan besar tercegat di dalam bilik. Datuk berhenti di hadapannya. Datuk pun memejamkan mata.
"Aku hanya datang untuk membetulkan mana yang silap”, kata datuk pada lembaga itu yang bergerak ke kanan sambil tersenyum dan terus hilang.
0 comments:
Post a Comment