Kita perhatikan dahulu ayat Al-Qur’an yang berhubung dengan peristiwa ini, kerana bukan sahaja orang-orang tasauf dan kerohanian yang menunggu-nunggu akan masa, hari dan waktu tersebut bahkan orang-orang awam juga menunggu sama kerana mahu keberkatannya.
Firman Allah:
Maksudnya: Sesungguhnya Kami telah menurunkannya pada malam kemuliaan dan sudahkah engkau tahu, apakah malam kemuliaan itu? Malam kemuliaan itu lebih utama daripada seribu bulan, turun malaikat dan roh pada malam itu dengan izin Allah, mereka membawa pokok-pokok (berkat) dari tiap perintah, sejahtera dia sehingga terbit fajar.
(Al-Qadr 1-5)
Ayat 1, Allah menerangkan Kami (Asmak) telah menurunkannya, iaitu menurunkan suatu anugerah kepada hambaNya, ia merupakan anugerah yang tinggi dibawakan oleh malaikat dengan izin Allah pada malam kemuliaan, maksudnya ialah suatu malam yang penuh berkat. Para pentafsir bermacam-macam pandangan tentang malam kemuliaan tersebut, ada yang mengatakan pada 17 Ramadhan, ada yang mengatakan 24 Ramadhan, ada yang mengatakan 21 Ramadhan, ada yang mengatakan 1 hingga 30 Ramadhan, akan tetapi ramai para ulama’ yang mengatakan pada 10 akhir daripada bulan Ramadhan tersebut. Mereka menyatakan berbagai-bagai alasan tentang masanya dan ada pula yang mengatakan malam tersebut tidak berlaku langsung kerana apa yang sebenarnya tentang malam itu ialah berlaku hanya kepada Baginda Rasulullah s.a.w sahaja iaitu pada masa Nuzul Al-Qur’an iaitu pada 24 Ramadhan sehinggalah 23 tahun sesudah itu (10 tahun di Mekah dan 13 tahun di Madinah).
Baginda berhubung dengan Tuhannya dialam Malakut sehingga sempurnalah Al-Qur’an itu. Selepas waktu itu tidak ada lagi malam Lailatul Qadar tersebut, dan berbagai-bagai pandangan yang dibuat dengan alasan-alasan yang tertentu dan hikmahnya.
Malam kemuliaan atau malam Lailatul Qadar itu dikatakan lebih utama daripada 1,000 bulan iaitu bersamaan 83 tahun 4 bulan, turun malaikat dan roh pada malam itu, maksudnya turun malaikat Jibril (yang juga dikenali sebagai roh iaitu Ruhul Amin, Ruhul Quds). Semua istilah itu dipegang oleh malaikat Jibril kerana hanya malaikat Jibril sahaja yang bertugas membawa khabar gembira. Baginda dapat melihat rupa Jibril 2 kali dalam keadaan sebenar dan menyamar sebagai manusia biasa sekali iaitu menyerupai sebagai seorang sahabat Nabi bernama Dahiyyah Al-Kalby semasa baginda bersama-sama para sahabatnya. Setiap kali Jibril turun, ia akan membawa pokok-pokok yang bererti petunjuk-petunjuk daripada Allah s.w.t. dan diakhir ayat disebut, sejahtera dia sehingga terbit fajar. Maksudnya baginda Rasulullah (pada zamannya) dan kepada siapa yang Allah hendak tunjukkan diantara hambaNya yang bertaqwa dan beriman terpulanglah kepada Allah sendiri yang membuat penentuanNya.
Walaupun berbagai-bagai pandangan yang diberikan oleh para alim ulama’ berkait dengan Lailatul Qadar ini, akan tetapi disini diperturunkan pula pandangan daripada ulama’ Saufi tentang masalah Lailatul Qadar ini. Rasanya ini tersangat penting untuk diketahui oleh setiap golongan tertentu termasuklah orang-orang awam kerana banyak memeningkan kepala kepada mereka yang berhajat berjumpa dengan malam tersebut. Kerana itu, ikutilah pandangan seperti dibawah ini,
1. Lailatul Qadar itu sesungguhnya ada dan berterusan sepanjang zaman dan ianya berlaku pada bulan Ramadhan. Setiap manusia hendaklah memulakan amal ma’aruf dan nahi mungkar dari awal Ramadhan lagi supaya kemantapan iman diperolehi apabila bersua dengan peristiwa tersebut.
Sabda Rasulullah s.a.w yang diriwayatkan oleh Imam Muslim, Imam Ahmad, Tarmizi, Abu Daud yang diperolehi daripada Ubai Bin Ka’ab,
Maksudnya: Demi Allah! Sesungguhnya tiada Tuhan melainkan Dia, sesungguhnya (Lailatul Qadar) itu berada dibulan Ramadhan.
(pergiliran pada malam angka ganjil pada 10 malam akhir dibulan Ramadhan tersebut kita pulangkan kepada Allah sama ada pada malam 23, 25, 27 dan 29)
2. Sabda Rasulullah s.a.w yang diriwayatkan oleh Ibn Abbas,
Maksudnya: Bilangan-bilangan yang disukai oleh Allah adalah yang ganjil dan yang paling disukai diantara yang ganjil itu adalah angka tujuh, maka disebutkanNyalah langit yang tujuh, bumi yang tujuh, hari yang tujuh, tingkatan-tingkatan neraka, bilangan- bilangan tawaf, anggota yang tujuh, maka menunjukkan bilangan itu bahawa Lailatul Qadar dimalam yang kedua puluh tujuh.
3. Rasulullah s.a.w apabila berjumpa dengan seorang lelaki dari Bani Israil yang sentiasa menyandang senjata pada tengkuknya yang digunakannya untuk berjihad kepada jalan Allah selama 1000 bulan iaitu 83 tahun empat bulan dan Baginda Rasulullah tersangat mengaguminya walaupun umurnya dianggapkan sebagai sudah tua, akan tetapi masih bertenaga dan kuat, lalu Baginda mengharap umatnya mencontohi Bani Israil tersebut, akan tetapi memandangkan suasana fitrah alam yang sudah akhir zaman maka Baginda Rasulullah berdoa untuk umatnya,
Maksudnya: Wahai Tuhanku! Engkau jadikanlah umatku yang paling pendek umur mereka dan yang paling sedikit amalan mereka.
Dengan Baginda Rasulullah tersebut maka Allah memperkenankan doa kekasihnya lalu Allah kurniakan Lailatul Qadar khusus kepada umat Muhammad. Kerana itu apa yang disebut sebagai Lailatul Qadar bagi zaman kita ini ianya adalah benar akan wujudnya dan masih ada lagi. Adapun qaul yang mengatakan Lailatul Qadar tersebut telah diangkat oleh Allah ialah mereka mengambil dari Dalil seperti dibawah ini,
Maksudnya: Aku keluar untuk memberikan kepada kamu dengan Lailatul Qodri, maka bermarah-marahan sipolan dan sipolan lalu diangkatlah (Lailatul Qadar).
Dengan hadis tersebut diatas maka kebanyakan ulama’ mengatakan bahawa Lailatul Qadar itu telahpun diangkat, akan tetapi apa yang diangkat adalah ketentuan malam turunnya Lailatul Qadar tersebut bukannya Lailatul Qadar itu kerana kebanyakan manusia yang berselisih adalah malam qadar itu diangkat kerana ada diantara manusia ketika zaman tersebut masing-masing membuat andaian sehingga timbul pertelagahan sesama sendiri atau ada yang iri hati lalu malam turunnya tidak dinyatakan kerana telah diangkat. Kerana itulah Sambungan ayat tersebut diatas ada menyatakan,
Maksudnya: Dan semoga adalah hal tersebut menjadi kebaikan bagi kamu maka tuntutlah ia (Lailatul Qadar) pada malam-malam yang akhir.
Maka jelaslah sudah bahawa Lailatul Qadar itu masih wujud, dan malam akhir itu adalah bermaksud akhir bulan Ramadhan (10 hari akhir Ramadhan).
4. Imam Ahmad meriwayatkan sebuah hadis daripada Ibnu Umar r.a,
Maksudnya: Barangsiapa yang berusaha menuntutnya, maka hendaklah dituntutnya pada malam dua puluh tujuh.
5. Melalui ijtihad mengikut kaedah surah Al-Qadr ayat 1 hingga 5 mengikut kaedah hurufiah pada bilangan huruf kepada perkataan Lailatul Qadar tersebut. Huruf tersebut ialah Lam, Ya Lam, Ta Alif, Lam, Qof, Dal dan Ro. Jumlahnya adalah 9 huruf, sementara perkataan Lailatul Qadri itu hanya terdapat pada tiga ayat sahaja didalam Al-Qur’an, iaitu pada surah Al-Qadr itu sendiri iaitu pada ayat 1 hingga ayat 3. kerana itu dikalikan 9 huruf itu dengan 3 malam qadar jadi jumlahnya adalah 27 malam, maksudnya malam yang ke-27 Ramadhan. Secara kebetulan pula perkataan yang terdapat pada surah Al-Qadr itu semuanya berjumlah 30. ini menunjukkan bilangan hari didalam bulan Ramadhan dan pada ayat yang kelima dari surah ini terdapat pula kalimah “Hiya” iaitu perkataan yang ke-27 yang menunjukkan matlamat malam qadar tersebut iaitu Salamun Hiya (sejahteralah ia) iaitu orang yang beramal dan mendapat kemuliaan sehingga fajar.
Adalah diingatkan bahawa seseorang yang mahu merasakan malam keutamaan yang berdarjat 1000 bulan itu janganlah mengharapkan akan ketibaan malam tersebut untuk beribadat, ianya mestilah dimulai daripada sekarang hingga bila-bila kerana jangan apabila ada peluang yang baik baru mahu beribadat kepada Allah.
0 comments:
Post a Comment